Jan 10, 2011

Agungnya CintaMu Tuhan (3)

Bab 1

Tidak berapa lama iaitu pada tahun 1977, ketika anak sulungku bersekolah dalam darjah tiga, aku dan suami dipanggil memasuki program tanah rancangan Felda. Kami sekeluarga menetap di Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut, Pahang, sebuah tanah rancangan kelapa sawit. Di sini suami dan aku diberi rumah papan satu bilik dan mengusahakan tanaman kelapa sawit seluas 14 ekar.

Aku merasa tenteram berada di sini. Beza kehidupan di kampung dengan di Felda amat besar sekali. Di tanah rancangan Felda ada jaminan bagi makanan secara berhutang atau kredit di kedai koperasi. Justeru itu aku dan anak-anak tidak lagi berasa janggal dan keperluan makan mereka dapat dipenuhi. Had maksima kredit di kedai koperasi ialah RM200 sebulan. Memang itu mencukupi keperluan aku sekeluarga. Segala syukur aku panjatkan ke hadrat Allah.

Suamiku seorang yang rajin bekerja dan dihiasai dengan sikap tanggungjawab yang tinggi. Walaupun hanya berbasikal yang dilengkapi bakul rotan di belakang, setiap hari dia keluar bekerja. Di sebelah pagi mengusahakan ladang kelapa sawit sendiri. Di sebelah petang pula mengambil upah di ladang orang lain. Justeru sikap tidak mengenal penat lelah tersebut, keperluan anak-anak bersekolah dapat dibeli. Pendapatan dari ladang yang diusahakan mengikut kapasiti buah yang dituai – jika banyak buah kelapa sawit, maka banyaklah wang yang suamiku terima, begitulah sebaliknya. Namun ianya mencukupi untuk belanja harian, belanja sekolah dan lain-lain keperluan keluarga.

Purata pendapatan sebulan ialah RM600 dari hasil tuaian kelapa sawit, setelah ditolak barang-barang yang diambil dari kedai koperasi. Dengan pendapatan sebanyak itu, derita aku semasa di kampung dahulu sudah menjadi sejarah. Tambahan pula ada lagi sumber pendapatan lain yang diperoleh lantaran sikap ringan tulang suamiku.

Aku gembira hidup di Felda. Apa yang dimahukan semuanya ada. Di waktu itu anak sulungku dalam darjah tiga, anak kedua dalam darjah satu, yang ketiga berumur lima tahun dan yang keempat berumur empat puluh hari.

Hari-hari berlalu dengan suamiku ke ladang melakukan kerja-kerja yang mesti dilaksanakan; membersihkan rumput, menabur baca, memotong pelepah-pelepah pokok yang kering, menuai buah kelapa sawit dan mengangkut tandan kelapa sawit ke dalam lori bagi dibaca ke kilang. Tugas yang terakhir dilakukan secara gotong-royong.

Masyarakat di tanah rancangan Felda datangnya dari serata negara. Ada dari Kelantan dan Terengganu, dari Kedah dan Perak serta dari Pahang. Pada mulanya aku berasa kekok kerana dialek yang digunakan rencam. Namun lama kelamaan sudah biasa. Masing-masing jiran bercakap dalam dialek negeri sendiri. Tetapi kami cepat mesra justeru kerana semuanya dari keluarga susah semasa di kampung asal. Komuniti berkembang dalam suasana harmoni dan gembira.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Enam tahun berselang. Anak sulungku sudah tamat darjah enam. Memandangkan ketika itu sekolah menengah belum didirikan di kawasan berdekatan, terpaksa dihantar kembali anakku itu bersekolah di Besut,Terengganu. Anakku tinggal menetap bersama Mak Tehnya, iaitu kakakku di kampung asal aku dilahirkan.

Tempoh tiga tahun berlalu, anakku menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Syukur dikembalikan kepada Allah dengan anugerah kecerdikan anak sulungku itu. Dia memperoleh keputusan cemerlang dengan menjadi pelajar terbaik bagi Sekolah Menengah Seri Nering, Jerteh, Besut, Terengganu. Orang kampung heboh bercerita mengenai kejayaan anakku itu, maklumlah budak kampung. Orang kata anak Pak Teh Kadir pandai, memperoleh kedudukan pertama dalam peperiksaan. Abang Kadir ialah suami kepada kakakku.

Aku, suami dan anak-anak yang lain kembali sebentar ke kampung asal kami untuk mengadakan kenduri kesyukuran atas kejayaan anak sulungku. Suamiku bercerita bahawa ada rakan-rakan lamanya berkata bahawa anak Kadir cemerlang dalam SRP.

“Itu anak akulah,” kata suamiku dengan tergelak dan menumpang bangga.

Iyalah, orang kampung di Besut mengenali anak sulungku sebagai anak abang Kadir. Kebetulan pula abang Kadir memang tidak memiliki anak kandung. Aku masih ingat tatkala dia masih kecil semasa di kampung, anakku itu selalu bermain-main di rumah Mak Teh dan Pak Tehnya malah selalu tidur di sana.

Kepalang gembiranya aku sebab anakku cemerlang dalam peperiksaan. Alhamdulillah, segalanya aku kembalikan ke hadrat Allah yang menentukan rezeki hambaNya.

Aku teringat kepada satu peristiwa. Suatu hari semasa di tingkatan dua, anak sulungku mengirim surat, mengatakan bahawa baju sekolah dia sudah koyak. Rupa-rupanya anakku hanya memiliki sehelai baju sekolah sahaja tanpa aku sedari. Dia tidak pula memberitahu kepadaku berkenaan perkara itu.

Sebaik sahaja aku selesai membaca suratnya, air mata ibu ini tidak tertahan lagi. Tertumpah, rawan menangisi akan betapa anak itu tidak mahu menyusahkan orang tuanya, walaupun baju sekolah hanya sehelai. Aku bertambah pilu bila memikirkan tatkala itu kehidupan aku bersama suami dan anak-anak yang lain tidaklah susah sangat.

Sungguh dia anak yang baik. Alhamdulillah, doa aku saban waktu termakbul. Namun aku tidak dapat membayangkan bagaimana dia membasuh baju itu setiap hari dan mengeringkannya sebelum ke sekolah pada keesokan hari pula. Sampai koyaklah. Aduhai anak!

Dengan keputusan cemerlang dalam SRP, anakku ditawarkan memasuki sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Sains Dungun. Dalam masa yang sama suamiku telah menghantar keputusan peperiksaan anak ke pejabat Felda untuk tindakan susulan. Justeru itu, pihak Felda juga menawarkan sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur.

Memandangkan banyak kemudahan yang diberikan oleh Felda kepada anak-anak peneroka yang cemerlang di Asrama Semai Bakti Felda, jadi suamiku memutuskan supaya anak sulung kami menerima tawaran itu. Perbelanjaan permulaan tidak dibebankan sangat kepada ibu bapa. Malahan perbelanjaan bulanan seperti bayaran asrama, makan-minum, pengangkutan bas, dan yuran tusyen ditanggung Felda. Ada sedikit bayaran yang akan ditolak dari pendapatan bulanan suamiku. Justeru itu tidak terlalu membebankan.

-- (3) Akan bersambung.

Sebelumnya: (1) Agungnya CintaMu Tuhan

(2) Agungnya CintaMu Tuhan

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: