Showing posts with label Perang Konstantinopel. Show all posts
Showing posts with label Perang Konstantinopel. Show all posts

Dec 3, 2012

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad (17)

29 April – 22 Mei 1453 Masihi

Serangan dan cubaan yang masih tidak menampakkan kejayaan besar di pihak Uthmaniah tetap memakan korban yang tidak kurang banyak di pihak Konstantinopel. Hari demi hari, bilangan tentera pertahanan kota ini semakin berkurangan. “Semakin lama semakin teruk situasi dalam kota ini,” keluh Maharaja Constantine XI sendirian.

Beliau memanggil para penasihatnya untuk berbincang, walaupun kemelut dalaman masih berkecamuk.

“Apa pandangan kalian, andainya beta sekali lagi menghantar surat untuk berdamai? Keadaan saat ini tidak menyebelahi kita. Kita buat gencatan senjata sementara menunggu ketibaan pasukan bantuan dari Venetia.”

Semua penasihat bersetuju, atau terpaksa bersetuju. Utusan dihantar kepada Sultan Muhammad al-Fateh.

Sebaik menerima kehadiran utusan itu, Sultan Muhammad al-Fateh berkata, “Sila duduk, tuan utusan. Apa perkhabaran dari maharaja kamu?”

Utusan itu menunduk, kemudian berkata, “Maharaja Constantine ingin berdamai, Sultan. Ini surat beliau.”

Sultan Uthmaniah itu membaca isi tawaran dari Maharaja Constantine XI.

“Surat dari Maharaja Constantine kepada Sultan Muhammad. Beta tawarkan perdamaian. Kali ini beta berjanji akan memberikan harta yang berlipat kali ganda kepada kamu andai bersetuju. Beta akan menambah lagi banyak harta dari penduduk Genoa di Galata.”

Sultan Muhammad al-Fateh tersenyum sebaik sahaja tiba di ayat-ayat tawaran harta itu. Beliau sudah tahu akan suasana getir bekalan makanan di dalam kota.

Beliau berkata kepada utusan Byzantine itu, “Sila maklumkan kepada maharaja kamu yang niat saya tetap tidak berubah. Tawaran harta dan kekayaan bukan matlamat saya. Sila sampaikan pesan saya yang terdahulu.”

Cubaan Maharaja Byzantine itu tetap gagal. Beliau merengus kasar apabila diberitahu penolakan oleh Sultan Muhammad al-Fateh.

Giovanni Giustiniani yang berada bersama Maharaja Constantine XI memberi cadangan, “Tuanku, saya ada satu idea.”

“Ya, kemukakan.”

“Izinkan saya menggunakan ghali milik saya untuk pergi ke Pelopponese bagi mengumpul bala tentera baharu. Dari situ, saya dapat menyampaikan mesej Perang Salib untuk Hungari, Albania dan Itali bagi menghantar tentera dalam misi memusnahkan kepungan Islam ini. Saya akan meniup sentimen suci Perang Salib.”

“Tidak dibenarkan! Dalam situasi segenting ini, lebih baik kita tunggu pasukan Venetia. Andai Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam, biar ia jatuh bersama-sama beta!”


@@@@@@@@ 

17 – 22 Mei 1453 Masihi 

Jalan tetap dirintis bagi meneruskan kepungan dan memberi impak yang diharapkan. Tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah jua. Itu pegangan Sultan Muhammad al-Fateh, para panglima dan ulama.

Idea sebuah menara tinggi dilestarikan dengan gigih. Idea satu malam, gagasan besar dalam meneruskan misi jihad dan menjulang panji al-Fateh.

Tentera dan penduduk Konstantinopel dikejutkan dengan menara gergasi pada pagi 18 Mei yang menghampiri tembok kota.

“Alamak! Benda itu lebih tinggi daripada menara pengawal kota! Apakah itu?”

“Cuba engkau bilang! Berapa? ... Empat tingkat!”

“Bagaimana kita mahu bertahan dari serangan anak-anak panah dengan ratusan tentera mereka di tingkat atas itu?”

“Kena hujan kita nanti!”

“Hujan apa pula? Langit cerah sahaja.”

“Hujan panahlah!”

Bicara dua orang rakan di atas sebuah menara pertahanan kota Konstantinopel.

Kedengaran satu suara, “Oi! Itu hantu! Lari!”

Sekumpulan tentera bertahan Byzantine terkejut, lantas mereka lari. Rakan-rakan yang lain terdiam sama sekali, memerhati pergerakan menara gergasi itu semakin mendekati tembok. Ngeri dan berani .. ada yang berundur ke belakang perlahan-lahan sebelum ditolak oleh rakan di belakang supaya terus tetap di situ.

“Hantu atau Syaitan, kita tunggu. Engkau mahu berundur? Aku takut maharaja kita memenggal kepala kita pula,” ujar seorang tentera. 

** Hakcipta Terpelihara 2012 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Nov 19, 2012

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad (16)


Kota Edirne, Januari – Mac 1453 Masihi

Menjelang akhir Januari, Sultan Muhammad al-Fateh mengumpulan semua pentadbir, angkatan tentera Uthmaniah dan majoriti rakyatnya di suatu kawasan lapang yang luas. Pada usia 21 tahun, beliau berdiri di hadapan rakyatnya dengan penuh tawaduk namun kecekalan terpancar di wajahnya.

“Wah! Kacak betul Sultan kita. Gagah lagi jernih mukanya. Nur iman terpancar di wajah beliau,” seorang petani tua berkata kepada isterinya.

“Betullah, Abu Mashur. Sultan Muhammad nampak bergaya. Kalau jadi menantu kita alangkah bagusnya,” sampuk sang isteri.

“Ah, kamu jangan hendak berangan-angan. Kita petani, anak gadis kita pula hanya orang biasa. Tidak layak,” jawab suaminya sambil tersenyum.

Isterinya hanya tersengih, kemudian berkata, “Saya bergurau sahaja.”

Sultan Muhammad al-Fateh mulakan pidatonya dengan puji-pujian kepada Allah dan selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad bin Abdullah (SAW).

“Kita adalah para ghazi yang mendapat anugerah Allah sebagai pahlawan Islam yang berani lagi gagah! Generasi Islam kita, keturunan Uthman dan pelbagai suku Turki lainnya, adalah kesatria Islam yang api jihad berada di dalam dadanya. Ghazi yang tidak takut saat orang lain takut, yang menjadikan jihad di jalan Allah sebagai temasya harian, dan syahid sebagai cita-cita tertinggi.

“Kedaulatan Uthmaniah dengan sinar Islam tidak akan selamat sebelum kita bebaskan Konstantinopel. Sungguh kalian sudah lihat selama ini, mereka tidak pernah berhenti menyusahkan kita dengan menguatkan tentera beserta senjata-senjata demi mengempur kita, demi meniup api permusuhan sesama manusia. Andai para ghazi pemberani terus membiarkan mereka menongkat langit dengan keangkuhan, atau Konstantinopel tetap dibayangi kuasa tirani, damai bagaikan menjauh. Damai persis terpasak di perut bumi yang tidak boleh digali naik buat pengubat resah jiwa.

“Semenjak kali pertama Khalifah Muawiyah bin Abu Sufyan mengepungnya dan sehingga usaha terakhir almarhum ayahanda saya, kota itu tetap kukuh, bersama egonya yang mencanak. Janji Allah sudah hampir, duhai ghazi Turki! Saat ini mereka bercakaran antara satu sama lain bagaikan musuh yang harus diperangi. Keadaan dalaman mereka ibarat retak menunggu pecah berderai.

“Dengan izin Allah jua, kekuatan umat Islam sudah merangkumi Laut Tengah yang pernah kebal dari kita, dan semua laluan laut utama kita kuasai. Konstantinopel bukanlah perkara mustahil untuk ditakluki!

“Dari anak ke ayah, sehingga ke cucu kemudian cicit, api jihad sentiasa menyala terang. Generasi para ghazi! Di bahu kalian terpikul amanah untuk berjihad di jalan Allah! Rasulullah (SAW) sudah menjanjikan takluknya Konstantinopel oleh kita, tentera Muslimin. Justeru di masa kita inilah janji itu bakal terurai. Saya akan mulakan gerak jihad, langkah kesatria, jejak perajurit untuk memastikan hadis Rasul itu tercapai! Jangan tinggalkan harta dan nyawa kita di sini! Julang panji dan senjata al-Fateh!

“Kepantasan gerak adalah kunci pembebasan. Seluruh sumber yang kita miliki harus digembleng dengan cepat, diorganisasi secara cekap, diselenggara dengan benteng iman. Kita pukul dan gempur musuh yang melawan dengan gerakan jihad! Penaklukan ini ialah harga sebuah syahid!

Oct 23, 2012

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad (15)

Ketibaan dua orang ulama ke istana Edirne disambut dengan salaman dan pelukan oleh Sultan Murad II. Beliau memegang tangan Syeikh Bayram sambil mengajak masuk ke dalam balai penghadapan yang sekali gus menjadi medan pengisian ilmu saban minggu. 

“Sila duduk, Tuan Syeikh berdua. Terima kasih kerana sudi menerima jemputan saya ke istana ini,” luah Sultan Murad II jujur.

Setelah duduk di atas tilam yang selayaknya untuk seorang ulama, Syeikh Bayram bertanya lembut, “Apakah hasrat Tuanku memanggil saya ke sini?”

“Saya menerima laporan yang kurang enak mengenai tuan-tuan berdua, mengenai ajaran Sufi yang diajarkan di madrasah di Ankara. Namun saya kurang percaya. Saya ingin tahu, apakah yang Tuan Syeikh ajarkan di sana?”

“Alhamdulillah,” kata Syeikh Bayram. “Tuanku seorang Sultan yang baik dan bercita-cita tinggi.”

Nampak kejutan di wajah Sultan Murad II mendengar luahan kata dari ulama itu. Beliau hanya tersenyum sambil pandangannya teralih kepada Syeikh Aaq Syamsuddin.

Syeikh Bayram menyambung, “Tuanku yang saya hormati, apa yang saya ajar ialah tidak lain daripada ajaran Islam yang termaktub dalam al-Quran dan hadis Rasulullah Sallalahhu’alaihiwassalam. Islam membawa ajaran bagi memahami dengan jelas apa Tuhan itu sebenarnya dan apa misi manusia di bumi.

“Islam, selain daripada aspek rohani, mengawal kehidupan harian rakyat serta pemerintahan. Islam melalui al-Quran, menawarkan alternatif baharu pengabdian dan bercerita mengenai mata benda. Islam menawarkan keEsaan Tuhan yang tunggal dan undang-undang abadi dalam bentuk syariah, dan objektif utamanya ialah membantu dan memperkasakan manusia sebagai khalifah di bumi Tuhan.

“Pendekatan Sufi menekankan unsur kerohanian sebagai satu cara untuk mengenal Allah. Dalam erti kata lain, penekanan baharu pada cinta kasih Tuhan yang membawa peralihan dari pertapaan kepada unsur mistik kejiwaan roh.

“Sufi berhasrat untuk merealisasikan suatu keadaan di mana hamba berada dalam perhubungan langsung dengan Allah.  Personaliti setiap individu manusia meninggalkan jasad, dan pendekatan Sufi bakal membawa roh menyerap ke dalam Zat Allah yang Maha Agung. “

Terluah kata-kata suci dari mulut Sultan Murad II di akhir penerangan ringkas itu. “Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu-Akhbar.”

Sultan yang berhati mulia itu terus bercakap dan bertanya tentang banyak perkara kepada kedua-dua Syeikh tarikat itu. Mereka larut dalam wacana ilmu yang mendapat naungan para Malaikat di langit.

Walaupun bertemu pertama kali, Syeikh Bayram dan Syeikh Aaq Syamsuddin menerima pujian, kasih dan penghormatan tinggi dari Sultan Murad II. Sultan Uthmaniah itu menyediakan waqaf, bangunan untuk mengajar tarikat dan ilmu keagamaan. Beliau mengakui akan alamat-alamat kewalian pada Syeikh Bayram.

Akhirnya Sultan Murad II mengajak kedua-dua Syeikh itu, “Tuan-tuan Syeikh yang disayangi Allah, saya memberi tauliah kepada tuan-tuan berdua untuk mengajar dan membaca khutbah di Masjid Muradiye dan Masjid Yeldrim Beyazid. Makmurkan kota ini dengan majlis-majlis ilmu. Sebarang bantuan yang dihajati, sila maklumkan kepada saya. Insya-Allah, saya akan sediakannya.”

@@@@@@@@@

Selain mendengar kuliah agama di masjid, pada lain ketika, Sultan Murad II mengajak sekali lagi kedua-dua ulama itu ke istana. Beliau ada perkara khusus untuk ditanya dan dibincangkan.

Sebelumnya Sultan Murad II mengingati pertama kali beliau berjumpa dengan Syeikh Bayram.

Saat Syeikh itu tiba di istana pada kali pertama, Sultan Murad II melihat wajahnya dan jelas bersinar seperti matahari di langit. Indah dan jelas. Ekspresi wajah, penampilan dan sikapnya semua molek. Keelokan terserlah semasa beliau berdiri, berbicara atau berjalan.

Sultan Murad II melihat refleksi kecantikan dalaman di wajahnya dan beliau mengerti bahawa mereka yang melaporkan sikap Wali Allah ini kepadanya salah. Beliau menunjukkan rasa hormat dan menerimanya sebagai tamu istimewa di istananya. Kemudian beliau sungguh tenang mendengar setiap tutur bicara ulama itu.

Kini tetamu istimewa itu berada di hadapan matanya sekali lagi, bersama muridnya Syeikh Aaq Syamsuddin. Sultan Murad II cukup senang, terpancar sinar gembira di wajahnya.

Sebaik duduk, Sultan Murid II terus kepada persoalan, “Tuan Syeikh yang dimuliakan, adakah hadis Rasulullah (SAW) yang mengatakan kota Konstantinopel akan ditawan oleh Islam di bawah raja yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik itu sahih?”

Syeikh Bayram menjawab "Demi Allah hadis itu sahih, Tuanku."

"Tuan Syeikh yang saya muliakan. Tuan seorang alim yang berada semasa pemerintahan Sultan Urkhan, Sultan Murad sebelum saya dan ayahanda saya Sultan Beyazid. Tuan sudah tahu akan usaha-usaha penaklukan sebelum itu juga. Saya pun pernah di tahun 825 Hirah cuba menawan kota itu. “

Sultan terdiam sebentar sebelum bertanya, “Mengapa saya masih tidak berjaya menakluk Konstantinopel? Adakah saya, tentera dan rakyat saya tidak layak?"

Syeikh Bayram tersenyum, kemudian dia bertafakur. Suasana sunyi dalam balai penghadapan istana itu.

Wali Allah itu memberi taakulannya, “Allah bentangkan dalam perancangan-Nya dengan rumusan bahawa kebenaran pasti menang, tanpa kita perlu ragui. Walaupun demikian, kemenangan harus dimulai dengan perjuangan yang berat, hatta sehingga nyawa melayang demi sebuah syahid yang mulia. Begitu juga dengan kemudahan pasti menjelma, tetapi kita mesti menyeberangi lautan kesulitan terlebih dahulu.

“Untuk diri saya sendiri dan Tuanku yang saya sayangi, harus difahami yang diutamakan dalam hidup ini ialah proses, bukan sekadar hasil. Maka yang lebih bermakna ialah perjuangan meraih keberhasilan, bukan hanya keberhasilan itu sahaja. Allah sudah tetapkan takdir yang keberhasilan itu pasti datang asalkan disertai dengan perjuangan dan bantuan Allah dari tawakal kepada-Nya.

“Tuanku, suka saya membaca ayat al-Quran dalam Surah al-Insyirah, ayat 5 – 6.”

Kemudian Syeikh Bayram membaca maksud terjemahannya, “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”

Sultan Murad II lantas mengucapkan ucapan pohon keampunan, “Astaghfirullah,” berulang kali.

“Lantas apa hemat dan firasat Tuan Syeikh, bila dan siapakah yang dapat menakluk Konstantinopel?”

Syeikh Bayram terdiam. Beliau pejamkan mata, khusyuk meraih ilham Allah dengan kepala tertunduk.

Tidak berapa lama kemudian, Syeikh Bayram mengangkat kepalanya. Beliau memandang wajah Sultan di hadapannya dengan tersenyum manis, lalu berkata, “Allahu-Akhbar! Menurut firasat saya, bukan Tuanku yang dapat menakluk kota itu, tetapi putera Tuanku.”

“Ya Allah! Saya tiada anak lelaki lagi. Bagaimana?” Wajah Sultan Murad II penuh tanda tanya.

“Insya-Allah, Sultan, Tuanku akan dikurniakan seorang putera yang baik, beriman dan gagah.”

“Isteri saya hamil?”

Oct 13, 2012

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad (13)

Sekarang, Masjid Nurul Hidayah, Kg. Pandan Dalam, Selangor 

Ustaz Zulqarnain bin Awang menjawab satu soalan dari seorang wanita berkenaan peranan Sultan Murad I dalam misi jihadnya.

“Sejak ibu kota Khalifah Uthmaniah dipindahkan ke Adrianopel yang kemudiannya diberi nama Edirne, gerakan jihad semakin giat ke benua Eropah. Dengan tertubuhnya pasukan elit tentera Islam Yeniseri yang dibentuk dari kalangan anak-anak ibu bapa Kristian yang gelandangan, Sultan Murad I menerapkan semangat cintakan Allah dan mati syahid. Pasukan ini bukan sahaja kuat dan ampuh, malah yang lebih utama ialah mereka memahami Islam dan sangat cintakan Allah. ............

@@@@@@@@@@ 

Perang Maritsa, 1371 Masihi

Sultan Murad I bertekad meneruskan agenda jihad yang dirintis oleh leluhurnya sebelum ini ke atas wilayah-wilayah Eropah. Tidak berapa lama kemudian, beliau berjaya menawan Macedonia, dan seterusnya kemenangan demi kemenangan membuatkan pimpinan gereja Kristian Barat gusar.

Pope Urban V di Rom berucap di gereja utama, “Nampaknya ancaman oleh Sultan Uthmaniah semakin mengugat survival agama kita. Justeru saya akan menyeru sebuah pakatan bagi berperang dengan tentera Islam. Saya akan pastikan tentera Serbia, Bulgaria, Hungari, penduduk Wallachia dan sekutu Balkan lain menganggotai Tentera Salib bagi menghancurkan kemaraan agama Islam ke Eropah ini.”

Tidak berapa lama kemudian, sebuah angkatan besar dibentuk dari ucapan berapi-api Pope Urban V itu. Pasukan Tentera Salib berjumlah 60 ribu kekuatan mula bergerak menuju Adrianople. Pada masa itu Sultan Murad I sedang memerangi tentera upahan Catalan dalam tentera Byzantine di Biga, sebuah bandar pelabuhan di pantai selatan bahagian Asia, Dardanella.

Sebaik menerima maklumat risikan, Panglima Lala Sahin Pasha yang berada di Adrianopel sebagai panglima Semenanjung Balkan memohon bantuan tentera dari Sultan yang berada di wilayah Asia Kecil.

Usai menghantar utusan menemui Sultan Murad I, Panglima Lala Sahin Pasha merancang strategi sebelum tentera bantuan tiba. Dia berkata, “Saya melantik Tuan Haji Ilbey sebagai komander pasukan pemantau. Selain memantau dengan ketat pergerakan musuh, pasukan tuan juga bertanggungjawab bagi melambatkan ketibaan mereka ke Adrianopel.”

Tuan Haji Ilbey mengangguk dan berkata, “Insya-Allah, saya akan mengetuai pasukan yang akan dibentuk dengan kadar segera.”

“Hari ini juga, Tuan Haji.”

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Oct 8, 2012

Perang Konstantinopel (12)

Pope Urban II di Majlis Clermont
Empayar Byzantine dan Perang Salib, 1204 Masihi

Walaupun kedua-dua belah pihak beragama Kristian, hubungan antara Empayar Byzantine dan kerajaan Rom Barat tidak mesra, malah dendam pihak di Itali itu semakin membara. Perdebatan yang memunculkan dendam kesumat antara penganut Kristian Timur dan Barat tidak kunjung damai.

Apabila Pope Urban II mengobar semangat Perang Salib yang kononnya bagi membantu saudara seagama di Konstantinopel, ramai juga warga di sana tidak menyenanginya. Bagi sebahagian penduduk Konstantinopel, Tentera Salib adalah satu ancaman baharu yang tidak boleh disokong. Mereka berkata, “Mereka keras kepala dan berwatak kejam.”

Walhal penyokong doktrin Salib di Rom Barat berkata, “Konstantinopel terlalu sombong dengan kemewahan, curang dan murtad!”

Dendam dan permusuhan tidak dapat disekat lagi. Justeru pembunuhan Latin, yakni pembunuhan beramai-ramai secara besar-besaran penganut Roman Katolik atau penduduk Latin di Konstantinopel oleh warga Ortodoks Timur pada bulan Mei 1182 mempunyai kesan dramatik pada hubungan tegang antara gereja-gereja Kristian Barat dan Timur.

Pembunuhan beramai-ramai itu juga memburukkan lagi imej Byzantine di kalangan kuasa atau pemerintah Barat. Walaupun perjanjian urusan perdagangan dimeterai tidak lama selepas itu antara Byzantine dan negara-negara Latin atau Rom Barat, permusuhan yang berakar sejak sekian lama kekal dengan ramai suku kaum Barat menyimpan dendam berdarah.


@@@@@@@@@@ 

Sekarang, Masjid Nurul Hidayah, Kg. Pandan Dalam, Selangor

Ustaz Zulqarnain bin Awang bercerita pada sesi kedua diskusi berkenaan usaha dan tanggungjawab Uthman bin Urtugrul. 

“Bagi pengawal ghazi perbatasan Turki, titik akhir rintangan di Anatolia dalam wilayah kekuasaan Byzantine ialah Nicaea, dengan tembok kota yang sukar didaki dan garison kuat pertahanan. Mereka juga tidak melupakan yang kota Nicaea adalah sebuah kota Islam di era kesultanan Saljuk.

“Pengambilan semula Nicaea untuk daulah Islam bagi para ghazi ialah tugas wajib. Sebaik sahaja kematian Maharaja Manuel I Comnenus pada tahun 1180, perebutan kuasa dalaman meletus dalam Empayar Byzantine. Tatkala beliau mengepung kota itu di tahun 1183, terdapat sekumpulan tentera upahan Turki yang membentuk satu bahagian garison pertahanan kota. Justeru kota terus kukuh.

“Apabila Maharaja Andronicus Comnenus menawan Nicaea kemudiannya, beliau menyula semua tentera bangsa Turki itu. Selanjutnya pada tahun 1299, Uthman bin Urtughul berazam untuk mengambil kembali wilayah Islam di Nicaea dan kemudian Bithynia serta Bursa. Misi Uthman ke atas kota-kota utama ini mendapat tentangan hebat dari bala tentera Byzantine yang dihantar dari kota Konstantinopel.

“Penawanan dua bandar itu akhirnya berjaya. Dengan mendapat mandat sebahagian besar suku kaum Turki yang pelbagai, Uthman bin Urtughul mengukuhkan kesultanan Uthmani yang dirintis sejak tahun 1299 dengan rakyat mengangkat beliau sebagai Sultan Khalifah Uthmaniah pertama.

“Sejak itu beliau menggariskan visi kesultanan yang dinamakan Impian Uthman, iaitu pembebasan Konstantinopel.”  

Sebelumnya: Perang Konstantinopel: Pendahuluan 
Perang Konstantinopel (1) 
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
Perang Konstantinopel (5)
Perang Konstantinopel (6)
Perang Konstantinopel (7)
Perang Konstantinopel (8)

Perang Konstantinopel (9)
Perang Konstantinopel (10)
 

  
** Hakcipta Terpelihara Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Sep 5, 2012

Perang Konstantinopel (11)

Perang Manzikert, awal abad ke-10 Masihi

Perkembangan Empayar Saljuk, kekalahan kerajaan Fatimiyah yang menjadi sekutu Byzantine dan kebangkitan semula Khalifah Islam Abbasiyyah membuatkan Maharaja Romanus IV Diogenes tidak senang duduk.

Satu perbincangan serius diadakan dalam balai penghadapan maharaja. Beliau menduduki di atas singgahsana dengan mengenakan semua bintang kebesaran maharaja Byzantine. Dua barisan di kanan dan kiri maharaja diduduki oleh para penasihat, pembesar istana dan jeneral perang Empayar Byzantine yang dapat hadir.

Maharaja Romanus IV Diogenes melihat bentara, kemudian berkata, “Bentara, apa yang kamu mahu perikan?”

Bentara istana bangun dan menunduk hormat ke arah maharaja. Di tangannya beberapa helaian catatan. Dia berkata, “Tuanku, semasa Maharaja Constantine IX memerintah, buat pertama kali baginda bersemuka dengan kerajaan Saljuk Turk. Kerajaan musuh menggabungkan wilayah Ani di timut laut ke dalam Armenia. Walaupun demikian, baginda Constantine IX memeterai janji damai dengan Saljuk sehingga beberapa tahun yang lalu. Tiga tahun kemudian Maharaja Constantine X membatalkan perjanjian itu, lalu Armenia ditawan musuh kita. Tidak berapa lama kemudian bandar Caesarea di tengah Anatolia pula ditawan.”

Maharaja Byzantine itu mengangguk, kemudian tersenyum dengan mengimbau kembali proses reformasi angkatan tentera Byzantine. Beliau berkata, “Nasib baik beta mengambil langkah drastik menambah kekuatan bala tentera empayar, justeru kita berjaya mengalahkan tentera Turk dan menawan bandar Hierapolis Bambyce berhampiran Aleppo di Syria. Beta bertindak bijak, bukan?”

Bentara dan semua pegawai menjawab, “Benar. Tuanku bijak.” Kemudian bentara menambah, “Tuanku menawan kota penting itu pada tahun 1068.”

Seterusnya serangan Saljuk Turki terhadap Iconium atau Konya di wilayah Anatolia Tengah pada mulanya digagalkan oleh Byzantine yang menyerang balas dari Syria. Namun kempen itu menerima nasib sebaliknya di pihak Byzantine setelah Panglima Manuel ditangkap. Sultan Alp Arslan bertindak secara diplomasi dengan menawarkan genjatan senjata. Pemerintah Byzantine menerima cadangan itu.

“Selepas itu Sultan Saljuk meneruskan kempen menentang kerajaan Fatimiyah di Mesir yang menjadi sekutu kuat kita, Tuanku. Walaupun demikian, beliau tidak mahu terus berperang dengan kita. Perjanjian damai dimeterai pada tahun 1069,” tambah bentara.

Maharaja Romanus IV Diogenes mendengus lalu berkata, “Huh! Sultan sang Singa itu!”

Maharaja Byzantine meneruskan perbincangan. Banyak buah fikiran dan saranan dikemukakan oleh hampir kesemua pentadbir dan jeneral tentera.

Setelah beberapa lama, Maharaja Romanus IV Diogenes memberikan keputusannya dengan berkata, “Baiklah. Nampak gaya andai pergerakan tentera sultan Singa itu tidak disekat, lambat laun banyak wilayah kita akan dapat ditawan. Justeru beta memutuskan untuk menghantar deligasi duta bagi berunding. Seorang jeneral akan diberi tanggungjawab menyelidik di mana kedudukan Sultan Saljuk itu buat masa ini. Kemudian tubuhkan satu platun damai bagi menemui beliau. Konstantinopel ini tidak boleh dibiarkan dilahap oleh sang Singa berani itu.”

Pada Februari 1071, Maharaja Romanus IV Diogenes menghantar kedutaan menemui Sultan Alp Arslan untuk memperbaharui gencatan senjata tahun 1069 sebelumnya.

Utusan Maharaja Romanus menemui Sultan di luar Edessa, sebuah bandar di utara Mesopotamia, yang sedang dikepung. Bandar Edessa yang terletak dalam wilayah Armenia adalah bandar penting bagi Byzantine. Populasi terdiri daripada penganut Kristian Gereja Timur yang menyokong doktrin agama di Konstantinopel.

Ketibaan dan tawaran oleh Maharaja Byzantine diterima baik oleh Sultan Alp Arslan. Baginda berkata kepada komander dan panglima tentera Islam, “Dengan perjanjian damai ini, batalion utara tentera kita dapat dihindarkan dari serangan balas tentera Byzantine. Justeru pada hemat saya, kita patut menerima terma genjatan senjata ini, dengan izin Allah.”

Sesuai dengan terma perjanjian, angkatan perang Sultan Alp Arslan meninggalkan kepungan di Edessa. Kini tumpuan mereka ialah serangan terhadap kerajaan Syiah Fatimiyah di bandar Aleppo, Mesir, yang masih ada saki bakinya memerangi sahabat mereka di wilayah Daulah Abbasiyyah.

Walaupun demikian, genjatan senjata terkini itu memberikan peluang terbuka untuk angkatan perang Maharaja Romanus mengumpul dan menyediakan satu angkatan perang lebih besar ke Armenia.

Dalam masa yang singkat, Byzantine merampas kembali beberapa kota perlindungan strategik yang ditawan oleh tentera Saljuk sebelum itu. Ternyata Maharaja Byzantine tidak mengotakan salah satu syarat perjanjian, iaitu tidak menyerang kedudukan tentera Islam di Armenia.

"Nasib Empayar Rom telah tenggelam, surut ke tahap terendah mereka. Tentera Timur tersebar ke segala arah, orang Turki bertebar besar-besaran. Mereka meraih pimpinan dan kekuasaan negara-negara di antara Laut Hitam dan Hellespont, dan Laut Aegea dan Laut Syria, pelbagai teluk terutamanya Pamphylia dan Cilicia dicuci bersih dan mereka bermuara ke Laut Mesir." - Anna Komnene, puteri Maharaja Alexios I, Byzantine

Sebelumnya:
Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
Perang Konstantinopel (5)
Perang Konstantinopel (6)
Perang Konstantinopel (7)
Perang Konstantinopel (8)

Perang Konstantinopel (9)
Perang Konstantinopel (10)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Aug 14, 2012

Perang Konstantinopel (10)

Gunung Ledang, Melaka, tahun 1445 – 1456 Masihi

Mereka masih bertenggek di situ. Kab
us pula perlahan-lahan memasuki ruang atas kawah, kemudian bergerak menuju ke arah batu-batu di pinggiran, lokasi tenggekan mereka dua beranak.

“Ayah, ada orang kata Islam dikembangkan melalui mata-mata pedang? Betul atau sekadar omongan sang penjahat syaitan yang terdiri dari jin dan manusia?” Soal Sutan Gunung secara tiba-tiba. Topik berubah kini.

Ayahnya ketawa, kemudian berkata, “Ganas betul soalan kamu. Sang penjahat syaitan yang terdiri dari jin dan manusia."

Sutan Gunung juga turut ketawa. Bunyi ketawa mereka bergema ke seluruh kawasan kawah itu.

“Perang Badar tidak menjadikan Islam sebagai agama pedang. Maksud ‘Islam’ itu bermakna damai. Al-Quran menyatakan semua para rasul ialah manusia Muslim yang menganut Islam. Namun peperangan merupakan sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Adakalanya ia menjadi suatu kewajipan positif untuk mengakhiri penindasan, penderitaan dan onar jahat segolongan makhluk. Islam mementingkan keselamatan diri dan menghormati perjanjian,” kata Abdul Kudus.

“Tindakan Khalifah Harun al-Rashid pada tahun 806 Masihi?”

“Pada pertengahan tahun 805, Khalifah Harun al-Rashid pergi ke wilayah Khurasan, sebuah wilayah era Parsi di bahagian utara barat Afghanistan, bagi mengamankan masalah besar pemerintahan di sana. Pemergian Khalifah ke sana memberi peluang kepada Nikephoros I membuat onar kembali. Kali ini maharaja Byzantine itu membina semula benteng-benteng pertahanan kota di Safsaf, Thebasa dan Ancyra pada musim bunga 805. Pada musim panas berikutnya Nikephoros I bergerak ke selatan Asia Kecil menyerang sempadan kerajaan Islam di wilayah Cicilia.”

“Justeru serangan itu, pimpinan Islam mempertahankan kedaulatan wilayah dan nyawa penduduknya?”

“Ya,” jawab Abdul Kudus singkat, kemudian dia menyambung ceritanya, “Tentera Byzantine menyerbu wilayah sekitar kubu Mopsuestia dan Anazarbus, dan menawan penduduk sepanjang onar mereka. Garison pertahanan Mopsuestia menyerang balas pasukan Byzantine dan berjaya membebaskan banyak tawanan dan merampas kembali harta yang dirompak.

“Walaupun demikian, tentera Byzantine terus bergerak menuju Tarsus, sejarak lebih kurang 13 batu dari Laut Mediterranean. Titik itu terletak di pertemuan laluan darat dan laut yang menghubungi Cicilia, tengah Anatolia dan Laut Mediterranean. Tarsus telah dibangunkan oleh Khalifah Harun al-Rashid pada tahun 786 bagi menguatkan Islam di Cicilia. Tentera Byzantine merosakkan kubu bandar itu dan menawan semua garison tentera Islam.

“Pada masa yang sama, satu lagi pasukan tentera Byzantine menyerbu wilayah Islam di utara Mesopotamia, namun tidak berjaya mengepung kubu Melitene atau Malatya di tenggara Turki. Dalam masa yang sama juga mereka menghasut pemberontakan menentang Arab di Cyprus.”

Sutan Gunung mencelah dengan pertanyaan, “Bila Khalifah Harun al-Rashid mendapat khabar akan serangan tentera Byzantine itu, apa tindakan beliau?”

“Isk! Kamu ini tidak sabar-sabar. Adakah keturunan jin begitu?” Soal Abdul Kudus. Dia tersengih di akhir soalan tersebut. Sementara itu anaknya mengangguk, juga tersengih lebar bak kerang busuk yang terbuka kulitnya.

@@@@@@@@@@@

Tahun 806, perang Khalifah Harun al-Rashid dan Maharaja Nikephoros I

Setelah meredakan situasi di Khurasan, Khalifah Harun al-Rashid kembali ke barat pada bulan November 805 dan menyediakan ekspedisi balas yang besar dengan penyertan perajurit dari Syria, Palestin, Parsi, Mesir dan utara Afrika.

Musim panas tahun 806 tiba. Pada hari keberangkatan, satu angkatan besar hampir 200,00 tentera berkumpul di sebuah padang luas. Ini merupakan angkatan perang terbesar pernah disediakan oleh Khalifah Harun al-Rashid.

Khalifah Islam itu melaungkan takbir, “Allahu-Akhbar!”, yang kemudiannya seluruh tentera mengemakan laungan keramat itu. Bergegar bumi yang dipijak. Bergetar rumput-rumput di sekeliling padang besar itu.

Beliau menunggang kuda menaiki sebuah bukit yang agak tinggi dengan diiiringi oleh beberapa orang panglima utama. Semua tentera Islam mendiamkan diri, menunggu apa yang mahu diperkatakan oleh Khalifah.

Sebaik sahaja berada di atas tanah tinggi itu, Khalifah Harun al-Rashid berkata dengan lantang, “Wahai pemberani Islam yang saya hormati! Ingatlah sindiran Allah dalam al-Quran, surah an-Nisa’ ayat 75 yang berbunyi, ‘Dan apakah yang menghalang kamu tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang berdoa, ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)’’.

“Saya mengingati diri sendiri dan kalian akan kata-kata Panglima Khalid bin Walid di saat-saat kematiannya. Beliau berkata, ‘Saya ikut berperang dalam banyak peperangan sehingga tidak satu pun anggota tubuh ini yang tidak terkena tusukan pedang atau anak panah. Namun saya tetap mati di atas tempat tidur. Sungguh, mata si pengecut tidak akan pernah dapat tidur.’

Beliau diam sebentar, memerhati reaksi bala tentera yang sedang berkumpul. Melihat mereka tetap ingin mendengar ucapannya, Khalifah berkata lagi, “Namun harus kalian ingat betul-betul akan peristiwa seorang wanita didapati terbunuh dalam suatu peperangan yang turut disertai oleh Rasulullah (SAW). Baginda mengecam pembunuhan kaum wanita dan anak-anak kecil. Adakah kalian memahaminya?”

“Kami faham dan kami taat, Amirul Mukminin!” Jawab semua tentera Islam hampir serentak.

“Seterusnya dalam surah yang sama dalam ayat 78, Allah menyindir lagi, ‘Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.’ Maksud ayat-ayat Allah itu ialah kita dan musuh Islam akan tetap mati walaupun dalam benteng-benteng menjadi penghalang. Walaupun tentera penceroboh Rom berlindung dalam kota-kota kukuh mereka, kita tetap akan mengempur selagi mana mereka tidak ingin berdamai.”

Di akhir ucapannya, Khalifah Harun al-Rashid melaungkan “Allahu-Akhbar” dengan lebih nyaring. Kemudian sekali lagi bergema ulangannya di kalangan tentera Islam. “Allahu-Akhbar” menyusuri di antara setiap butir pasir dan tompok tanah yang dipijak. Ia menyelinap ke setiap aliran darah dan helaan nafas, demi sebuah misi jihad meruntuhkan perhambaan sesama manusia.

Khalifah turun dari tanah tinggi dan menghampiri setiap barisan tentera Islam.

Sebelumnya: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
Perang Konstantinopel (5)
Perang Konstantinopel (6)
Perang Konstantinopel (7)
Perang Konstantinopel (8)

Perang Konstantinopel (9)


** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Jul 23, 2012

Perang Konstantinopel (9)

Tahun 802 – 806, Khalifah Harun al-Rashid dan Maharaja Nikephoros I

Di istana Khalifah Harun al-Rashid, kota Baghdad


Khalifah Harun al-Rashid selepas menelaah beberapa buah catatan berupa ilmu dalam bidang syariah Islam dan bait-bait puisi, beliau bertemu dengan pegawai baitumal. Tujuannya ialah bagi mengetahui kedudukan kewangan dalam wilayah-wilayah Daulah Abbasiyyah.

Pegawai baitumal itu memulakan laporannya dengan berkata, “Alhamdulilah. Amirul Mukminin, kemajuan tatacara kewangan semakin meningkat keberkesanannya pada zaman pemerintahan ayahanda tuan Khalifah al-Mahdi semenjak tahun 158 Hijrah. Jabatan Akauntan Negara yang ditubuhkan bertujuan mengawal akaun pungutan hasil dan perbelanjaan bagi setiap jabatan pemerintahan sungguh memudahkan urusan saya dan pegawai-pegawai lain yang diberikan amanah.”

“Saya bersyukur ke hadrat Allah dengan kemudahan yang dianugerahkan-Nya untuk kita,” ujar Khalifah Harun al-Rashid.

Pegawai itu meneruskan laporannya. “Amirul Mukminin, perbendaharaan negara semakin meningkat. Kemakmuran bertambah dan kebajikan penduduk juga turut diambil berat sesuai dengan saranan tuan. Buat masa sekarang ini, harta baitumal terdapat sebanyak 600 juta dirham.”

Segera Khalifah Harun al-Rashid turun dari kerusinya dan mengadap ke arah kiblat di kota Mekah. Beliau bersujud syukur. Perbuatan itu diikuti oleh pegawai baitumal tersebut.

Sebaik sahaja beliau menduduki semula ke atas kerusinya, Khalifah kerajaan Islam itu bertanya, “Bagaimana dengan keperluan pembelajaran rakyat?”

“Pihak kita sudah mengeluarkan banyak biasiswa kepada rakyat yang layak dan ingin melanjutkan pelajaran, Amirul Mukmini.”

“Saya bercadang ingin mendirikan Darul Hikmah iaitu sebuah perpustakaan awam dan menambah pembinaan sekolah rendah dan menengah. Apakah pandangan kamu?”

“Molek benar, Amirul Mukminin. Saya bersedia mengelolakan perbelanjaan berkaitan.”

“Berikan elaun yang lumayan kepada guru-guru dan mubaligh serta cerdik pandai yang terlibat dalam mengembangkan ilmu pengetahuan kepada rakyat.”

Pegawai itu mengangguk dan kemudian membuat catatan.

Setelah selesai urusan dengan pegawai baitumal, Khalifah Harun al-Rashid mengimbau kembali era ayahandanya.

Pada masa Khalifah al-Mahdi, aktiviti perekonomian mulai meningkat di sektor pertanian melalui teknik-teknik terkini pengairan. Hasil mahsul negara berupa simpanan emas, perak, tembaga dan besi juga meningkat. Tidak terkecuali transit perdagangan di antara Timur dan Barat juga banyak membawa kemakmuran kepada Baghdad dan seluruh empayar Islam. Basrah menjadi pelabuhan penting.

Kota Baghdad muncul sebagai bandaraya terkemuka dunia, penuh dengan bangunan cantik, istana, masjid yang indah serta sistem jalan yang teratur. “Alhamdulillah,” ucap Khalifah Harun al-Rashid.

@@@@@@@@@

Pada awal musim panas tahun 803, Khalifah Harun al-Rashid menerima sepucuk surat dari Maharaja Nikephorus I. Beliau membacanya:

"Dari Nikephoros, Raja Yunani, kepada Harun, Raja Arab. Irene sudah tidak lagi berkuasa dalam istana dan berpuas hati dengan aturan beta. Dia telah membayar kamu wang yang sepatutnya kamu bayar berganda kepadanya. Ia sudah terjadi justeru kelemahan wanita. Dengan ini beta mahu kamu kembalikan apa yang sudah kamu ambil atau pedang bakal menjadi kata pemutus."
Raut muka Khalifah Harun al-Rashid berubah. Beliau memanggil menteri kehakiman dan berkata, “Saya menerima surat yang kurang sopan dari Nikephoros di Konstantinopel. Sila panggil pegawai kita untuk menyediakan surat balasan.”

Sebaik pegawai itu tiba, Khalifah Harun al-Rashid menyuruhnya menulis jawapan seperti berikut:

"Dari Harun, Amirul Mukminin, untuk Nikephoros petualang Yunani. Saya telah membaca surat kamu. Jawapannya adalah untuk mata kamu melihat, bukan untuk telinga kamu mendengar."
Menteri kehakiman dan pegawai itu memandang Khalifah. Menteri bertanya, “Apakah maksud Amirul Mikminin?”

Khalifah hanya tersenyum kemudian berkata, “Saya akan bincangkan nanti bersama majlis mesyuarat perang.”

Berkaitan: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
Perang Konstantinopel (5)
Perang Konstantinopel (6)
Perang Konstantinopel (7)
Perang Konstantinopel (8)


** Hakcipta Terpelihara 2012 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Jul 18, 2012

Perang Konstantinopel (8)

Mei – Julai 1908 Masihi, Kota Konstantinopel / Istanbul, Turki

“Saya sedar sudah banyak perubahan sejak akhir-akhir ini,” kata Grisham Gale.


“Maksud kamu, Grisham?” Soal Mavi Mirza.

Grisham Gale mengeluh. Nampak riak wajahnya sedikit berserabut. Dia tidak suka akan apa yang sedang melingkari kerajaan Utsmaniah sekarang.

Mereka berdua berada di sebuah kafe di Haydarpaşa, sebuah hub pengangkutan utama di Istanbul. Pembinaan bangunan utama di situ kini mamasuki fasa-fasa terakhir.

Grisham Gale mengimbau kembali sejarah pembinaan stesen penting ini. Selepas melengkapkan rangkaian jalan keretapi melalui Anatolia, Sultan Abdulhamid II berucap, "Saya membina landasan keretapi dan bangunan untuk pelabuhan ini, tetapi ia masih tidak cukup. Kita akan membina sebuah bangunan yang akan menunjukkan kebesaran apa yang kita lakukan; ‘Haydarpaşa’.”

Atas permintaan Sultan Abdul Hamid II, pembinaan bangunan Haydarpaşa telah dimulakan oleh dua ahli seni bina Jerman, Otto Ritter dan Helmuth Conu pada tahun 1906. Semasa pembinaan, kemahiran pengukir Itali dan Jerman digabung jalin secara saksama. Justeru terbinalah gaya seni bina neo klasik Jerman.

Nama bangunan ini diberikan oleh Sultan Salim III. Beliau telah menghabiskan banyak masanya untuk membina ibu pejabat pasukan tentera Salimiye dan beberapa seksyen Haydarpaşa memahatkan nama beliau sebagai memperingati usaha gigih itu. Selepas beberapa ketika, pihak berkuasa memutuskan untuk memberi nama Haydarpaşa kepada keseluruhan kompleks bangunan.

Grisham Gale memandang sahabatnya itu, lalu berkata, “Saya bimbang dengan beberapa perjanjian, salah satunya ialah pada awal bulan Jun lalu. Perjanjian itu saya tidak suka justeru ia bakal mencetus konflik. Apa perlu Turki Muda, England dan Rusia kononnya berganding bahu melaksanakan program reformasi di Macedonia? England dan Rusia, kami jarang bersetuju dalam banyak perkara, tetapi kini bergabung tenaga? Ada udang di sebalik batu, Mavi.”

Mavi Mirza mengukir senyum. Dia sudah lama mengenali hati budi lelaki Inggeris di hadapannya; seorang perisik tentera yang tidak menyebelahi sangat akan kebanyakan kebijakan politik England dan negara-negara Eropah di Turki.

“Jarum Zionis,” getus Mavi Mirza.

Grisham Gale mengangguk, kemudian berkata, “Sebelum ini Konstantinopel tiada jalan rel, jadi pada tahun 1871 Sultan Abdul Aziz mengarahkan landasan kereta api yang akan dibina dari Haydarpasa menuju Izmit. Stesen indah ini dibuka pada tahun 1872 di masa keretapi sudah merentasi sehingga ke Gebze. Bersebelahan dengan Selat Bosphorus, Mavi. Justeru sibuk dengan keretapi barang memunggah di dermaga Haydarpasa, kemudian dipindahkan masuk ke dalam kapal laut.”

Pemerhatian dan maklumat yang dibentangkan Grisham Gale jitu.

“Ah, kamu sahabat. Memang seorang pengumpul maklumat,” tukas Mavi Mirza.

“Bukankah itu tugas seorang perisik seperti Kapten Grisham Gale ini?” balas lelaki Inggeris itu agak sinikal dengan tugasnya sendiri.

“Apa yang kamu dapat simpulkan dari foto-foto Raja Edward dan Czar Rusia?”

“Kamu fikir Sultan Abdul Hamid tidak bimbang dengan salam erat penuh gaya di antara Czar Rusia dengan Raja Edward? Namun pasukan tentera sebenarnya yang menjadi masalah. Konon pihak antarabangsa ingin menjadi juara dalam meredakan isu pemberontakan di Macedonia! Saya percaya Sultan tidak bodoh!” tegas Grisham Gale bagi menjawab persoalan rakannya.

Mereka terus berbincang dan masing-masing meluahkan buah fikiran. Gejolak jiwa menjadi pemandu dalam mentaakul suasana.

Aktiviti di dermaga semakin perlahan apabila masa menghampiri solat Maghrib. Sang mentari semakin memasuki ruang peraduan yang diciptakan Allah. Tidak lama lagi azan akan berkumandang menerobos di segenap ceruk kota Konstantinopel yang semakin hangat dengan desiran wap panas yang dicetuskan oleh ejen-ejen Zionis Yahudi.

Berkaitan: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
Perang Konstantinopel (5)
Perang Konstantinopel (6)
Perang Konstantinopel (7)

Foto: Stesen Haydarpaşa moden.

** Hakcipta Terpelihara Web Sutera.

** Siapa Web Sutera? Sudikan klik di sini.