Jul 10, 2009

Menyediakan kuih sahaja

(b) Menyediakan kuih sahaja

Ada juga pihak yang menyediakan kuih-muih untuk katerer. Di sini pihak katerer akan meminta saudara pengusaha menyiapkan kuih tertentu, misalnya karipap, kuih ketayap, kuih cara, donat dan sebagainya.

Saudara boleh menceburi kategori ini secara sepenuh masa atau separuh masa. Ianya sangat sesuai untuk surirumah yang mempunyai masa terluang, juga sesuai untuk pihak yang terlibat dalam bisnes pasar malam yang turut menjual kuih-muih. Cuma pastikan bahawa saudara boleh menyediakan kuih-muih tersebut dari bilangan sekecil 20 biji sehingga 1,000 biji sehari untuk satu jenis kuih.

Saya ada pengalaman berkaitan dengan penempahan kuih-muih yang melibatkan jumlah yang agak banyak. Pada suatu pesanan katering untuk satu acara sukan selama enam hari berturut-turut, pihak saya dikehendaki menyediakan tiga jenis kuih sebanyak 800 biji setiap jenis.

Pada dua hari yang pertama, chef saya menguruskan sendiri penyediaan kuih-muih itu. Tetapi pada hari yang ketiga, chef mengadu tidak cukup masa lantaran banyak lagi menu lain yang perlu disediakan. Justeru itu, saya mengambil inisiatif untuk mencari pihak kedua yang boleh membantu saya menyediakan kuih yang diperlukan.

Untuk tiga jenis kuih, saya meminta bantuan tiga orang yang berlainan. Setiap pihak yang membuat kuih tersebut diberi tugas menyiapkan 250 ke 300 biji seorang bagi setiap jenis. Cuma pastikan bahawa saudara pembuat kuih bersedia untuk menerima tempahan kuih-muih sebanyak ini.

0 comments: