skip to main |
skip to sidebar
Banyak hadis dari Nabi Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam) memberi amaran kepada sesiapa yang memperlakukan seekor kucing secara kejam dan tidak berperikemanusiaan. Salah satunya ialah dari sahabat Nabi Muhammad bernama Abdullah yang melaporkan Rasulullah telah bersabda:
“Seorang wanita telah diseksa Allah pada hari kiamat lantaran dia mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati. Kerana itu Allah memasukkannya ke dalam neraka. Kucing itu dikurungnya tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat menangkap makanannya yang terdapat di bumi.” (Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)
Sejarah telah mencatatkan bahawa Nabi Muhammad sendiri memiliki kucing peliharaan baginda. Kucing Rasulullah bernama Mueeza. Setiap kali baginda menerima kehadiran tetamu di rumah, baginda memegang Mueeza dan diribanya di atas paha. Nabi Muhammad berpesan untuk menyayangi kucing peliharaan seperti menyanyangi keluarga sendiri. Salah satu sifat Mueeza yang paling Nabi Muhammad suka ialah si kucing itu akan mengiau-giau setiap kali mendengar azan dikumandangkan. Mueeza mengiau seolah-olah seperti turut mengucapkan laungan panggilan bersembahyang itu.
Kucing peliharaan Nabi Muhammad itu manja dengan baginda dan baginda juga memanjakannya. Pernah di suatu peristiwa Nabi Muhammad mahu mengambil jubahnya, namun Muezza masih tidur di atasnya. Baginda pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya kerana tidak sampai hati untuk membangunkan kucing itu.
Tanda kasihnya Muezza kepada tuannya ialah apabila Nabi Muhammad pulang ke rumah, Muezza terbangun dan menunduk kepada Nabi Muhammad. Sesuai dengan sifat kasih sayang dan penyantun Nabi Muhammad, baginda lantas menggosok lembut badan Muezza.
Nabi Muhammad berkata melalui beberapa hadisnya bahawa kucing itu tidak najis. Malah baginda membenarkan wuduk diambil dari air bekas minuman kucing kerana ianya suci. Abu Qatadah melaporkan Nabi Muhammad berkata, "Kucing itu tidak najis. Ia binatang yang suka berkeliling di rumah.” (Hadis direkodkan oleh At-Tirmidzi, An-Nasa'i, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Ali bin Al-Hasan dan Anas menceritakan bahawa Nabi Muhammad pergi ke Bathhan, iaitu suatu daerah di Madinah. Lalu baginda berkata, "Ya Anas, tuangkan air wuduk untukku ke dalam bejana." Lalu Anas menuangkan air itu. Kemudian Nabi Muhammad menuju ke bejana tersebut. Dalam masa yang sama, seekor kucing datang dan menjilat air dalam bejana itu. Melihat itu, Nabi Muhammad berhenti sehingga kucing tersebut berhenti minum lalu baginda berwuduk. Nabi Muhammad ditanya mengenai kejadian tersebut, beliau menjawab, "Ya Anas, kucing termasuk perhiasan rumah tangga, ia tidak dikotori sesuatu, bahkan tidak ada najis."
Isteri Nabi Muhammad, Aisyah binti Abu Bakar juga ada cerita tersendiri berkenaan kucing. Daud bin Shalih At-Tammar dan ibunya menceritakan bahawa budak suruhannya memberikan Aisyah semangkuk bubur. Namun ketika dia sampai di rumah Aisyah, ternyata Aisyah sedang bersembahyang. Lalu Aisyah memberikan isyarat supaya menyimpannya di suatu tempat.
Setelah Aisyah selesai bersembahyang, beliau lupa pada bubur tadi. Datanglah seekor kucing, lalu memakan sedikit bubur tersebut. Ketika beliau melihat bubur tersebut sudah dimakan sedikit oleh kucing, Aisyah membersihkan bahagian yang disentuh kucing itu, dan beliau memakan bahagian yang tertinggal.
Rasulullah berkata, "Ia tidak najis. Ia binatang yang berkeliling." Aisyah pernah melihat Rasulullah berwuduk dari sisa jilatan kucing. (Kisah dari hadis ini direkodkan oleh Al-Baihaqi, Abdul Al-Razzaq dan Al-Daruquthni).
Dalam buku Sunan Abu Daud ada direkodkan cerita perihal kucing berkaitan. Daud Ibnu Salih Ibnu Dinar At-Tammar berkata bahawa ibunya telah melihat seorang perempuan menghantar sejenis bubur kepada Aisyah yang sedang mendirikan sembahyang. Aisyah mengisyaratkan supaya diletakkan di bawah. Kemudian seekor kucing datang dan makan sedikit bubur tersebut. Setelah Aishah usai bersembahyang, beliau makan bubur yang sudah dijilat oleh kucing itu.
Salah seorang sahabat Nabi Muhammad yang terkenal ialah Abu Hurairah. Nama Abu Hurairah itu bukannya nama sebenar beliau kerana itu ialah gelaran yang diberikan oleh baginda. Makna Abu Hurairah ialah bapa kucing. Nabi memberikan gelaran kepada sahabat baginda kerana Abu Hurairah sangat mengasihi kucing.
Ceritanya begini. Dalam suatu peristiwa, seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Abdul Rahman bin Sakhar menemui seekor anak kucing yang sedang mengiau kerana kehilangan ibunya. Beliau yang dalam perjalanan menuju ke Masjid Nabawi berasa kasihan kepada anak kucing itu, lalu diambil dan diletakkan ke dalam baju besar beliau.
Sebaik sahaja Abdul Rahman bin Sakhar tiba di masjid, Nabi Muhammad ternampak sesuatu di dalam jubahnya, lantas bertanya, “Apa dalam bajumu?” Dia menjawab, “Seekor anak kucing yang kehilangan ibu, saya mengambilnya kerana kasihan kepadanya.” Lalu baginda menggelarkan Abdul Rahman dengan Abu Hurairah (bapa kucing).
Gelaran bapa kucing tidak sedikit pun menjejaskan maruah dan reputasi Abdul Rahman bin Sakhar, malah inilah gelaran yang paling disukai tatkala namanya dipanggil atau disebut. Ini kerana yang memberikan gelaran itu ialah Nabi Muhammad, seorang nabi dan rasul Allah yang terakhir. Dengan gelaran Abu Hurairah itu juga ianya mengingatkan beliau kepada suatu amal soleh yang pernah dilakukannya ketika mengambil kisah akan nasib seekor anak kucing yang kehilangan ibu.
Nota: Mengasihi binatang seumpama kucing merupakan saranan Berfikir Gaya Champion dari Nabi Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam). Jom amalkannya, insya-Allah.
Berkaitan: Berfikir Gaya Champion (1): Sebesen ikan keli dan haruan
Berfikir Gaya Champion (2): Menyahut cabaran menjadi Champion bagi Jaring Internet Magazine
Berfikir Gaya Champion (3): Saya maafkan tuan
** Siri saranan Berfikir Gaya Champion bermatlamatkan untuk menginspirasikan pembaca daripada contoh-contoh nyata dan tersirat yang dikemukakan. Saya berhasrat menerbitkannya dalam bentuk buku. Sekiranya ada penerbit yang berminat atau turut terinspirasi dengan idea ini, saya alu-alukan bagi menghubungi saya. Penulis bersedia berkongsi idea dan pengalaman, serta menadah nurani bagi menerima cadangan dan ujana.
** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera atau Hizamnuddin Awang. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
Saya sedar menceburi bidang bisnes banyak risiko. Salah satu risikonya ialah penipuan. Bisnes katering pun tidak terlepas dari anasir penipuan ini. Saya pun terkena sama. Ironinya para penipu tersebut ialah orang Melayu yang beragama Islam! Setakat pengalaman saya, orang Cina tidak pula berperangai demikian. Mengapa? Di mana silapnya?
Dalam buku Buat Duit dengan Katering, saya ada ceritakan secara ringkas berkenaan kes saya kena tipu. Di sini saya memperincikan sedikit salah satu daripada kes yang disebutkan.
Saya acap kali mendapat pesanan katering dari si polan itu bagi majlis yang berlangsung di premis tempat dia bekerja. Pada permulaannya majlis kecil-kecilan sahaja seperti sambutan hari lahir atau hidangan minum petang ringkas. Akhirnya saya memperoleh projek perkahwinan dan makan malam. Walaupun saya meminta bayaran deposit, tetapi hanya sejumlah kecil sahaja yang diberikan. Sebagai contoh, seandainya nilai projek katering itu ialah RM1,000, saya hanya memperoleh sekitar RM300 sahaja sebagai deposit. Begitulah bagi projek seterusnya, satu demi satu. Akhirnya wang terkumpul yang masih si polan atau syarikat si polan berhutang dengan saya mencecah melebihi RM10,000! Memang banyak, saudara dan tuan puan.
Akhirnya si polan berhenti kerja setelah banyak aduan dari pembekal servis lain dengan masalah yang sama. Ada seorang rakan katerer turut terkena getah, jumlahnya RM20,000! Lagi naya! Saya tidak puas hati. Saya ‘mengejar’ si polan tersebut. Saya juga mengadukan perihal itu kepada pihak pengurusan kelab. Bos kelab sudi memberikan beberapa ribu sebagai bayaran ansuran sedikit demi sedikit, namun jauh dari mencukupi.
Si polan juga berjanji akan membayar balik. Dia mengeluarkan tiga keping cek bernilai RM500 setiap satu dalam sela masa beberapa bulan. Malangnya ketiga-tiga cek tersebut tendang! Sudahlah si polan isu cek tendang, akaun saya pula yang didebit bank RM5 setiap kali cek tendang. Yalah, sebagai kos kurir penghantaran balik cek ke alamat bisnes saya. Cek dikeluarkan tanpa ada duit dalam akaun bank.
“Apa sudah jadi dengan mamat seorang ini?” saya melenting di depan isteri. Dia turut marah.
“Memusnahkan bisnes bangsa sendiri. Tidak tahu halal haramkah dia?” jawab isteri saya.
Isteri saya lagi terasa akan penat lelahnya seolah-olah tidak dihargai oleh si polan. Setakat pengetahuan saya, tiada komplen dari klien dan tetamu berkenaan mutu hidangan masakan. Hampir kesemua sesi katering di kelab tersebut berlangsung tatkala isteri saya sarat mengandung. Ke hulu ke hilir dia membawa perut yang semakin hari semakin membesar. Demi bisnes dan kepuasan klien, isteri saya tidak pernah mengeluh. Salahkah kalau saya dan isteri bengang?
Habis itu bagaimana kedudukan saya? Hendak berundur tidak sama sekali! Itu semua ujian dari Tuhan untuk saya. Semangat tetap membara dan terus meraduk gelombang. Rezeki dari Tuhan, bukannya dari manusia. Perjuangan tetap diteruskan.
Dalam buku Buat Duit dengan Katering juga, saya menulis, “Namun, saya tetap tidak halalkan walaupun sebiji nasi, walau setitis air!”
Demi semangat Berfikir Gaya Champion, para pembaca menjadi saksi, saya ampunkan dosa si polan dan halalkan mana yang diambilnya. Biarlah dosanya dengan Allah, Allah jua yang memberi pengampunan. Saya tidak mahu menyusahkan si polan dengan dosa kepada saya dan isteri yang tidak terampun. Nanti di hadapan Allah, bagaimana si polan mahu menjawabnya? Kasihan apabila saya memikirkannya. Demi kasih sayang sesama umat Nabi Muhammad bin Abdullah, saya reda dan halalkan.
Antara hikmah yang dapat saya fikirkan ialah:
(1) Servis dalam bidang bisnes apa sekalipun, mesti ada surat. Apa jenis suratnya? Purchase Order (PO) atau surat akuan penerimaan sebut harga atau surat pelantikan menggunakan servis kita.
(2) Kejadian itu penghapus dosa saya dan isteri.
Dalam pada itu, bak kata isteri saya, “Pengalaman kena tipu merupakan harga yang sangat mahal untuk kita berdua dalam mencapai apa yang kita ada sekarang.”
Saya memohon keampunan kepada Allah, kerana Allah berkata dalam Quran:
“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Surah al-Hadid ayat 22 – 23)
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”” (Surah al-Baqarah ayat 155 – 156)
Saya kembalikan kepada kebijaksanaan Allah, kerana saya Berfikir Gaya Champion.
Berkaitan: Berfikir Gaya Champion (1): Sebesen ikan keli dan haruan
Berfikir Gaya Champion (2): Menyahut cabaran menjadi Champion bagi Jaring Internet Magazine
** Siri saranan Berfikir Gaya Champion bermatlamatkan untuk menginspirasikan pembaca daripada contoh-contoh nyata dan tersirat yang dikemukakan. Saya berhasrat menerbitkannya dalam bentuk buku. Sekiranya ada penerbit yang berminat atau turut terinspirasi dengan idea ini, saya alu-alukan bagi menghubungi saya. Penulis bersedia berkongsi idea dan pengalaman, serta menadah nurani bagi menerima cadangan dan ujana.
** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
Saya bekerja di MIMOS (kemudian MIMOS Berhad) dan JARING selama 11 tahun. Sepanjang kerjaya saya di sana, ia mengumpul banyak kenangan manis dan pahit, masa gemilang dan menurun. Saya memulakan tugas di MIMOS sebagai Penyelidik yang tertumpu kepada tugas-tugas merekodkan kegiatan Penyelidik lain untuk tujuan penulisan dan penerbitan dalaman dan Kementerian Sains dan Teknologi pada waktu itu. Apabila JARING dikomersilkan dan seterusnya menukar nama kepada JARING Communications Sdn. Bhd., saya bertukar tugas sebagai eksekutif pemasaran, khusus dalam menyediakan teks-teks bagi tujuan promosi, pemasaran dan branding.
Selepas itu saya menjawat tugas tambahan sebagai Associate Editor bagi majalah Internet berbahasa Inggeris, Jaring Internet Magazine. Sejurus selepas versi bercetak majalah ini tamat, saya ditugaskan pula mengendalikan versi online (versi di Internet sepenuhnya) majalah berkenaan, sehinggalah hayatnya juga tamat. Jawatan terakhir saya ialah ketua unit bagi salah satu unit dalam bahagian Komunikasi Brand dan Pemasaran. Ceritanya seperti di bawah.
Ketika saya mengungguli tugas-tugas penulisan di sisipan Komputer akhbar Berita Harian bagi kolum Jalinan Jaring, sebuah majalah Internet berjudul Jaring Internet Magazine dirancang diterbitkan oleh MIMOS Berhad. Tugas saya mengendalikan kolum Jalinan Jaring ialah menulis artikel berkaitan teknologi terutamanya Internet bagi tujuan pendidikan kepada masyarakat. Dalam masa yang sama laman web juga diwujudkan bagi kolum berkenaan.
Dalam pada itu, kertas cadangan saya yang dikemukakan kepada pihak editorial dan pengurusan Majalah PC juga diterima. Justeru itu, tidak berapa lama kemudian bermulalah penulisan saya dalam kolum khas berjudul Rakan JARING dalam majalah ICT berbahasa Melayu paling berpengaruh di Malaysia itu. Konten Rakan JARING juga menumpukan kepada sudut berkaitan ICT dan Internet. Tugas menulis artikel ini untuk keluaran sebulan sekali, manakala tugas untuk Jalinan Jaring pula adalah menerbitkan artikel secara mingguan.
Sebaik sahaja urusan penerbitan Jaring Internet Magazine diluluskan oleh pihak pengurusan MIMOS Berhad di bawah kendalian JARING, satu e-mel dihantar kepada grup pengurusan JARING mencari seorang champion bagi menjadi tuan punya produk (produk owner). Pengurus pemasaran JARING yang menjadi bos terdekat (immediate superior) terus mencadangkan nama saya sebagai champion. CEO JARING bersetuju dengan cadangan tersebut, dan saya pula sanggup menerima cabaran baru itu, di samping tugas-tugas penulisan untuk dua kolum di Berita Harian dan Majalah PC.
Tanggungjawab saya sebagai pemilik produk atau pengurus produk ialah mengembang dan mengelolakan Jaring Internet Magazine, sebuah majalah Internet bulanan yang diterbitkan oleh MIMOS Berhad, sebagai salah seorang tim editorial, merangka kerangka kerja dan mengendalikan proses penerbitan keseluruhan majalah sehingga diedarkan di pasaran. Ianya juga merangkumi tugas pemantauan terhadap strategi dan prestasi majalah, melakukan kawalan anggaran kos keseluruhan, perencanaan dan peramalan pendapatan, dan melakukan operasi dan fungsi pengedaran.
Saat itu kedengaran bisik-bisik dalam e-mel dan di koridor bangunan MIMOS seperti, “Bolehkah Hizam buat kerja seberat itu?”, "Bolehkah mamat itu menjadi Champion bagi sebuah majalah Internet berbahasa Inggeris?”, “Menjadi pengurus produk bukan kerja mudah. Bolehkah dia lakukannya?”, dan seumpamanya.
Saya memekakkan telinga dan terus menumpukan kepada tugas yang diamanahkan. Saya membentuk tim dalaman bagi membantu semua jenis tugas dalam mempastikan Jaring Internet Magazine berjaya diterbit dan diedarkan kepada klien JARING dan khalayak umum di pasaran terbuka. Persaingan agak sengit di ketika itu kerana sudah kedapatan beberapa majalah Internet tempatan dan regional yang diterbitkan terlebih dahulu.
Perjalanan dan hayat Jaring Internet Magazine diteruskan sehingga berlakunya perubahan drastik, iaitu pertukaran pihak pengeluar (atau pihak ketiga) yang menjadi kontraktor penerbitan majalah. Cadangan saya bagi menukarkan pihak kontraktor justeru kerana kos. Dengan pertukaran tersebut, hampir separuh kos keseluruhan kerja-kerja penerbitan dapat dikurangkan. Alhamdulillah, pihak pengurusan terutamanya CEO JARING bersetuju dengan kertas cadangan saya tersebut.
Di samping menggalas tugas pengurusan majalah, saya juga menulis rencana berita dan komentar untuk Jaring Internet Magazine. Justeru itu saya juga menjadi seorang penulis tetap. Saya teruja dengan tugas penulisan berbahasa Inggeris. Dari hanya beberapa rangkap, akhirnya sumbangan saya berkembang menjadi beberapa halaman, malah menjadi feature writer.
Apa perbezaan di antara penulis atau wartawan berita (reporter) dan penulis feature? Seorang reporter berita melibatkan tugas menulis sesuatu peristiwa semasa, tanpa komentar. Manakala penulis feature menulis artikel dan membentangkan komentar tentang isu atau peristiwa yang dapat mempengaruhi kehidupan orang-orang dalam komuniti.
Justeru sebab-sebab tertentu yang tidak perlu saya ceritakan di sini, akhirnya Jaring Internet Magazine ditamatkan. Namun versi online terus hidup, malah saya kembangkan. Jadi tugas-tugas sebagai wartawan diteruskan bagi memaparkan berita terkini dalam sector ICT. Pada kemuncaknya, laman web Jaring Internet Magazine menerima hit tidak kurang daripada 400,000 hit setiap bulan. Hit sebanyak itu diterjemahkan kepada jumlah pengunjung unik tidak kurang dari 130,000 orang setiap bulan. Pada awal era populariti Internet dan laman web sedang menerima minat industri, jumlah hit dan pengunjung unik sebanyak itu cukup memadai sebagai tanda aras kejayaan.
Dalam kesibukan itu juga, kerana kehidupan seharian saya memang perlu menggeluti info terkini teknologi dan Internet, maka saya mengambil kesempatan memperoleh sedikit wang tambahan dengan menyumbangkan artikel kepada beberapa majalah berbahasa Melayu, di sekitar tahun-tahun 1996 hingga 2006. Kemuncak sumber pendapatan tambahan dari sumbangan berbayar itu ialah penerimaan cek bayaran terkumpul RM1,500 setiap bulan dari pelbagai penerbit majalah.
Itulah Berfikir Gaya Champion!
Berkaitan: Berfikir Gaya Champion (1): Sebesen ikan keli dan haruan
** Siri saranan Berfikir Gaya Champion bermatlamatkan untuk menginspirasikan pembaca daripada contoh-contoh nyata dan tersirat yang dikemukakan. Saya berhasrat menerbitkannya dalam bentuk buku. Sekiranya ada penerbit yang berminat atau turut terinspirasi dengan idea ini, saya alu-alukan bagi menghubungi saya. Penulis bersedia berkongsi idea dan pengalaman, serta menadah nurani bagi menerima cadangan dan ujana.
** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
Hujan mulai turun hari demi hari menandakan musim tengkujuh mendatangi sekali lagi di daerah Besut dan sebahagian besar bumi Kelantan dan Terengganu. Di saat hujan renyai-renyai dan kadang kala lebat sedikit saya turun ke bawah rumah melihat selonggok pelampung (atau lampung) yang sudah beberapa hari tidak digunakan. Waktu masih pagi lagi sekitar jam 10.00, namun matahari tidak kelihatan lantaran dilindungi sang awan yang mencurahkan hujan membasahi bumi Tuhan.
Pelampung atau lampung ialah nama atau istilah yang digunakan oleh penduduk kampung di daerah Besut, Terengganu bagi sejenis alat untuk memancing atau menangkap ikan menggunakan tali nailon dan mata kail. Lampung dibuat daripada isi dalam yang diperoleh daripada pelepah pokok sagu atau rumbia yang dikopek kulitnya, kemudian dipotong lebih kurang empat inci setiap satu.
Potongan isi dalam pelepah pokok rumbia itu kemudiannya dililit dengan tali nailon yang sudah dilekatkan mata kail di hujungnya. Mata kail dicangkukkan ke potongan isi pelepah bagi memudahkan penyimpanan supaya tali nailon dan mata kail tidak saling bersimpul. Lampung bersesuaian dengan namanya memang terapung di atas permukaan air.
Selepas itu saya memasukkan beberapa puluh lampung ke dalam sebuah besin besi sambil membilang jumlahnya. Kemudian saya mengambil cangkul dan pergi ke satu kawasan berumput yang saya pasti ada cacing gelang. Saya gali tanah dan mengutip cacing yang meluik lintuk ingin melepaskan diri ke dalam satu tin susu yang berisi tanah secukupnya. Ini penting bagi mempastikan agar cacing itu tidak lari keluar dari tin tersebut. Saya tidak geli memegang badan cacing yang licin dan berlendir itu. Sudah biasa.
Apabila saya yakin bahawa bekalan cacing itu mencukupi sebagai umpan, saya segera mengambil besin besi berisi lampung untuk ke alor (sungai) tidak berapa jauh dari rumah Mak Teh. Alor tersebut terletak di seberang petak persawahan penduduk kampung.
“Kamu mahu ke mana, Din?” laung Mak Teh sebaik melihat saya menjunjung besin besi itu di atas kepala.
“Ambo (saya) mahu ke alor di depan itu, mahu menahan lampung,” saya menjawab sambil tersengih.
“Alahai budak ini! Mana ada ikan makan umpan dalam keadaan hujan begini,” ujar Mak Teh.
“Tidak mengapa, Mak Teh. Ambo mahu cuba dahulu,” jawab saya. Degil.
Lalu saya melangkah kaki meniti batas-batas sawah padi yang kebasahan dan licin. Payung tidak digunakan kerana sudah biasa berhujan. Saya berkain batik sahaja dengan sehelai baju usang.
Sebaik sahaja saya tiba di tepian alor tersebut, saya meletakkan besin dan terus mengambil lampung satu demi satu. Mata kail ditanggalkan dari cangkuknya. Seekor demi seekor cacing gelang saya cangkukkan ke mata kail. Sekiranya seekor cacing gelang itu panjang dan besar sedikit, saya akan potong jadi dua atau tiga kerat.
Saya leka dalam hujan yang mulai lebat sedikit. Saya tidak hiraukan keadaan itu. Satu demi satu lampung saya letakkan di celah-celah rumput di tepi alor. Saya gagau dan korek rerumput di dalam air, dan mempastikan tanah dicecah dengan jemari tangan sebelum mata kail berumpan cacing gelang tadi diletakkan. Habis semua lampung diletakkan (ditahan) di sepanjang tepian alor. Saya mengharapkan ikan keli atau haruan memakan umpan cacing gelang segar tersebut.
Saya kembali ke rumah Mak Teh. Berehat sambil mendengar radio. Ubi kayu rebus yang disediakan Mak Teh dijamah berselera dengan isi kelapa parut bergaram. Memang menyelerakan makan ubi kayu rebus dicicah kelapa parut ketika hujan. Ikan kering masin pun ada juga.
Usai solat Asar, saya ke alor sekali lagi. Sudah beberapa jam berlalu semenjak lampung diletakkan di tepian alor. Hujan mulai lebat. Baruh mula digenangi air. Di sepanjang perjalanan merentasi batas-batas baruh, hati saya saling bertingkah. Dapat ikankah? Umpan cacing dimakan ikankah?
Sebaik tiba di alor, saya melihat air mulai naik. Rerumput yang sebelumnya nampak, kini sudah hilang ditenggelami air. Saya tidak panik. Saya melihat beberapa lampung sudah berada ke tengah alor, mungkin diheret oleh ikan ataupun hanyut ketika air pasang. Ada beberapa lampung lesap! Masih ada juga yang kekal di lokasi asal di tepi alor, namun air alor sudah melimpah ke daratan berumput dan berselut.
Satu lampung berdekatan saya angkat. Ikan keli menggelepar. Satu lagi saya kutip, ikan haruan menggelepar. Satu demi satu saya kutip dan dimasukkan ke dalam besen. Ada yang umpan cacingnya masih melekat, ada yang sudah dimakan ikan, tetapi ikan tidak tersangkut di mata kail. Kemudian saya berenang ke tengah alor untuk mengutip lampung yang hanyut ke tengah. Kesemuanya tersangkut sama ada ikan keli atau haruan. Besar-besar belaka. Sekujur tubuh kesejukan lantaran hujan lebat dan tiupan angin.
Alhamdulillah! Saya menjunjung besen besi yang penuh ikan keli dan haruan pulang ke rumah.
“Mak Teh! Pak Teh! Ambo dapat ikan banyak. Ikan keli dan haruan besar!” laung saya agak meninggi. Gembira sungguh dengan hasil kali ini.
"Ya Allah! Banyaknya ikan. Kamu mahu jual? Ramai orang mahu beli,” soal Mak Teh tersenyum. Saya mengangguk besetuju dengan cadangan Mak Teh itu.
Lantas Pak Teh berjalan ke kawasan persekitaran kampung pergi ke rumah-rumah berdekatan memberitahu bahawa saya dapat banyak ikan. Tidak beberapa lama kemudian proses jual beli berlangsung, dan duit serta beberapa ekor ikan bertukar tangan.
“Pandai kamu menahan lampung di waktu hujan begini,” kata salah seoang pakcik yang cukup saya kenali.
“Rezeki Allah,” kata saya.
“Ikan haruan besar sebesar lenggan aku ini! Sedap kalau digoreng kunyit atau panggang mentah dicicah budu,” kata seorang makcik.
“Wah! Kamu dapat ikan keli lembut berbintit kekuningan sebesar lengan!” kata seorang pakcik lagi. “Berapa riyal (ringgit) kamu jual?”
“Entah!” jawab saya tersengih. “Pak Teh, hendak jual berapa riyal?”
Pak Teh mengira harga dan tawar menawar terjadi, dan duit not merah bertukar tangan lagi. Saya dapat rezeki Allah. “Boleh beli buku,” monolog saya di dalam hati.
Ikan yang selebihnya masih banyak. Mak Teh masak gulai lemak cili padi. Fuh! Saya makan nasi berlaukkan ikan haruan segar masak lemak cili padi malam itu bersama Mak Teh, Pak Teh dan dua orang anaknya (sepupu saya). Tiga pinggan nasi saya belasah. Mak Teh hanya tersenyum melihatnya. Ikan keli dipanggang kunyit atau digoreng garing. Ikan haruan selebihnya dibuat pekasam.
Saya sudah membuktikan kepada orang kampung bahawa teori umpan tauk atau lampung tidak dimakan ikan ketika di awal banjir atau hujan lebat salah. Saya cukup gembira dengan eksperimen tersebut.
Itulah berfikir gaya Champion!
Berkaitan: Travelog Kehidupan: Hijrah Pinggitan ke Metropolitan (1)
** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.