Jan 3, 2011

Anugerah dari Allah, buruk darimu

Pendahuluan

Apa jua kebaikan (pemberian kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.” (Surah an-Nisaa’ ayat 79)

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah. Kami memujiNya, kami mohon bantuanNya, kami mohon petunjukNya dan kami mohon keampunanNya. Kami berlindung kepada Allah dari semua keburukan yang datang dari kami sendiri. Ingatlah, orang yang mendapat tunjuk ajar dan cerdik akan maju, sedangkan orang yang degil dan malas belajar tidak akan mendapat tunjuk ajar.

Aku mengaku bahawa tiada Tuhan selain Allah. Dia tidak perlukan bantuan pihak lain dan tidak ada Tuhan yang serupa denganNya. Aku juga mengaku bahawa Muhammad bin Abdullah (S.A.W) adalah hamba dan pesuruhNya.

Tuhan berkata: “Apa jua kebaikan (pemberian kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.” (Surah an-Nisaa’ ayat 79)

Tuhan maksudkan ayat ini dengan perintah jihad, iaitu Dia menyindir orang yang tidak mahu berjihad.

Tuhan berkata: “Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak, atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.” (Surah an-Nisaa’ ayat 71)

Sebelum ayat ini, ada ayat lain yang Tuhan tegaskan supaya kita mesti mengikuti perintah Tuhan dan rasulNya. Kita mesti merujuk kepada Quran dan Hadis jika kita keliru dalam sesuatu perkara yang berkaitan dengan kehidupan.

Berkaitan dengan ini, ada ayat Quran yang menjelaskan mengenai kepercayaan kepada Tuhan dan rasulNya. Tuhan berkata: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah an-Nisaa’ ayat 65)

--- (1) Akan bersambung.

** Adaptasi dari buku karangan Ibnu Taimiyyah, ditulis semula oleh Web Sutera.

0 comments: