Bab 1
Aku ditinggallkan ayah semasa masih kecil bersama ibu tanpa sempat mengenalinya Ayahku kahwin lagi, ibu hidup menderita di sebahagian dari hayatnya bersama anak-anak. Bagiku, ayah tidak bertimbang rasa. Kahwin cerai, anak-anak dibiarkan tanpa nafkah. Tinggalah kami di pondok buruk yang sentiasa bocor atapnya. Ibu panjat dan tampal sendiri atap yang bocor, maklumlah atap yang dibuat dari daun kelapa dan mengkuang yang dianyam.
Lantaran sedar keadaan itu, aku berazam untuk menjadi orang yang berpangkat. Aku simpan niat untuk membantu ibu. Tetapi kerana kemiskinan, cita-cita aku tidak kesampaian, hanya separuh jalan sahaja.
Pada ketika umur aku meningkat sepuluh tahun, muncullah ayahku bersama abang-abangnya. Sedari kecil sehingga ke masa itu, itulah kali pertama aku pandang wajahnya. Apa lagi, sebaik terpandang wajah ayah, aku sedih bukan kepalang. Aku menangis teresak-esak. Aku tidak menganggap dia itu ayahku, apatah lagi dia tidak langsung menunjukkan kemesraan seorang ayah kepadaku setelah lama aku ditinggalkan.
Sebenarnya aku ingin dibelai dan dipeluk oleh ayah. Dia pandang aku sambil lalu, tanpa secarik senyuman pun. Hatiku berbuku dengan kesedihan yang teramat. Terasa bagai orang lain yang terlalu asing. Sebab itulah aku membuat andaian bahawa ayah berhati batu, tiada perasaan langsung. Beku dan kaku.
Aku dapat tahu rupa-rupanya ayah datang ke kampung untuk mendapatkan wang bagi membeli tanah di
Aku bermonolog, “Sedang aku hidup menderita di sini, ayah bersenang-lenang di sana.”
Persekolahan aku berjalan dengan lancar, walaupun dalam kepayahan. Aku tetap menanam azam untuk berjaya, merempuh jalan walaupun samar. Hari berganti, bulan berlalu, payah jerih kehidupan aku harungi jua. Akhirnya tamat juga aku bersekolah rendah.
Hasrat hati ingin meneruskan persekolahan. Namun aku tahu bahawa hendak ke sekolah di zaman itu tidaklah semudah sekarang. Aku minta kebenaran dari ibu. Kataku, “Mak! Saya hendak memasuki sekolah Arab.”
“Tidak usah ke sekolah lagi, duduk rumah sahaja," ibu menjawab.
“Mak! Saya hendak belajar juga. Juallah lembu itu, apa guna memelihara lembu begitu sahaja. Anak hendak ke sekolah tidak boleh,” aku berkata lagi dengan nada merayu.
Mungkin kasihan dengan permintaan aku, ibu menjual juga lembu tersebut. Justeru di tahun 1964 dapatlah aku ke sekolah menengah hingga tingkatan empat. Memang aku tetap berhasrat untuk meneruskan ke tingkatan
Sepanjang berada di rumah bersama ibu, aku membantunya di dapur. Selang empat bulan selepas aku berhenti bersekolah, datang rombongan seorang pemuda untuk merisik aku. Aku menyangka pemuda tersebut tidak serius, kerana di waktu itu aku sudah mempunyai idaman hati dalam diam-diam. Namun tidak pula aku menyampaikan hasrat hatiku kepadanya. Kata orang bertepuk sebelah tangan.
Tidak berapa lama kemudian, utusan peminangan dari pemuda yang merisik dahulu datang menemui ibuku dan lantas ibu pun menyetujui hasrat rombongan tersebut. Aku tidak membantah hasrat ibu. Selepas melangsungkan majlis pernikahan, aku bersama suami tinggal menetap di rumah ibu.
Selama dua tahun di pondok buruk itulah aku menjalani kehidupan sebagai seorang isteri. Tuhan itu Maha Pemurah, lantas dengan rezeki hasil penat lelah suamiku, kami berjaya mendirikan rumah sendiri selepas dua tahun hidup di rumah ibuku. Ianya sebuah rumah papan, beratapkan bata. Rumah tersebut sudah memadai untuk aku dan suami. Aku mula merasakan sedikit kesenangan kehidupan sebaik sahaja aku dan suami berpindah ke rumah baru. Jarak antara rumah ibu dan rumah aku tidak berapa jauh. Cuma lima minit apabila berjalan kaki.
Kehidupan terus aku jalani bersama suami tersayang. Selang beberapa tahun, aku dianugerahkan dengan dua orang anak lelaki berturut-turut. Mereka terus membesar dalam jagaan aku dan suami. Aku gembira dan bahagia dengan tugas menjaga anak-anak.
Pekerjaan suami aku ialah bersawah padi, di samping menjalankan beberapa kerja sambilan. Berkat usaha suami yang tidak pernah mengenal penat lelah, kami dapat menyekolahkan anak-anak. Syukur kepada Allah. Tidaklah sesusah kehidupan semasa remaja aku bersama ibu.
Selang beberapa tahun kemudian, rumah aku diserikan dengan kehadiran dua orang anak lagi; seorang perempuan dan seorang lagi lelaki, menjadi empat orang kesemuanya. Bertambah meriah rumah aku. Juga bertambah belanja kami sekeluarga.
Sebelumnya: (1) Agungnya CintaMu Tuhan
-- (2) Akan bersambung.
** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
2 comments:
Boleh tau tak..ini petikan dari novel atau sekadar coretan. Saya suka sangat & kepingin tau akhiran ceritanya. Jika ianya novel..where can I get it. Reply a.s.a.p - kak Haiza Najwa. Baru belajar2 buka web ni. Isinyer best n menguja
Ini segmen novel saya secara online yang sedang dibikin. Ini original dari saya, bukan diciplak dari mana-mana novel.
Post a Comment