Jul 8, 2011

Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (7)

BAB 18

“Lalu dia (Zulqarnain) pun menempuh jalan (yang menyampaikan maksudnya).


“Sehingga apabila dia (Zulqarnain) sampai ke daerah matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur, dan dia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulqarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.


“Dia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.


“Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.


“Kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.”
(Surah al-Kahfi ayat 85 – 89)

-------------------------------------------------------------------

Disember 332 Sebelum Masihi.


Pada umur Alexander 24 tahun penggembaraan diteruskan merentasi padang pasir luas. Rombongan kerajaan Macedonia segera bergerak sebaik sahaja raja mereka sembuh secukupnya bagi meneruskan perjalanan. Selepas tujuh hari mengharungi panas terik padang pasir, mereka tiba di pintu masuk Mesir, iaitu bandar Pelusium yang terletak di sebelah timur delta Nil. Gabenor kerajaan Parsi tanpa banyak bicara menerima perdamaian dari Alexander kerana menyedari tiada untungnya menentang kemaraan pasukan Alexander tersebut.

“Mesir!” laung Perdiccas sebaik sahaja terpadang lanskap luas dari menara tinggi kota Pelusium. Dia dapat melihat aliran perlahan sungai, lambaian dedaunan paparus di sepanjang tepian terusan dan pokok kurma yang banyak buah-buahnya.

“Saya sukar untuk mempercayai apa yang dilihat. Saya menyangka itu semua merupakan mitos yang diceritakan oleh sejarawan kita mengenai sebuah negara yang kaya dengan sumber-sumber alam dan menjadi pusat dunia,” Leonnatus mencelah dengan sinaran mata yang menyala galak.

Alexander dan para sahabat diraikan di atas pelantar luas di salah satu menara kota Pelusium. Hidangan berupa buah-buahan segar dan minuman sejuk menjadi santapan mereka. Mereka bersantai sambil memerhatikan keindahan ciptaan Tuhan di hadapan mereka.

“Lihat! Lihat di hadapan, di tengah sungai! Binatang besar apakah itu?” tiba-tiba Leonnatus berteriak sambil menunjuk ke arah air sungai yang seolah-olah menggelegak dengan buih-buih muncul di permukaan.

“Buaya. Mereka memang banyak di dalam sungai. Ingat, tuan-tuan, jangan berenang di sungai itu kerana buaya memang banyak,” kata penterjemah Greek bernama Aristoxenus.

“Apa pula haiwan itu? Lihat di sana! Ianya kelihatan bagaikan babi besar!” Leonnatus berteriak lagi seumpama seorang kanak-kanak kecil.

“Itu hippopotamoi, nama panggilan orang-orang Greek,” penterjemah memberikan makluman.

“Kuda-kuda sungai. Demi Tuhan, beta percaya bahawa kuda beta Bucephalus akan tersinggung seandainya dia mengetahui kita memanggil binatang besar itu kuda,” Alexander berseloroh. Baginda sudah sihat sepenuhnya dan wajah ceria terpancar dengan keimanan kepada Allah.

“Ianya hanya berupa kata-kata metafora, Tuanku. Binatang itu tidak merbahaya kerana mereka makan rumput dan rumpai. Namun mereka boleh menterbalikkan bot besar dan perahu andai banyak bilangannya. Paling bahaya ialah kemungkinan menjadi mangsa kepada buaya-buaya sebaik sahaja terjatuh ke dalam sungai,” Aristoxenus memberi penjelasan akan kewujudan dan sifat-sifat haiwan sungai berkaitan.

“Sebuah negara merbahaya,” kata Seleucus yang menjadi pemerhati senyap sejak mula tadi sambil menikmati pemandangan menakjubkan yang belum pernah mereka melihatnya.

“Apa yang bakal terjadi seterusnya, Tuanku?” Seleucus bertanya kepada Alexander.

“Beta kurang pasti, tetapi beta percaya kita akan diterima sebagai kawan seandainya kita mengambil inisiatif memahami budaya mereka. Pada pemahaman beta, mereka merupakan golongan manusia baik dan bijak, tetapi memiliki kebanggaan tersendiri.”

“Memang benar. Mesir tidak pernah bertoleransi dengan dominasi pihak luar dan Parsi tidak memahami fakta tersebut. Kerajaan Parsi melantik gabenor di sini bersama askar upahan. Justeru warga Pelusium dan lain-lain daerah di Mesir memberontak dari masa ke semasa, dan akhirnya digempur secara ganas,” akui Eumenes.

“Mengapa kita harus berbeza?” Seleucus bertanya.

“Kita berbeza justeru kita akan menghormati agama dan budaya rakyat Mesir. Mereka mempercayai secara utuh agama ketuhanan dan kehidupan selepas mati. Kita akan meneliti kepercayaan agama mereka dan beradaptasi dengannya. Esok armada kita akan tiba ke sini. Selepas itu kita akan menuju ke Memphis, ibu kota negara Mesir,” putus Alexander yakin kerana baginda sudah menerima kepercayaan ketuhanan yang Esa.

Kapal Laksamana Nearchus dan Hephaestion tiba di bahagian timur delta Nil dua hari selepas itu. Kemudian Alexander bersama para sahabat meneruskan misi ke Heliopolis dan Memphis menaiki kapal laut, sementara para askar lain mengikuti menerusi daratan.

Warga Heliopolis tidak menentang kehadiran Alexander, malah manyambut dengan baik. Kemudian baginda menuju ke Memphis pula tanpa halangan juga.

Mereka berbaris di sepanjang Sungai Nil di hadapan sekelompok piramid yang bersinar seumpama intan di bawah sinaran matahari. Mereka juga melihat sphinx gergasi terpacak di situ menjadi ‘penjaga’ makam para Firaun Mesir yang tidur mati.


-- Akan bersambung, insya-Allah.


Sebelumnya:
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (1)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (2)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (3)

Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (4)

Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (5)

Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (6)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: