May 16, 2011

Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (1)

PROLOG

“Janganlah Tuanku menyekutukan Allah, Tuhan yang Esa. Sesungguhnya menyekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar,” kata Aristotle kepada Alexander yang sedang berhadapan di tempat duduknya.

“Saya faham, mahaguru,” akui Alexander sambil menatap mata gurunya.

“Ingatlah, Tuanku bahawa kebaikan individu merupakan sebahagian daripada kebaikan negara kota. Sekiranya Tuanku berjiwa rakyat dan mengambil berat setiap perihal warga Macedonia ini, saya yakin Tuanku akan memerintah dengan baik.”

Aristotle meneruskan lagi curahan ilmu kepada bakal pengganti raja kerajaan Macedonia, “Kerosakan sesebuah negara bermula dari kebejatan etika dan moral para ahli politik dan pemerintah. Matlamat politik adalah bagi membentuk sebuah masyarakat bernegara yang lebih baik.”

Aristotle memerhatikan ketekunan anak Raja Philip itu membuat catatan di sekeping batu nipis menggunakan kapur dari bukit.

“Tuanku, warga kota seumpama para pelaut. Sebuah kota pula bagaikan perahu yang dinaiki mereka. Jadi, di dalam perahu itu setiap pelaut mempunyai tugas masing-masing yang mesti dilaksanakan. Dengan itu, dengan izin Allah, perahu akan sampai ke destinasi yang dirancang,” jelas Aristotle, guru yang berjanggut putih sehingga mencecah separuh dada itu dengan penuh tekun kepada anak didikannya, Alexander.

“Tujuan politik dan pemerintahan adalah bagi kesejahteraan manusia, Tuanku.”

“Apa maksud kesejahteraan manusia, mahaguru?” soal Alexander dengan mata bersinar penuh minat. Mahaguru Aristotle tersenyum sambil mengurut-gurut janggutnya bermula dari bawah dagu sampai ke hujungnya.

“Pemerintah yang baik adalah seorang yang menghabiskan sebahagian besar masa dan tenaganya bagi mempelajari kebaikan. Dengan ilmu tersebut, dia bukan sahaja ingin menjadi pemerintah yang baik dan patuh kepada hukum, malah bersedia menerima teguran dari rakyat sekiranya sesuatu keputusan itu boleh dipertikaikan.” Terangguk-angguk Alexander mendengarnya sambil membuat catatan ringkas.

“Tuanku sebagai Raja Macedonia bertanggungjawab memimpin warga yang jahil akan elemen-elemen kebaikan. Ini kerana jika kejahilan itu dibiarkan, ia akan mengakibatkan perilaku buruk kepada pelaut dan arah perahu tersasar. Ingat kata-kata saya berkenaan anologi pelaut dan perahu, Tuanku?” Jelas Aristotle sambil mengemukakan soalan supaya Alexander memahaminya. Alexander mengangguk tanda faham.

Seterusnya Aristotle menjelaskan akan hakikat tauhid kepada Tuhan yang Esa dengan berkata, “Tuhan menjelaskan agama yang paling baik ialah agama yang menyeru manusia untuk menyembah Allah sahaja, tiada Tuhan selain Dia, dan melakukan amal ibadat sesuai dengan perintahNya, bukan mengikut selera masing-masing tanpa panduan. Tuhan sangat tidak menyukai orang yang lari dari musuh dengan niat tidak mahu berjuang demi hanya untuk kepentingan diri sendiri. Tuhan jelaskan manusia tidak boleh mengelak dari mati walaupun seseorang itu lari dari medan perang kerana mati adalah perkara nyata, walaupun manusia bersembunyi di sebalik halangan yang kukuh.”

“Okey, Tuanku. Cukup untuk hari ini. Kita sambung lagi pagi esok selepas matahari muncul.” Alexander lantas bangun dari lapik duduknya dan menyalami gurunya penuh hormat dan tertib.

“Sesungguhnya anak raja Philip ini bakal menjadi pemerintah yang agung,” monolog Aristotle sambil mengulum senyum senang.

---------------------------------------------------------------

Alexander yang dilahirkan pada tahun 356SM diamanahkan oleh Raja Philip kepada mahaguru Aristotle sejak tahun 343SM semasa puteranya berumur 13 tahun.

“Aristotle, beta berharap kamu dapat mendidik anakanda beta Alexander dalam segala bidang kemahiran yang kami miliki,” titah Raja Philip kepada Aristotle ketika baginda mengunjungi tempat persembunyiannya. Aristotle terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di suatu lokasi rahsia bersama isteri setelah ditangkap penguasa Asia Kecil bagi dibunuh.

“Baik, Tuanku. Saya sangat berbesar hati dengan undangan dari istana Tuanku,” akur Aristotle dengan wajah berseri-seri.

Aristotle diselamatkan oleh askar-askar Raja Philip dan membawa beliau ke istana Macedonia.

Telah banyak ilmu berkaitan politik, pemerintahan dan keagamaan Tuhan yang Esa dicurahkan oleh Aristotle. Mahaguru Aristotle adalah seorang lelaki beriman dengan berguru bersama mahaguru Socrates. Kedua-dua lelaki Mukmin itu bersama-sama mendukung ajaran agama tauhid Tuhan yang Esa Allah di dalam sebuah masyarakat yang diselubungi para penyembah berhala.

--- Akan bersambung, insya-Allah.

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: