Dec 3, 2012

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad (17)

29 April – 22 Mei 1453 Masihi

Serangan dan cubaan yang masih tidak menampakkan kejayaan besar di pihak Uthmaniah tetap memakan korban yang tidak kurang banyak di pihak Konstantinopel. Hari demi hari, bilangan tentera pertahanan kota ini semakin berkurangan. “Semakin lama semakin teruk situasi dalam kota ini,” keluh Maharaja Constantine XI sendirian.

Beliau memanggil para penasihatnya untuk berbincang, walaupun kemelut dalaman masih berkecamuk.

“Apa pandangan kalian, andainya beta sekali lagi menghantar surat untuk berdamai? Keadaan saat ini tidak menyebelahi kita. Kita buat gencatan senjata sementara menunggu ketibaan pasukan bantuan dari Venetia.”

Semua penasihat bersetuju, atau terpaksa bersetuju. Utusan dihantar kepada Sultan Muhammad al-Fateh.

Sebaik menerima kehadiran utusan itu, Sultan Muhammad al-Fateh berkata, “Sila duduk, tuan utusan. Apa perkhabaran dari maharaja kamu?”

Utusan itu menunduk, kemudian berkata, “Maharaja Constantine ingin berdamai, Sultan. Ini surat beliau.”

Sultan Uthmaniah itu membaca isi tawaran dari Maharaja Constantine XI.

“Surat dari Maharaja Constantine kepada Sultan Muhammad. Beta tawarkan perdamaian. Kali ini beta berjanji akan memberikan harta yang berlipat kali ganda kepada kamu andai bersetuju. Beta akan menambah lagi banyak harta dari penduduk Genoa di Galata.”

Sultan Muhammad al-Fateh tersenyum sebaik sahaja tiba di ayat-ayat tawaran harta itu. Beliau sudah tahu akan suasana getir bekalan makanan di dalam kota.

Beliau berkata kepada utusan Byzantine itu, “Sila maklumkan kepada maharaja kamu yang niat saya tetap tidak berubah. Tawaran harta dan kekayaan bukan matlamat saya. Sila sampaikan pesan saya yang terdahulu.”

Cubaan Maharaja Byzantine itu tetap gagal. Beliau merengus kasar apabila diberitahu penolakan oleh Sultan Muhammad al-Fateh.

Giovanni Giustiniani yang berada bersama Maharaja Constantine XI memberi cadangan, “Tuanku, saya ada satu idea.”

“Ya, kemukakan.”

“Izinkan saya menggunakan ghali milik saya untuk pergi ke Pelopponese bagi mengumpul bala tentera baharu. Dari situ, saya dapat menyampaikan mesej Perang Salib untuk Hungari, Albania dan Itali bagi menghantar tentera dalam misi memusnahkan kepungan Islam ini. Saya akan meniup sentimen suci Perang Salib.”

“Tidak dibenarkan! Dalam situasi segenting ini, lebih baik kita tunggu pasukan Venetia. Andai Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam, biar ia jatuh bersama-sama beta!”


@@@@@@@@ 

17 – 22 Mei 1453 Masihi 

Jalan tetap dirintis bagi meneruskan kepungan dan memberi impak yang diharapkan. Tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah jua. Itu pegangan Sultan Muhammad al-Fateh, para panglima dan ulama.

Idea sebuah menara tinggi dilestarikan dengan gigih. Idea satu malam, gagasan besar dalam meneruskan misi jihad dan menjulang panji al-Fateh.

Tentera dan penduduk Konstantinopel dikejutkan dengan menara gergasi pada pagi 18 Mei yang menghampiri tembok kota.

“Alamak! Benda itu lebih tinggi daripada menara pengawal kota! Apakah itu?”

“Cuba engkau bilang! Berapa? ... Empat tingkat!”

“Bagaimana kita mahu bertahan dari serangan anak-anak panah dengan ratusan tentera mereka di tingkat atas itu?”

“Kena hujan kita nanti!”

“Hujan apa pula? Langit cerah sahaja.”

“Hujan panahlah!”

Bicara dua orang rakan di atas sebuah menara pertahanan kota Konstantinopel.

Kedengaran satu suara, “Oi! Itu hantu! Lari!”

Sekumpulan tentera bertahan Byzantine terkejut, lantas mereka lari. Rakan-rakan yang lain terdiam sama sekali, memerhati pergerakan menara gergasi itu semakin mendekati tembok. Ngeri dan berani .. ada yang berundur ke belakang perlahan-lahan sebelum ditolak oleh rakan di belakang supaya terus tetap di situ.

“Hantu atau Syaitan, kita tunggu. Engkau mahu berundur? Aku takut maharaja kita memenggal kepala kita pula,” ujar seorang tentera. 

** Hakcipta Terpelihara 2012 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: