Jan 8, 2011

Agungnya CintaMu Tuhan

Bab 1

Aku dibesarkan di sebuah pondok buruk, di sebuah kampung yang terpencil yang di kelilingi sawah padi. Damai sungguh pemandangan sawah, di waktu pagi menguning buahnya. Apabila selesai musim menuai, sawah menjadi kering dengan tinggalan batang-batang padi.


Pada suatu petang, aku dan rakan-rakan asyik bermain, berkejaran di petak sawah yang kering kontang. Bermain dengan rakan sebaya memang indah dan mengasyikkan. Sedang giat bergurau senda, tiba-tiba ibuku memanggil, “Yah, balik ke rumah. Hari sudah senja.” Aku buat tidak kisah panggilan ibuku itu.

“Yah, hari sudah senja, balik mandi. Nanti malam payah hendak ke perigi, tidak nampak,” laung ibuku lagi.
Lantas aku dan rakan-rakan balik ke rumah masing-masing.

Ibu seorang yang miskin, namun aku sayang kepada ibuku. Justeru itu, aku menurut sahaja katanya supaya aku segera mandi. Aku ke perigi yang tidak jauh dari rumah bersama ibu ketika malam sudah memunculkan diri. Usai mandi, aku dan ibu balik ke rumah sambil menjinjing air satu baldi seorang untuk dimasukkan ke dalam tempayan yang terletak di dapur. Di malam hari, ibu memasak nasi sambil membakar ikan masin. Aku makan nasi bersama ikan masin tersebut. Tekakku terasa perit.

“Mak! Sayur tidak adakah? Sakit tekak saya untuk menelan nasi,” keluh aku perlahan sambil memandang ibuku. Ibu diam tidak memberi jawapan. Aku pun terus menelan juga nasi. Kalau tidak, lapar.

Aku tinggal bersama ibu dan seorang abang. Ibuku memanggil abangku itu Awang, kerana dia anak lelaki, walaupun nama sebenar lain. Aku ada ayah, tetapi ayah meninggalkan kami tiga beranak begitu sahaja. Ayah tidak pernah bertanya khabar tentang kami. Makankah kami, hidup atau matikah kami.

Hidup ibuku, abang dan aku memang penuh derita nestapa. Hidup seharian ditelusuri umpama kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang. Hidup ibarat ayam, malam tidur pagi jaga. Pendapatan ibuku hanyalah dari hasil jualan daun pisang, tiada apa lagi yang dapat dilakukan. Kadang-kadang aku mengeluh sendirian, hendak makan pun susah.

Pada suatu hari ketika pemandangan sekitar kampung kehijauan dengan pokok padi yang sedang membesar, ibuku mengajak aku dan abang ke hutan bagi mencari akar-akar kayu atau rotan untuk dibuat tali pengikat lembu. “Yah! Awang! Mari kita pergi cari akar kayu.”

Ketika itu aku masih kecil lagi. Umurku tujuh tahun, sedangkan abangku berumur sepuluh tahun. Ibuku memelihara lembu dua beranak; seekor ibu lembu dan seekor anaknya. Lantaran tidak mempunyai wang bagi membeli tali khusus untuk dibuat tali pengikat lembu, ibuku terpaksa mencari akar kayu atau rotan bagi dipintal membentuk sejenis tali.

Sebaik sahaja sampai di hutan, aku serta abang dan ibu mencari akar banir bagi dipintal menjadi tali pengikat lembu. Sudah memang akar banir tidak kukuh sifatnya, jadi bila dipasang pada leher lembu di waktu pagi, waktu petang sudah putus. Apa lagi, lembu tadi pun melompat ke sawah padi orang lain dan memakan pokok-pokok padi yang sedang membesar.

Ibuku dimaki hamun oleh orang-orang kampung. Kata mereka, “Kalau tidak ada duit untuk membeli tali lembu, lebih baik jual sahaja lembu itu. Menyusahkan orang sahaja.”

Ibuku menangis mengenangkan untung nasib hidup ini. “Mak, janganlah menangis. Walaupun kita orang miskin, kita mesti bersabar. Tidak usah peduli apa orang hendak cakap,” aku memujuk ibu dengan perlahan-lahan.

Keesokan harinya, ibuku mengajak aku dan abang masuk hutan lagi untuk mencari benda yang sama. Abang berkata tanda protes, “Mak, saya malu hendak pergi ke hutan lagi. Orang kampung lihat kita setiap hari ke hutan, tetapi tali tetap putus juga.”

“Bukankah kita orang miskin, tidak mengapa orang hina kepada kita, tetapi Tuhan tidak,” balas ibuku perlahan, sambil terus berjalan.

“Alah mak! Saya pun malu juga. Saya tidak mahu ikut lagi,” tingkah aku pula, lalu berhenti mengekori ibu.

“Hah! Biar aku pergi seorang sahaja ke hutan. Biar mampus di hutan sana, baru senang hati kamu berdua,” jawab mak dengan marah.

Aku dan abang ketawa terkekeh-kekeh melihat kelakuan ibu begitu. “Alah mak ini, marah sangat nampak,” kata aku. Ibuku pun tertawa juga. Aku membuat kesimpulan bahawa dalam marah kasih ibu tetap bersama anak-anaknya, dan dalam geram aku dan abang faham situasi yang dihadapi.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Aku masih ingat lagi di masa aku bersekolah, pakaianku tidak pernah berganti, bila koyak jahit dan tampal sahaja. Suatu hari aku berkata kepada ibuku, “Mak! Saya hendak duit untuk beli baju sekolah.”

“Mana aku hendak ambil duit,” jawab ibuku bernada sedih. Riak mukanya berubah. Aku tidak terus mendesak, lalu terus menyiapkan kerja-kerja sekolah.

Ibuku memiliki lembu tetapi dia sayang untuk menjualnya. Itulah sahaja harta yang dia ada. Hendak paksa ibuku, tidak sampai hati. Sememangnya aku tidak berapa kisah sangat berkenaan baju aku itu kerana aku sedar bahawa aku susah dan miskin, namun kadang-kadang rasa hendak memakai baju baru. Tetapi semangat untuk belajar sentiasa berkobar-kobar. Biarlah kadang-kadang ada cikgu yang pandang sinis kepada aku apabila asyik memakai baju yang sama, bertampal pula.

Aku tergolong dalam golongan murid yang agak bijak dan pendiam. Ini dibuktikan dengan pujian dari guruku. Suatu hari, cikgu menyoal murid-murid berkenaan nama seorang Inggeris. Apabila melihat rakan-rakan lain tidak tahu, aku terus mengangkat tangan, lalu aku memberi jawapan. Kata guruku, “Hah! Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.” Aku malu tersipu-sipu.

Aku ke sekolah tidak pernah membawa duit. Ada seorang rakan yang baik budi yang selalu belanja aku makan di kantin. Apabila balik dari sekolah, selalu nasi tiada lauk. Perut lapar, jadi makan nasi dengan garam atau budu sahajalah. Kadang-kadang aku mengadu kepada Tuhan, mengapa nasib aku begini. Menderita dan ayah tiada khabar berita pula.

Bukan aku tidak reda dengan ketentuan Tuhan, cuma sebagai manusia biasa aku teringin juga makan makanan yang sedap-sedap. Namun begitu, aku sisihkan bisikan syaitan itu dengan memohon ampun kepada Tuhan. Aku tetap bersyukur, dan semuga Tuhan memberikan aku minda yang sihat. Sungguh, aku sedar akan nikmat yang sedia Tuhan kurniakan kepadaku selama ini. Badan sihat, otak cergas walaupun makanan amat kurang.

Ibuku tidak mengalakkan aku ke sekolah untuk belajar. Katanya kalau aku hendak belajar, belajarlah. Kalau tidak mahu, berhenti sahaja. Tetapi mujurlah aku sentiasa ingat untuk belajar. Kalau diturutkan ibuku, sampai sekarang aku tidak mengenal huruf, tidak pandai membaca dan menulis.

Ibuku seorang yang buta huruf. Pun begitu, dia seorang ibu yang tabah. Aku sayang kepada ibuku. Kalau dia tiada, aku tidak dapat membayangkan apa bakal terjadi kepadaku.

Tiap-tiap pagi, sekitar jam 6.15, aku dan kawan-kawan akan meredah bendang padi untuk ke sekolah. Kami berlari-larian di batas-batas sawah padi sambil kaki dan betis dibelai lembut oleh embun pagi yang dingin. Ya, memang aku dan rakan-rakan tidak memakai kasut, hanya dijinjing dengan tangan sahaja. Sebaik tiba di sekolah, baharulah disarungkan ke kaki.

--- (1) Akan bersambung.

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

6 comments:

Addindda Deen said...

Assalamualaikum En W Sutera. Saya dah baca bab satu di sini. Bahagian makan nasi berlauk garam cukup menarik perhatian saya, tak lah sedap sebab saya pernah mengalaminya... nasi basi dicuci dimasak semula pun saya pernah merasa... keluarga saya pun dulu bukan orang senang...

Web Sutera said...

Bagitulah sahabat. Betapa agungnya cinta Allah. Bukankah begitu?

Miqael Arshad said...

Sungguh indah penyampaiannya. Menarik minat saya untuk tahu apa yang berlaku seterusnya pada Yah, Awang dan si ibu....

Jelas terasa suasana kampung seperti itu melalui penceritaan ini... saya juga orang kampung... tapi sekarang bendang padi sudah tidak wujud lagi :(

next entry ya.. saya suka cerita ni...

Web Sutera said...

Terima kasih, sdr. Miqael Arshad. Insyaallah, ada entri-entri berikutnya.

Fariduddin El Islam said...

Jalan cerita yang telah mengunci hati dan minda saya.

Anonymous said...

Subhanallah.. sayu hati ini mengenang perit jerih pengorbanan ibu bg membesarkanku..