Jan 13, 2011

Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (2)

“Mujur kau baca perlahan-lahan terjemahannya. Sekiranya tidak, pasti aku terkial-kial untuk memahaminya secara jelas,” kata Zainal sebaik sahaja Zamri menyudahkan pembacaan terjemahan ayat-ayat Allah tersebut.

“Kata-kata Allah tadi telah membuka hijab zaman sebelum Masihi dan menyebutkan perihal peristiwa akan datang. Kau harus memahami intipati berkaitannya, Zainal,” ulas Zamri lagi. Zainal bersetuju dengan anggukan perlahan-lahan.


Seterusnya Zamri bertanya, “Bermula dengan kata-kata Allah “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulqarnain”, apa yang kau faham?”


“Menurut hemat aku yang serba daif ini, ianya merujuk kepada pihak atau orang yang bertanya kepada Nabi Muhammad bin Abdullah berkenaan sosok sejarah bernama Zulqarnain. Lalu Allah menjawab dengan kata-kataNya, “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya,”” Zainal menjawab sambil merujuk kitab terjemahan Quran di hadapannya.


“Siapakah orang yang bertanya itu?” Soal Zamri lagi kepada rakannya Zainal sambil mengangkat kening dan memandang tepat ke mata Zainal.


“Dalam kitab-kitab tafsir Quran, terdapat dua riwayat atau perekodan berkenaan mereka. Untuk tujuan perbincangan ini, kita merujuk kepada tafsir Quran oleh Sayyid Qutb,” jawab Zainal sambil mengeluarkan sebuah kitab yang merupakan tafsir Fi Dzilal al-Quran.


“Wah! Kau memang sudah bersedia dengan kitab tafsir demi diskusi ini, Zainal? Kau pinjam dari perpustakaan universiti?” soal Zamri teruja dengan inisiatif sahabatnya.


“Ya, itu sebab aku perlukan bantuan kau dalam menyiapkan kertas projek ini. Kau lebih bijak sedikit daripada aku. Aku ulang, bijak sedikit daripada aku,” jawab Zainal tersengih sambil mengetuk-ngetuk meja perlahan-lahan dengan jemari tangan kirinya.


“Kau memang tidak mahu mengalah dengan aku, kawan. Okey, kita teruskan perbincangan ini. Kau baca apa yang Sayyid Qutb jelaskan.”


“Sayyid Qutb dalam tafsir Fi Dzilal al-Quran berkata, “Kaum Musyrikin Mekah menghantar utusan kepada Yahudi Madinah bagi mencari helah tentang kebenaran kenabian Muhammad. Kaum Yahudi lebih mengetahui mengenai perkara ini kerana mereka adalah ahli kitab dan ilmu pengetahuan mereka tentang nabi-nabi tidak ada pada Musyrikin Mekah. Pendita Yahudi di Madinah berkata kepada utusan itu, “Kamu bertanyalah kepada Muhammad tentang seorang lelaki yang mengelilingi dunia, bermula dari timur bumi hingga ke baratnya. Apa yang akan diceritakannya?”.

“Seterusnya Pendita Yahudi berkata, “Tanyalah kepadanya juga tentang sekumpulan pemuda yang ditelah di telan zaman. Apa yang berlaku kepada mereka? Dan tanyakan kepadanya tentang roh, apakah ia yang sebenarnya. Sekiranya dia memberitahu (secara lancar) mengenai tiga perkara ini, maka dia adalah nabi dan ikutlah dia. Sekiranya dia tidak memberitahu kamu, maka dia adalah pendusta. Justeru itu, bertindaklah terhadapnya mengikut apa yang kamu nampak,"" lancar sahaja bacaan Zainal, lantas memanggul kepala kembali melihat Zamri.

“Zam, kau dengar lagi. Sayyid Qutb berkata lagi, “Sesungguhnya di sana ada yang bertanya kepada Rasulullah tentang Zulqarnain. Lalu Allah mewahyukan kepadanya ayat-ayat yang baginda bacakan dalam sirahnya itu. Kita tidak mempunyai sumber-sumber lain selain daripada Quran dalam sirah ini dan kita tidak memiliki ilmu yang secukupnya untuk mengetahui semuanya. Tafsir-tafsir telah mengemukakan banyak pendapat, namun ia merupakan sesuatu yang tidak dapat dipastikan. Sudah pasti kita perlu berhati-hati agar ia tidak terjerumus ke dalam perangkap Israeliyyat dan penipuan.”


“Seterusnya Sayyid Qutb menerangkan, “Telah dinyatakan dalam gaya bahasa Quran bahawa Zulqarnain mengalami tiga perjalanan. Pertamanya perjalanan ke barat. Satu lagi ke timur dan satu lagi adalah tempat (lokasi) di antara dua gunung. Kita ikuti tiga perjalanan yang ditakdirkan oleh Allah di atas bumi. Dia (Zulqarnain) telah diberikan kekuasaan dan kekentalan jiwa. Allah mempermudahkan kepadanya pemerintahan, pembukaan negara, dan sebab-sebab pembinaan dan kemakmuran. Begitu juga dikurniakan kepadanya segala apa yang diberikan kepada manusia dalam kehidupan di dunia ini.””


“Okey, Zainal. Cukup untuk hari ini. Jangan banyak sangat informasi yang masuk ke dalam minda. Ini pun aku sudah mula terasa pening. Waktu solat Maghrib sudah hampir, lebih kurang lima minit lagi. Aku solat di rumah kau sahaja hari ini. Kau jadi imam, boleh?” akui Zamri akan kelesuan mindanya sambil menutup buku-buku di hadapan.

“InsyaAllah boleh, Zam. Oh ya! Kebetulan malam ini ada satu perbincangan dalam TV berkenaan Yakjuj dan Makjud. Baik kita ikuti. Mana tahu boleh jadi input untuk kertas projek kita,” akur Zainal sambil mengajak rakannya menonton rancangan tersebut. Zamri bersetuju.


--- Akan bersambung.

Sebelumnya: Hijab Raja Zulqarnain – Sebuah Novel (1)

** Adaptasi dari buku Al-Quran dan Sains Moden oleh Ali Abdul Hamid Abu al-Khair. Penulisan semula dalam bentuk novel diusahakan oleh Web Sutera dalam bahasa Melayu moden.

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

8 comments:

Anonymous said...

Assalammulaikum..

Terima Kasih...saya suka Novelni. Teruskan usaha berkarya Novel yg bercirikan Agama..semoga usaha anda diberkati olehNYA..AMIN. Saya akan tunggu sambungan yg seterusnya..:)

SD

Web Sutera said...

Alaikumsalam, sdr. Tanpa Nama. InsyaAllah, saya akan usahakan. Tetapi tak boleh kerap sangat buat sambungannya, nanti pening lalat! :-)

Halimah Tak Berapa Jonggang said...

Boleh tanya. 'Adaptasi' itu apa dia?

Web Sutera said...

Alamak, Halimah Tak Berapa Jonggang! Adaptasi ialah suatu bentuk proses penulisan. Secara mudah ianya merujuk kepada novel atau fiksyen daripada buku-buku sejarah. Dalam pada itu proses adaptasi juga merupakan penulisan semula dengan gaya bahasa moden bagi buku atau kitab lama yang sudah menjadi hak awam.

Diharap dapat membantu :-) .

Linda Amri said...

Sudah baca sepintas lalu. Mahu dibukukankah abg web? Menarik! Untuk menarik golongn remaja membacanya harus ditambahkan santai sedikit sebab persoalan ini agak berat. teruskan krn ia suatu perkongsian ilmu yg baik :)

Imran Azmi said...

Penulisan yang baik. Komen saya tidak seberapa, saya dapati seperti banyak dialog sehala iaitu daripada seorang pencerita kepada seorang pendengar. Zamri seperti melakonkan pendengar yang taat. Mungkin boleh masukkan perbahasan atau hujah balas daripada Zamri. Itu akan mengasah pemikiran pembaca. Teruskan menulis.

Web Sutera said...

Pn. Linda, ok dengan faktor santai. Saya akan ambil perhatian.

Tn. Imran, terkesan dengan komen dialog sehala. Akan diperbaiki, insyaAllah. :-) Ok, perbahasan dan penghujahan. Saya mesti merujuk banyak buku lagi.

Eezan Kamardin said...

Web Sutera, tak nak bukukan cerita ni? Citer ni menarik skali. (Dari FB RAMFC)