Showing posts with label Hijab Raja Zulqarnain. Show all posts
Showing posts with label Hijab Raja Zulqarnain. Show all posts

Apr 20, 2011

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (8)

“Ruang dan angkasa membentuk suatu ruang infiniti empat dimensi tidak tunggal dan tanpa sempadan nyata. Alam yang cucu diami sekarang ini bukan satu. Seperti alam mimpi ini, cucu sebenarnya berada di suatu dimensi kehidupan. Ianya bukan kematian, melainkan dimensi kehidupan di salah satu ruang infiniti tersebut,” jelas Tok Janggut, moyangnya yang pernah diceritakan oleh nenek kepada ibunya, kemudian diceritakan semula ibu kepadanya.

Zamri teringat, menurut ibu, pada usia tua, Tok Janggut bernikah dengan seorang perempuan di Perak. Di sanalah dia menetap. Tidak pula ibu tahu sama ada dia masih hidup atau sudah meninggal dunia. Ibu menceritakan bahawa Tok Janggut itu pernah bertapa di sebuah gua di dalam hutan negeri Perak.

Menurut cerita dari bapa-bapa saudara Zamri sebelah datuk, dia merupakan seorang Wali Allah setelah menyesal dengan sesungguhnya atas perbuatan semasa menjadi pengiring raja dahulu. Tok Janggut merupakan seorang yang kuat beribadah dan sangat takut kepada Allah.

“Datukmu hilang di pagi Hari Raya Puasa. Dia ke sungai untuk berwuduk, tetapi tidak kembali setelah lama orang menunggunya. Nenek ke sungai itu untuk melihat apa yang terjadi, namun yang ada hanya kain serban dan tongkatnya sahaja,” jelas salah seorang bapa saudara kepada ibu.

Datuk saudara ibu berkata, “Pada sebelah malamnya Moyang Cempaka bermimpi bertemu Tok Janggut. Dalam mimpi moyang, Tok Janggut berpesan tidak usah risau akan dirinya. Dia sedang bertapa di sebuah gua. Tok Janggut berpesan kepada Moyang Cempaka, bila anak-cucunya ingat dan menyebut-nyebut namanya, dia akan datang. Bila anak-cucu sakit, sebutlah namanya. Menurut Moyang Cempaka lagi, bila malam dia datang menulis ayat-ayat di dahi si sakit. Dengan izin Allah, sembuhlah sakit itu.” Zamri meraih ingatannya.

Tok Janggut tersenyum manis di sebalik pakaian serba putih dan serban putihnya kerana dapat menangkap kilatan imbasan cicitnya Zamri.

“Aku tahu dikau sekarang ini mengalami suatu fenomena yang terlalu membebankan ruang mindamu. Justeru itu, dikau wahai cucuku, pengsan dan aku moyangmu datang berhasrat ingin membantumu. Dikau pengsan di alam sana, tetapi di ruang masa di sini, dikau berkeadaan seperti biasa. Malah dikau makin pintar dan cerdas,” jelas Tok Janggut.

Zamri tersenyum dan cuba memahami apa yang dikatakan oleh Tok Janggut.

--- Akan bersambung (8).

Sebelumnya: Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (1)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (2)

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (3)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (4)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (5)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (6)

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (7)

*** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Apr 7, 2011

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (7)

Di bilik Dr. Mohamed, di Fakulti Pengajian Sejarah....

“Kamu berdua sudah memasuki bahagian yang paling sukar dalam pencarian tafsir kata-kata Allah tersebut. Para ulama Islam dahulu kala berselisih pendapat berkenaan Zulqarnain dan kisah Yakjuj dan Makjud ini. Oleh kerana itu, kamu berdua mesti melakukan banyak pembacaan dan penyelidikan yang boleh memberikan pencerahan akan siapakah Zulqarnain dan Yakjuj-Makjud ini.


“Saya merupakan jutaan umat Islam dan Melayu yang amat menyintai ilmu dan juga sejarah, lebih-lebih lagi sejarah berkaitan manusia besar dan dunia Islam. Saya juga amat menitik-beratkan setiap kupasan dan tafsiran apa sahaja dari Quran, termasuk Zulqarnain, kerana saya percaya ilmuan yang ikhlas menafsirkan kata-kata Allah diberi panduan untuk berbuat demikian.


“Ilmuan Islam zaman dahulu mungkin menafsirkan ayat-ayat Quran berdasarkan fakta-fakta yang berasaskan persekitaran masa tersebut. Kaedah atau sumber kupasan juga berkait rapat dengan teknologi di zaman itu. Justeru pencapaian teknologi dan penerokaan pengetahuan manusia semakin maju, maka tafsiran juga mengalami perubahan, kecil atau besar. Cuma tafsiran yang dilakukan walau di zaman mana pun tetap tidak lari dari asas utama, iaitu ilmu Allah yang Maha Luas. Dalam pada itu pun, para cerdik pandai abad ke-20 lalu dan mutakhir masih lagi wujud dua kem,” jelas Dr. Mohamed panjang lebar sebaik sahaja Zainal dan Zamri selesai mengemukakan masalah tafsiran yang mereka hadapi.


Mereka berdua sedang duduk berhadapan Dr. Mohamed di kerusi empuk di bilik pensyarah itu. Sebelum itu, mereka berdua sudah membuat temu-janji bagi mengemukakan hasrat mencari sedikit jalur cahaya dalam kesuraman isu sosok Raja Zulqarnain, kisah Yakjud dan Makjud, dan siapakah sebenarnya Zulqarnain tersebut.

"Al-Quran menceritakan kisah Zulqarnain dalam Surah al-Kahfi sebagai jawapan dan amaran. Al-Quran tidak secara khusus menyebut nama, sosok atau keperibadian dalam sejarah yang boleh secara terus disabitkan kepada Zulqarnain Qurani. Namun penceritaan berkaitan pengembaraan Zulqarnain, lokasi-lokasi tertentu, kaum-kaum yang disebutkan dan Yakjuj-Makjud dapat membantu dalam mencapai keputusan mengenai siapa sebenarnya Zulqarnain.


Soalan pertama dalam hal ini ialah siapakah keperibadian dalam sejarah yang sesuai dengan keyakinan dan ciri-ciri Zulqarnain, dan ekspedisi berbeza yang diharunginya sebagaimana yang disebutkan dalam Quran? Kedua, apa pentingnya Zulqarnain bagi kaum Quraisy yang menanyakan tentang dia?
Dan apa pula kaitan Yahudi dan Kristian dengan Zulqarnain?” Dr. Mohamed manajamkan sorotan matanya berselang-seli di antara Zainal dan Zamri di hadapannya. Walaupun serius, Dr. Mohamed tersenyum mesra.

“Hasil dari pembacaan dan penelitian saya, Dr. Mohamed, tampaknya ada dua keperibadian penakluk besar dan berkuasa dalam sejarah sebelum Islam yang dibawa Nabi Muhammad bin Abdullah yang empayarnya luas seperti yang disebutkan oleh Quran. Sosok itu adalah Alexander Agung penakluk Macedonia-Yunani dan Cyrus atau Korsh Agung penakluk dari Empayar Parsi. Antara ciri utama penakluk ini ialah Quran menunjukkan dia sebagai orang yang percaya pada satu Allah atau Tuhan yang Esa dan akhirat.
Dia juga digambarkan sebagai penguasa baik hati dan adil,” pintas Zamri sebaik sahaja Dr. Mohamed menoktahkan penjelasannya.

“Zainal, apa pandangan kamu dalam hal ini?” soal Dr. Mohamed kepada Zainal yang hanya termanggu sambil mengaru kepala.

“Saya juga ada membaca beberapa risalah informasi dalam Internet. Dari beberapa pembacaan ringkas itu saya mendapat gambaran siapakah Raja Zulqarnain yang disebutkan dalam Quran dan siapa pula Alexander Agung, pemerintah Macedonia. Apa yang dapat saya simpulkan berdasarkan informasi itu ialah Zulqarnain lelaki misteri dalam Quran bukanlah Alexander Macedonia,” kata Zainal.

“Saya baru selesai menelaah beberapa bab dalam buku Alexander adalah Zulqarnain. Metod dan kajian penerbitan buku ini dalam usaha mencari siapa sosok Raja Zulqarnain saya sanjungi. Ianya amat wajar diakui sebagai usaha murni membersihkan anasir-anasir Barat dan Yahudi moden, mungkin terhadap sosok insan mulia yang diperikan dalam Quran. Saya bersetuju dengan penulis Tuan Muhammad Alexander dalam perihal kajian penulisan dalam teks Yunani-Rom kuno dan Barat moden yang mencemarkan keimaman Alexander Agung. Bahawasanya mereka, penulis Yunani-Rom kuno dan Barat moden, memberikan kesimpulan berasaskan persekitaran Yunani-Rom kuno pagan dan tidak beriman. Tidak terlalu awal, mungkin, untuk saya katakan bahawa inilah buku yang pertama di dunia yang memberikan satu persembahan yang berautoriti dan autentik,” jelas Zamri yakin tanpa diminta oleh kedua-dua pengkaji di dalam bilik dingin tersebut.

“Bukankah saya sudah katakan bahawa wujud dua kem dalam kesimpulan siapakah Raja Zulqarnain. Kem pertama mengatakan Cyrus Agung, manakala kem yang kedua mengatakan Alexander Agung. Kamu berdua sahaja sudah mencerminkan kelompok dalam kedua-dua kem itu,” Dr. Mohamed membuat taakulan sambil perhatian beliau silih berganti di antara dua sahabat itu. Tersenyum mereka bertiga.


“Dr. Mohamed, boleh saya tambah terhadap pernyataan saya tadi?” mohon Zamri.


“Silakan, Zamri. Saya cukup teruja dengan usaha kamu berdua,” kata Dr. Mohamed.


“Pihak yang menyokong hipotesis atau pandangan Alexander bukan Raja Zulqarnain mengatakan bahawa dia adalah seorang politeis atau penyembah berhala, dan tidak ada pelakuan kebaikan yang bertamadun dan keadilan secara jelas tercatat dalam sejarah. Dalam masa yang sama dari kem kedua juga, mereka menghujahkan bahawa Cyrus menganut ajaran Zarathustra yang dibawa oleh Nabi Zarathustra. Nabi itu berkhutbah dan membawa ajaran kepercayaan satu Tuhan, akhirat dan semua perbuatan baik yang lain,” terang Zamri lancar.

“Padahal seperti mana yang dijelaskan oleh Tuan Muhammad
Alexander, pelakuan dan keimanan Alexander anak Raja Philips terhadap keEsaan Allah disalah mengertikan oleh sejarawan. Ini terjadi kerana kebiasaan budaya tertentu sejarawan Yunani untuk menjelaskan perihal perkara asing, sudut kepercayaan mereka, cara dan kebiasaan dari perspektif etnosentris. Mereka melihatnya dari sebuah lensa Greek Yunani pagan. Ada kemungkinan bahawa ketika Alexander menyembah satu Tuhan, atau ketika dia menggambarkan nama dan sifat yang berbeza, atau ditawarkan penyembelihan binatang kepadaNya, para sejarawan Yunani menggambarkan bahawa seolah-olah dia menyembah tuhan Zeus atau Heraklius atau Ammon,” jelas Zamri berkeyakinan jitu dengan roman muka serius.

“Tahniah, Zamri! Kamu nampaknya begitu serius dalam memperkatakan bahawa Raja Zulqarnain itu adalah Alexander Mecedonia. Sekiranya kamu yakin, kamu harus membuktikan dengan analisa yang terperinci. Jika kamu bersungguh-sungguh, maka tidak keterlaluan untuk saya simpulkan bahawa kertas projek kamu nanti boleh dipanjangkan menjadi tesis pengajian lanjutan nanti. Teruskan usaha kamu,” puji Dr. Mohamed terhadap hujah Zamri.

“Hipotesis kamu pula, Zainal, tidak salah juga. Kamu seperti Zamri perlu buktikan dengan hujah-hujah kamu tersendiri. Itu pun sekiranya kamu tidak mahu berubah kesimpulan. Ingat, dua kem,” jelas Dr. Mohamed tersenyum senang dengan kesungguhan kedua-dua pelajarnya.

--- Akan bersambung (7).


Sebelumnya:
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (1)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (2)

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (3)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (4)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (5)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (6)

*** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Mar 23, 2011

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (6)

Perjalanan kedua ke arah Timur....

“Zamri, diskusi kita ini kelihatan seolah-olah di permukaan sahaja. Aku sudah cuba menelaah buku-buku rujukan, tetapi aku bagaikan tidak jumpa lagi kesimpulan yang harus ditaakul,” soal Zainal menampakkan kerut di dahi.

“Ya, aku tahu, Zainal. Tetapi kita memerlukan permulaan dalam pemahaman kata-kata Allah dalam surah al-Kahfi ini terlebih dahulu. Selain dari itu, kita mesti merujuk tafsir-tafsir ulamak berkenaan sosok ini. Memang sedikit pening dan akan menjadi berjela-dela jadinya apabila kita mendalaminya. Tidak mengapa. Kita diskusikan perlahan-lahan. InsyaAllah, kita akan bakal menemui apa yang dicari,” jawab Zamri yakin.

“Setelah berada beberapa lama di bahagian barat, Zulqarnain meneruskan perjalanannya ke arah timur. Allah memudahkan gerakan beliau dengan kata-kataNya:

“Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.” (Surah al-Kahfi ayat 89-91)

“Kata-kata Allah “daerah matahari terbit” merujuk kepada fonomena terbitnya matahari dari ufuk timur. Kawasan tersebut bukanlah di persisiran pantai seperti mana di perjalanan yang pertama,” lanjut Zamri meneruskan penjelasan yang difahaminya.

“Menurut hemat aku, ‘Suatu kaum yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya’ merupakan suasana satu kumpulan manusia yang mendiami kawasan di mana matahari terbit. Untuk memahami ayat ini, terdapat dua penafsiran dari ulamak Islam. Pendapat pertama mengatakan penduduk di situ tidak berpakaian ataupun bertelanjang bulat. Ini membawa maksud bahawa kaum manusia di situ masih lagi tidak bertamadun. Manakala pendapat yang kedua pula mengatakan kawasan kependudukan komuniti itu terdiri daripada padang pasir yang tidak terlindung dari panas matahari. Struktur buminya berbanjaran dan gurun terbuka tanpa ada sebarang pokok,” Zainal menyambung.

“Kita cuba ringkaskan dahulu perjalanan Zulqarnain yang ketiga,” Zamri memberi cadangan.

Zamri menyambung, “Kemudian kita kupas satu demi satu secara terperinci. Sekiranya perlu, kita buat temu-janji dengan Dr. Mohamed. Pasti beliau boleh membuat sedikit pencerahan dalam hal yang kita diskusikan ini.”

Perjalanan ketiga....

“Pengembaraan yang dipandu Ilahi itu seterusnya menuju ke timur lagi sehingga tiba di suatu kawasan atau daerah di antara dua bukit. Aku bacakan terjemahan kata-kata Allah tersebut.”

“Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: “Wahai Zulqarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”

“Dia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zulqarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”. (Surah al-Kahfi ayat 83 – 98)

---- Akan bersambung.

Sebelumnya: Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (1)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (2)

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (3)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (4)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (5)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Feb 14, 2011

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (5)

“Assalamualaikum, Zamri. Kau sudah okey sekarang? Bagaimana dengan sakit kepala kau? Kau sudah makan? Kau boleh berdiskusi lagi dengan aku?” Bertalu-talu soalan dari Zainal bergema menusuk gegendang telinga Zamri dari telefon bimbit.

“Kalau iya pun, Nal. Satu-satulah,” Zamri menjawab ceria.

Zamri menyambung, “Alhamdulillah, aku sudah kebah sejak dua hari lalu. Bukankah aku sudah nyatakan aku biasa dengan pening kepala itu.”

“Aku bukan apa, Zamri. Aku risau sebenarnya. Syukurlah kalau kau sudah okey sekarang. Jadinya kita perlu berbincang lagi akan kertas projek kita ini. Memandangkan hanya kita berdua sahaja yang mengambil sosok sejarah yang sama, iaitu Raja Zulqarnain, maka kita berdua perlu saling bertukar-tukar hipotesis dan nota,” jelas Zainal yang sedang duduk bersandar di dinding bilik tidurnya.

“Okey, bos! Hari masih awal lagi. Kau datang ke apartment aku dan kita keluar sarapan dulu. Kemudian kita berbincang di ruang tamu rumah aku pula,” akur Zamri sambil tergelak kecil. Di kiri dan kanannya terdapat beberapa buah buku rujukan, nota kuliah dan kitab tafsir Quran. Walaupu diserang pening kepala dua hari lepas, Zamri tetap menekuni kerja-kerjanya.

Perjalanan pertama ke arah Barat......

Sebaik sahaja mereka berdua selesai bersarapan di gerai menjual makanan berdekatan apartment, kedua-dua rakan karib itu bersegera naik ke apartment Zamri. Sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas sofa, mereka membuka buku-buku dan kitab yang menjadi rujukan.

“Kita teruskan perbincangan yang terbantut dua hari lepas dengan memfokuskan kepada perjalanan pertama Zulqarnain ke arah Barat,” kata Zamri.

“Selama dua hari kau kurang sihat itu, aku sudah menelaah beberapa perkara dan aku juga sudah menjadualkan masa untuk kita menonton kembali diskusi di TV tempoh hari berkenaan Yakjuk dan Makjud di bilik AV perpustakaan universiti,” jelas Zainal tenang memandang Zamri di hadapan sofa satu lagi di ruang tamu.

“Okey, Nal. Bagus! Kita bincangkan hal perjalanan pertama Zulqarnain ke arah Barat dahulu,” tingkah Zamri.

“Zulqarnain meneruskan perjalanan atau penggembaraannya ke arah Barat sehingga tiba di suatu lokasi di mana terbenamnya matahari. Lokasi ini adalah suatu tempat yang apabila orang melihatnya, seolah-olah matahari terbenam di belakang ufuk pemandangan. Zulqarnain mendapati matahari terbenam di dalam laut.

“Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar).” (Surah al-Kahfi ayat 86). Zamri membaca terjemahan kata-kata Allah tersebut.

“Kata-kata Allah di atas merujuk kepada ketibaan Zulqarnain di satu lokasi di persisiran sebuah pantai. Dia berdiri di situ tanpa berhasrat untuk terus maju bagi membuka atau menakluknya. Di tempat ketibaan ini, Zulqarnain menemui suatu kaum yang berkata kepadanya, seperti ayat-ayat Allah berikut:

“Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulqarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”. (Surah al-Kahfi ayat 86)

“Dalam kata Allah berikutnya, Zulqarnain bertindak bijak sesuai dengan panduan dari Allah.

“Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”. (Surah al-Kahfi ayat 87 - 88)

Zainal diam sahaja sambil dengan kusyuk mendengar teliti penjelasan Zamri.

“Okey, Nal. Jangan angguk-angguk bak burung belatuk mencari ulat di batang pokok sahaja. Ini bukan sesi kuliah atau ceramah,” Zamri berkata sambil tergelak kecil.

Zamri meneruskan pertanyaan kepada Zainal, “Apa yang kau faham atau apa hujah kau?”

“Allah telah memberikan kekuasaan kepada Zulqarnain dan membenarkan apa jua tindakannya yang berkaitan kaumnya dan kaum yang dijumpai itu. Allah memberi kebebasan kepadanya sama ada untuk menyeksa mereka atau bersikap baik. Zulqarnain telah menyatakan prinsipnya terhadap negara-negara atau wilayah-wilayah yang dibukanya. Dengan prinsip kebaikan Zulqarnain itu, penduduk sesuatu wilayah terhutang budi dengan ajaran Islam yang dipegang kejap oleh Zulqarnain. Dia tidak menyeksa mereka di atas kekuasaan anugerah Allah tersebut,” jelas Zainal tanpa lengah walaupun disindir oleh Zamri.

“Inilah suatu prinsip pemerintahan yang baik. Para Mukmin wajib dimuliakan dan dipermudahkan urusan mereka. Dalam masa yang sama mereka dibalas dengan kebaikan juga dari pemerintah. Manakala, pastinya, mereka yang melampaui batas dan jahat diberikan balasan buruk oleh Tuhan,” sambung Zainal seterusnya.

“Bravo, sahabat! Kau memang hebat. Tidak sia-sia aku berikan kau dua hari untuk membaca,” puji Zamri tersenyum girang. Lantas mereka bertampar tapak tangan tanda bersepakat.

--- Akan bersambung.

Sebelumnya: Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (1)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (2)

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (3)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (4)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Feb 4, 2011

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (4)

“Bahagian terakhir dari kata-kata Allah dalam Surah al-Kahfi ayat 92 – 98 mempunyai tiga persoalan utama. Siapakah Yakjuj dan Makjud? Di mana mereka berada? Apakah onar mereka dan di mana mereka sekarang atau masih wujudkan mereka?” kata seorang ahli panel bernama Ustaz Samsujali sambil mengajukan persoalan.

“Sebagaimana kata Sayyid Qutb dalam tafsir Qurannya, persoalan ini amat sukar untuk dijawab kerana kita tidak mengenali mereka kecuali melalui apa yang dikatakan Zulqarnain dalam ayat yang dibaca tadi. Mari kembali merujuk kata-kata Allah yang bermaksud “Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zulqarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”. Harus diingat bahawa Allah tidak membataskan masa dalam hal berkenaan. Apa yang pasti Allah berjanji akan membuka tembok itu.

“Pada hemat saya, janji tersebut sudah terlaksana. Ada kemungkinan sewaktu serangan bangsa Tartar dan Mongul yang mengganas menakluk negara demi negara. Kedua-dua bangsa penjajah ganas ini membuat kerosakan dan hura-hara di atas muka bumi. Kejahatan mereka tiada tandingnya. Dalam kes ini, terdapat kata-kata Allah dalam surah lain.,” jelas Ustaz Samsujali lantas membaca ayat-ayat Quran dari Surah Anbiyaa’ ayat 96 – 97.

Seterusnya Ustaz Samsujali membaca terjemahannya, “Hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tempat yang tinggi; Dan hampirlah datang janji Allah yang benar.” (Surah al-Anbiyaa’ ayat 96 – 97)

“Kata Allah ini juga tidak membataskan waktu tertentu. Apa yang pasti, apabila keluarnya Yakjuj dan Makjud, maka kiamat semakin hampir semenjak zaman Nabi Muhammad bin Abdullah (SAW). Harus diingat bahawa hitungan masa oleh Allah amat berlainan dengan hitungan masa kita sebagai manusia. Sela masa di antara tanda-tanda kecil kiamat dan tanda-tanda besar hampir kiamat telah berlalu berjuta tahun dahulu. Manusia melihatnya masa tersebut sangat panjang, walhal bagi Allah ianya mungkin sangat pendek.”

“Tidak salah untuk saya menyimpulkan bahawa tembok atau benteng kukuh yang dibina oleh Zulqarnain itu telah berjaya dipecahkan akibat serangan bangsa Tartar dan Mongul yang merupakan Yakjuj dan Makjud. Terdapat satu hadis sahih Rasulullah (SAW) yang mengkisahkan perihal Yakjuj dan Makjud ini.”

“Sufyan al-Thauri melaporkan daripada ibunya Habibah bahawa isteri Rasulullah Zainab binti Jahasyh berkata, “Rasulullah terjaga dari tidurnya dengan muka merah, baginda berkata, “Celakalah orang Arab kerana kejahatan telah hampir berlaku. Pada hari ini diselongkar (dipecahkan) timbunan (tembok) Yakjuj dan Makjud seperti ini.” Lantas baginda memusingkan ibu jari dan jari telunjuknya. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, adakah kami semua akan musnah sedangkan ada di antara kami yang beramal soleh?” Rasulullah menjawab, “Ya, jika banyaknya keburukan.”” (Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad)

“Dalam hadis yang lain, Abu Hurairah berkata, “Rasulullah (SAW) berkata, “Yakjuj dan Makjuj menebuk tembok setiap hari sehingga mereka dapat melihat cahaya matahari. Lalu pemimpin (mereka) berkata, “Baliklah dan sambunglah pada esok pagi.” Kemudian Allah mengembalikan tembok tersebut menjadi lebih keras (lagi) sehinggalah sampai waktunya Allah akan mengirimkan mereka kepada manusia sehingga mereka boleh menebuknya,” jelas Ustaz Samsujali petah dan lancar sambil tersenyum memandang tuan moderator.

Tuan moderator tersenyum sambil memberi anggukan terhadap isyarat dari Ustaz Samsujali tersebut.

“Tuan-tuan puan-puan para penonton, kini saya serahkan diskusi ini kepada Tuan Afarezz Abdul Razak bagi menyambung huraian Ustaz Samsujali sebentar tadi. Silakan, Tuan Afarrezz,” moderator menyerahkan majlis kepada ahli panel kedua.

“Terima kasih. Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman, mimpi Rasulullah itu sudah terjadi hampir 14 kurun yang lalu. Itu perkara pasti, bahawa mimpi Rasulullah adalah benar dan datangnya dari Allah. Namun pandangan saya berkenaan siapakah Yakjuj dan Makjud berlainan sedikit. Dalam buku saya berjudul Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain, saya ada memetik sumber yang menyatakan bahawa kaum Yakjuj dan Makjud secara kaburnya dikenali oleh orang-orang Rom dan Yunani sebagai Scythian. Kaum Scythian ini adalah satu kaum yang berumpun, yang daripadanya wujud suku kaum kecil termasuklah Cimmerian, Huns dan Khazar. Mereka juga merupakan susur galur percampuran kaum Mongul dan Tartar di zaman purba.”

“Kepala aku sakitlah, Zainal. Terasa mual pula,” kata Zamri sambil menundukkan kepala.

“Eh! Kau kenapa, Zamri?” soal Zainal sedikit risau ternampakkan di raut mukanya. Sambil itu isi diskusi di kaca TV seakan-akan tenggelam. Tumpuan mereka berdua teralih.

“Aku sudah biasa dengan situasi ini sebenarnya, Nal. Sejak aku kecil dahulu kalau tumpuan aku kepada sesuatu memuncak, aku akan pening kepala. Dahulu semasa di Besut, sekiranya aku demam panas, aku sering berasa seolah-olah dunia sekeliling aku menjadi herot dan nampak jauh. Aku dapat melihat hujung kaki aku sendiri pun kelihatan jauh,” jelas Zamri menjawab kerisauan sahabatnya Zainal sambil mengukir senyuman.

Zamri menyambung, “Tetapi kalau demam panas aku itu tidak kebah juga, biasanya emak atau Mak Teh aku akan panggil datuk aku untuk baca apa-apa yang patut. Selalunya datuk aku akan taburkan beras kunyit ke segenap dinding rumah. Entahlah, aku pun kurang faham kala itu. Tetapi alhamdulillah, kebah pula demam aku itu. Hilang suasana persekitaran kejauhan tersebut.”

“Menarik pula cerita kau, Zam. Diskusi ini pun sudah mahu selesai. Mujur aku sudah minta kawan kita di perpustakaan yang bertugas di bilik AV supaya rakamkan rancangan ini. Boleh kita membuat rujukan kembali nanti. Betulkah kau tidak apa-apa, Zam?” soal Zainal kembali lantas bangun ke arah tempat duduk Zamri.

“Aku okey. Kau boleh balik ke apartment dahulu, Nal. Lagi pun badan aku terasa lesu sedikit. Aku perlu tidur.”

“Kau jangan risau sangat. InsyaAllah, aku boleh uruskan diri sendiri. Lagi pun rakan-rakan serumah aku sudah pulang. Kau tolong bawakan aku segelas air suam,” pinta Zamri kepada Zainal.

Tanpa banyak soal, Zainal pun bersegera ke ruang dapur dan menuangkan segelas air suam untuk Zamri. Sebaik air suam tadi memasuki perut Zamri, Zainal terus menuju ke pintu dan menyarung kasutnya. Dengan salam kesejahteraan untuk sahabat karibnya, Zainal melangkah tenang ke lif yang akan membawanya ke bawah bangunan.

--- Akan bersambung.

Sebelumnya: Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (1)
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (2)

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (3)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Jan 19, 2011

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (3)

Sebulan yang lalu.....

“Tuan-tuan dan cikpuan-cikpuan, saya ingin memberikan tugas penting kepada kamu semua, iaitu menyiapkan kertas projek yang membawa markah yang besar terhadap keperluan pengijazahan. Subjek utama ialah mencari sosok dalam sejarah dan huraikan apa yang telah dia berikan kepada dunia, sama ada dunia Islam ataupun kemanusiaan sejagat. Kamu semua bebas mencari apa sahaja sumber rujukan,” kata Dr. Mohamed di akhir sesi kuliahnya.
Sesi kuliah tersebut merupakan kelas terakhir untuk semester ini bagi subjek di bawah kelolaannya.

Dr. Mohamed mengatakan seterusnya, “Tajuk-tajuk yang dipilih mestilah dikemukakan kepada saya selewat-lewatnya dua minggu dari sekarang. Tuan-tuan dan cikpuan-cikpuan boleh memberitahu saya sosok sejarah yang dipilih melalui emel ataupun melalui rangkaian intranet jabatan sejarah. Selepas kamu semua memilih sosok sejarah tersebut, saya bagi tempoh dua minggu lagi untuk membuat perubahan pilihan. Selepas tempoh itu, saya tidak membenarkan sebarang pertukaran lagi. Kamu semua faham?”


“Dr. Mohamed, bolehkah kami memilih sosok yang sama?” tanya salah sorang pelajar.

“Ya, boleh. Tetapi setiap dari kamu mesti menghantar kertas projek secara berasingan. Ini kerja individu. Dalam pada itu, sebarang kesimpulan boleh sahaja sama, tetapi susunan dan kaedah penyampaian mesti berbeza. Sekiranya ada kesamaan dalam segenap segi, sehinggakan ayat demi ayat, perenggan demi perenggan, tidak boleh tidak pastinya ada unsur-unsur plagiat dan peniruan. Jika ini terjadi maka saya tidak teragak-agak akan memberikan markah yang sangat rendah ataupun pelajar tersebut mesti mengulangi semula keseluruhan proses di semester hadapan.” Dr. Mohamed menjelaskannya dengan raut muka yang serius.

“Huh! Serius benar muka Dr. Mohamed itu, Nal,” bisik Zamri sambil membongkok sedikit menghampiri Zainal yang berada di satu barisan di hadapannya dalam dewan kuliah. Zainal hanya tersenyum.

--- Akan bersambung.

Sebelumnya:
Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (1)

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (2)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Jan 13, 2011

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (2)

“Mujur kau baca perlahan-lahan terjemahannya. Sekiranya tidak, pasti aku terkial-kial untuk memahaminya secara jelas,” kata Zainal sebaik sahaja Zamri menyudahkan pembacaan terjemahan ayat-ayat Allah tersebut.

“Kata-kata Allah tadi telah membuka hijab zaman sebelum Masihi dan menyebutkan perihal peristiwa akan datang. Kau harus memahami intipati berkaitannya, Zainal,” ulas Zamri lagi. Zainal bersetuju dengan anggukan perlahan-lahan.


Seterusnya Zamri bertanya, “Bermula dengan kata-kata Allah “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulqarnain”, apa yang kau faham?”


“Menurut hemat aku yang serba daif ini, ianya merujuk kepada pihak atau orang yang bertanya kepada Nabi Muhammad bin Abdullah berkenaan sosok sejarah bernama Zulqarnain. Lalu Allah menjawab dengan kata-kataNya, “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya,”” Zainal menjawab sambil merujuk kitab terjemahan Quran di hadapannya.


“Siapakah orang yang bertanya itu?” Soal Zamri lagi kepada rakannya Zainal sambil mengangkat kening dan memandang tepat ke mata Zainal.


“Dalam kitab-kitab tafsir Quran, terdapat dua riwayat atau perekodan berkenaan mereka. Untuk tujuan perbincangan ini, kita merujuk kepada tafsir Quran oleh Sayyid Qutb,” jawab Zainal sambil mengeluarkan sebuah kitab yang merupakan tafsir Fi Dzilal al-Quran.


“Wah! Kau memang sudah bersedia dengan kitab tafsir demi diskusi ini, Zainal? Kau pinjam dari perpustakaan universiti?” soal Zamri teruja dengan inisiatif sahabatnya.


“Ya, itu sebab aku perlukan bantuan kau dalam menyiapkan kertas projek ini. Kau lebih bijak sedikit daripada aku. Aku ulang, bijak sedikit daripada aku,” jawab Zainal tersengih sambil mengetuk-ngetuk meja perlahan-lahan dengan jemari tangan kirinya.


“Kau memang tidak mahu mengalah dengan aku, kawan. Okey, kita teruskan perbincangan ini. Kau baca apa yang Sayyid Qutb jelaskan.”


“Sayyid Qutb dalam tafsir Fi Dzilal al-Quran berkata, “Kaum Musyrikin Mekah menghantar utusan kepada Yahudi Madinah bagi mencari helah tentang kebenaran kenabian Muhammad. Kaum Yahudi lebih mengetahui mengenai perkara ini kerana mereka adalah ahli kitab dan ilmu pengetahuan mereka tentang nabi-nabi tidak ada pada Musyrikin Mekah. Pendita Yahudi di Madinah berkata kepada utusan itu, “Kamu bertanyalah kepada Muhammad tentang seorang lelaki yang mengelilingi dunia, bermula dari timur bumi hingga ke baratnya. Apa yang akan diceritakannya?”.

“Seterusnya Pendita Yahudi berkata, “Tanyalah kepadanya juga tentang sekumpulan pemuda yang ditelah di telan zaman. Apa yang berlaku kepada mereka? Dan tanyakan kepadanya tentang roh, apakah ia yang sebenarnya. Sekiranya dia memberitahu (secara lancar) mengenai tiga perkara ini, maka dia adalah nabi dan ikutlah dia. Sekiranya dia tidak memberitahu kamu, maka dia adalah pendusta. Justeru itu, bertindaklah terhadapnya mengikut apa yang kamu nampak,"" lancar sahaja bacaan Zainal, lantas memanggul kepala kembali melihat Zamri.

“Zam, kau dengar lagi. Sayyid Qutb berkata lagi, “Sesungguhnya di sana ada yang bertanya kepada Rasulullah tentang Zulqarnain. Lalu Allah mewahyukan kepadanya ayat-ayat yang baginda bacakan dalam sirahnya itu. Kita tidak mempunyai sumber-sumber lain selain daripada Quran dalam sirah ini dan kita tidak memiliki ilmu yang secukupnya untuk mengetahui semuanya. Tafsir-tafsir telah mengemukakan banyak pendapat, namun ia merupakan sesuatu yang tidak dapat dipastikan. Sudah pasti kita perlu berhati-hati agar ia tidak terjerumus ke dalam perangkap Israeliyyat dan penipuan.”


“Seterusnya Sayyid Qutb menerangkan, “Telah dinyatakan dalam gaya bahasa Quran bahawa Zulqarnain mengalami tiga perjalanan. Pertamanya perjalanan ke barat. Satu lagi ke timur dan satu lagi adalah tempat (lokasi) di antara dua gunung. Kita ikuti tiga perjalanan yang ditakdirkan oleh Allah di atas bumi. Dia (Zulqarnain) telah diberikan kekuasaan dan kekentalan jiwa. Allah mempermudahkan kepadanya pemerintahan, pembukaan negara, dan sebab-sebab pembinaan dan kemakmuran. Begitu juga dikurniakan kepadanya segala apa yang diberikan kepada manusia dalam kehidupan di dunia ini.””


“Okey, Zainal. Cukup untuk hari ini. Jangan banyak sangat informasi yang masuk ke dalam minda. Ini pun aku sudah mula terasa pening. Waktu solat Maghrib sudah hampir, lebih kurang lima minit lagi. Aku solat di rumah kau sahaja hari ini. Kau jadi imam, boleh?” akui Zamri akan kelesuan mindanya sambil menutup buku-buku di hadapan.

“InsyaAllah boleh, Zam. Oh ya! Kebetulan malam ini ada satu perbincangan dalam TV berkenaan Yakjuj dan Makjud. Baik kita ikuti. Mana tahu boleh jadi input untuk kertas projek kita,” akur Zainal sambil mengajak rakannya menonton rancangan tersebut. Zamri bersetuju.


--- Akan bersambung.

Sebelumnya: Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (1)

** Adaptasi dari buku Al-Quran dan Sains Moden oleh Ali Abdul Hamid Abu al-Khair. Penulisan semula dalam bentuk novel diusahakan oleh Web Sutera dalam bahasa Melayu moden.

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

Jan 6, 2011

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (1)

“Oi! Kau tidurkah?” jerkah Zainal sebaik telefon bimbit di sebelah sana dijawab.

“Amboi, Nal. Indah sungguh bahasa kau. Bagilah salam dahulu,” tempelak Zamri tanpa berselindung.

“Maaf, Zam. Assalamualaikum, wahai sahabat hamba.”

“Alaikumsalam warahmatullah. Bukankah itu yang paling baik. Kau ada apa hal telefon aku petang begini?”

“Aku sudah telefon kau tiga kali. Mengapa kau tak angkat? Telefon mahal kau masuk air atau apa?” soal Zainal sambil ketawa.

“Hahaha. Maaflah kawan. Aku sebenarnya malas mahu jawab panggilan kau apabila aku nampak nama kau tertera di skrin telefon aku. Jangan kecil hati, sahabat. Aku sedang sibuk dengan pembacaan dan kajian untuk kertas projek sejarah,” jawab Zamri sambil matanya tidak lepas dari halaman buku yang sedang ditatapnya.

“Aku sudah agak. Kau sejak aku kenal hampir 5 tahun lalu memang begitu. Kalau kau asyik dengan sesuatu, pasti kau buat pekak kerbau, terutamanya kalau aku panggil,” pintas Zainal sambil tertawa senang di hujung talian satu lagi.

“Aik? Mana kau dapat peribahasa pekak kerbau itu? Mana ada dalam kamus!” soal Zamri acuh tak acuh.

“Peribahasa itu aku cipta sendiri. Dulu emak aku kata, kerbau kalau sedang berkubang dalam selut, kau janganlah kacau dia. Tak akan dilayannya kau. Sekiranya kerbau itu bengang, dia akan mendengus-dengus sambil menjengkelkan mata,” Zainal menjawab dengan nada serius sambil tangan kanannya diangkat ke atas.

“Betulkah begitu? Baru aku tahu sekarang salah satu perangai kerbau. Nal, kau tak buat kertas projekkah? Kita ada masa hanya kurang dari sebulan lagi sebelum diserahkan kepada Dr. Mohamad. Eh! Apa-apa hal pun, kau di mana sekarang ini. Aku dengar bising sahaja?”

“Aku sedang bingung sekarang ini, Zam. Itulah sebab aku telefon kau. Aku baru sahaja keluar dari perpustakaan. Boleh aku jumpa kau di rumah. Boleh bincang dan bertukar idea serta nota. Lagi pun kita buat kertas projek dengan tajuk yang sama, iaitu berkenaan hubungan Alexander Agung Macedonia dengan Zulqarnain dalam Quran,” Zainal mengadu kepada sahabat baiknya sambil mata tunduk ke bawah memerhatikan kaki sendiri.

“Okey, kau datang ke rumah aku sekarang. Nanti aku buatkan minuman kegemaran kau, air suam,” pantas Zamri menjawab sambil ketawa terkekeh-kekeh.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Kedua-dua sahabat itu sedang berhadapan di sebuah meja yang dipenuhi beberapa buku, nota kuliah dan dua buah laptop. Hampir setengah jam yang lalu, Zainal tiba ke rumah penginapan Zamri. Penghuni lain di rumah tersebut keluar dengan aktiviti masing-masing.

“Sebelum memulakan diskusi kita, aku dengan segala hormatnya meminta kau mengumandangkan bacaan ayat-ayat Allah surah al-Kahfi berkenaan Zulqarnain. Aku tahu suara kau merdu didengar apabila kau melagukan bacaan Quran,” kata Zamri memandang sahabatnya Zainal sambil mengulum senyum.

“Okey sahaja. Aku tak ada hal. Hulurkan aku Quran itu,” jawab Zainal sambil menunjuk senaskah Quran yang terletak di atas sebuah rehal kayu.

“Hah! Kau jangan buat hal, Nal. Pergi ambil wuduk dahulu. Walaupun aku tahu bahawa ada ulamak yang menfatwakan boleh memegang Quran tanpa berwuduk, tetapi aku tetap berpegang kepada pendapat mazhab Syafie yang mengatakan tidak boleh memegang Quran tanpa air sembahyang.” Zainal tersengeh dan lantas bangun menuju ke bilik air.

Usai sahaja berwuduk, Zainal membaca ayat-ayat Quran dengan lancar. Selama lima minit suasana rumah bujang tersebut dihiasi keindahan kalimah Allah.

“Memang bagus bacaan kau, Nal. Bukankah aku sudah cakap, suara kau memang merdu. Kalau ada awek yang mendengar bacaan berlagu kau tadi, pasti dia orang terpikat,” puji Zamri jujur sambil menggeleng-geleng kepala tanda terpesona.

“Sudah! Jangan hendak memuji aku lebih-lebih. Sekarang giliran kau pula membaca terjemahan kata-kata Allah tadi.”

“Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulqarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

“Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulqarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.

"Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.

“Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

“Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: “Wahai Zulqarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” Dia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zulqarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar” . (Surah al-Kahfi ayat 83 – 98),” Zamri membaca penuh tertib dan perlahan-lahan bagi memudahkan mereka berdua berdiskusi.

--- Akan bersambung.

** Adaptasi dari buku Al-Quran dan Sains Moden oleh Ali Abdul Hamid Abu al-Khair. Penulisan semula dalam bentuk novel diusahakan oleh Web Sutera dalam bahasa Melayu moden.