Showing posts with label Tompok?. Show all posts
Showing posts with label Tompok?. Show all posts

Nov 11, 2011

Kamu Faham Cakapku, Tompok? (5)

Bab 5: Anak Jantan Tompok Bersedih Hati

Dua ekor anak si Tompok yang masih ada di rumah terdiri daripada seekor jantan dan seekor lagi betina. Apabila dewasa, anak betina si Tompok hamil dan melahirkan dua ekor anak. Sayangnya usia si kucing betina itu tidak lama. Selepas melahirkan anak, saya melihat wajahnya pucat, seolah-olah tidak bermaya.


Sebulan berlalu selepas melahirkan anak, kucing betina itu pun mati. Saya kasihan kepada anak-anaknya yang turut mati selang beberapa hari kemudian. Kemungkinan besar sang ibu tidak menyusukan kedua-dua anaknya lantaran sakit. Saya kebumikan ketiga-tiga zuriat si Tompok saling berdekatan antara satu sama lain.


“Moga-moga mereka bertiga ditempatkan di dalam syurga Allah. Amin." Saya mendoakan mereka.


Justeru itu, tinggallah Tompok bersama seekor anak jantannya di rumah. Saya melihat anak jantan Tompok bersedih hati kerana adiknya sudah mati dan tiada teman untuk bermain. Dia senyap sahaja, tidak lagi suka bermain-main. Kasihan saya melihatnya.


"Sabarlah kamu, wahai kucing. Aku tidak boleh berbuat apa-apa,” pujuk saya kepada si kucing jantan itu.


Beberapa bulan kemudian Tompok beranak sekali lagi. Kali ini empat ekor. Dua bulan selepas itu, besarlah keempat-empat anak terbaharu Tompok. Si abang jantan tadi sudah berubah sikap. Sudah gembira dia dengan lahirnya adik-adiknya. Saya melihat si abang suka bermain-main dengan adik-adiknya. Saya turut senang hati.


Si abang suka bergurau dengan adik-adik kecilnya. Si kecil selalu menjerit-jerit disakat oleh si abang yang jantan itu. Namun begitu, apabila anak-anak baru tersebut besar sedikit, orang lain pula meminta untuk dipelihara. Justeru itu tidak banyak kucing di rumah saya yang tinggal.


Sebelumnya: Kamu Faham Cakapku, Tompok? (1)
Kamu Faham Cakapku, Tompok? (2) dan (3)

Kamu Faham Cakapku, Tompok? (4)


** Hakcipta Terpelihara Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

P/s: Ini pun okey :-) Entri.Com Mat Katerer: Entri Pertama

Nov 4, 2011

Kamu Faham Cakapku, Tompok? (4)

Bab 4: Ulah Dua Ekor Anak Tompok

Apabila anak-anak Tompok besar sedikit, beberapa orang jiran dan sanak-saudara meminta untuk memeliharanya. Seekor demi seekor diambil.

“Cantik betul anak kucing itu. Boleh berikan saya seekor untuk dipelihara?” Soal seorang jiran sambil menunjukkan sekumpulan anak-anak Tompok yang sedang bermain-main.


“Pilihlah mana yang berkenan. Saya sangat berharap semoga anak kucing yang diambil dipelihara seumpama anak sendiri,” saya memberikan kebenaran dan sedikit nasihat.


Semakin ramai teman-teman yang berkunjung ke rumah mengambil anak-anak kucing tersebut, sehingga hanya tinggal dua ekor sahaja.


“Pelakuan baik seseorang kepada seekor binatang boleh menjadi satu cara bagi mendapatkan ampunan dari Allah. Justeru keampunan dari Allah itu memudahkan seseorang memperoleh ganjaran syurga,” saya memberi nasihat kepada salah seorang saudara yang berhasrat memelihara salah seekor anak Tompok.


“Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah berkata, ”Suatu ketika seorang lelaki sedang berjalan di suatu jalan, dia merasa sangat haus lalu dia mendapatkan sebuah sumur maka dia pun menuruninya dan minum darinya. Tatkala keluar darinya dia mendapatkan seekor anjing yang menjulur-julurkan lidahnya yang sedang mengunyah tanah basah kerana kehausan.


“Orang itu berkata, “Sungguh apa yang dialami anjing ini berupa kehausan seperti apa yang baru sahaja aku alami. Maka orang itu pun menuruni sumur dan memenuhi terompahnya dengan air kemudian membawanya ke atas dengan mulutnya dan diminumkannya kepada anjing itu. Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya.


“Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah apakah di dalam setiap binatang ternak itu ada pahala bagi kita?” Beliau (Nabi Muhammad) menjawab, “Di setiap yang memiliki hati yang lunak (kiasan untuk kehidupan) ada pahala.” (Hadis direkodkan oleh Bukhari).


Saya melanjutkan lagi perbualan berkaitan dengan binatang lain pula. “Dari kisah-kisah ini, dapat dibuat kesimpulan bahawa mengasihi binatang, walaupun seekor anjing, boleh mendekatkan diri seseorang kepada syurga Allah. Manakala menyakiti binatang bakal mengundang murka Allah. Memelihara kucing dan menjadikannya sebagai teman di rumah, insya-Allah sangat disukai oleh Nabi Muhammad dan lebih-lebih lagi Allah.


“Hati yang lunak dan memberi makan binatang merupakan perbuatan terpuji. Apatah lagi sekiranya manusia itu memiliki anak sendiri,” saya berceloteh panjang. Saudara saya tersebut tersenyum dan mengangguk perlahan-lahan.


Masa kian berlalu, maka besarlah anak-anak kucing yang dua ekor itu.

“Hai bising betul kamu bergurau-senda. Nakal sungguh kamu berdua ya,” kata saya kepada dua ekor anak Tompok yang sedang bermain-main. Namun begitu saya suka melihat gurauan mereka berdua. Sungguh rapat kedua-dua beradik itu.


Pada suatu hari, kedua-dua anak si Tompok leka bergurau senda. Berlari ke sana, berlari ke sini. Saya leka melihatnya sambil tersenyum. Semasa sedang berlarian, salah seekor anak Tompok terlanggar kaki kerusi. Pap bunyinya. Saya agak tentu terkena hidungnya, lalu anak kucing itu mendongak kepalanya ke atas.


“Aduh sakitnya!” Agaknya itulah yang dirasai oleh anak Tompok tersebut. Dia diam seketika.


“Hah! Mengapa tidak lari lagi? Galak sangat bergurau senda. Bila terlanggar kaki kerusi, sakit kamu rasa sehingga mendongak ke langit,” saya berkata sambil tertawa kecil.


Begitulah perangai dan ulah kedua-dua ekor anak si Tompok saban hari. Anak-anak saya semuanya bersekolah. Jadi tinggallah saya bersendirian melihat gelagat anak-anak kucing itu. Di samping itu juga saya bercakap-cakap dengan mereka.


Apabila bosan bermain-main dengan adik beradik, mereka bergurau pula dengan si ibu, Tompok. Ibu pula pandai mengambil hati dan mencipta suasana. Tompok akan mengerak-gerakkan ekornya ke kiri dan ke kanan. Si anak menerkam dan mengigit manja ekor si ibu. Selain itu, kedua-dua anak Tompok akan memanjat belakang si ibunya pula. Tompok tidak marah ma
lah membiarkan anak-anaknya bersuka ria.

“Hai Tompok, Tompok. Pandai kamu,” kata saya kepada Tompok sambil leka memerhati. Dalam hati saya terharu dengan sikap si Tompok.


Sebelumnya:
Kamu Faham Cakapku, Tompok? (1)

Kamu Faham Cakapku, Tompok? (2) dan (3)


** Hakcipta Terpelihara Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Oct 25, 2011

Kamu Faham Cakapku, Tompok? (2) dan (3)

Bab 2: Tompok Bijak dan Baik

Kucing saya si Tompok ini adalah seekor kucing yang baik. Tidur juga bersama tuannya. Di waktu malam sekiranya dia mahu berak atau kencing, Tompok pandai mencari saya di bilik. Dia akan mengiau-giau di telinga bagi mengejutkan saya. Saya memahami bahawa itu tandanya dia mahu keluar berak atau kencing. Saya pasti menuruti kehendaknya, lalu terus membuka pintu. Sebaik sahaja pintu terbuka, Tompok meluru turun ke tanah.


“Hai, sungguh bertuah ada seekor kucing yang bijak dan baik.
Pandai pula berak di luar rumah,” ulas saya sendirian.

Si Tompok jarang tidur di waktu malam. Dia menjadi pemburu tikus-tikus yang berkeliaran di dalam rumah. Tiap-tiap malam Tompok berjaya menangkap dan membunuh dua atau tiga ekor tikus. Justeru itu, sang tikus sudah takut mahu berkeliaran di waktu malam dalam rumah. Kalau nampak kelibat musuh utama si Tompok itu, nescaya nyawa tikus-tikus itu dalam keadaan bahaya.


“Mahu lari ke mana sang tikus! Aku tahu segenap ceruk rumah tuanku ini.” Agaknya itulah kata-kata Tompok. “Kamu jangan cuba merosakkan dan mengotorkan rumahku dan tuanku ini.
Aku akan buru kalian dengan cengkaman kuku dan gigiku yang tajam ini. Keluarlah sekiranya berani!”

Bab 3: Kasih Sayang Tompok Kepada Anak-Anak

Enam bulan berselang sejak saya memelihara si Tompok.
Si kucing cerdik ini sudah mengandung. Saya dan anak gadis saya menyediakan suatu kotak khas bagi Tompok bersalin. Tiba masanya, Tompok melahirkan lima ekor anak.

Sepanjang kehidupan Tompok, dia beranak sebanyak lapan kali. Pada kali kedua Tompok beranak sebanyak empat ekor. Ada satu ketika dia melahirkan anak dua kali dalam tempoh yang singkat. Jadi jumlah anaknya ialah sebanyak sembilan ekor. Kisahnya ialah sewaktu anaknya yang terdahulu berumur tiga bulan, Tompok beranak lagi. Justeru itu, jumlah anak-anaknya yang masih kecil sembilan ekor. Memang banyak!


Saya menyediakan makanan bagi dua generasi anak-anak Tompok sebanyak dua pinggan. Di waktu inilah, kasih sayang dan kecerdikan si Tompok semakin menyerlah. Dia memandang sahaja anak-anaknya makan, iaitu membiarkan anak-anaknya kenyang terlebih dahulu. Apabila sembilan anak-anaknya sudah makan, maka si Tompok pula menyusuli makan saki baki makanan tadi.


“Sungguh cerdik si kucingku ini,” kata saya kepada Tompok sambil mengosok-gosok belakangya. Dia menoleh kepada saya sambil mengiau dan menyambung santapannya penuh santun.


Begitulah kasih sayang sang ibu.
Kucing pun tahu menilai kasih sayang dan memberikan perhatian kepada anak-anak. Manusia pula ada yang membelasah anak-anak tanpa belas. Ada kes kematian pula. Itu belum termasuk ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali yang tega membuang anak di tempat-tempat tertentu.

Manusia kalau sudah mengikut hasutan syaitan durjana, begitulah jadinya. Binatang pun sayangkan anak.
Kalau begitu, apa kategori yang harus diberikan kepada manusia yang menyeksa dan membuang anak? Lebih teruk dari binatang!

Tidakkah manusia mengetahui bahawa anak merupakan anugerah Allah yang mesti dijagai sehingga besar? Anugerah yang diberikan adalah sebuah tanggungjawab. Takut rezeki kurang lantaran ada anak? Mana belajar mengenai tuduhan tersebut? Itu adalah budaya Arab Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Ajaran dibawa oleh Nabi Muhammad bin Abdullah
(Sallallahhu’alaiwasallam) mengandungi kasih sayang dan cinta sesama manusia dan binatang. Setiap anak yang lahir sudah ditentukan rezekinya.

Sekiranya alasan membuang anak ialah kerana hasil dari perhubungan luar nikah, mengapa anak pula yang dipersalahkan? Malu? Tahu pula perasaan malu, tetapi melakukan perhubungan yang diharamkan oleh budaya dan agama tidak pula malu. Itulah manusia yang tidak sedar diri. Sudahlah berdosa dengan sebuah perhubungan haram, anak pula dibuang. Dosa yang ditanggung pasti amat besar. Aduhai manusia, sedarlah kalian dengan amaran dan ugutan Tuhan!

Perhatian kata-kata Allah dalam ayat berikut:


“Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Surah Al-An’am ayat 38)


Binatang juga adalah makluk Allah yang mesti diambil perhatian berat. Tidak boleh disakiti apa lagi dibunuh sewenang-wenangnya. Mereka juga berhak untuk hidup dan dipelihara sebaiknya. Ambil contoh pelakuan Nabi Muhammad (Sallallahhu’alaiwasallam) terhadap kucing dan binatang lainnya. Ambil iktibar akan kisah seorang wanita yang dimasukkan ke dalam neraka lantaran mengurung seekor kucing sehingga mati.


“Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan dari air, maka sebahagian dari haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya dan sebahagian berjalan dengan dua kaki, sedang sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Surah an-Nuur ayat 45)


Sebelumnya: Kamu Faham Cakapku, Tompok? (1)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Oct 18, 2011

Kamu Faham Cakapku, Tompok? (1)

Bab 1: Terjumpa Seekor Anak Kucing

Ketika anak gadis saya bersekolah dalam darjah empat, dia terjumpa seekor anak kucing yang kehilangan ibunya semasa perjalanan ke sekolah. Anak kucing itu berbunyi miau, miau. Kerana berasa kasihan dengan anak kucing itu, dia mengambil dan menyimpannya ke dalam beg sekolah. Sewaktu dalam kelas, anak gadis saya menyuruh anak kucing itu supaya berhenti berbunyi supaya tidak dimarahi cikgu.


“Kucing, kamu jangan bising. Nanti cikgu marah kepada aku.
Kamu jangan risau, aku akan membawamu pulang ke rumah nanti. Aku akan berikan kamu minum susu, okey?” pujuk anak gadis saya secara berbisik.

Sebaik tiba di rumah, saya melihat anak gadis saya membawa pulang seekor anak kucing. Dia memegang dan mengosok-gosok badan anak kucing tersebut.


“Cantik anak kucing itu.
Mana kamu jumpa?” soal saya sambil tersenyum kepadanya.

“Saya menjumpai dia semasa ke sekolah pagi tadi. Saya ambil dan memasukannya ke dalam beg saya. Mujur juga anak kucing ini tidak mengiau semasa berada dalam kelas. Baik pula dia apabila saya suruh dia jangan buat bising,” cerita anak saya gembira dan tersenyum riang


“Boleh kita pelihara anak kucing ini, emak?” selajur anak saya bertanya.


“Boleh. Jom kita beri dia minum susu.
Kasihan emak tengok. Tentu dia lapar dan dahaga,” saya berkata sambil mengambil anak kucing itu dari dakapan anak saya.

“Mujur juga kucing ini tidak berak atau kencing dalam beg saya, emak. Kalau tidak tentu kotor buku-buku saya,” kata anak saya sambil berjalan mengekori dari belakang.


Bulu kucing itu bertompok merah dan hitam.
Bahagian bulunya yang lain berwarna putih. Memang cantik gabungan tiga warna tersebut. Saya dan anak menuangkan susu yang dicampur air ke dalam sebuah mangkuk kecil. Apa lagi, anak kucing bertompok itu terus menjilatnya dengan laju.

“Memang sah lapar sangat dia. Tidak tahu berapa lama dia tidak makan,” saya berkata semasa mencangkung kepada anak gadis saya yang leka melihat anak kucing itu menjilat susu yang disediakan.


“Kita namakan kucing ini Tompok, ya emak?” soal anak saya memberi cadangan.


“Ya, emak bersetuju. Sesuai dengan bulunya yang bertompok-tompok tiga warna,” akur saya tersenyum memandang silih berganti di antara anak sendiri dan kucing.


“Kamu minum dahulu, ya Tompok. Aku mahu pergi mandi,” kata anak gadis saya sambil mengosok-gosok kepala si Tompok. Anak kucing itu seakan-akan memahami namanya lantas berbunyi miau-miau.


Beberapa minggu kemudian, anak kucing itu semakin membesar dan manja. Sudah pandai melompat-lompat dan bergurau senda. Setiap kali dipanggilnya, “Tompok, Tompok”, dia akan datang berlari-lari ke arah saya atau anak gadis saya. Semakin hari semakin besar si Tompok dan bertambah cantik dan sihat.


Tiap-tiap hari sebaik sahaja nampak kelibat anak gadis saya pulang dari sekolah, berlarilah si Tompok mendapatkan tuannya. Tompok akan mengesel-gesel badannya ke kaki dan betis tuannya meminta dimanjakan. Anak gadis saya lantas mendukungnya.


Setiap selang tiga hari, Tompok akan dimandikan bersama sabun. Justeru itu, badannya bersih dan bulunya juga lembut dan bertambah cantik. Saya hanya tersenyum melihat betapa akrabnya seekor kucing dengan tuannya. Saya pun tidak kisah akan adanya seekor kucing di rumah. Saya senang hati kerana anak gadis saya pandai menjaga dan membelai kucingnya.


Akan bersambung.


** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.