Jul 6, 2011

Berfikir Gaya Champion (4): Nabi Muhammad mengasihi kucing

Banyak hadis dari Nabi Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam) memberi amaran kepada sesiapa yang memperlakukan seekor kucing secara kejam dan tidak berperikemanusiaan. Salah satunya ialah dari sahabat Nabi Muhammad bernama Abdullah yang melaporkan Rasulullah telah bersabda:

“Seorang wanita telah diseksa Allah pada hari kiamat lantaran dia mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati. Kerana itu Allah memasukkannya ke dalam neraka. Kucing itu dikurungnya tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat menangkap makanannya yang terdapat di bumi
.” (Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Sejarah telah mencatatkan bahawa Nabi Muhammad sendiri memiliki kucing peliharaan baginda. Kucing Rasulullah bernama Mueeza. Setiap kali baginda menerima kehadiran tetamu di rumah, baginda memegang Mueeza dan diribanya di atas paha. Nabi Muhammad berpesan untuk menyayangi kucing peliharaan seperti menyanyangi keluarga sendiri. Salah satu sifat Mueeza yang paling Nabi Muhammad suka ialah si kucing itu akan mengiau-giau setiap kali mendengar azan dikumandangkan. Mueeza mengiau seolah-olah seperti turut mengucapkan laungan panggilan bersembahyang itu.

Kucing peliharaan Nabi Muhammad itu manja dengan baginda dan baginda juga memanjakannya. Pernah di suatu peristiwa Nabi Muhammad mahu mengambil jubahnya, namun Muezza masih tidur di atasnya. Baginda pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya kerana tidak sampai hati untuk membangunkan kucing itu.

Tanda kasihnya Muezza kepada tuannya ialah apabila Nabi Muhammad pulang ke rumah, Muezza terbangun dan menunduk kepada Nabi Muhammad. Sesuai dengan sifat kasih sayang dan penyantun Nabi Muhammad, baginda lantas menggosok lembut badan Muezza.

Nabi Muhammad berkata melalui beberapa hadisnya bahawa kucing itu tidak najis. Malah baginda membenarkan wuduk diambil dari air bekas minuman kucing kerana ianya suci. Abu Qatadah melaporkan Nabi Muhammad berkata, "Kucing itu tidak najis. Ia binatang yang suka berkeliling di rumah.” (Hadis direkodkan oleh At-Tirmidzi, An-Nasa'i, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Ali bin Al-Hasan dan Anas menceritakan bahawa Nabi Muhammad pergi ke Bathhan, iaitu suatu daerah di Madinah. Lalu baginda berkata, "Ya Anas, tuangkan air wuduk untukku ke dalam bejana." Lalu Anas menuangkan air itu. Kemudian Nabi Muhammad menuju ke bejana tersebut. Dalam masa yang sama, seekor kucing datang dan menjilat air dalam bejana itu. Melihat itu, Nabi Muhammad berhenti sehingga kucing tersebut berhenti minum lalu baginda berwuduk. Nabi Muhammad ditanya mengenai kejadian tersebut, beliau menjawab, "Ya Anas, kucing termasuk perhiasan rumah tangga, ia tidak dikotori sesuatu, bahkan tidak ada najis."

Isteri Nabi Muhammad, Aisyah binti Abu Bakar juga ada cerita tersendiri berkenaan kucing. Daud bin Shalih At-Tammar dan ibunya menceritakan bahawa budak suruhannya memberikan Aisyah semangkuk bubur. Namun ketika dia sampai di rumah Aisyah, ternyata Aisyah sedang bersembahyang. Lalu Aisyah memberikan isyarat supaya menyimpannya di suatu tempat.

Setelah Aisyah selesai bersembahyang, beliau lupa pada bubur tadi. Datanglah seekor kucing, lalu memakan sedikit bubur tersebut. Ketika beliau melihat bubur tersebut sudah dimakan sedikit oleh kucing, Aisyah membersihkan bahagian yang disentuh kucing itu, dan beliau memakan bahagian yang tertinggal.

Rasulullah berkata, "Ia tidak najis. Ia binatang yang berkeliling." Aisyah pernah melihat Rasulullah berwuduk dari sisa jilatan kucing. (Kisah dari hadis ini direkodkan oleh Al-Baihaqi, Abdul Al-Razzaq dan Al-Daruquthni).

Dalam buku Sunan Abu Daud ada direkodkan cerita perihal kucing berkaitan. Daud Ibnu Salih Ibnu Dinar At-Tammar berkata bahawa ibunya telah melihat seorang perempuan menghantar sejenis bubur kepada Aisyah yang sedang mendirikan sembahyang. Aisyah mengisyaratkan supaya diletakkan di bawah. Kemudian seekor kucing datang dan makan sedikit bubur tersebut. Setelah Aishah usai bersembahyang, beliau makan bubur yang sudah dijilat oleh kucing itu.

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad yang terkenal ialah Abu Hurairah. Nama Abu Hurairah itu bukannya nama sebenar beliau kerana itu ialah gelaran yang diberikan oleh baginda. Makna Abu Hurairah ialah bapa kucing. Nabi memberikan gelaran kepada sahabat baginda kerana Abu Hurairah sangat mengasihi kucing.

Ceritanya begini. Dalam suatu peristiwa, seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Abdul Rahman bin Sakhar menemui seekor anak kucing yang sedang mengiau kerana kehilangan ibunya. Beliau yang dalam perjalanan menuju ke Masjid Nabawi berasa kasihan kepada anak kucing itu, lalu diambil dan diletakkan ke dalam baju besar beliau.

Sebaik sahaja Abdul Rahman bin Sakhar tiba di masjid, Nabi Muhammad ternampak sesuatu di dalam jubahnya, lantas bertanya, “Apa dalam bajumu?” Dia menjawab, “Seekor anak kucing yang kehilangan ibu, saya mengambilnya kerana kasihan kepadanya.” Lalu baginda menggelarkan Abdul Rahman dengan Abu Hurairah (bapa kucing).

Gelaran bapa kucing tidak sedikit pun menjejaskan maruah dan reputasi Abdul Rahman bin Sakhar, malah inilah gelaran yang paling disukai tatkala namanya dipanggil atau disebut. Ini kerana yang memberikan gelaran itu ialah Nabi Muhammad, seorang nabi dan rasul Allah yang terakhir. Dengan gelaran Abu Hurairah itu juga ianya mengingatkan beliau kepada suatu amal soleh yang pernah dilakukannya ketika mengambil kisah akan nasib seekor anak kucing yang kehilangan ibu.

Nota: Mengasihi binatang seumpama kucing merupakan saranan Berfikir Gaya Champion dari Nabi Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam). Jom amalkannya, insya-Allah.

Berkaitan: Berfikir Gaya Champion (1): Sebesen ikan keli dan haruan
Berfikir Gaya Champion (2): Menyahut cabaran menjadi Champion bagi Jaring Internet Magazine
Berfikir Gaya Champion (3): Saya maafkan tuan

** Siri saranan Berfikir Gaya Champion bermatlamatkan untuk menginspirasikan pembaca daripada contoh-contoh nyata dan tersirat yang dikemukakan. Saya berhasrat menerbitkannya dalam bentuk buku. Sekiranya ada penerbit yang berminat atau turut terinspirasi dengan idea ini, saya alu-alukan bagi menghubungi saya. Penulis bersedia berkongsi idea dan pengalaman, serta menadah nurani bagi menerima cadangan dan ujana.

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera atau Hizamnuddin Awang. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

2 comments:

Anonymous said...

Menarik! Tuan Web,bolehkah saya share artikel ini?

Web Sutera said...

Silakan, sdr. Tanpa Nama. Link-kan / kreditkan kembali ke blog ini supaya tidak melanggar hakcipta :-)