Mar 14, 2012

Perang Konstantinopel (1)

Konstantinopel atau Byzantium telah dibina oleh raja Rom bernama Constantine Agung sebagai ibu kota kerajaan baharu Romawi pada tahun 330 Masihi dan berfungsi sebagai pusat Empayar Byzantine selama berabad-abad lamanya. Ia juga dikenali sebagai Rom Baharu atau Rom Timur.

Semasa zaman Empayar Byzantine, bandar ini mengalami kemajuan dan kemakmuran, dan merupakan pusat keagamaan Kristian Ortodoks. Dalam tempoh lebih kurang 1,100 tahun kewujudan Empayar Byzantine, Konstantinopel telah diserang banyak kali. Namun begitu ia hanya dapat ditawan pertama kali ketika Perang Salib Keempat dalam tahun 1204 Masihi.

Kejatuhan Konstantinopel kepada tentera salib melahirkan Empayar Latin yang tidak stabil di kota tersebut. Kemudian Empayar Byzantine berpecah kepada beberapa negeri-negeri Greek seperti Nicaea, Epirus dan Trebizond. Negeri-negeri ini bersatu menentang kuasa Latin tetapi bergaduh sesama sendiri merebut takhta Byzantine.

Kerajaan Nicaea adalah kerajaan Greek pertama yang menawan kembali Konstantinopel dari orang Latin pada tahun 1261 Masihi. Dua abad seterusnya, Empayar Byzantine yang lemah menghadapi ancaman dari orang Latin, Serbia, Bulgaria dan kekhalifahan Islam Uthmaniah Turki.

Konstantinopel merupakan nama lama bagi Islambul setelah diamankan oleh Sultan Muhammad al-Fateh, Khalifah Daulah Utsmaniah ketujuh. Ia dinamakan semula kepada nama sekarang, iaitu Istanbul, pada 1930 Masihi sebagai sebahagian daripada misi yang dikatakan pembaharuan sekular pimpinan Mustafa Kamal Ataturk untuk Turki.

Pada 1453, Sultan Muhammad al-Fateh telah menyerang dan berjaya menawan Konstantinopel. Sultan Muhammad al-Fateh telah membina semula bandar ini, yang kemudiannya menjadi pusat pentadbiran kerajaan Islam Utsmaniah Turki dari 1453 hingga 1922 Masihi.

@@@@@@@@@@@@@

54 tahun sebelum Hijrah, 569 Masihi.

Dia bersendirian di malam pekat. Namun mata hatinya cerah. Perlahan-lahan dia keluar dari gua tempat pertapaan di sebuah sudut terpencil di Sind, benua India. Sebaik berada di pintu gua, dia mendongak ke dada langit. Kelihatan kerlipan gugusan bintang tergantung, menjadi hiasan langit dunia.

Sejurus itu juga sambil menarik nafas kesyukuran dia mengukir senyum. Dia bukan Brahmin, cuma seorang pertapa yang mencari erti ketenangan sebuah kehidupan. Berpuluh tahun dia menyendiri di dalam gua itu, dengan tekad mengabdikan diri kepada Tuhan Yang Esa. Allah adalah Tuhannya yang disembah.

Dia sudah kerap kali menelaah kitab Veda dan Purana bahawa seorang manusia istimewa akan dibangkitkan Tuhan untuk seluruh alam. Kitab-kitab itu memberikan empat nama atau gelaran iaitu Narashangsa (Yang Terpuji), Antim Rishi ( Utusan Terakhir), Kalki Avatar (Utusan Akhir Zaman) dan Mamaha dan Ahamiddhi (Muhammad).

Veda juga menceritakan sifat-sifat utusan akhir zaman ini. Sebagai contoh dalam Atharva-Veda disebutkan, “Dia menggunakan unta sebagai kenderaannya”, “Dia mempunyai 12 orang isteri”, “Tuhan memuliakannya dengan 10 kalungan di leher”, dan “Dia menerima anugerah 10,000 ekor lembu”.

Ya, dia tetap menghafalnya walaupun tanpa melihat helaian-helaian kitab yang sering ditatap demi mencari kebenaran. Dia menunggunya datang, walaupun dia tidak pasti selama mana dia bakal menghuni dunia fana ini.

Dia teringat akan kisah pertemuan para pendeta Yahudi yang datang dari Syam menemui raja Yaman bernama Tabban. Ceritanya diperikan oleh seorang orang alim Yunani yang sering berulang alik dari Konstantinopel dan benua India.

Selepas masuk ke dalam istana menghadap Tabban, mereka bertanya, “Apa yang tuan mahu daripada peperangan dengan penduduk Madinah ini?”

Tabban menjawab, “Beta mahu merosakkan Madinah justeru membalas dendam ke atas kematian anakanda beta!”

Seorang pendeta Yahudi berkata, “Tuan tidak akan berjaya. Tuhan akan memusnahkan tuan dan tentera tuan. Madinah ini adalah tempat hijrah seorang insan bernama Muhammad. Itu ada disebut dalam lembaran-lembaran kitab kami.”

Orang alim Yunani itu menambah kata, “Muhammad akan menyebarkan agama Tuhan Yang Esa sehingga ke Barat dan Timur, sehingga ke benua India dan ke seluruh dunia. Dia akan membenarkan kitab Taurat dan Injil, serta semua ajaran para nabi sebelumnya.”

Kerlipan bintang-bintang tetap setia menemani sang langit. Dia pula menanti penuh sabar waktu yang dijanjikan Allah.

@@@@@@@@@@@@@

Sekarang, Masjid Nurul Hidayah, Kg. Pandan Dalam, Selangor.

Majlis diskusi ilmiah sentiasa diadakan di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, Selangor. Seminggu yang lalu semasa menyampaikan pengumumam sebelum solat Jumaat, setiausaha masjid memberitahu jemaah bahawa satu sesi diskusi berkaitan Konstantinopel akan diadakan. Beberapa sesi dijadualkan yang bakal memakan masa selama sebulan pada setiap hujung minggu.

“Para penceramah juga sudah dijemput yang terdiri daripada pakar sejarah, ulamak dan ustaz bagi mengupas sejarah sebuah kota peradaban manusia yang menjadi rebutan banyak pihak,” ujar setiausaha masjid.

Beliau menyambung, “Sesi ini akan dijalankan secara ceramah, diskusi dan perbincangan. Dewan masjid akan digunakan yang boleh menempatkan maksima 200 peserta dalam suatu masa. Tuan-tuan yang berminat tidak perlu membayar sebarang yuran penyertaan. Ia percuma dan terbuka kepada semua orang, para pelajar dan wanita. Beberapa pelan tindakan juga sudah dibentangkan sekiranya ada sebarang perkara berbangkit nanti.”

Muhammad Nabil merakam maklumat berkaitan dalam mindanya, walaupun sejak duduk di dewan solat tadi dia ralit dengan berzikir.

Senyuman terukir dan tersemat azam, “Seminggu sekali,” monolognya di dalam hati.

@@@@@@@@@@@@@

Sekarang, Kg. Pandan Dalam, Selangor.

“Mama, dalam sebuah buku, Nabil dapat maklumat menarik berkenaan kejadian ajaib yang terjadi semasa lahirnya Nabi Muhammad bin Abdullah,” kata Muhammad Nabil kepada mamanya.

Ibu Muhammad Nabil segera menghentikan gerakan kaki dan tangan di sebuah mesin jahit di ruang tamu rumah mereka. Dia menoleh ke arah anak lelakinya yang berusia 15 tahun itu dan bertanya, “Apa kejadian tersebut?”

Muhammad Nabil memulakan cerita hasil dari pembacaannya. Ibunya tekun mendengar sambil tersenyum.

Sebelumnya:
Perang Konstantinopel: Pendahuluan

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

3 comments:

Ratu Sukma Nilam Nirwana said...

Saya suka sejarah Sultan Al-Fateh.

Ali said...

Saya suka. Teruskan!

Web Sutera said...

Alhamdullillah. Terima kasih, sdr. Ratu Sukma dan sdr. Ali :-)