Mar 23, 2015

Konspirasi Maharaja - Fragmen 1

Kitab suci al-Quran dalam surah al-Baqarah, al-Hijr, al-A’raf dan al-Isra’ menceritakan bahawa Allah berkata kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.”

Para malaikat bertanya, “Adakah Engkau, Ya Tuhan kami, hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”

Allah menegaskan, “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang tidak kamu ketahui.”

Allah berkata seterusnya, “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya. Apabila Aku sempurnakan kejadiannya serta Aku tiupkan padanya roh daripada-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.”

Setelah selesai kejadian Adam, maka sujudlah sekalian malaikat, kecuali satu. Azazil enggan mematuhi perintah Allah Azza Wajalla itu.

Allah berfirman, “Apakah penghalangnya yang menyekat kamu daripada sujud ketika Aku perintahkan kamu?”

Si laknat itu menjawab, “Aku lebih baik daripada Adam. Engkau, wahai Tuhanku, jadikan aku daripada api sedangkan dia, Engkau jadikan daripada tanah. Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

Allah murka. Justeru, Dia mengkafirkannya dengan bertegas, “Turunlah engkau dari syurga ini kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya. Oleh sebab itu, keluarlah! Sesungguhnya engkau daripada golongan yang hina!”

Maka jadilah dia Sang Iblis yang berbuat jahat dan ingkar akan perintah Penciptanya yang Maha Perkasa lagi Maha Gagah.
***

Di dasar samudera yang sangat gelap

Dia bermenung, mengimbas kembali saat-saat itu. Wajahnya terlihat tegang, kadangkala tersenyum sinis. Azazil nama asalnya.

Pada suatu waktu – tatkala alam buana dihuni oleh banyak kaum jin - dia diangkat menjadi maharaja bagi semua kaum jin itu. Dia adalah sejenis makhluk jin yang sangat taat kepada Allah Taala dan diberi kepandaian yang terlalu banyak, sejak diambil oleh malaikat di suatu peperangan.

Semakin lama hidup dan menghuni alam langit, dia menjadi sangat bijaksana, pandai mengatur strategi, bijak mentadbir, tahu semua kelemahan jin lain, memiliki sakti yang tinggi, pandai mencipta magis, banyak idea dan menjadi pujaan golongan jin mukmin dan jin kafir.

Pernah mengetuai bala tentera perang bersama-sama malaikat untuk menghapuskan satu golongan jin yang membuat kerosakan di alam raya dengan perintah Allah. Dalam ketaatan kepada Penciptanya, tiada permukaan walau satu inci pun di Bumi dan di Syurga yang didiaminya tidak disentuh oleh dahinya kerana sujud ke hadrat Allah.

Tetapi rupa-rupanya terselit perasaan megah dan riak dihatinya akan banyaknya ibadah ini. Selepas itu timbullah perasaan ego dihatinya kerana telah mengetahui tiada satu pun makhluk Allah yang boleh mengalahkannya, termasuk malaikat.

Allah Maha Mengetahui apa yang telah dia sembunyikan dihatinya itu. Justeru kemudian Azazil diuji oleh Allah tahap imannya. Maka terbukti yang Azazil tidak pernah ikhlas dalam beribadah. Itulah sebabnya dia dimurkai dan dicop derhaka akan perintah Allah, maka dihukum murtad dan kafir oleh Allah.

“Aku sangat benci manusia Adam itu!” Jerit batinnya.

Kemudian pada suatu ketika dia menghadap Allah Taala. Dia memohon untuk dipanjangkan umurnya agar dapat menyesatkan seluruh musuh utamanya iaitu manusia anak cucu Adam. Dia telah mendapat perkenan Allah dengan diberi panjang umur sehingga ke hari kiamat.

** Hakcipta Terpelihara 2015 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: