Sekarang
Mustakim berkata sambil
memandang lelaki itu, “Kali terakhir aku jumpa kau, kau kelihatan bengis. Kini nampak
ceria sahaja. Ada perubahan dalam hidup?”
Karim memandang lelaki
yang lebih tua tiga tahun daripadanya. Dia menguntum senyum, lalu menjawab sepatah, "Hijrah."
Mereka berada di bilik
mesyuarat makmal utama forensik komputer dan sibernatik di ibu pejabat Agensi Kajian
dan Perisikan Sibernatik (AKPS). Beberapa orang lagi turut berada di situ.
Mereka akan diberikan taklimat sebentar lagi. Dua petugas sibuk menekan
beberapa kekunci paparan kristal cecair - LCD.
Mustakim bertanya, "Kau
ingat dia orang datang ke Nusantara ini untuk mencari rempah ratus?”
Kali ini Karim tersengih
kerang, lalu bertanya, “Belum habis lagi perbincangan kita dua tahun lalu?”
Kemudian dia menyambung, “Itulah sejarah yang mereka tulis, mencari ‘spice’.”
“Itu hanya metafora,
kawan. Spice atau rempah ratus berupa
barang berharga, penting dalam masakan di dunia timur ini. Kau ingat mereka
begitu bodoh datang ke wilayah ini hanya untuk itu? Rempah ratus konon! Yang
dia orang cari ialah emas dan harta yang tersembunyi.”
“Ya. Aku akur tentang hal
itu. Memang dasar penjajah yang hanya berkehendak harta kekayaan. Dalam masa
yang sama semaikan doktrin jahat.”
“Kau sendiri pun ... dan
malah semua orang sedar yang mereka bersepakat membahagikan wilayah kekuasaan
mereka. Semenanjung Tanah Melayu diserahkan kepada Portugis dan Inggeris.
Kepulauan Indonesia dikuasai oleh Belanda. Manakala di Filipina, Sepanyol
menjarah peribumi. Jangan pula kau lupa di selatan tanah Siam, di Kemboja dan
sekitarnya.”
Kemudian Mustakim
menyambung penerangannya. “Kau mahu tahu apa yang aku baca?”
Sahabatnya mengangguk.
“Orang Islam di Kemboja
adalah dari keturunan Cham. Ada juga di kalangan mereka berasal dari keturunan
Jawa dan Khmer. Justeru budaya setempat, kebanyakan mereka kemudiannya tinggal
dan diserap ke dalam komuniti Cham. Itu sebab perbezaan keturunan ini semakin
kabur, atau sengaja dikaburkan.
"Dari sisi lain pula, komuniti
Cham berasal dari kerajaan Champa, sebuah kerajaan maritim yang sangat masyur
pada sekitar kurun ke-7 sehingga kejatuhannya pada tahun 1832. Kerajaan ini
berpusat di sebuah wilayah, kini di Vietnam selatan. Seperti kebanyakan
kerajaan Melayu lama yang wujud sekitar kurun ke-7, kerajaan Champa yang
asalnya menganut agama Hindu-Buddha, bertukar menjadi kerajaan Islam setelah islamnya golongan raja dan bangsawan mereka. Menjadi adat masyarakat di kala
itu, apabila pemerintah memeluk Islam, maka secara majoritinya rakyat turut
berbuat demikian.”
Karim menyampuk, “Ya, pedagang-pedangang Arab, India dan Melayu
Melaka yang islamkan mereka. Kerajaan Perancis pula memainkan peranan di
wilayah Indochina itu.”
“Tahu pun kau. Sebelum itu pada
tahun 1471, kerajaan Vietnam semakin kuat dan berpengaruh. Justeru akhirnya
mereka hapuskan pusat kerajaan Cham utara yang bernama Vijaya. Maka pada
tahun 1832, saki-baki kerajaan Cham lain dihapuskan sama sekali. Pada selang
waktu kejatuhan kerajaan Champa ke tangan Vietnam ini, kebanyakan orang Champa
berhijrah ke tempat lain, dan kebanyakan akhirnya menetap di Kemboja. Mereka
turut memasuki tanah Siam dan Semenanjung Tanah Melayu.”
Diam sebentar. Masa masih
ada lagi untuk mereka berbual-bual.
Kemudian Karim
berkata, “Sejak Khalifah Uthmaniah bebaskan kota Konstantinopel pada tahun 1453,
pihak Eropah mulai sedar kemelut yang mereka hadapi. Justeru beberapa tahun
kemudian, mereka mula cuba menguasai maritim, dengan arah mereka ialah di
timur, ke wilayah Nusantara.”
** Untuk fragmen sebelumnya, mohon klik label Hijab Bermuda.
** Untuk fragmen sebelumnya, mohon klik label Hijab Bermuda.
** Hakcipta Terpelihara 2013 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
0 comments:
Post a Comment