Showing posts with label Adaptasi Ibnu Taimiyyah. Show all posts
Showing posts with label Adaptasi Ibnu Taimiyyah. Show all posts

Jan 5, 2011

Anugerah dari Allah, buruk darimu

Pendahuluan

Nabi Muhammad (S.A.W) sendiri telah melaksanakan arahan jihad ini seperti mana kata Tuhan dalam Quran seperti berikut:

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Surah al-Hujurat ayat 15)

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Surah at-Taubah ayat 24)

Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah?

Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan behijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian anugerah daripadaNya dan keredaan serta Syurga; mereka mendapat di dalam Syurga itu anugerah kesenangan yang kekal.” (Surah at-Taubah ayat 19-21)

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya).

Dan sampaikan berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa binti Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) tidak percaya kepada Tuhan. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka mereka menjadi orang-orang yang menang.” (Surah as-Saff ayat 10-14)

Setelah ayat-ayat perintah jihad di atas, Tuhan menegaskan bahawa Dia memberikan kitab suci kepada rasulNya supaya rasul mengajar manusia semua perkara, sama ada baik atau buruk. Tuhan menyukai manusia yang menurut ajaran kitab suci Quran.

Dengan Quran Tuhan memuliakan sesiapa yang menerima ajakannya, memberi anugerah dan kitab Quran akan menjaga para pembacanya yang ikhlas mencari ilmu yang terkandung di dalamnya dari sifat tidak baik. Quran juga mengandungi perkara rahsia yang hanya dapat diketahui oleh manusia yang meneliti kandungannya.

Tuhan juga menerangkan sikapNya yang tidak menyukai orang yang tidak mempercayai rasul dan golongan yang jahat. Dalam masa yang sama, Tuhan menjelaskan masalah syirik (mempersekutukan Tuhan), iaitu satu dosa yang paling besar yang tidak akan diampuniNya.

Tuhan menjelaskan juga agama yang paling baik ialah agama yang menyeru manusia untuk menyembah Allah sahaja, tiada Tuhan selain Dia, dan melakukan amal ibadat sesuai dengan perintahNya, bukan mengikut selera masing-masing tanpa panduan Quran. Sesungguhnya agama Nabi Ibrahim adalah agama Islam juga dengan Tuhan mengistiharkan Ibrahim adalah kekasihNya.

Tuhan sangat tidak menyukai orang yang lari dari musuh dengan niat tidak mahu berjuang demi hanya untuk kepentingan diri sendiri. Dalam ayat jihad, Tuhan jelaskan manusia tidak boleh mengelak dari mati walaupun seseorang itu lari dari medan jihad kerana mati adalah perkara nyata, walaupun manusia bersembunyi di sebalik halangan yang kukuh. Orang-orang yang tidak suka kepada jihad akan kerugian di dunia ini dan juga di akhirat, seperti mana kata Tuhan dalam Quran:

Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”. (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?”

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mata benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang taat perintah Tuhan (kerana ia lebih mewah dan kenal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikitpun.” (Surah an-Nisaa’ ayat 77)

Inti utama ayat ini ialah perbezaan di antara orang yang beriman pada Tuhan dan golongan yang sesat. Ada pendapat yang menyatakan golongan yang tidak mahu berperang ialah termasuk dalam golongan hipokrit, mereka juga memiliki sifat takut dan malas tertanam di dalam hati mereka.

--- (2) Akan bersambung.

Terdahulu: Anugerah dari Allah, buruk darimu

** Adaptasi dari buku karangan Ibnu Taimiyyah, ditulis semula oleh Web Sutera.

Jan 3, 2011

Anugerah dari Allah, buruk darimu

Pendahuluan

Apa jua kebaikan (pemberian kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.” (Surah an-Nisaa’ ayat 79)

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah. Kami memujiNya, kami mohon bantuanNya, kami mohon petunjukNya dan kami mohon keampunanNya. Kami berlindung kepada Allah dari semua keburukan yang datang dari kami sendiri. Ingatlah, orang yang mendapat tunjuk ajar dan cerdik akan maju, sedangkan orang yang degil dan malas belajar tidak akan mendapat tunjuk ajar.

Aku mengaku bahawa tiada Tuhan selain Allah. Dia tidak perlukan bantuan pihak lain dan tidak ada Tuhan yang serupa denganNya. Aku juga mengaku bahawa Muhammad bin Abdullah (S.A.W) adalah hamba dan pesuruhNya.

Tuhan berkata: “Apa jua kebaikan (pemberian kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.” (Surah an-Nisaa’ ayat 79)

Tuhan maksudkan ayat ini dengan perintah jihad, iaitu Dia menyindir orang yang tidak mahu berjihad.

Tuhan berkata: “Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak, atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.” (Surah an-Nisaa’ ayat 71)

Sebelum ayat ini, ada ayat lain yang Tuhan tegaskan supaya kita mesti mengikuti perintah Tuhan dan rasulNya. Kita mesti merujuk kepada Quran dan Hadis jika kita keliru dalam sesuatu perkara yang berkaitan dengan kehidupan.

Berkaitan dengan ini, ada ayat Quran yang menjelaskan mengenai kepercayaan kepada Tuhan dan rasulNya. Tuhan berkata: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah an-Nisaa’ ayat 65)

--- (1) Akan bersambung.

** Adaptasi dari buku karangan Ibnu Taimiyyah, ditulis semula oleh Web Sutera.