Jun 23, 2009

Jenis-Jenis Katering

Ada pelbagai jenis katering. Ada tertumpu pada masakan sahaja, atau hanya menerima tempahan kuih sahaja, tanpa melibatkan penghantaran atau penyajian di premis pelanggan yang memesan. Ada bisnes katering yang menyediakan makanan berbungkus sahaja, misalnya seribu bungkus nasi beriani / nasi ayam dihantar ke majlis keramaian bersama wakil rakyat.

Terdapat bisnes katering yang turut menyediakan khidmat pemasangan khemah, kerusi dan meja. Ada bisnes katering pula tidak menyediakan khidmat pemasangan khemah. Namun katerer itu menggunakan khidmat pihak lain apabila ada permintaan dari pelanggan untuk khemah, kerusi dan meja. Paling maju katerer menyediakan semua; masakan, sajian, penghantaran dan khidmat pemasangan khemah.

Jangan lupa, ada bisnes katering halal dan ada yang haram. Kategori halal kerana katerer menyediakan makanan dan minuman halal menurut ciri-ciri Islam, sedangkan kategori haram melibatkan makanan dan minuman haram, seperti arak. Oleh sebab itu, di Malaysia, banyak bisnes katering diceburi oleh orang-orang Islam, terutamanya bangsa Melayu dan India Muslim.

Katering boleh diselenggarakan dari rumah sahaja atau menyewa ruang kedai. Sekiranya anda bercadang memproses makanan dari rumah, pastikan ruang dapur bisnes katering diasingkan dari dapur peribadi untuk ahli keluarga.

Lagipun melaksanakan bisnes katering dari rumah tidak perlukan modal tambahan bagi menyewa kedai. Namun ada juga katerer yang mempunyai restoran dan menyediakan khidmat katering sekaligus. Ikut selera dan fokus masing-masing, juga modal.

(a) Katering masak lauk-pauk dan menyediakan nasi

Saudara juga boleh menceburkan diri dalam urusan katering, tetapi hanya mengambil tempahan memasak sahaja, tanpa perkhidmatan lain. Dalam kes ini, saudara boleh memberitahu rakan-rakan kateter lain bahawa anda bersedia menerima tempahan masakan untuk majlis atau kenduri yang besar. Misalnya untuk masakan bagi majlis perkahwinan yang melibatkan tetamu dari 500 orang sehingga 2,000 orang.

Tugas anda ialah menyediakan masakan seperti mana yang diminta oleh rakan katerer tersebut dan kemudian samada menghantar ke premis klien atau rakan keterer tersebut yang akan menguruskan penghantaran dan tugas-tugas seterusnya. Tugas anda selesai di sini sahaja.

** Sumbangan dari Lusiana Catering. Catatan ini juga dimuatkan dalam buku berjudul Buat Duit dengan Katering terbitan PTS Professional Sdn. Bhd. Untuk maklumat lanjut berkenan buku ini, sila klik di sini.

0 comments: