Jun 12, 2013

Nakhoda Agung 1

Berlalu beberapa lama setelah wafatnya Nabi Adam dan Nabi Idris. Banyak berubah, dari manusia sehingga bentuk muka bumi dan pengetahuan makhluk Allah. Terjadilah kealpaan terhadap wasiat serta ajaran Nabi Adam dan Nabi Idris. Kesalahan dan kerosakan kaedah beribadat kepada Tuhan Yang Esa terjadi buat pertama kali.

Sebelum lahirnya kaum Nabi Nuh, kitab dan lembaran nostalgia manusia bercerita: “Telah hidup lima orang soleh dari leluhur kaum Nabi Nuh. Mereka hidup selama beberapa zaman kemudian mati. Nama-nama mereka adalah Wadd, Suwaa, Yaghuth, Yauuq dan Nasr. Setelah kematian mereka, orang-orang membuat patung-patung berbentuk manusia.

“Tujuannya ialah dalam rangka menghormati orang-orang soleh itu dan sebagai peringatan terhadap mereka. Berlalulah waktu seberapa lama, kemudian orang-orang yang memahat patung itu mati. Lalu datanglah anak-anak mereka, kemudian anak-anak itu mati, dan datanglah cucu- cicit mereka. Kemudian timbullah berbagai dongeng dan khurafat yang membelenggu akal manusia.”

Iblis dan konco-konconya seperti janji dengan Allah, memanfaatkan kesempatan itu. Iblis dan jin Ifrit membisikkan kepada manusia bahawa berhala-berhala tersebut adalah tuhan yang dapat mendatangkan manfaat dan menolak malapetaka. Akhirnya manusia menyembah berhala-berhala itu.

Lahirnya sang penyelamat, asalnya bernama Syakirin. Cicit Nabi Idris ini kemudiannya Allah memberi gelar Nuh sebagai membawa makna ‘orang yang sengsara dan sedih’. Baginda leluhur kesembilan dari Nabi Adam. Ayahnya adalah Lamik bin Metusyalih bin Idris.

Allah wahyukan kepada Nabi Muhammad (SAW) dengan berkata, “(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Hud, ayat 49)

Sekian lama masa berlalu, suku kaum manusia berpaling dari ajaran Allah. Mereka kufur dengan menyembah patung-patung dan membuat zalim. Manusia menyembah tuhan buatan sendiri bernama Wadd, Suwaa, Yaghuth, Yauuq dan Nasr, bukan lagi Allah. Para ketua masyarakat dan orang kaya bertindak sebagai peneraju kekufuran itu, dan mengancam akan menyeksa mereka yang tidak mengikut ketua-ketua sesat itu.

Mereka juga menyembah bintang-bintang. Kemudian Allah melantik Nuh sebagai Nabi dan Rasul untuk menegur dan membetulkan kekufuran yang melanda muka bumi. Allah berkata dalam Al-Quran:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah dia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun.” (Surah al-‘Ankabut, ayat 14)

Kaum baginda amat degil, malah semakin besar kepala dan terus menerus berbuat mungkar tanpa batas. Setelah pelbagai usaha dilaksanakan oleh Nabi Nuh, baginda menemui jalan buntu. Lalu baginda mengadu kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

“Wahai Tuhanku! Hamba telah menyeru kaumku untuk beriman kepada-Mu dan meninggalkan sembahan berhala. Aku benar-benar berharap agar mereka mahu beriman dan aku sudah berusaha dengan bermacam cara tanpa mengira siang atau malam. Namun hasil yang aku peroleh dari usaha dakwahku untuk abdikan diri kepada-Mu hanyalah tentangan.

“Ketahuilah wahai Tuhanku, ketika aku menyuruh mereka agar menyembah-Mu, mereka menjadi semakin melampau dalam berbuat mungkar. Bahkan mereka tidak menghiraukan aku dengan menutup telinga agar tidak mendengar ajakan aku. Mereka juga menutup muka dan seluruh tubuh dengan kain agar tidak dapat melihatku justeru terlalu membenci aku. Mereka memang terlalu menentang dakwahku, mereka melampau menolak ajakanku.

“Mereka juga bersikap sombong dan takbur terhadap pengikutku. Wahai Tuhanku! Aku menggunakan pelbagai kaedah dalam menyampaikan dakwah ini, kadangkala secara terang-terangan di hadapan orang ramai. Ada kalanya aku sampaikan secara perseorangan dan sembunyi-sembunyi.

“Aku menggesa mereka agar memohon ampun kepada-Mu atas kekufuran dan maksiat yang telah dilakukan, sehingga aku berkata kepada mereka, ‘Pohonlah ampun kepada Tuhan kamu. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia akan menghantar hujan lebat yang mencurah-curah kepada kamu. Dia akan memberi kamu harta kekayaan dan anak-pinak yang banyak, dan menumbuhkan untuk kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan sungai-sungai untuk kemudahan kamu'."

Kaumnya tetap begitu, degil sekeras batu, bahkan kebih keras lagi. Nabi Nuh menerima ejekan dan tohmahan sebagai orang gila.

Pada suatu ketika di hadapan kaumnya yang berkumpul, Nabi Nuh bertanya, “Bagaimana kalian boleh tidak takut kepada keagungan dan kekuasaan Allah yang telah mencipta kalian dengan kejadian yang berperingkat-peringkat; dari nutfah menjadi alaqah, kemudian mudghah dan berakhir dengan tulang dan daging?”

Baginda terus diejek dan dihina dengan begitu hebat. Ada di kalangan mereka berkata dan menyebarkan adu-domba, “Dia gila! Baik kita beri amaran keras agar dia tidak teruskan ajakan gila itu! Kalau dia tidak berhenti, kita ancam dengan padah bakal menimpa!”

Nabi Nuh tekad meneruskan misi dakwahnya tanpa henti dari sehari ke sehari. Akhirnya ketua-ketua masyarakat menyatakan amaran dengan berkata, “Wahai Nuh! Jika kamu tidak mahu berhenti daripada menyeru agamamu, kami akan rejam kamu!”

Namun Nabi Nuh tidak gentar dan gerun sedikitpun. Baginda yakin dengan janji Allah. Baginda semakin berani untuk dirikan perintah yang diamanahkan Allah agar terus menyeru kaumnya supaya berhenti berlaku syirik dengan menyembah pelbagai tuhan palsu itu.

Nabi Nuh berkata, “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku. Aku tidak gentar.

“Janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu dijalankan secara tersembunyi. Lakukanlah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi. Jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu. Upahku hanya dari Allah kerana Dia telah memberi perintah supaya aku tunduk kepada-Nya semata-mata, menjadi orang Islam.”

Ketua-ketua kaum semakin sakit hati, lalu berkata, “Sungguh kami nampak kamu berada dalam kesesatan yang nyata!”

Nabi Nuh meneruskan ajakan agar hentikan penyembahan patung-patung tidak bernyawa itu. Baginda bercerita ancaman dari Allah yang amat hebat andai ajakan itu tidak mereka endahkan.

Ketua-ketua kaum berbincang lagi, dan kemudian mereka berkata, “Wahai Nuh! Sungguh kamu sudah bertikam lidah membantah kami dengan banyakkan hujah-hujah semasa kemukakan bantahanmu terhadap kami. Oleh itu, persilakan datangkan azab Allah yang kamu janjikan kepada kami, andai betul kamu dari orang yang benar.”

** Hakcipta Terpelihara 2013 Web Sutera.

0 comments: