Mar 8, 2012

Perang Konstantinopel: Pendahuluan

Ada orang kata membaca buku-buku seperti novel sejarah pahlawan Islam akan mengakibatkan anak menjadi teroris. Pendapat saya, orang yang berkata begitu sama ada jahil mengenai sejarah Islam atau terpengaruh dengan dakyah Yahudi dan Amerika Syarikat.

Dalam soal tuduhan teroris ini, suka saya nyatakan bahawa rambut kita mungkin sama hitam atau sama perang, namun hati dan tanggapan lain-lain. Teringat kata ulamak Dr. Yusuf Qaradawi, begini, “Jika menyokong perjuangan Islam itu dikatakan teroris, biarkan saya jadi terroris.”

Saya tidak mahu bersikap apologetik dalam hal ini. Kita ambil contoh Sultan Muhammad al-Fateh yang dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi dan mangkat pada 3 Mei 1481 Masihi ketika berusia 49 tahun.

Pakar sejarah Byzantine yang berpusat di kota Konstantinopel mengatakan, “Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad al-Fateh menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad al-Fateh dengan usahanya ini mengatasi Alexander the Great!”

Nabi Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam) pernah berkata, “Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandonya ialah sebaik-baik pasukan.” (Hadis dilaporkan Ahmad bin Hanbal dalam al-Musnad)

Itulah Sultan Muhammad al-Fateh. Beliau memimpin satu pasukan seramai 250 ribu tentera Islam menakluk kota kemegahan dan keangkuhan Rom Timur itu pada hari Selasa, 29 Mei 1453 Masihi, bersamaan 20 Jamadil Awal 857 Hijrah. Ketika itu usia beliau ialah 21 tahun.

Sultan Muhamad al-Fateh menukar nama kota Konstantinopel kepada Istanbul lalu menjadikan ibu kotanya. Kemudian beliau menakluki Serbia pada tahun 1460 dan Bosnia pada tahun 1462.

Seterusnya Sultan Muhamad al Fateh menakluk Itali, Hungari, dan Jerman. Ketika berada dikemuncak kegemilangannya, Sultan Muhamad al Fateh memerintah 25 buah negara. Kemudian beliau membuat persiapan menakluk Rhodesia tetapi meninggal dunia kerana diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa.

Wawasan Sultan Muhamad al Fateh ialah hanya Islam penyelamat di dunia, apatah lagi di akhirat. Ambil teladan pejuang Islam Sultan Muhammad al-Fateh ini. Beliau tidak pernah lelah, kecewa dan putus-asa dalam memperjuangkan kebenaran Islam serta ampuh mengatur strategi dan taktikal peperangan.

Operasi menawan kota Konstantinopel turut ada kisah sebelumnya. Seorang sahabat Nabi Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam) dan pejuang Islam bernama Abu Ayub al-Ansari direkodkan sejarah sebagai pejuang yang berwawasan tinggi. Sewaktu diketahuinya bala tentera Islam bergerak menuju ke arah Konstantinopel, beliau segera memacu kudanya dengan membawa pedang.

Abu Ayub mengalami luka-luka teruk di medan Konstantinopel. Ketika komander perang Islam, Yazid bin Muawiyah, menjenguknya, beliau dalam keadaan nazak. Yazid bin Muawiyah bertanya, “Apakah keinginan engkau, wahai Abu Ayub?”

Beliau meminta Yazid bin Muawiyah sekiranya beliau syahid, jenazahnya dibawa dengan kuda sejauh mungkin mendekati kota Konstantinopel dan dikebumikan di situ. Apakah tujuannya? Ia supaya beliau tetap mendengar derapan larian kaki-kaki kuda perang memerangi musuh Allah. Walaupun sudah meninggal dunia, beliau masih ingin terus berjuang!

Justeru Abu Ayub dapat mendengar larian kemenangan dan laungan Allahu-Akhbar di bawah kepemimpinan Sultan Muhammad al-Fateh beberapa ratus tahun kemudiannya. Di jantung kota Konstantinopel yang sekarang bernama Istanbul terdapat kubur pejuang Islam bernama Abu Ayub al-Ansari sehingga kini.

Sejarah mencatatkan sebelum wilayah itu dikuasai oleh umat Islam, orang-orang Rom dan warga Konstantinopel melihat Abu Ayub di kuburnya sebagai orang suci. Semua ahli sejarah mencatatkan bahawa orang-orang Rom sering berkunjung dan menziarahi kuburnya, dan meminta hujan melalui perantaraannya apabila mereka berhadapan dengan musim kemarau.

Saya titipkan pengajaran yang dibentangkan oleh Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, "Saya tegaskan sekali lagi bahawa perpaduan akan tercapai jika semua pihak menerima Islam sebagai asas dan al-Quran sebagai panduan. Alangkah sedihnya di dalam mencari penawar terhadap perpecahan ummah ini, ramai yang masih meraba-raba dalam kegelapan, mencari cahaya sedangkan di tangan sendiri sudah ada lampu suluhnya.”

** Hakcipta Terpelihara 2012 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

2 comments:

Linda Amri said...

Terima kasih. Perkongsian yang hebat & penuh makna. Fakta yang tidak diketahui ramai. Saya suka perenggan terakhir, Allahuakbar!

Web Sutera said...

Terima kasih, Puan Linda Amri.