Oct 15, 2014

Gua Cinta - Prolog

Ini kisah aku, bagaimana aku memeluk Islam, menyertai dunia mujahiden dan berjuang jihad di wilayah yang jauh. Aku ada banyak kejayaan dan dalam masa yang sama bukan sedikit kegagalan, atau rencam juga kekesalan yang memaut jiwa. Namun ini adalah kehidupan aku, usaha jihad ketika diperlukan. Bukan sedikit juga ilusi pemerintah Amerika Syarikat terhadap peperangan ke atas keganasan.

Kosa kata fundamental Islam, jihad dan mujahiden bukan perkara baharu kepada dunia. Dalam masa yang sama, terbitnya istilah terorisme, penculikan dan pembunuhan dalam kamus yang menjadi ilusi jahat pasca kejadian 11 September 2001. Justeru suatu fenomena baharu muncul. Bahkan semua kosa kata yang aku sebut itu terjalin menjadi satu, yakni perang ke atas ‘teroris Islam’.

Sungguh, semua itu tidak semudah yang disebut dan didogmakan. Berada dalam dunia fundemantal Islam bukan bermakna kamu menyokong atau terlibat dalam terorisme. Berjuang dalam medan jihad bukan bererti kamu atau aku menculik orang atau membunuh orang awam.

Meskipun begitu, rakyat Amerika Syarikat ditakutkan dengan fundamentalisme, jihad dan mujahiden sebagai ancaman keselamatan negara. Walhal kesamaran yang ditanam dalam pemikiran rakyat hanyalah justeru mereka kurang memahami Islam atau siapakah mujahiden atau sebab musabab berjuang dalam medan jihad.

Menyentuh tentang jihad, para orientalis, penulis Barat dan Yahudi, dan media milik mereka sekian lama memainkan doktrin agar kosa kata ‘jihad’ terhapus dari dunia Islam. Secara profesional dan teratur, mereka menyinsing lengan mengadun kebenaran dengan kepalsuan. Mereka mengembleng tenaga bagi mencipta riak demi untuk kelirukan dunia dan orang-orang Islam tentang jihad.

Mereka – musuh-musuh Islam itu - sedaya upaya membuang makna jihad dari dalam dada umat Islam. Kerana apa? Kerana musuh-musuh Islam itu tahu sekiranya semangat jihad ini berada dalam rukun Islam yang sebenar, ia adalah kobaran api pemanas dan penggerak kehidupan umat Islam di setiap zaman, khususnya di akhir zaman kini.

Sungguh mereka musuh-musuh Islam mengerti, semangat jihad ini adalah suatu tenaga raksasa yang tidak boleh disekat, suatu energi yang menggugat impian imperialisme. Jihad menggugat slogan ‘Gold, Glory and Gospel’, yang merupakan ‘jihad’ musuh Islam yang dianuti oleh konglomerat imperialis dan neo-kolonialis Barat dan Zionis. Di sebalik hijab ialah Iblis dan Dajjal.

Perkataan ‘jihad’ adalah diambil dari bahasa Arab, secara literal bermaksud ‘perjuangan menentang sesuatu’. Namun di dunia Barat, ia diterjemah sebagai ‘perang suci’. Dalam Islam, jihad bukanlah perkataan main-main, bukan juga semudah disebut. Secara mudah setiap muslim dilarang berlawan atau membunuh seseorang, dan kemudian disebut jihad.

Untuk usaha jihad diisytiharkan, suatu situasi mesti mempunyai kriteria khusus seperti mana digariskan dalam kitab al-Quran dan sirah Nabi Muhammad. Salah satu situasinya ialah apabila wilayah atau negara umat Islam atau Negara Islam diserang dan muslim dibunuh, maka jihad diperlukan. Dalam situasi ini, menjadi kewajipan setiap muslim berjihad, sama ada secara bantuan kemanusiaan atau berjuang di medan tempur.

Walaupun begitu, jihad banyak peraturannya, seperti dilarang membunuh orang awam atau tidak bersenjata; tanaman dan pokok-pokok tidak boleh dimusnahkan; dan binatang ternak tidak boleh dibunuh. Bahkan rumah-rumah ibadah agama lain haram dimusnahkan, seperti mana juga orang Islam tidak boleh memaksa penganut lain memeluk Islam.

Penglibatan aku di Bosnia, aku bersaksi dan mengetahui banyak perkara. Tentera dan orang Serbia membunuh lebih daripada 200 ribu muslim. Di bandar Sebrenica misalnya, hanya dalam masa satu hari sahaja, lebih enam ribu orang Islam disembelih di hadapan anggota Pengaman PBB. Perang di Afghanistan, lebih satu juta orang Islam terbunuh di tangan penjajah Soviet Union. Di wilayah kecil Chechnya, setakat aku maklum perang masih berlangsung, secara brutal tentera Rusia membunuh paling kurang 200 ribu muslim.

Jadi kamu kena memahami siapakah yang dipanggil mujahiden. Secara mudah mereka ialah orang-orang Islam seluruh dunia yang berani menyahut panggilan jihad dan berjuang mempertahankan negara-negara umat Islam di Bosnia, Chechnya, Afghanistan dan lain-lain lokasi yang diperlukan. Belum lagi aku berbicara usaha jihad di tanah Palestin.

Peristiwa serangan 11 September 2001 adalah kejadian yang sangat aku kesalkan. Ia bukan sahaja kerana aku tidak dapat menyekat kejadian itu, malah yang lebih utama ialah ia memberi kefahaman kotor terhadap jihad. Tanpa mengira adakah orang Islam terlibat atau tidak dalam onar itu, apa yang terpalit ialah persepsi awam menyalahkan mujahiden. Belum apa-apa, mujahiden didogma sebagai teroris yang wajib diperangi.

Justeru George Bush isytihar perang ke atas ‘teroris Islam’. Akibatnya usaha untuk menyelamatkan pembantaian umat Islam hanya dipandang enteng, atau dengan berkata ‘baru padan muka’.

Aku nyatakan bahawa pihak CIA, Pentagon, FBI dan Rumah Putih Amerika Syarikat tidak mahu warganya, juga warga dunia, memahami tempur sebenar ke atas terorisme. Dia orang tidak mahu kamu tahu bahawa beberapa orang perampas 11 September berada dalam senarai FBI seawal tahun 1999. Walhal dalam masa yang sama, untuk sekian lama, teroris Zionis-Yahudi terus ditepuk belakangnya dan didodoi dalam buaian.

Aku dengan ini ingin membawa satu kisah, yang aku harap dapat memberi gambaran jelas. Kau orang perlu tahu fakta perang, kerana aku di medan itu sekian lama. Kesalahfahaman dan taburan doktrin saraf perlu dibongkar kerana ketakutan tidak berasas itu bukan menjadi penyelamat, malah memusnahkan kita semua, terutamanya rakyat Amerika Syarikat.

Sebuah perjalanan dan manifestasi aku, sebagai seorang penganut Islam yang berjihad di medan tempur demi cinta aku terhadap umat Islam dan manusia sejagat, juga cintakan syahid abadi.

Dan aku rasa ... doktrin yang dimainkan oleh pemerintah Amerika Syarikat akan berpanjangan, seandainya dunia masih lagi dibodohkan mereka, andai dunia Islam masih berada di dalam kepompong negara-bangsa. Paling tidak, agar anak-anak muda Islam mula mengerti bahawa ada agenda besar di sebalik serangan terhadap umat Islam, sama ada dalam bentuk budaya atau militer.

Aku hamba Allah yang daif dan mengharap redha-Nya, Abu Mujeeb.

** Hakcipta Terpelihara 2014 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: