Jan 3, 2010

(d) Katering perkahwinan

Katering perkahwinan memerlukan modal yang agak besar, bergantung kepada jumlah tetamu yang hadir dan bagaimana penyediaan yang dikehendaki oleh pihak klien. Peralatan katering yang digunakan juga banyak. Setakat pengalaman saya, kehadiran tetamu yang paling sedikit ialah 200 orang dan yang paling ramai ialah 1,500 tetamu.

Majlis perkahwinan ini mungkin diadakan di rumah pengantin, dewan serbaguna atau di suatu premis khusus seperti kelab dan ruang dewan mewah yang disediakan oleh bangunan tertentu di bandar-bandar besar. Majlis juga mungkin diadakan di waktu yang berlainan dalam satu hari, iaitu makan tengah hari dan makan malam.

Jika anda memperoleh pesanan katering yang kehadiran tetamu melebihi 600 orang dan melibatkan dua masa yang berbeza, anda perlu membuat perancangan yang teliti. Banyak masa, tenaga dan wang terpaksa dilaburkan. Walaupun majlis hanya dalam masa beberapa jam, namun persediaan yang anda harus buat memakan masa paling kurang tiga hari, iaitu sehari sebelum, hari majlis dan selepas majlis keesokan harinya.

Di sini anda sebagai katerer perlu mengenakan syarat ketat kepada pihak pengantin, terutamanya dalam perkara bayaran. Anda mesti mendapatkan wang deposit paling kurang pun 50 peratus dalam tempoh paling kurang satu dua minggu atau hendak lebih selamat satu bulan sebelum majlis berlangsung. Antara syarat lain ialah jika majlis terpaksa dibatalkan dalam tempoh tertentu, misalnya satu minggu, wang deposit boleh dikembalikan dalam jumlah tertentu, katakan hanya 50 peratus sahaja. Jika majlis dibatalkan dalam masa 24 jam, wang deposit tidak dikembalikan. Ini adalah adil kepada kateter yang pastinya sudah membeli bahan-bahan mentah dan mencari staf sambilan untuk majlis ini.

Suatu majlis perkahwinan melibatkan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian iaitu makanan tetamu, makanan meja pengantin, persediaan dan makanan meja VIP (jika ada), staf memasak, staf di premis majlis, staf yang menjadi pelayan meja VIP dan pakaian staf semasa majlis berlangsung.

Majlis ini memerlukan banyak alat-alat yang merangkumi pinggan-mangkuk, bekas makanan, bekas makanan meja VIP (set dome), sudu garfu, bekas air, cawan dan gelas, dan bahan dekorasi. Sekiranya anda tidak mempunyai peralatan makanan yang mencukupi, jangan risau dan panik. Banyak entiti yang boleh menyewakan peralatan tersebut. Jangan terkejut jika saya katakan bahawa ada entiti bisnes yang berasaskan sewaan peralatan katering dengan harga yang tidak membebankan anda. Malah kadang-kadang ianya lebih mudah cara sebegini kerana anda tidak perlu menyimpan stok yang banyak.

Peralatan dekorasi seperti hiasan bunga, pintu gerbang dan lain-lain memang mudah didapati. Banyak kedai menyediakan bahan dekorasi ini. Cuma anda perlu pandai mencari dan membuat tawar menawar mengenai harga. Dekorasi bunga boleh disediakan dalam bentuk bunga hidup atau plastik. Jika bunga plastik anda boleh menyimpannya untuk kegunaan di lain masa. Pintu gerbang boleh disewa atau jika perlu anda beli kerana ianya boleh digunakan semula. Untuk menjimatkan kos, buat sendiri dekorasi bunga dan pintu gerbang. Anda hanya perlu mendapatkan bentuk atau jenis bunga sahaja. Penjimatan cara sebegini boleh mencapai 100 peratus.

Ada kalanya klien suka kepada konsep sehenti, iaitu semuanya diberikan kepada anda untuk diuruskan dari perancangan perkahwinan sehinggalah hidangan makanan. Dalam kes ini, sekiranya bidang anda hanyalah dalam penyediaan makanan, anda boleh mencari rakan bisnes yang melibatkan diri dalam perkara lain. Anda boleh cari perancang perkahwinan, juru foto dan video, perkhidmatan kanopi, perkhidmatan sistem audio-video dan pemain muzik secara langsung (tradisional dan moden). Di sini sahaja sudah semestinya anda boleh mendapatkan sedikit margin keuntungan berdasarkan jumlah masa dan usaha yang digunakan.

** Sumbangan dari Lusiana Catering. Catatan ini juga dimuatkan dalam buku berjudul Buat Duit dengan Katering terbitan PTS Professional Sdn. Bhd. Untuk maklumat lanjut berkenan buku ini, sila klik di sini.