Jan 25, 2011

Agungnya CintaMu Tuhan (4)

Bab 2

Dua tahun anakku belajar di Kuala Lumpur sehingga lulus cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Anak sulung aku itu ditawarkan memasuki program Matrikulasi di sebuah sekolah sains di Taiping, Perak. Selepas setahun di sana, dia menyambung pelajaran ke kampus Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang bagi meneruskan program Matrikulasi peringkat kedua.


Setelah lulus peperiksaan Matrikulasi, anakku memasuki pengajian ijazah sains komputer. Tidaklah aku faham sangat apa yang dia belajar di sana selama empat tahun itu. Ketika mahu ke Pulau Pinang, keperluan wang mencecah ribuan ringgit. Namun berkat sikap berjimat-cermat yang aku amalkan, ada juga wang simpanan yang diasingkan bagi keperluan belajar anak-anak. Pengajian anak aku berjalan lancar tanpa sebarang halangan kewangan dan keperluan subjek-subjek yang diambil. Untuk keperluan harian di rumah, suamiku terus rajin membanting tulang bekerja di tempat lain yang berdekatan.


Segala syukur hanya layak untuk Allah. Dengan anugerah rezeki dariNya, dapatlah diguanakan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak. Tatkala anak sulung aku di Pulau Pinang, anak kedua pula mengikuti jejak langkah abangnya. Anakku yang kedua ini dapat tawaran belajar di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, dalam bidang Pengajian Islam. Wang yang banyak dikeluarkan lagi, ribuan ringgit juga.


Aku dan suami berasa bersyukur dan senang hati lantaran kejayaan anak-anak dalam pelajaran. Tidaklah menjadi seperti mana aku, pengajian terputus di tengah jalan.


Anak lelaki kedua aku itu belajar di Universiti Malaya selama tiga tahun setengah dan berjaya dengan cemerlang. Dia terus menyambung pengajian dengan mengambil kursus lanjutan bagi menjadi seorang guru atau ustaz. Sekarang ini dia sedang mengajar di Sarawak. Sementara anak sulung aku yang tamat dari USM kini bekerja sebagai seorang pegawai di Kuala Lumpur.


Anak ketiga aku seorang perempuan. Dia tidaklah seperit aku di masa lampau di kampung asalku. Dia sudah bernikah dengan seorang peniaga. Kehidupan mereka agak lumayan, bukan sahaja dari segi kewangan malah dikurniakan tiga orang anak dalam tempoh empat tahun. Setahun seorang anak.


Anak aku yang keempat seorang lelaki. Dia baru selesai belajar di tingkatan enam dan sedang menunggu keputusan peperiksaan. Dalam tempoh menunggu tersebut, dia mengatakan bahawa menunggu satu tamparan hebat baginya. Justeru itu semasa menanti keluarnya keputusan peperiksaan, dia mengajar di sebuah sekolah agama rakyat di Felda Kota Gelanggi 1 ini.


“Ya Allah, aku berharap sangat supaya keputusan peperiksaan STPM anak aku ini beroleh cemerlang dan dapat mengikuti jejak dua abangnya memasuki universiti. Amin ya Allah ya Rabbal ‘Alamin.” Itulah doa aku saban ketika.


“Ya Allah, berilah taufik dan hidayah kepada anak aku yang ketiga ini. Limpahlah kemudahan dan lindungilah dia dari segala kepayahan. Semoga dia tidak menjalani keperitan kehidupan seperti ditanggung oleh ibunya.”


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Masa terus berganjak tanpa menunggu sesiapa. Selang beberapa tahun, aku dan suami memutuskan untuk memelihara seorang anak saudaraku. Sekarang sudah berusia enam tahun. Hiduplah aku tiga beranak di tanah rancangan ini. Aku bahagia dan berterima kasih kepada Allah. Anak-anak aku yang sudah berkeluarga kini tinggal di tempat lain. Sekiranya anak-anak aku yang bermastautin di negeri lain itu tidak ada kelapangan, aku pula yang menziarahi mereka. Namun sesekali anak-anakku pulang ke kampung ketika cuti hujung minggu atau pun cuti perayaan. Aku faham keadaan mereka dan tidak pula berkecil hati.


Selain menguruskan ladang kelapa sawit, bekerja mengutip buah koko dan memotong kayu balak kecil, suami aku juga rajin bercucuk tanam. Tanaman berupa sayur-sayuran dan tembikai diusahakan di tanah bersemak di belakang rumah setelah semua pokok renek dan lalang dibersihkan. Di kawasan hutang kecil di hadapan rumah pula, pokok-pokok durian, manggis, dokong dan rambutan menjadi pilihan suamiku.


Rahmat dan kekayaan dunia yang Tuhan berikan kepada manusia sangat banyak. Apa yang diusahakan dapat hasilnya, baik di sungai, laut atau darat. Itu bergantung kepada kerajinan dan kepandaian masing-masing. Di sungai dan laut mesti pandai memukat dan memancing.
Di darat pula, rajin bercangkul dan menggali bagi bercucuk tanam. Bagi manusia yang rajin berusaha, senanglah kehidupannya. Bagi yang malas, nasib tidak akan datang merangkak menyembah kepada manusia. Kata orang kalau berbudi pada tanah, dapatlah hasilnya. Semuanya bergantung kepada sikap, disamping bertawakal kepada Allah.

Di waktu malam pula, aku dan suami mengajar mengaji Quran bagi anak-anak peneroka dan jiran-jiran berdekatan. Justeru itu kehidupan di sebelah malam tidaklah sunyi dengan ketiadaan keempat-empat anak aku. Rumah aku saban malam bergema dengan ayat-ayat suci Quran yang bermula selepas solat Maghrib. Suamiku agak mendalam pengetahuan agamanya walaupun tidak belajar sejauh mana. Ini adalah berkat kerajinan dia sering mengikuti kelas-kelas pengajian yang diadakan di surau atau di rumah rakan-rakan. Justeru itu suamiku kadang-kala dirujuk bagi sesuatu permasalahan berkaitan hukum agama Islam. Dalam soal hukum, suamiku cukup tegas. Sekiranya ada sebarang pihak atau orang perseorangan yang mengajak ke sesuatu majlis yang ada unsur-unsur pengabaian adab dan hukum Islam, dia pasti membantah.


Kehidupan seharian di tanah rancangan Felda ini banyak memberi pengalaman baru bagiku. Perjalanan dan suasana kehidupan di kampung asal aku di Besut, Terengganu berbeza daripada di Jerantut, Pahang. Keperitan meraduk riak dan gelombang kehidupan fana yang agak perit di kampung asal tidak lagi melengkari kehidupan di tanah rancangan Felda ini.


Hidup manusia ini ada miskin dan ada kaya, ibarat air ada pasang dan ada ketikanya surut. Jika dahulu susah maka kini senang. Kata orang air sungai lagi berubah, inikan pula kita manusia. Hidup aku sekeluarga diibaratkan berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Alhamdulillah. Sesungguhnya cinta Allah amat Agung. Allah tidak akan menimpakan ujian kepada hamba-hambaNya ke tahap mereka tidak mampu menerimanya. Itulah cinta dan kasih sayang Allah. Subhanallah!


-- Akan bersambung.


Sebelumnya:
(1) Agungnya CintaMu Tuhan
(2) Agungnya CintaMu Tuhan
(3) Agungnya CintaMu Tuhan

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: