Amati
syaitan atau amalan syaitan atau para pendukung syaitan. Fahami bahawa ada niat
jahat di belakang mereka, dan dalam masa yang sama ada keindahan yang enggan
mereka nyatakan, dan ia tidak mahu manusia dan jin amalkan. Keindahan itu
adalah hikmah kenabian yang tidak mahu puak-puak dunia kegelapan maklumkan
kepada manusia dan makhluk yang ada iman.
Kumpulan
syaitan mengelak daripada makhluk baik-baik kerana bercakap tentang orang-orang
baik akan menyinggung dan menganggu mereka.
Perjuangan
menentang tentera Iblis dan Dajjal memerlukan kesabaran, kemahuan yang kuat dan
hikmah tersendiri. Ini kerana syaitan, berupa manusia dan jin adalah bijak,
keras kepala, derhaka dan penipu. Umat Islam perlu sangat bijak, sabar dan
sepatutnya dapat membuat perancangan terbaik.
Maklumilah,
bahawa syaitan tidak mudah berputus asa, dan sistem Dajjal – atau orang Barat
memberi gelar Anti-Christ - tidak
akan mati serta-merta. Tiap-tiap pelan tunggal mereka untuk musnahkan umat
Islam secara spiritual dan fizikal mesti dimusnahkan satu demi satu dengan
jalan sabar, solat dan jihad.
Dr. Hizam
Al-Fateh memintal kefahamanan, dan dalam masa yang sama memaut kekuatan dalam menggapai
makna Maha Kuasanya Allah Taala.
**********
Januari 2025, ruang dimensi alam
Kota Tarantula
Waktu
malam kini apabila mereka tiba di gapura kota. Tak cantik manapun, sekadar
pintu masuk besar berupa persis sebuah bukit besar terbelah. Ada tulang
berserakan di beberapa sudut. Ada pesawat terbang juga, sisa dari peperangan
besar yang lalu.
Bangunan-bangunan
terlihat redup, namun masih ada sinarnya yang agak pelik. Orang-orang yang
berkawal di luar memegang sejenis lentera, ada ketawa kecil dalam memerhati
rakan-rakan bermain dadu. Terlihat matawang di sebelah masing-masing. Sebaik
melihat mereka berdua, orang-orang itu segera bangun, ada wajah dan langkah
hati-hati menerima kehadiran mereka.
Si
Peninjau tidak hiraukan perhatian yang diterima, melainkan terus melangkah
tanpa kata. Baiknya ialah tiada seorangpun yang menghalang. Bahkan sebaik
sahaja kedua-duanya meneruskan langkah, kumpulan mereka duduk kembali. Ketawa semula.
Dalam
langkah hati-hati dan jiwa bertasbih ke hadrat Allah Azza wa Jalla, Dr. Hizam
Al-Fateh yang mengekori secara rapat temannya itu melihat ke belakang sekilas.
Dia melihat orang-orang atau makhluk berupa orang saling berbisik-bisik di sela-sela
ketawa mereka. Bisik akan sesuatu, manakala ketawa kerana bermain judi.
Mereka
berdua melintasi di antara rumah-rumah yang gelap, melalui parit, batas dan
timbunan lumpur, kolam-kolam air yang bersemak dan kotoran najis. Walaupun Dr.
Hizam Al-Fateh pernah beberapa kali memasuki dunia bunian bersama Tuan Guru
Syeikh, tapi kali ini agak berlainan. Kali ini dia memasuki lembah hitam alam
jin, atau bunian kata orang-orang di Nusantara.
Tidak
semena-mena: Lantas teringat lakaran
terperinci kota kara itu, yang menjadi salah satu minat mendalam dalam
kajiannya. “Kota Tanjung Pura ... Pentas Sunda Atlantis Melayu,” suaranya hanya
bergumam di dalam dada.
“Hizam al-Fateh, kota Tanjung Pura ini
ialah sebuah gapura. Gapura atau gerbang di antara dua dimensi buana...
jambatan dua alam – jagat bunian-angelik dan manusia,” susuk itu berkata sambil
membongkok mengambil segenggam tanah.
“Eh,
apakah maksudnya?” Dr. Hizam Al-Fateh bersuara. Suara penerangan di alam
mimpinya mendatangi ruang minda.
“Mengapa,
Fateh? Apa yang kau pelikkan?” Si Peninjau segera menoleh teman di sisinya.
“Mungkin...
mungkin aku tahu arah tujuan kita.”
“Ya...
kau manusia. Deriamu lebih tajam daripada kaum aku. Setahu aku kau sudah
menemui Raja Suleyman, kan?”
Angguk
seraya menguntum senyum. Menapak laju-laju.
Anak-anak
kecil yang terlihat kumuh mengintai di sebalik jendela. Macam-macam rupa ada
pada pandangan Dr. Hizam Al-Fateh. Anak-anak
kecil dan remaja yang berumur ratusan tahun mungkin, benaknya berkata-kata.
“Ada
apa lagi?” tanya Si Peninjau seolah-olah dapat menebak apa yang sedang
difikirkan oleh rakannya itu.
“Ada
orang-orang yang memerhati kita. Mungkin ingin tahu. Tapi menurut firasat aku,
bukan musuh.” Deria dalaman Dr. Hizam Al-Fateh bersiaga. Kerahan ilmu
persilatan dan dunia ghaib dirangkai bersama. Dia juga dapat merasakan Tuan
Guru Syeikh ‘melihat’ dan memantau kembara mistik ini. Ajaran ‘melihat’ dan
merasai dengan mata hati sudah lama diajarkan oleh Tuan Guru itu kepadanya.
Tidak
berapa lama kemudian, terpapar kelibat kota itu. Masih samar-samar, tapi pasti
bentuknya. Kedengaran bising dan asap terlihat menerawang ke angkasa. Ada
ketawa, juga jeritan sekali sekala. Bunyi ceburan air juga turut mengambil
tempat.
Di
pintu masuk yang diperbuat dari kaca tebal, Dr. Hizam Al-Fateh masih dapat
melihat susuk dan bayangan sekumpulan makhluk. Senjata berada dalam pegangan
masing-masing – berupa pisau panjang bercangkuk.
Mereka
membuka pintu kaca agam itu. Mudah sahaja. Sekumpulan makhluk itu tidak
menganggu kehadiran kedua-duanya yang melintasi pintu masuk kota kara. Tetapi
wajah-wajah mereka terarca ketakutan atau mungkin rasa yang lain – sukar
ditelah. Ada yang berbisik-bisik, dan Dr. Hizam Al-Fateh dapat menangkap antara
bisikan itu ialah “... manusia...”
Si
Peninjau berkata, “Nama aku ialah Pengeran Galoh. Panglima Pangeran Galoh dari
kerajaan Darussalam. Aku mencari Al-Hind Guntur.”
Walau
apapun, kumpulan pengawal itu tidak terkejut, bahkan kali ini tersenyum.
“Memang kami sedia menunggu kamu, Tuan Panglima. Ayuh ikut aku,” salah seorang
daripada pengawal berkata, sambil matanya menjeling ke arah Dr. Hizam Al-Fateh.
**********
Agak
kelam di bahagian dalam dengan bersimpang siur bilik-bilik dan laluan. Suara
bersipongang, melantun-lantun dari sudut berlainan. Asap kekal menerawang. Hawa
sekeliling laluan itu pengap dan berbau lebih teruk dari luar.
Tatkala
mereka melalui koridor yang panjang, para lelaki melepasi mereka... ada
hamba-hamba yang digiring dengan cemeti. Sekumpulan tertunduk pandangan, dan sekumpulan
lagi berjalan malas-malas.
Hamba? Masih ada hamba di alam ini? Detik Dr. Hizam Al-Fateh.
Mereka
tiba di lingkaran tangga naik ke atas, luas tapi kelihatan berkolek-kolek.
Akibat mata pedih dimasuki asap, Dr. Hizam Al-Fateh tersadung sesuatu.
Selonggok sampah yang entah apa-apa. Ada agas dan lalat yang berterbangan,
tidak syak lagi.
Tangga
dinaiki. Gelap. Mereka berdua dengan dipandu oleh ketua pengawal cuba memicing
pandangan dalam kekalaman itu. Akhirnya mereka tiba di bahagian atas, sebuah
bilik atau ruang yang panjang, samar dan penuh dengan asap.
Asap lagi! Detik hati Dr. Hizam Al-Fateh. Tapi
sejenak kemudian dia tersenyum. Yalah,
kan makanan mereka diperbuat dari asap.
Lantai
ruang itu diperbuat dari sejenis kayu keras. Ada sudut besar di hadapan.
“Silalah.
Teruskan,” ujar ketua pengawal.
Duduk
suatu susuk dengan dikelilingi beberapa yang lain di sudut kanan. Badannya
sedikit kecil, sedangkan wajahnya juga tirus ke atas, dan berambut pendek.
Kolar pakaiannya diperbuat dari emas dengan warna baju merah campur hijau.
Panglima
Pangeran Galoh berkata sambil berdiri, “Aku minta dipertemukan dengan Al-Hin
Guntur.”
Makhluk
kerdil itu menyahut, “Kau dah juma dia.”
“Kau
kenali aku atau tidak?” Panglima Pangeran Galoh.
“Ya...
kau panglima itu. Panglima dengan bala tentera yang menyelamatkan kota kara ini
dari dihancurkan oleh tentera Vlad Drakul dengan legion Vampire-nya. Aku tetap
ingat dengan kebaikan yang kau orang berikan,” jawab Al-Hin Guntur sebelum
matanya memandang susuk Dr. Hizam Al-Fateh. “Dia manusia?”
“Ya...
aku manusia. Nama aku Hizam Al-Fateh,” jawab si empunya diri.
“Kau
dari Nusantara, kan? Anak didik Tuan Guru Syeikh?”
Hanya
anggukan dari Dr. Hizam Al-Fateh. Para pengawal di sekeiling yang sedikit
menjauh saling berbisik-bisik. Ada kagum terpamer di mata mereka.
“Nama
Tuan Guru Syeikh cukup terkenal di Nusantara, dan aku tahu kesaktian orang itu.
Hebat dalam dua alam!” Al-Hin Guntur berkata. “Baik, Panglima. Maksud
kedatangan kalian berdua?”
“Aku
mencari pintu – gapura untuk ke seberang dengan pantas. Aku ada misi demi
kebaikan makhluk sejagat. Ada perancangan buruk lagi besar dari Lucifer dan
kalangan kerajaan dunia kegelapan. Aku mengerti yang kau orang tak suka dengan
kejahatan mereka itu.”
“Boleh
aku tahu apakah maksud kalian nak ke sana?”
“Itu
urusan rahsia. Kau tak perlu tahu. Yang aku tahu kau mengetahui arah ke sana,
ke kota lama itu.”
“Baik.
Aku boleh tunjukkan jalan ke sana. Tapi aku dan kumpulan aku tak ada kekuatan
untuk memasukinya. Aku yakin... hanya manusia seperti sahabat kau itu yang
boleh.”
Persetujuan
dicapai.
Laluan
ke bawah... ke alam bawah lapisan bumi.
**********
Dia
melalui laluan itu sekali lagi, seperti mana di alam mimpinya beberapa hari
lalu. Sebuah tamadun yang dikatakan hilang ditelan zaman. Dia hanya mendiamkan
diri kala ini, sehingga tiba di satu titik penting, sebuah bentuk bulatan
saujana mata memandang. “Di mana lokasi ini?” Dr. Hizam Al-Fateh bertanya.
“Kau
dah tahu, cuma mungkin kau hairan. Banyak bentuk binaan yang tak kau bayangkan.
Tinggalan purba – Atlantis Melayu - yang dibina kembali di beberapa bahagian
penting, ia terletak di bawah tanah Gunung Padang. Salah satu binaan yang
dipelihara oleh golongan kami ialah piramid itu,” jawab Panglima Pangeran
Galoh.
Dr.
Hizam Al-Fateh meneliti bentuk piramid itu. Ia seiras binaan piramid di Mesir,
dengan susunan bebatuan
bertingkat-tingkat. Kota Tanjung Pura sudah direntas kira-kira dua jam lalu,
mengikut perkiraannya, semenjak memasuki kota kara Tarantula.
Pentas Sunda Atlantis Melayu ini
benar-benar wujud! Suara
hati Dr. Hizam Al-Fateh bergumam dalam tasbih dan pujian ke hadrat Allah Azza
wa Jalla. Subhanallah!
“Kota Tanjung Pura, sebuah gapura.
Gapura atau gerbang di antara dua dimensi buana - jambatan dua dunia – jagat
bunian-angelik dan manusia.” Terngiang-ngiang
kata-kata Raja Suleyman.
“Tingginya
tak kalah daripada piramid Giza di Mesir, 140 meter lebih,” suara Panglima
Pangeran Galoh tatkala melihat rakannya seolah-olah bermenung.
“Jadi
gapura atau laluan itu berada di dalam piramid itu?”
Hanya
anggukan dari Panglima Pangeran Galoh.
Kun fayakun dari ilmu milik Allah Taala. Jadilah!
Maka jadilah ia.
** Hakcipta Terpelihara 2016 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
0 comments:
Post a Comment