Orang-orang bukan Islam semakin tercabar dengan kemenangan dan kemakmuran Islam di kota Madinah. Pada masa itu tiga orang pemimpin kaum Yahudi keturunan bani Nadhir yang bernama Huyay bin Akhtab, Sallam bin Musykin dan Sallam bin Abi Huqaiq memulakan kembali misi permusuhan untuk memusnahkan Rasulullah.
Mereka menghasut suku-suku kaum yang telah dikalahkan sebelum ini oleh tentera Muslimin supaya menubuhkan ketumbukan tentera baharu bagi menggempur tentera Nabi Muhammad bin Abdullah.
Mereka berkata, “Marilah kita bergabung dengan pemimpin Khaibar dan orang-orang Quraisy yang menentang Muhammad. Kita bina satu pakatan tentera yang besar bagi menyerang Muhammad dan pengikutnya di Madinah.”
Ketiga-tiga orang pemimpin Yahudi itu mula menggerakkan misi peperangan dengan menghantar beberapa wakil ke tempat suku-suku Arab bagi melaksanakan perancangan jahat mereka.
Kata wakil mereka kepada pemimpin Quraisy, Abu Sufyan, “Marilah kita membentuk pasukan besar menentang Muhammad! Kali ini orang-orang Muhammad pasti akan kalah dengan persediaan rapi dan gabungan besar yang akan dibentuk.”
Abu Sufyan bersetuju dan kemudian berkata, “Dengan syarat aku yang akan memimpin pasukan serangan ini.”
Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang dan seumpama orang mengantuk disorong bantal, ketiga-tiga pemimpin Yahudi tersebut bersetuju sebulat suara dengan hasrat Abu Sufyan itu.
Pada suatu hari Abu Sufyan bertanya kepada pemuka agama Yahudi, “Mana yang lebih baik, agama kami ataupun agama Muhammad?”
Pendeta kaum Yahudi yang sememangnya memusuhi Islam menjawab, “Bahkan agama tuan lebih baik daripada agama Muhammad.”
Usaha pembentukan tentera besar bagi menyerang Madinah diteruskan tanpa jemu. Gerakan kaum Yahudi dan mereka yang bersekongkol diteruskan kepada kaum Ghatafan, suku keturunan Sulaim dan Ahabish.
“Kami bersetuju dengan gerakan serangan bagi memusnahkan Muhammad dan agamanya,” kata ketua kaum Ghatafan. Begitu juga ketua suku kaum Sulaim dan Ahabish.
Akhirnya ketumbukan tentera Musyrikin di bawah pakatan Yahudi berjaya mengumpulkan 10,000 orang tentera.
Nabi Muhammad bin Abdullah mengetahui perancangan dan pergerakan tentera Musyrikin tersebut dengan berita yang disampaikan oleh Malaikat Jibrail. Justeru itu baginda mengadakan mesyuarat tergempar bagi menghadapi tentera bersekutu orang bukan Islam Quraisy, gabungan suku-suku Arab dan Yahudi Khaibar.
Salman al-Farisi memberikan cadangan dengan berkata, “Wahai pesuruh Allah, kami di Parsi memiliki strategi khusus apabila tentera yang besar menyerang kami.”
Nabi Muhammad bin Abdullah bertanya, “Apakah strategi itu? Sila nyatakan.”
“Ketika sebuah kota telah dikepung, maka tiada jalan lain kecuali menggali parit di sekeliling kota Madinah.”
Nabi Muhammad bin Abdullah dan para sahabat bersetuju dengan cadangan daripada Salman al-Farisi.
Setelah kata putus di sesi mesyuarat itu, operasi penggalian parit dimulakan serta-merta.
Nabi Muhammad bin Abdullah menyusun gerak kerja dengan berkata, “Bahagikan operasi ini kepada beberapa kumpulan. Satu kumpulan terdiri daripada 10 orang. Setiap kumpulan bertanggungjawab menggali sepanjang 40 kaki panjang dan dalamnya kira-kira apabila tentera jatuh, sukar untuk memanjat keluar semula. Lebarnya pula kira-kira tidak dapat dilepasi oleh loncatan kuda, kecuali kuda-kuda Arab yang asli dan terlatih.”
Sambil menggali parit, para sahabat bernyanyi, “Wahai Tuhan, tiada kehidupan kecuali kehidupan akhirat. Ampunilah golongan Ansar dan Muhajirin. Demi Allah, tanpa Engkau kami tidak mendapat hidayah.”
Nabi Muhammad bin Abdullah juga turut menyanyi sambil meneruskan misi pembinaan parit di sekeliling kota Madinah.
@@@@@@@@@@@@
Masa terus berlalu. Sementara itu tentera gabungan kaum bukan Islam semakin menghampiri Madinah. Tentera Muslimin pula terus menerus mengerjakan operasi penggalian parit tanpa berehat. Mereka bekerja siang dan malam bagi mengejar masa yang genting itu.
Pada ketika itu, kumpulan pimpinan Salman al-Farisi sedang menumpukan usaha penggalian parit yang terdapat halangan batu besar yang sangat keras untuk dipecahkan.
Salman al-Farisi berkata, “Cuba pecahkan dengan segera. Kita sudah kesuntukan masa.”
Pelbagai usaha menggunakan banyak kaedah bagi memecahkan batu besar itu, namun tetap tidak memberikan sebarang kesan ke atas batu itu.
Salah seorang sahabat dalam kumpulan Salman mengadu, “Kita sudah cuba memukul batu ini dengan menggunakan kapak. Namun ia tetap degil, langsung tidak retak.”
Lantas Salman al-Farisi berkata, “Nampak gaya kita perlu meminta bantuan Rasullullah. Mari para sahabat, kita adukan kepada baginda.”
Sebaik tiba di lokasi Nabi Muhammad bin Abdullah sedang bekerja, Salman al-Farisi berkata, “Wahai pesuruh Allah, di kaki bukit sana terdapat sebongkah batu besar yang sangat keras sehingga kami tidak boleh memecahkannya. Kami sudah berusaha sekuat mungkin, namun batu itu tetap kukuh.”
Lantas baginda bersegera pergi ke lokasi batu besar tersebut. Sebaik sahaja tiba, Nabi Muhammad bin Abdullah berkata kepada Ali bin Abu Talib, “Siramkan batu besar ini dengan air.”
Kemudian baginda mengambil tukul besi dari tangan Salman al-Farisi lalu membaca Bismillah dan berdoa. Baginda memukul batu besar itu dengan sekuat tenaga sehingga keluar percikan api. Batu itu pecah satu pertiga bahagian.
“Allahu Akhbar!” Baginda bertakbir, kemudian menyambung kata-katanya, “Telah dibuka kepada saya negeri Syam (Rom Timur). Demi Allah, saya dapat melihat istana-istananya yang berwarna merah.”
Melihat batu besar itu terbelah, kemudian Nabi Muhammad bin Abdullah membaca Bismillah dan memukul batu itu kali kedua. Sekali lagi percikan api memancar daripada belahan batu yang pecah sepertiga lagi.
“Allahu Akhbar!” Baginda bertakbir lantas lantas menyambung kata, “Telah dibuka kepada saya negara Parsi. Demi Allah, saya dapat melihat istana-istana Mada’in berwarna putih.”
Baginda mengulangi tindakan itu buat kali yang ketiga, dan batu itu pun berderai pecah.
Baginda berkata, “Allahu Akhbar! Saya sudah diberikan kunci negeri Yaman. Demi Allah, saya telah melihat dari sini pintu-pintu negeri Yaman itu.”
Orang-orang Munafik apabila mendengar kata-kata Rasulullah itu segera mengejek dengan mengatakan, “Tiada janji Allah kepada kami dan Rasul-Nya kecuali hanya tipuan belaka.
Nabi Muhammad bin Abdullah memberikan penegasan dengan berkata, “Kami akan memperoleh mahkota Kisra dan Kaisar dengan kemenangan Islam.”
Kemudian baginda berkata lagi bagi menguatkan wahyu Allah yang dinampakkan kepada Rasul-Nya, “Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”
Pada saat-saat yang genting itu, Nabi Muhammad bin Abdullah menyatakan dengan ilmu Allah berkenaan khabar gembira kepada umat Islam akan kejatuhan kerajaan Rom Timur dan Parsi, dua kuasa besar tatkala itu.
Pada tahun ke-14 Hijrah iaitu sembilan tahun selepas itu, tentera Muslimin berjaya mengalahkan Rom di Syam, dan kemudian Syam berjaya diamankan dalam perang Yarmuk. Manakala pada tahun ke-15 Hijrah iaitu 10 tahun daripada ucapan baginda, bala tentera Parsi pula dikalahkan oleh tentera Islam dalam peperangan Qadisiah.
Sebelumnya: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)

2 comments:
Moga usaha kita diberkati-Nya.
Amin. Amin. Amin :-)
Post a Comment