Showing posts with label Semurni Suara Alam. Show all posts
Showing posts with label Semurni Suara Alam. Show all posts

Feb 8, 2012

Semurni Suara Alam (7)

BAB 7

Tidak berapa lama kemudian, keputusan peperiksaan pun kelu
ar. Amin memperoleh kejayaan cemerlang dan ditawarkan ke kursus Matrikulasi di sebuah pusat pengajian di Melaka. Manakala Khairul terpaksa meneruskan persekolahan ke tingkatan enam lantaran keputusan peperiksaan SPM yang kurang cemerlang. Khairul bersekolah di sebuah sekolah berhampiran Maran. Mereka berpisah buat sementara waktu.

Pada musim cuti semester pertama, Amin pulang ke kampung. Sekali lagi mereka bertemu di kolam yang memiliki kenangan di sepanjang persahabatan mereka. Lokasi duduk juga seperti dahulu, tidak berubah.


“Selamat bertemu kembali, wahai teratai. Kami berdua berkunjung lagi ke sini setelah lama tidak berkesempatan untuk berbuat demikian. Aku terkenangkan kamu, wahai teratai. Aku tidak pasti dengan rakanku ini, Khairul.” Amin memulakan salam pertemuan dengan teratai yang sentiasa setia menunggu, sambil tersenyum memandang Khairul.

Si bunga teratai senang hati mendengar kata-kata Amin yang merinduinya. Suasana di sekitar kolam masih tetap sama. Tiada sebarang anasir yang menganggu-gugat ketenangan di situ. Si Teratai Kecil dan Teratai Besar tetap menjadi penyeri di tengah kolam. Hidup di atas air dan tiada orang yang tega memetiknya.

Mereka hidup segar bugar dengan ditemani rumpair dan pokok-pokok renek dan besar yang tumbuh di sekeliling kolam yang redup itu. Bunga teratai berdua itu ibarat tuan puteri kayangan, sedang di sekelilingnya ialah dayang-dayang yang menjaganya setiap waktu.

“Bagaimana keadaan kampung kita selama saya di Melaka, Khairul?” Tanya Amin setelah mengucapkan selamat bertemu kepada bunga teratai.

“Alhamdulillah. Semuanya dalam keadaan biasa. Cuma saya memang tidak ke sini sendirian semasa awak di Melaka. Terasa kekok pula sekiranya saya ke sini tanpa ditemani awak, Amin. Kita berdua sudah menjadi pengunjung setia ke sini. Yang hairannya tempat ini tetap seperti dahulu. Jarang kedapatan orang ke sini. Mungkin orang di sekitar sini menganggapnya suatu kawasan biasa. Justeru itu mereka tidak hairan. Mungkin sekali-sekala dikunjungi oleh pemancing ikan yang ingin mencuba nasib di kolam ini,” jelas Khairul berwajah ceria.

“Apa yang dapat kalau memancing di sini? Dengan air yang jerneh ternampak bayang, ikan pun takut dengan bayang-bayang kita,” tingkah Amin pula tertawa kecil.

“Eh, Amin. Bagaimana tempat baru di Melaka? Seronok?" Soal Khairul masih tersenyum.

“Pada mulanya saya rasa kekok juga. Maklumlah kali pertama meninggalkan keluarga dan kampung. Tetapi setelah beberapa bulan dan sesi kuliah bermula, saya sudah dapat membiasakan diri,” jawab Amin.

“Oh ya, Amin. Saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih di atas tunjuk ajar subjek matematik ketika kita ingin menghadapi peperiksaan SPM dahulu. Kini, alhamdulillah, saya cukup seronok dengan matematik dan hilang sudah segala kesukaran bagi menjawab banyak masalah matematik. Saya kira, silibus matematik untuk STPM bersamaan dengan kursus Matrikulasi, bukan?”

“Memang sama, malah hampir semua buku teks dan rujukan matematik menggunakan buku yang sama seperti mana untuk pelajar-pelajar STPM. Tadi awak kata mahu kemukakan satu pertanyaan kepada saya mengenai Internet. Apa dia?”

“Okey begini. Mengikut pendapat media dan yang berlegar di kalangan pengguna Internet, dua ciri bahaya Internet yang paling utama ialah bahan-bahan lucah dan isu keselamatan. Kedua-dua isu ini dicanang sedemikian rupa sehinggakan ianya menjadi halangan utama kepada mana-mana pihak yang ingin menceburi perniagaan barasaskan Internet atau yang menggunakan kemudahan Internet sebagai saluran pemasaran dan jualan utama, dan seterusnya menceburi sepenuhnya konsep e-dagang.

“Saya keliru dalam isu ini kerana dalam masa yang sama pihak kerajaan mengiginkan supaya teknologi Internet diguna pakai secara menyeluruh,” Khairul melontar satu persoalan yang memang hangat sedang diperkatakan sekarang ini.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa medium Internet sekarang ini jauh lebih selamat dari urusan fizikal yang kita laksanakan seharian. Juga memang benar ianya tertakluk kepada beberapa langkah keselamatan yang mesti kita ambil dan jangan kita menjadi terlalu naïf dan bodoh. Sedangkan dalam masa yang sama, kita tidak menyedari bahawa bahan-bahan lucah yang berupa CD, VCD dan majalah serta buku lebih banyak menyediakan kandungan yang lebih menarik kepada pencarinya!” jelas Amin bersemangat.

“Setahu saya, memang wujud laman web yang selamat untuk dilayari oleh kanak-kanak dan menyediakan perlindungan sebaik mungkin dari bahan-bahan dan pihak yang tidak diperlukan. Secara umum, perlindungan ini jauh lebih berkesan daripada apa yang disediakan dalam surat khabar, pita audio dan video, radio, dan televisyen. Bukankah begitu, Amin?” Khairul melontarkan pesoalan.

“Memang benar, Khairul. Bagi isu keselamatan urusniaga pula, memang dewasa ini urusan dalam Internet lebih selamat dengan adanya pelbagai perisian dan kemudahan ciri keselamatan yang disediakan oleh laman-laman web terbabit. Sedarkah kita bahawa aktiviti pemalsuan dan kegiatan jahat dengan menggunakan kad kredit dalam Internet lebih selamat jika dibandingkan dengan pemalsuan wang kertas dan cek dalam dunia nyata?”

“Bagaimana?” soal Khairul ingin tahu lebih lanjut.

“Bagi kebanyakan orang, pembelian melalui telefon atau Internet dengan memberikan nombor kad kredit kepada kakitangan yang bertugas adalah berisiko tinggi dan sangat tidak selamat. Kenapa? Kerana mereka telah diberitahu sedemikian rupa.

“Tetapi orang yang sama membeli minyak, makanan, dan barangan lain dari kedai atau pasar raya dan memberikan kad-kad plastik untuk dimasukkan ke dalam mesin pembaca kad, yang mana salinan dibuat kepada pekedai, meminta tandatangan tuan punya dan menyimpan slip kad tersebut tanpa ragu-ragu. Tidakkah kita terfikir bahawa cara ini juga memungkinkan kad kita boleh disalah gunakan?” jelas Amin merungkai sedikit sebanyak permasalahan berkaitan.

“Jangan lupa mengenai aktiviti pengeluarkan tunai melalui mesin ATM, di mana ada orang berdiri berdekatan di belakang kita dapat memerhati dan membaca nombor PIN yang kita masukkan. Pastinya semua itu menjadi elemen penting untuk proses kecurian. Mengapa kita selalu menyalahkan Internet bila sahaja bercerita mengenai isu keselamatan urus niaga, padahal dalam masa yang sama ciri keselamatan yang lain tidak diendahkan.

“Kebanyakan kegagalan keselamatan boleh dikesan balik melalui kesilapan, rasuah dan korupsi manusia. Memang benar bahawa kecurian elektronik meningkat, tetapi ianya juga benar berlakunya kecurian keseluruhan mesin, seperti rompakan mesin ATM, rompakan semasa wang dipindahkan, pencabulan pejabat, rekod dan surat kertas.

“Jadi aspek bagaimana bahawa dunia Internet berbeza? Boleh dikatakan dari sudut skala dan keadaan yang tidak dapat dilihat. E-kerja sekarang ini mendominasi dunia membangun, dan jenayah secara umumnya ikut serta membangun. Justeru itu, kita sepatutnya mengambil langkah penuh berhemah, bukannya ditakuti dengan cerita-cerita pihak yang kurang berpengetahuan.

“Siapa sanggup membiarkan pintu rumah terbuka tanpa dikunci bila kita keluar? Ini juga benar bahawa kita tidak boleh membiarkan komputer kita terbuka kepada serangan atau kecurian melalui kelalaian kita tanpa menggunakan ciri keselamatan capaian yang sepatutnya,” panjang lebar Amin memberikan penjelasan.

“Oh ya! Terlupa pula. Apa sebab awak bertanya maklumat berkaitan isu keselamatan Internet ini. Awak mahu menulis artikelkah” soal Amin.

“Hahaha. Awak seperti dapat mencium apa sebenarnya kemahuan saya. Memang saya mencari bahan yang bersesuaian untuk menulis artikel bagi dihantar kepada satu majalah. Pihak editor sudah bersetuju menerima artikel saya nanti,” tersenyum Khairul dengan pertanyaan dari Amin itu.

“Oh! Patutlah awak bersungguh benar ingin mengetahui akan hal ini. Bagus! Ini suatu perkembangan yang baik,” jawab Amin memuji akan hasrat Khairul tersebut.

Amin meneruskan kata-katanya, “Khairul, awak mesti rajin menyelongkar berkenaan ciri-ciri atau teknologi terkini berkaitan Internet. Dalam masa yang sama jangan lupa mengupas dari sudut sosial. Terlalu banyak maklumat yang ada di berbilion laman web. Yang amat perlu ialah bagaimana kita mencari domain maklumat yang diperlukan.”

“Jikalau kita tidak pandai memilih, nanti kelemasan dalam lautan maklumat yang tidak terjangkau dalamnnya itu,” tingkah Khairul pula.

“Memang betul, Khairul,” akur Amin bersetuju.

Di tengah kolam, teratai kecil termanggu-manggu kebingungan mencerna isi perbincangan kedua sahabat baik itu. “Apa yang mereka bicangkan, Teratai Besar?” soal Teratai Kecil.

“Entahlah, wahai si Kecil. Saya pun kurang mengerti.” Teratai Besar tertawa besar sebaik sahaja memberikan jawapan kepada pertanyaan si Kecil.

Tatkala matahari sudah terpacak di atas kepala, Khairul dan Amin mengayuh basikal pulang ke rumah masing-masing. Si Teratai Besar dan Kecil juga sedang makan dengan enaknya di bawah pancaran matahari yang mula menyinar megah. Sinaran matahari memberi tenaga dan makanan kepada mereka berdua.

-- Akan bersambung, insya-Allah.

Sebelumnya: Semurni Suara Alam (1)
Semurni Suara Alam (2)
Semurni Suara Alam (3)
Semurni Suara Alam (4)
Semurni Suara Alam (5)
Semurni Suara Alam (6)

** Hakcipta Terpelihara 2012 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Jun 21, 2011

Semurni Suara Alam (6)

BAB 5

Seminggu selepas itu, datang seorang teruna yang raut wajahnya keruh. Dia melangkah longlai menuju ke tepi kolam yang redup dilindungi jajaran pepohonan di sekitarnya.

Lalu si Teratai Besar berbisik, “Wahai Teratai Kecil, ada orang baru datang ke tempat kita ini. Lemah longlai sahaja tampaknya. Apakah tujuan dia mampir ke sini? Agaknya pemuda ini lari dari kesibukan dunia yang serba mencengkam? Mungkin dia datang ke sini justeru mahu melepaskan lelah dan sesak yang bersawang di dada,” Teratai Besar mengajukan banyak andaian.

“Sahabatku Teratai Besar. Bila berehat di sini, insyaAllah kekusutan fikirannya akan terurai,” Teratai Kecil mencelah bersikap positif.

Pemuda tersebut duduk termanggu di hadapan kolam yang terbentang sehingga hampir ke permulaan hutan di hujung sana. Di kejauhan yang ternampak oleh mata, terdapat beberapa juntaian pepohonan rendang mencecah gigi air. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Lembut dan menyamankan. Matahari baru tinggi segalah di langit maya.

Mata pemuda itu tertumpu ke tengah kolam. “Oh Tuhan! Betapa nyamannya suasana di sini. Udara sejuk. Hatiku tenang bagaikan setenang air jerneh di kolam besar ini,” pemuda itu meluahkan kata-katanya sendirian.

Terpandang bunga teratai. “Wah! Cantiknya bunga teratai itu. Satu kecil dan satu besar. Yang besar itu berkembang lebar. Kelopaknya putih kehijauan lembut. Wahai bunga teratai! Sungguh anggun tampakmu. Tidak seperti bunga-bunga lain yang ada di persekitaran ini. Aku terpesona dengan keanggunanmu yang dicipta Tuhan,” puji pemuda itu bersungguh-sungguh.

Pemuda itu berkata lagi, “Kamu ibarat seperti seorang gadis tercantik di dunia. Kalaulah kamu seorang gadis, pastinya ramai jejaka yang terpikat. Segala puji untuk Tuhan yang menciptakan kamu seindah ini. Semoga kamu tidak diganggu oleh sesiapa.”

“Hei, si kecil! Saya berasa sungguh seronok. Sesiapa yang datang ke sini selalu memuji kita berdua. Betuah sungguh kita ini, ya?” Teratai Besar terharu dengan pujian si pemuda itu.

“Wahai pemuda! Terima kasih kerana memuji kami berdua. Kami bersyukur kepada Tuhan dengan ciptaan yang sempurna ini. Walaupun banyak pujian sekian kalinya, saya akan tetap mengembalikan segalanya ke hadrat Tuhan yang Maha Pencipta. Terima kasih, ya Tuhan,” puji Teratai Besar seterusnya.

Pemuda itu bernama Ahmad Shah. Dia bertugas di sebuah pejabat kerajaan di Kuala Lumpur. Sudah hampir tiga jam dia memandu ke arah timur. Dia ternampak satu laluan di perjalanan ke arah Kuantan menggunakan jalan lama sebaik sahaja membelok ke arah susur keluar ke Bandar Pusat Jengka, Pahang. Lalu di situlah dia cuba mencari sedikit kerehatan. Di tepian sebuah kolam di tepi hutan kecil.

Di dadanya sarat keributan. Keributan di tempat kerjanya. Setibanya di kolam itu, sedikit sebanyak fikirannya dapat ditenangkan. Hilang segala hiruk pikuk kota raya yang membingit. Kebisingan yang menyesak segala rongga. Tibanya ke tepian kolam itu buat pertama kalinya. Pada mulanya dia tidak menyangka bahawa kawasan perkampungan terpencil itu ada sebuah lokasi perehatan yang nyaman dan teduh.

Ahmad Shah berada di situ sejak pukul 10.00 pagi lagi. Sebaik sahaja masuk waktu sembahyang Zuhur, dia mengambil wuduk di gigi air kolam yang jerneh itu. Di saat itu, dia menyorot akan teratai di tengah kolam. “Alhamdulillah,” katanya perlahan kepada dirinya sendiri.

Usai bersolat beralaskan sejadah yang dihampar di atas sekeping tikar getah yang sering dibawanya bersama-sama, dia bermunajat. Di persekitaran hening dan teduh itu, dia bercakap-cakap dengan Tuhan yang Esa. Saksinya ialah para kehidupan di kolam itu, terutamanya si Teratai Besar dan Teratai Kecil.

“Ya Allah, letakkan dunia di tanganku, bukan di hatiku. Ampunkan dosa-dosa aku ya Rabb. HambaMu ini tidak akan berdaya menempuh badai tanpa bantuan dan cintaMu.

“Aku bukanlah insan kamil. Juga amat sedikit amalku untuk syurgaMu. Lantaran malu sungguh aku mengharap indahnya syurga abadi. Mendambakan syurgaMu, sedang ibadatku jauh terpencil. Ya Allah, namun memang itu sifatMu, wahai Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang, maha segala. RedaMu pada hamba tiada bertepi tiada berakhir. RahmatMu alam cakerawala tidak sanggup menampungnya. Itulah diriMu ya Tuhanku yang Maha Mendengar.

“Dengan rahmat Tuhan aku berharap. Dengan cinta kasih Rabbi aku memohon. Tidak selayaknya aku ke syurgaMu. Namun aku amat takut akan siksaMu yang amat pedih. Ampunkan aku ya Allah, hambaMu bermunajat. Sesungguhnya hanya Engkaulah Pengampun semua dosa. RedaMu tetap kucari, tetap kuharap, kudamba.

“KeranaMu Tuhan, aku kehilangan teman. KeranaMu Tuhan, aku keseorangan. Pasrah hatiku menerima takdirMu. Kerana Engkaulah Pengatur segala. Kudambakan diri kepadaMu Tuhan. Redalah aku dalam dakapanMu Tuhan. Terimalah taubatku Tuhan. Tuhan, Engkau Maha Pengasih, RahmatMu Amat Luas. Dalam gundah kusujud padaMu. Dalam resah aku berdoa padaMu. Dalam syahdu aku bermunajat padaMu. Ampunlah dosaku ya Tuhan. Amin ya Allah ya Rabbal ‘Alamin.”

Kedengaran esakan di tengah kolam yang bening. Ya, si Teratai Kecil dan Teratai Besar menangis mendengar rintihan si pemuda itu. Sungguh sayu dan syahdu. Setidak-tidaknya mereka tahu bahawa keheningan persekitaran yang sudah didiami oleh mereka sejak sekian lama menjadi lokasi seorang manusia bermunajat kepada Tuhan yang Maha Mencipta. Setinggi-tinggi kesyukuran mereka berdua, si Teratai Kecil dan Besar, dilafazkan ke langit nun jauh di sana.

-- Akan bersambung, insya-Allah.

Sebelumnya: Semurni Suara Alam (1)
Semurni Suara Alam (2)

Semurni Suara Alam (3)

Semurni Suara Alam (4)
Semurni Suara Alam (5)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

** Saya pengusaha bisnes katering Lusiana Catering. Buku saya berjudul Buat Duit dengan Katering diterbitkan oleh PTS Professional Sdn. Bhd. berharga RM14 sahaja.

Jun 11, 2011

Semurni Suara Alam (5)

BAB 5

Lantaran kesibukan bagi persediaan peperikasaan SPM, Amin dan Khairul tiada masa lagi bersantai di tepi kolam yang dihuni dua kuntum teratai yang tetap mekar dan setia menunggu di tengah kolam. Justeru sudah agak lama mereka tidak mengunjungi tepian kolam itu, maka si Teratai Besar dan Teratai Kecil berbual-bual akan perihal mereka.

“Hai si Kecil, adakah sudah tiada orang yang mahu menziarahi kita lagi? Amin dan Khairul juga sudah lama tidak nampak batang hidungnya. Mungkin sibuk dengan persediaan menghadapi peperiksaan penting itu,” keluh Teratai Besar.

“Tinggallah kita ini sunyi di kolam. Tiada orang yang datang memuja dan bercakap-cakap mengenai kita lagi,” sambung Teratai Besar sambil matanya memandang di sekeliling kolam yang luas yang manjadi penyeri pinggir hutan.

“Alahai, si Besar ini! Bukankah kita memang sentiasa kesunyian? Kehidupan kita memang di sini, sepi dan hening. Sekali-sekala kalau ada orang mengunjungi kolam ini, itu suatu bonus untuk kita,” jelas Teratai Kecil agak kedewasaan tingkahnya.

“Saya bukan apa, Teratai Kecil, saya suka mendengar celoteh dan isi perbualan mereka berdua. Banyak ilmu yang dapat dikongsi. Kita sudahlah diciptakan sebagai bunga teratai, mahu juga mengetahui ilmu-ilmu terkini mengenai dunia kemanusiaan,” tingkah Teratai Besar memahami keadaan semula jadi bunga teratai diciptakan Tuhan.

“Teratai Besar! Teratai Besar! Cuba awak lihat kayuhan basikal di hadapan sana. Itu bukankah sahabat karib Amin dan Khairul?”

“Ya. Itu memang mereka. Alhamdulillah. Dapat juga kesunyian di sini sirna dengan kehadiran mereka.”

Amin dan Khairul memakir basikal mereka di lokasi biasa, di bawah pohon rendang. Mereka melepaskan lelah sebentar sambil menghirup udara bersih dan nyaman di situ. Amin menarik nafas perlahan-lahan dan dalam. Khairul juga berbuat demikian. Mereka mengucapkan syukur ke hadrat Allah. Alhmdulillah!

“Saya risaulah, Amin. Takut sekiranya keputusan peperiksaan SPM nanti tidak bagus. Lagi saya bimbang andai gagal,” Khairul memulakan bicara.

“Ya Allah! Apa yang awak risaukan sangat. Bukankah awak katakan pada saya dahulu bahawa awak dapat menjawab semua subjek dengan baik?”

“Memanglah saya pernah katakan demikian. Tetapi saya risau juga.”

“Awak jangan bimbang, Khairul. Kita masih ada masa kira-kira dua bulan lagi sebelum keputusan diumumkan. Sekarang ini apa yang boleh kita lakukan ialah berdoa dan bertawakal kepada Tuhan. Ingat doa dan mengharap dari Tuhan amat disukaiNya. Tuhan amat suka sekiranya hamba-hambaNya sentiasa mengharap bantuan dan kasihan belas dariNya,” jelas Amin memberi motivasi kepada semangat sahabatnya yang seakan-akan luntur.

Tiba-tiba suasana hening di dalam kolam diganggu oleh deburan dan kocakan air. Seekor ikan besar melompat-lompat di antara bunga-bunga teratai. Percikan air akibat ulah ikan besar itu mengenai kelopak dan bahagian lain bunga teratai. Kedua-dua Teratai Besar dan Kecil terkejut dari kelekaan mereka mendengar perbualan Khairul dan Amin.

“Siapa pula yang suka membuat kacau di sini? Menganggu orang mahu berehat sahaja,” keluh Teratai Kecil agak jengkel.

“Alah, si Kecil. Itu si ikan Kaloi punya angkara,” jawab Teratai Besar tersenyum riang sambil cuba mengibas-gibas kelopaknya dari air percikan ikan kaloi tadi.

“Assalamualaikum, si cantik manis berdua. Saya datang ini ingin mengejutkan kalian berdua yang sedang kesepian tadi. Maaf agak terlambat. Saya pun ingin berbual-bual juga bersama awak,” kata ikan Kaloi bergurau-senda.

“Apa yang sedang awak fikirkan? Oh ya! Agaknya awak memikirkan manusia bernama Amin dan Khairul itu, bukan? Bukankah dia orang sedang memerhatikan awak berdia sejak dari tadi? Sekarang ini mungkin mereka geram pula dengan ulah saya,” senyuman ikan Kaloi besar itu semakin melebar mengusik Teratai Besar dan Kecil.

Seterusnya si ikan Kaloi bertanya, “Ke mana mereka pergi kerana sudah lama mereka tidak ke mari?”

“Amin dan Khairul baru selesai menduduki peperiksaan SPM. Mereka lama tidak datang ke sini kerana mengulangkaji pelajaran membuat persediaan. Eh! Bagaimana awak tahu akan ketidakdatangan sahabat berdua itu, Kaloi?” jawab Teratai Besar sambil bertanya kepada ikan Kaloi yang berenang-renang di sekeliling Teratai Besar dan Kecil.

“Saya sentiasa ada di dalam kolam ini. Bukankah kolam ini besar dan dalam. Jadi saya sentiasa berlegar-legar ke sana dan ke sini. Segala peristiwa di dalam dan di sekeliling kolam ini saya tahu,” kata ikan Kaloi tatkala dia melompat lagi. Kali ini tinggi dari sebelumnya mengakibatkan alunan air sampai ke tepi di mana Amin dan Khairul sedang leka memerhati ulah ikan itu.

“Kaloi, awak kemari dekat saya sekejap,” ajak Teratai Kecil menggamit Kaloi. Ikan Kaloi pun menuruti gamitan Teratai Kecil sambil berenang-renang di sekitar akar bunga teratai tersebut.

“Gelilah, Kaloi! Jangan awak bermain-main dengan akar saya,” gelak Teratai Kecil sambil mengoyang-goyang badannya.

“Apa awak katakan tadi, Kaloi? Awak mahu menghiburkan kami berdua? Apa caranya?” soal si Teratai Kecil.

“Kalau awak membuat kacau bolehlah, Kaloi. Itu tadi, sedang kami asyik mendengar celoteh Amin dan Khairul, awak datang mengacau sahaja,” Teratai Besar mencelah.

“Hahahaha. Kalau saya tidak berbuat demikian, pastinya suasana kolam ini tidak meriah,” kata ikan Kaloi menyakat lagi.

Si ikan Kaloi terus berenang-renang di dalam air yang jernih itu sambil mengusik dua kuntum teratai yang tetap cantik mengembangkan kelopaknya yang putih kehijauan.

“Sungguh cantik si bunga teratai. Wajahmu semurni alam maya ciptaan Tuhan,” si ikan Kaloi bernyanyi riang. Tersenyum simpul kedua-dua bunga teratai.

Lama juga ikan Kaloi di situ. “Wahai bunga teratai pujaan hatiku! Sudah lama saya di sini. Biarlah saya mengundur diri dahulu. Maafkan saya sekiranya saya menganggu awak berdua.” Sebaik berkata begitu, ikan Kaloi membuat lompatan terakhir lalu terus menyelam ke dasar kolam. Sekali lagi percikan air menyirami badan Teratai Besar dan Kecil.

“Nakal betul si ikan Kaloi besar itu. Suka mengusik kita berdua,” kata Teratai Kecil.

Amin dan Khairul pun turut beredar dari situ setelah asyik memerhati ulah si ikan Kaloi tadi. Mereka turut terhibur.

--- Akan bersambung.

Sebelumnya: Semurni Suara Alam (1)
Semurni Suara Alam (2)

Semurni Suara Alam (3)

Semurni Suara Alam (4)

P/s: Saya bersedia menerima kritikan, insya-Allah :-)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Jun 1, 2011

Semurni Suara Alam (4)

Pada hari Ahad, selepas seminggu berlalu, kedua sahabat karib Amin dan Khairul berkunjung lagi ke tepian kolam yang hening dan nyaman itu. Mereka duduk di dua bongkah batu berdekatan. Basikal sudah diparkir di bawah sebatang pokok rendang di sebelah kiri kolam.

“Khairul, apa yang awak cakapkan tadi semasa kita berlumba kayuhan basikal ke sini?” soal Amin sebaik sahaja melabuhkan punggung di bongkah batu.

“Saya kagum dengan kecekapan awak menyelesaikan masalah matematik. Awak hafal betul rumus-rumus matematik berkaitan. Mujur saya ada seorang kawan seperti awak. Tidaklah saya terkial-kial untuk menyelesaikannya sendirian. Terima kasih, sahabat,” ujar Khairul memandang Amin di sebelahnya. Nafas mereka masih lagi laju kerana tadi mereka berlumba kayuhan basikal.

Amin tersenyum sahaja dengan pujian Khairul itu. Baginya ilmu itu anugerah Allah. Cumanya kena berusaha lebih sedikit untuk memahirkan diri.

“Semenjak menjadi pelajar sejak sekolah rendah lagi, saya memang sangat meminati dan dihantui oleh kuasa matematik dan pemodelan fizikal. Malah salah satu bacaan kegemaran saya ialah novel yang berkaitan dengan matematik yang memang ada dalam pasaran jika kita rajin dan tahu untuk mencarinya. Subjek matematik adalah subjek yang menjadi kegemaran saya,” Amin berbicara sambil matanya tajam merenung dua kuntum teratai.

“Sedar atau tidak, Khairul, matematik adalah model utama yang mengerakkan dunia komputer dan elektronik sejak mula-mula sejarah penghasilan komputer dan bahasa pengaturcaraan. Malah matematik juga turut memainkan peranan penting dalam mencipta sejarah dunia. Misalnya ketika Perang Dunia Ke-2 yang menyaksikan kod atau mesin cerdas Enigma pihak Jerman berjaya dipecahkan melalui formula matematik. Dengan kejayaan memecah masuk ke dalam sistem Enigma, yang merupakan sistem meliteri utama yang menjadi senjata canggih pihak Jerman, pihak bersekutu yang diketuai oleh Amerika Syarikat berjaya mengalahkan Jerman dalam perang besar itu.

“Keghairahan saya disemarakkan oleh suatu fakta bahawa kebanyakan masalah yang dikemukakan dapat diselesaikan oleh satu teknik atau yang lain, walaupun ada kekangan dalam beberapa anggapan umum dan pemudahan situasi dunia nyata. Kuasa proses matematik, latihan, pemikiran logik, dan kebolehan yang digunakan oleh pakar matematik sukar untuk difahami. Ianya jelas berbeza jika dibandingkan dengan lain-lain bidang sains dan kemanusiaan yang kurang proses hitungan. Saya sukakan cabaran, Khairul,” panjang cerita Amin untuk makluman sahabatnya.

“Wah! Awak tahu semua perkara itu, Amin. Di mana awak mendapat maklumat berkaitan?” soal Khairul kagum.

“Melalui pembacaan buku dan pencarian maklumat di Internet. Kita remaja jangan berfikrian sempit dan mengehadkan pembacaan kita hanya terhadap novel. Lagi-lagi novel cinta leleh, cinta air mata yang hanya membuai-buai perasaan,” luah Amin tanpa berselindung. Kedua-dua kuntum teratai di tengah kolam hanya mendiamkan diri. Teliti mereka mendengar percakapan Amin dan Khairul.

“Dari sebuah buku berkenaan sains, saya dapat maklumat bahawa alam semesta yang kita pinjam ini tidak dapat dijangkakan, walaupun semua penghuni termasuk planet-planet dan cakerawala lain berjalan mengikut hukum Allah yang Esa. Dalam ilmu matematik boleh dikatakan bahawa alam ini secara prinsipnya adalah tidak linear. Banyak peristiwa yang terjadi; seperti bencana alam puting beliung, tsunami, dan gempa bumi; diketahui manusia hanya dengan beberapa teori yang menghampiri realiti atau mungkin juga dengan gambaran yang salah. Ertinya teori atau formula yang telah digunakan selalunya tidak tepat dengan kejadian sebenar.

“Kalau diamati, mungkin agak terkejut kerana kebanyakan kejayaan sains yang telah dicapai adalah melalui banyaknya model dan kefahaman realiti yang kerap kasar, rapuh atau tersasar. Cuba kita fikirkan kaedah ilmu matematik diajar. Memang kita sangat bergantung kepada matematik dalam meneruskan tamadun, namun nampak ianya paradoksikal kerana kurangnya sanjungan umum atau menjadi popular. Bagi kebanyakan orang ia selalunya mengakibatkan rasa kurang senang, takut, dan menjadi ciri mistik. Mungkin ini kerana proses mendapatkan kemahiran matematik secara umumnya berlanjutan dan menyakitkan.

“Memang subjek matematik tidak akan diminati sekiranya sejak awal lagi seseorang menganggap bahawa matematik adalah susah dan menjadi igauan buruk apabila menerima masalah yang perlu diselesaikan. Sebenarnya melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran yang baik, ramai orang boleh sedikit sebanyak menguasai ilmu matematik. Kalau bukan pakar sekali pun, paling tidak untuk urusan seharian.

“Bila orang-orang zaman lampau buat pertama kalinya mengikat batu tajam ke batang kayu bagi menghasilkan tombak atau lembing, mereka tidak mencari sasaran dan kemudian menggunakan formula matematik untuk tenaga atau trajektori. Sebaliknya mereka mendapat kemahiran itu dengan kaedah cubaan dan kesilapan. Seterusnya evolusi ini menjadi titik tolak kepada kemajuan tamadun dengan berkembangnya otak atau minda merentasi zaman,” jelas Amin panjang lebar.

Khairul memandang Amin tidak berkelip. Tepukan kedua-dua telapak tangan Khairul memecah kesunyian di sekitar kolam. Si Teratai Besar dan Kecil meliuk-lintukkan kelopak mereka turut meraikan curahan ilmu seorang insan bernama Amin.

“Awak ingin tahu lagi topik berkaitan teori dan praktikal matematik ini, Khairul?” soal Amin.

“Okey, teruskan. Banyak ilmu yang awak curahkan hari ini. Teruskan!”

“Permulaan sebenar penggunaan matematik secara meluas ialah dengan penemuan Newton. Sehingga ke hari ini kita masih belajar di sekolah formula ke arah melaksanakan suatu tindakan. Lagi teruk, kita memisahkan mereka dari realiti fizikal melalui komputer yang menghasilkan nombor-nombor dengan ketepatan sangat terperinci. Justeru komputer menjadi penghalang kepada ketidakpastian proses fizikal.

“Melakukan ujian sebenar dan membuat pemerhatian sebelum pemodelan dan pengukuran hasil cubaan matematik, berbanding dengan jangkaan, adalah tatacara yang amat berkuasa. Tetapi menggabungkan kaedah ini dengan pemodelan secara langsung atas skrin komputer akan mempertingkatkan tahap kejelasan.

“Contoh mudah ialah tatacara suatu alat trajektori. Menyediakan trajektori adalah langkah pertama. Memperkenalkan pengaruh perolakan udara dan variasi tindakan lontaran menambahkan kefahaman dan wawasan kepada masalah kompleks yang terlibat,” Amin berkata sambil tersenyum memandang Khairul yang sedikit terkebil-kebil.

“Hahaha. Awak nampak keliru, Khairul. Tidak mengapa. Paling tidak pun awak sudah mahir dari latihan yang kita sama-sama lakukan beberapa hari lalu,” Amin membuat kesimpulan.

Kata Amin seterusnya, “Cuba awak bertanya kepada teratai besar dan kecil itu. Mereka juga asyik mendengar celoteh saya mengenai sains dan matematik.”

“Eh! Mana boleh bunga teratai bercakap? Awak ini ada-ada sahaja,” jawab Khairul ketawa riang.

“Siapa kata bunga teratai tidak boleh berkomunikasi? Mungkin kita sahaja yang tidak mendengarnya,” komen Amin. Khairul mengangguk perlahan-lahan tanda bersetuju.

“Terima kasih atas maklumat hari ini, sahabat. Awak memang rajin membaca dan pandai pula menyampaikannya semula. Okeylah, jom kita balik. Matahari pun semakin tinggi. Perut pun mula berlagu,” kata Khairul seraya memulakan langkah ke arah basikal yang diparkir di bawah pohon rendang.

-- Akan bersambung, insya-Allah.

Sebelumnya: Semurni Suara Alam (1)
Semurni Suara Alam (2)

Semurni Suara Alam (3)

P/s: Sudikan komen dan tinggalkan jejak :-)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

May 14, 2011

Semurni Suara Alam (3)

Sudah lima hari Khairul dan Amin tidak ke tepian kolam itu. Bunga Teratai Besar dan Teratai Kecil saling berpandangan kerana kelibat sahabat karib itu tidak kelihatan.

“Hai bunga Teratai Besar, kenapa Khairul dan Amin tiada hari ini?” soal Teratai Kecil kerinduan.


“Entahlah, sahabat tersayang. Agaknya mereka berdua sibuk dengan pelajaran. Bukankah mereka akan menghadapi peperikasan SPM tahun ini? Biarkan mereka dahulu. Elok juga mereka ulangkaji subjek-subjek penting supaya nanti tidak gagal,” Teratai Besar tersenyum melihat kegundahan di wajah Teratai Kecil.


“Kita bernasib baik kerana kita tidak perlu lulus sebarang peperiksaan untuk meneruskan kehidupan kita.
Hidup kita hanya di kolam sepi ini, berada di atas permukaan air. Sungguh kita diciptakan Tuhan sebegini rupa,” Teratai Besar meneruskan kata-kata sambil tertawa kecil keriangan dan bersyukur.

Tiba-tiba mereka ternampak kelibat si pengail yang pernah datang pada minggu yang terdahulu. Dia mencampakkan tali kail ke dalam kolam tersebut, sambil melihat dua kuntum bunga teratai yang berkembang mekar, indah di tengah kolam.


“Hai teratai! Ada lagi kamu di situ. Dapat juga aku memandangmu sepanjang aku berada di sini. Apa khabar kamu berdua? Rupamu yang mempersona itu dapat menghilangkan resah dan kebosanan hatiku ini.” Pemancing itu menghadiahkan sekuntum senyuman kepada dua kuntum teratai idaman sebaik habis kata-katanya.


“Hei, si kecil! Apa maksud kata-kata orang itu? Mengapa hatinya resah dan bosan?” soal Teratai Kecil apabila mendengar kata-kata si pemancing tersebut.


“Begitulah kehidupan manusia, Teratai Kecil. Itu lumrah dunia. Perasaan resah gelisah, bimbang, bosan dan terjadinya perselisihan sesama mereka. Manusia menjalani kehidupan dengan pahala dan dosanya. Sekiranya mereka pandai membawa diri, baiklah kehidupan mereka. Namun jika sebaliknya, maka mereka akan hanyut mengikut arus yang bakal memusnahkan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat,” jelas Teratai Besar yang mempunyai banyak pengalaman hidup.


Teratai Kecil tekun mendengarnya. Teratai Besar meneruskan kata-katanya, “Kehidupan di dunia ada sempadan tersendiri. Setiap onar kejahatan bakal mengundang murka Tuhan.”


-------------------------------------------------------------------


“Alahai, jemu pula rasanya memancing di kolam ini. Sedari tadi pancing aku tidak dimakan ikan. Umpan yang aku gunakan tidak disambar seekor ikan pun,” keluh si pemancing kebosanan.


“Agaknya di kolam ini tiada ikan. Tempatnya cantik, tetapi tiada ikankah? Mustahil tidak terdapat ikan yang menjadi penghuni di dalam air yang jerneh dan tenang ini. Bunga teratai banyak pula,” tambah si pemancing dengan raut muka kecewa. Berkerut dahinya memikirkan akan fenomena pancingnya tidak dimakan ikan. Sudah dia kali dia ke sini.


“Wahai teratai yang cantik jelita, di dalam kolam ini tiada ikankah? Agaknya di sini tempat kamu mandi dan bercanda. Sebab itu tiada ikan,” tanya si pemancing memandang tajam ke arah dua kuntum teratai yang tercatuk diam. Namun kelopaknya sedikit beralun-alun dibuai angin semilir yang bertiup dari arah hutan berdekatan. Kesejukan menyelubungi suasana. Nyaman. Tetapi hati dan sanubari si pemacing itu kurang nyaman. Wajahnya kelihatan terus diamuk resah.


Kedua-dua bunga teratai ketawa perlahan-lahan.
“Manalah sang ikan mahu makan umpan pancing kamu. Air di sini jerneh. Justeru itu bayang-bayang kamu ternampak oleh sang ikan. Dia orang ketakutan, seolah-olah ternampak gergasi,” kata Teratai Besar sambil tertawa.

“Ikan di sini tidak makan umpan cacing. Dia orang memilih umpan,” tambah si Teratai Kecil dengan nada bergurau sambil matanya memandang si pemancing. “Pergilah kamu ke tempat lain. Mungkin ada rezeki kamu nanti.”

Tidak lama kemudian, si pemancing pun bangun dan berlalu dari situ, seolah-olah mendengar perbualan dua kuntum teratai tadi.

-- Akan bersambung.

Sebelumnya:
Semurni Suara Alam (1)
Semurni Suara Alam (2)

*** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Apr 26, 2011

Semurni Suara Alam (2)

Selang beberapa hari kemudian, datanglah dua orang sahabat lelaki. Berehatlah mereka berdua di atas seketul batu yang saling berhadapan. Sedang berbual santai, terpandanglah mereka akan bunga teratai di tengah-tengah kolam.

“Amboi! Cantiknya bunga teratai itu, Amin. Kelopaknya kehijauan jerneh. Lembut dan indah dipandang,” kata Khairul sebaik melihat bunga teratai yang mekar kembang.


“Betullah, Khairul. Memang cantik. Tenang saya berada di sini. Sunyi dan dihiasi bunga-bunga teratai. Elok kita selalu ke sini. Boleh berbincang dan saling bermuhasabah,” Amin bersetuju dengan pandangan sahabatnya Khairul sambil mencadangkan supaya lokasi ini dikunjungi lagi.


“Kita jadikan tepian kolam ini sebagai lokasi rehat kita. Saya sungguh kagum melihat teratai-teratai itu terutamanya dua kuntum di tengah kolam,” sambung Khairul.


“Baiklah, Khairul. Kita datang selalu ke tempat ini. Lagi pun tempat ini agak sunyi dan berjauhan dari laluan utama pejalan kaki. Saya kira hanya sesekali orang datang untuk memancing,” Amin memberi cadangan.


Amin berkata lagi, “Kita jangan memetiknya walaupun mungkin kita boleh berbuat demikian. Biarkan teratai kecil dan besar itu menjadi penyeri kolam dan persekitaran di sini. Biarkan mereka terus mekar. Mereka juga ingin hidup seperti mana manusia. Bunga teratai juga merupakan makhluk Tuhan yang tidak perlu dirosakkan.”


Lalu si Teratai Kecil dan Teratai Besar berbual-bual. “Hai si Kecil, bertuahlah kita kerana ada orang yang memuja kita. Kita patut bersyukur kepada Tuhan kerana dengan cintaNya kita dianugerahkan kecantikan sebagai bunga teratai. Sungguh besar rahmat yang Tuhan berikan. Kita hidup di atas permukaan air, senantiasa dibelai kesejukan dan berasa nyaman. Badan kita tidak menjadi kering lantaran kepanasan matahari. Kita sungguh beruntung dan bernasib baik kerana hidup di tengah kolam ini bertahun-tahun tanpa diganggu oleh manusia atau binatang,” Teratai Besar memulakan perbualan tanpa menghiraukan apa isi percakapan dua orang di tepian kolam itu lagi.


“Memang benar cakap awak, sahabat Teratai Besar. Kita sungguh beruntung dan amat bertuah. Kita sebagai teratai hidup aman damai di tengah kolam ini. Mari kita berdoa semoga Tuhan memberikan kita panjang umur, dan kita terus menjadi penunggu dan penyeri kolam yang berair jerneh ini. Kita dipuji dan dipuja oleh dua orang sahabat sejati,” kata Teratai Kecil sambil memicing pandangan ke arah Amin dan Khairul yang masih rancak berbual.


“Kita ibarat sang puteri kayangan.
Siapa memandang tentu jatuh hati dan terpikat akan keelokan rupa paras kita. Lihat sahaja kepada si pengail sebelum ini dan dua sahabat karib itu yang sudah tergoda dengan kecantikan kita berdua,” Teratai Besar berkata sambil tersenyum riang dan bangga.

“Hai si Besar! Jangan pula sampai lupa diri. Ingat akan kuasa Tuhan yang menciptakan kita berdua. Saya sangat berharap kita tidak menyombong diri dengan anugerah yang diberikan Tuhan ini,” jelas Teratai Kecil menjadi penasihat pula.


“Yalah, si Kecil. Saya bukannya berbangga diri.
Terima kasih atas nasihat dan ingatan itu.”

--------------------------------------------------------------------


“Khairul, peperiksaan SPM ada beberapa bulan lagi. Awak sudah buat persediaan? Soal Amin kepada temannya.


“Ya, saya sedang tekun mengulangkaji pelajaran. Saya memberikan penekanan khusus terhadap subjek matematik dan fizik. Oh ya! Saya mahu awak menunjuk ajar kedua-dua subjek itu malam nanti, boleh Amin?” soal Khairul sambil matanya beralih dari memerhati bunga teratai kepada Amin di sebelahnya.


“Ya insyaAllah, Khairul. Kita sudah lama juga berada di sini. Jom kita pulang sekarang. Takut ayah dan ibu kita kerisauan pula,” ajak Amin.


Mereka berdua pun meninggalkan tepian kolam yang redup tersebut dengan berbasikal perlahan-lahan.


“Selamat tinggal, wahai teratai yang cantik. Nanti kami berdua datang lagi ke sini,” laung Khairul sambil mengayuh pedal basikalnya.


--- Akan bersambung (2).

Sebelumnya:
Semurni Suara Alam (1)

*** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Mar 5, 2011

Semurni Suara Alam (1)

“Mengapa awak termenung, wahai Teratai Besar? Kenapa wajah awak berkerut, sahabat? Awak secantik ini, mengembang di kolam, tiada sesiapa datang memujamu,” usik Teratai Kecil kepada rakan di sebelahnya.

“Hai Teratai Kecil, apa yang kamu cakapkan ini. Saya tidak suka sekiranya ada orang memuja saya. Kalau ada orang berbuat demikian, habislah saya. Tamat riwayat hidup saya nanti,” jawab Teratai Besar.

Teratai Besar berkata lagi, “Kamu sukakah sekiranya ada orang yang memujamu, wahai Teratai Kecil?”

“Saya pun tidak mahu begitu. Sekiranya ada orang yang mengkhianati kita pasti layu tangkai dan kelopak kita yang cantik dan mekar berkembang ini. Kalau begitu jadinya, kita bakal berpisah. Saya pula akan keseorangan di kolam yang airnya tenang dan jerneh ini,” jelas Teratai Kecil.

Teratai Kecil meneruskan luahan hatinya, “Seandainya ada orang memuja awak, Teratai Besar, sudah tentunya dibawa awak dari sini. Tinggallah saya merana dan menghiba diri keseorangan. Saya akan layu dan mati tidak berteman. Lagi pun hanya awak sahaja teman tempat saya mencurahkan segala isi hati. Kita sejenis bunga yang hidup di air, kita tidak boleh hidup di darat. Jika ada orang yang memuja kita dan membawa dari sini, kita akan layu dan kekeringan. Mati beraganlah kita.”

Sebaik sahaja mendengar kata-kata Teratai Kecil itu, Teratai Besar menangis sehingga kuncup bunganya yang sedang kembang mekar tadi. Teratai Besar amat bersedih dan memahami setiap butir kata sahabat karibnya itu. Dalam masa yang sama dia amat takut sekiranya terjadi perpisahan antara mereka berdua. Mereka berdua mendiamkan diri sehingga malam menjelma.

Apabila malam tiba, bulan mengambang terang. Pada ketika inilah Teratai Besar pun mengembangkan semula kelopaknya. Dia memandang si Teratai Kecil dengan wajah sayu.

“Awak menangis, Teratai Besar? Mengapa lama awak sembunyikan kelopak awak yang cantik itu?” Teratai Kecil bertanya sebaik sahaja terpandang sorotan Teratai Besar ke arahnya.

“Saya berasa sedih lantaran kata-kata awak tadi, si Kecil. Ya Teratai Kecil. Memang kita berdua tidak boleh berpisah. Sekiranya salah satu dari kita tiada, maka habislah keceriaan kehidupan kita. Kita akan mati layu terkulai di tengah-tengah kolam ini,” jawab Teratai Besar masih berhiba hati walaupun dia mengembangkan kelopaknya yang besar itu.

“Saya tidak menyukai sekiranya ada orang yang memisahkan kita berdua. Kita di sini menjalani kehidupan yang aman damai. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengkhianati kita. Ya, memang wahai Teratai Besar, kalau ada orang datang untuk memetik kita, kita buat layu dan sembunyikan kelopak kita yang cantik ini. Dengan itu manusia akan beranggapan kita sudah layu kerana sakit atau pun kerana keracunan oleh sesuatu,” balas Teratai Kecil sambil memberi cadangan untuk menyelamatkan diri dari diambil orang.

Begitulah perbualan di antara dua sahabat karib itu yang mendiami sebuah kolam di tepi sebuah hutan kecil. Sudah bertahun mereka di situ tanpa ada orang yang berjaya memetiknya. Lagi pun mereka berdua berada di tengah-tengah kolam. Justeru itu amat sukar untuk sesiapa cuba mengambilnya.

Pada suatu hari, kolam di tepian hutan itu menerima kedatangan seorang pengail ikan. Dia duduk di atas sebongkah batu kecil sebaik sahaja melontar mata kailnya ke sudut sebelah kanannya. Sedang leka menunggu pancingya dimakan ikan, dia terpandang dua kuntum bunga teratai di tengah kolam, satu besar dan satu lagi kecil.

“Wah! Cantiknya bunga teratai di tengah kolam itu. Teratai besar seolah-olah melambai-lambai kelopaknya. Teratai kecil pula seakan-akan tersenyum memandang aku,” kata si pemancing kagum dengan pemandangan yang menceriakan itu.

“Wahai bunga teratai! Mengapalah kamu berdua cantik berseri-seri di tengah kolam tanpa ada orang yang memetiknya? Aku suka melihat kamu yang sedang kembang mekar ini. Tidak jemu aku memandangnya.”

Teratai berdua berbisik-bisik. “Wahai Teratai Kecil, habislah kita kalau si pengail itu berjaya mengambilnya. Tentulah kita akan layu dan mati kekeringan,” kata Teratai Besar kerisauan.

“Ya tidak ya juga. Kalau manusia itu mengkhianti kita, menangis tidak berlagulah kita,” akui Teratai Kecil.

Si pengail berasa amat payah mengalihkan pandangannya dari arah dua kuntum teratai tersebut. Sesekali matanya teralih ke arah tali kalinya melihat kalau ada ikan yang termakan umpan. Lama juga dia memancing. Namun tidak beroleh seekor ikan pun. Lalu dia beredar dari situ. Dia mengucapkan selamat tinggal kepada dua kuntum teratai yang sedang mekar di tengah kolam.

Kedua-dua teratai itu berasa lega disebabkan mereka tidak diganggu oleh si pemancing malang itu.

--- Akan bersambung.

*** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.