Jan 6, 2011

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (1)

“Oi! Kau tidurkah?” jerkah Zainal sebaik telefon bimbit di sebelah sana dijawab.

“Amboi, Nal. Indah sungguh bahasa kau. Bagilah salam dahulu,” tempelak Zamri tanpa berselindung.

“Maaf, Zam. Assalamualaikum, wahai sahabat hamba.”

“Alaikumsalam warahmatullah. Bukankah itu yang paling baik. Kau ada apa hal telefon aku petang begini?”

“Aku sudah telefon kau tiga kali. Mengapa kau tak angkat? Telefon mahal kau masuk air atau apa?” soal Zainal sambil ketawa.

“Hahaha. Maaflah kawan. Aku sebenarnya malas mahu jawab panggilan kau apabila aku nampak nama kau tertera di skrin telefon aku. Jangan kecil hati, sahabat. Aku sedang sibuk dengan pembacaan dan kajian untuk kertas projek sejarah,” jawab Zamri sambil matanya tidak lepas dari halaman buku yang sedang ditatapnya.

“Aku sudah agak. Kau sejak aku kenal hampir 5 tahun lalu memang begitu. Kalau kau asyik dengan sesuatu, pasti kau buat pekak kerbau, terutamanya kalau aku panggil,” pintas Zainal sambil tertawa senang di hujung talian satu lagi.

“Aik? Mana kau dapat peribahasa pekak kerbau itu? Mana ada dalam kamus!” soal Zamri acuh tak acuh.

“Peribahasa itu aku cipta sendiri. Dulu emak aku kata, kerbau kalau sedang berkubang dalam selut, kau janganlah kacau dia. Tak akan dilayannya kau. Sekiranya kerbau itu bengang, dia akan mendengus-dengus sambil menjengkelkan mata,” Zainal menjawab dengan nada serius sambil tangan kanannya diangkat ke atas.

“Betulkah begitu? Baru aku tahu sekarang salah satu perangai kerbau. Nal, kau tak buat kertas projekkah? Kita ada masa hanya kurang dari sebulan lagi sebelum diserahkan kepada Dr. Mohamad. Eh! Apa-apa hal pun, kau di mana sekarang ini. Aku dengar bising sahaja?”

“Aku sedang bingung sekarang ini, Zam. Itulah sebab aku telefon kau. Aku baru sahaja keluar dari perpustakaan. Boleh aku jumpa kau di rumah. Boleh bincang dan bertukar idea serta nota. Lagi pun kita buat kertas projek dengan tajuk yang sama, iaitu berkenaan hubungan Alexander Agung Macedonia dengan Zulqarnain dalam Quran,” Zainal mengadu kepada sahabat baiknya sambil mata tunduk ke bawah memerhatikan kaki sendiri.

“Okey, kau datang ke rumah aku sekarang. Nanti aku buatkan minuman kegemaran kau, air suam,” pantas Zamri menjawab sambil ketawa terkekeh-kekeh.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Kedua-dua sahabat itu sedang berhadapan di sebuah meja yang dipenuhi beberapa buku, nota kuliah dan dua buah laptop. Hampir setengah jam yang lalu, Zainal tiba ke rumah penginapan Zamri. Penghuni lain di rumah tersebut keluar dengan aktiviti masing-masing.

“Sebelum memulakan diskusi kita, aku dengan segala hormatnya meminta kau mengumandangkan bacaan ayat-ayat Allah surah al-Kahfi berkenaan Zulqarnain. Aku tahu suara kau merdu didengar apabila kau melagukan bacaan Quran,” kata Zamri memandang sahabatnya Zainal sambil mengulum senyum.

“Okey sahaja. Aku tak ada hal. Hulurkan aku Quran itu,” jawab Zainal sambil menunjuk senaskah Quran yang terletak di atas sebuah rehal kayu.

“Hah! Kau jangan buat hal, Nal. Pergi ambil wuduk dahulu. Walaupun aku tahu bahawa ada ulamak yang menfatwakan boleh memegang Quran tanpa berwuduk, tetapi aku tetap berpegang kepada pendapat mazhab Syafie yang mengatakan tidak boleh memegang Quran tanpa air sembahyang.” Zainal tersengeh dan lantas bangun menuju ke bilik air.

Usai sahaja berwuduk, Zainal membaca ayat-ayat Quran dengan lancar. Selama lima minit suasana rumah bujang tersebut dihiasi keindahan kalimah Allah.

“Memang bagus bacaan kau, Nal. Bukankah aku sudah cakap, suara kau memang merdu. Kalau ada awek yang mendengar bacaan berlagu kau tadi, pasti dia orang terpikat,” puji Zamri jujur sambil menggeleng-geleng kepala tanda terpesona.

“Sudah! Jangan hendak memuji aku lebih-lebih. Sekarang giliran kau pula membaca terjemahan kata-kata Allah tadi.”

“Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulqarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

“Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulqarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.

"Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.

“Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

“Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: “Wahai Zulqarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” Dia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zulqarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar” . (Surah al-Kahfi ayat 83 – 98),” Zamri membaca penuh tertib dan perlahan-lahan bagi memudahkan mereka berdua berdiskusi.

--- Akan bersambung.

** Adaptasi dari buku Al-Quran dan Sains Moden oleh Ali Abdul Hamid Abu al-Khair. Penulisan semula dalam bentuk novel diusahakan oleh Web Sutera dalam bahasa Melayu moden.

9 comments:

Anonymous said...

salam..diharapkan sambungan ini akn cepat2 diupdate.. :)

Web Sutera said...

InsyaAllah, sdr. Tanpa Nama :-)

Anonymous said...

Assalam.. Selain novel2 Ramlee Awang Murshid, saya juga suka baca novel berkisar tentang masa lampau.. bila novel ni akan siap?? tak sabar nak baca... http://bit.ly/96R1rw

Web Sutera said...

Terima kasih, sdr. Tanpa Nama http://bit.ly/96R1rw. Saya bikin perlahan-lahan, ok? :-). Saya juga peminat tegar RAM.

Doakan saya diberikan kekuatan oleh Allah.

Anonymous said...

Assalammulaikum...

Saya suka novelni..sebuah novel yang ada unsur2 agama. Teruskan usaha berkarya novel2 yg sebegini.Semoga usaha anda diberkati olehNYA..

Web Sutera said...

Alaikumsalam warahmatullah, sdr. Tanpa Nama di atas. Terima kasih atas galakan semangat itu. Saya cuba untuk memeriahkan dunia sastera bahasa Melayu. Dalam masa yang sama, mencari redha Allah :-)

nuralwahid said...

menarik...i'll follow this story..

Anonymous said...

salam...bila nak dijadikan senaskah novel??plot yer sangat menarik..

Web Sutera said...

Assalamualaikum, sdr. Nuralwahid dan Anon. Terima kasih atas tinggalan jejak. InsyaAllah akan bersambung. Sekarang ini sedang giat untuk kerja penulisan lain.

Bila mahu dibukukan? Saya kurang pasti. Doakan saya :-)