Lebih satu jam berlalu.
Jam sudah hampir 4.45 pagi setelah usai munajat, berzikir, dirikan beberapa
solat sunat dan mentadabbur Al-Quran. Dia mencapai Tablet-Fateh20, dan
pancarkan hologram ke dinding biliknya. Dia mula menulis.
Aku insaf atas apa yang
telah dan sedang terjadi, dan aku bersyukur atas apa sahaja. Nusantara yang
besar ini sudah beratus tahun berubah, walaupun undang-undang Islam tidak
dilaksanakan secara keseluruhannya. Paling kurang pun sudah lama pihak dan
pertubuhan politik Islam berjaya menyediakan suasana kondusif bagi melahirkan
pelapis dan rakyat yang berjiwa agama.
Memang kita umat Islam
tidak hanya perlu menunggu lahirnya Imam Mahdi atau turunnya Nabi Isa ke bumi.
Usaha itu tetap wajib dilaksanakan agar muka bumi terus makmur, walaupun
sedikit sahaja hasilnya. Bila lahirnya sang penyelamat dunia itu bukan urusan manusia,
bahkan penentu segala ialah Allah yang Maha Berilmu.
Ada orang kata ia teori
konspirasi dan umat Islam paranoid. Ia bukan isu paranoid atau tidak, malah
Rasulullah (SAW) melalui banyak hadis Baginda sudah menyatakan akan era akhir
zaman. Ya, umat Baginda ialah umat akhir zaman, cuma akhir zaman itu tidak
diketahui secara tuntas berapa lamakah ia berlansung.
Sudah berlalu lebih dua
ribu tahun sejak Rasulullah (SAW) lahir. Aku percaya tempoh masa itu bukan
perkara pelik bagi Allah. Dimensi masa bagi-Nya hanyalah sekelumit ciptaan Dia
yang Maha Agung.
Kalau mahu dikira
paranoid, umat Yahudi dan Kristian pun ada unsur-unsur demikian. Masing-masing
menunggu datangnya sang penyelamat al-Masih, cuma dalam pandangan yang berbeza.
Aku yakin hanya Islam yang benar, justeru doktrin Islam tidak akan berubah
seperti mana janji Allah. Doktrin .. itu kosa kata barat, yang sebenarnya ialah
syariat Islam. Syariat yang sesuai untuk sepanjang zaman sehingga ke hari
kiamat.
Tidak ada perpaduan dan
persaudaraan Islam? Ia masih ada dan kekal, cuma dalam beberapa kelainan. Para
ulama yang tulus sudah dan sedang berkerja keras bagi menjadi pewaris nabi.
Negara-negara bangsa masih lagi kekal demikian. Walaupun Islam tidak
menyeluruh, tetapi bagi aku ianya sudah lama demikian, sejak runtuhnya Daulah
Uthmaniah angkara Zionis Yahudi dan konco-konconya yang berkuasa.
Bagi aku, maha benarlah
kata-kata Allah, onar dan usaha manusialah yang menjadikan dunia seperti masa
kini, di akhir zaman ini. Sudah nyata yang Allah bukan sahaja mengambil kira
menangnya Islam, bahkan usaha untuk meraih kemenangan itu yang turut Allah
perkirakan.
Di merata lokasi di
seluruh dunia, malapetaka tidak habis-habis muncul. Kesan pemanasan global juga
semakin terasa. Bocorkah lapisan ozon kita atau ada anasir Dajjal yang berbuat
onar yang jadinya hukum sebab-akibat? Sungguh, Allah tidak menghukum hamba-Nya
selagi tiada peringatan dari nabi dan rasul-Nya.
Selain mengawal peredaran suhu di dalam atmosfera, lapisan ozon juga sebenarnya mempunyai kepentingan menyerap radiasi sinaran ultra ungu (UV) yang tinggi daripada matahari sebelum sampai ke permukaan bumi.
Kita tahu yang kajian saintis mendapati, pada awal abad ke-21 lagi lapisan ozon semakin mengalami kerosakan dan menipis kesan penggunaan gas klorofluorokarbon (CFC) secara tidak terkawal. Gas CFC boleh terhasil daripada pelbagai cara seperti penggunaan peti sejuk, bahan peyembur, bahan pelarut, produk berasaskan polisterin dan juga perindustrian perkilangan.
Gejala bencana yang
membawa kemusnahan dunia hasil kononnya kemajuan manusia? Aku ada membaca dalam
Bible, kitab wahyu (revelation)
16:16: “Dan roh-roh syaitan mengumpul sekalian tentera dunia di sebuah tempat
bernama Armagedon.”
Tiada kaedah lain atau ini
semua konspirasi sang pembohong besar di sebalik dunia gelap? Walau apapun, aku
tetap istiqamah tentang apa yang aku sedang lakukan. Begitu juga harapan aku
pada teman-teman Islam di seluruh dunia, justeru aku teringat pesanan Rasulullah
(SAW):
“Jika
kiamat (atau tanda-tanda kiamat) telah mula berlaku sedangkan di tangan kamu
ada sebutir biji benih, maka andai sempat untuk ditanam, hendaklah dia
menanamnya.” (Hadis
riwayat Imam Ahmad dan Bukhari)
Walaupun kota Baghdad
pernah menjadi mercu tanda dunia ilmu, namun sekarang ini ia sudah musnah.
Tindakan Amerika Syarikat yang menjarah sebahagian bumi Iraq sejak abad ke-21
menjadi petaka umat manusia. Pemerintah Amerika Syarikat, begitulah sifat
mereka, sentiasa benar perilaku mereka. Pihak lain semuanya salah, teroris
katanya.
Dalam pada itu, walaupun
tempur demi tempur di sekitar kerajaan Palestin yang kecil itu, semangat jihad
tetap unggul. Israel laknat itu masih gagal, dan insya-Allah mereka tetap akan
kalah. Statistik jumlah pertambahan warga Palestin yang jauh lebih tinggi
mengatasi generasi baharu Israel memberi kesan besar terhadap polar
kependudukan di bumi yang dipesan oleh Khalifah Umar al-Khattab agar dijaga.
Warga Israel yang sama ada
takut atau memang tidak bersetuju dengan pendekatan politik adu domba
kerajaannya, ramai sudah keluar. Sejak Intifadhah Al-Aqsa yang bersenjata batu
itu di sekitar tahun 2000 – 2007, lebih kurang 700,000 orang penduduk Yahudi
yang memegang kerakyatan Israel meninggalkan wilayah yang dijarah daripada umat
Palestin.
Untuk saudara seIslam aku.
Dari seorang hamba Allah bernama Fateh Sa’adi.
Dia pun posting catatan
ini ke dalam blognya dengan menekan butang ‘terbit’. Dia menutup tabletnya dan
keluar bilik menuju ke surau. Kedengaran suara Tuan Guru yang serak-serak basah
mengaji di kejauhan. Dia melajukan langkahnya. Kelihatan juga teman-teman lain
turut melangkah kaki ke sana. Lebih kurang sepuluh minit lagi waktu solat Subuh
akan menjengah.
@@@@@@@
Awal abad
ke-25 Masihi
Pemanasan global
menjadi nyata. Bongkah-bongkah bukit besar ais di Antartik dan Artik mencair.
Akibatnya bandar-bandar besar dunia termasuk London dan New York dilanda
bencana banjir besar yang menenggelamkan hampir separuh bandar-bandar itu.
Walaupun langkah sudah diambil dengan pelbagai sistem amaran awal melalui
penggunaan satelit cuaca di ruang orbit bumi, ia masih tidak memadai untuk
menyelamat jutaan nyawa manusia.
Bahana ini bermula
tatkala usaha memindahkan gas karbon dioksida secara besar-besaran dilakukan ke
kawasan bergurun, termasuk Gurun Sahara di Timur Tengah. Dengan mengguna PBB,
pelobi-pelobi Yahudi kaya itu memutar belit fonemona pemanasan global. Hasilnya
karbon dioksida dipindahkan ke kawasan gurun bagi memulihara tanah-tanah yang
belum diteroka. Segala tipu daya atas usaha pemuliharaan alam sekitar menjadi,
pastinya dengan belanja yang sangat besar.
Hujan lebat mulai
turun di kawasan padang pasir melalui pembenihan awan buatan dan semulajadi.
Wilayah kering semakin menyejuk, dan lama kelamaan maka terbentuknya padang
rumput dan aliran sungai.
Benarlah kata-kata
Allah yang bencana adalah akibat daripada perbuatan manusia sendiri. Rasulullah
(SAW) juga memberi ingat, “Hari kiamat
itu tidak akan terjadi sehingga tanah Arab kembali menjadi padang rumput dan
dialiri sungai-sungai.” (Hadis riwayat Muslim)
Mangsa utama ialah
manusia yang tidak tahu apa-apa di bandar-bandar yang dilanda banjir besar itu.
Para pemimpin dan orang-orang kaya selamat. Dajjal dan konco-konconya berlepas
tangan. “Itu fonomena alam semula jadi,” begitulah laporan media massa dunia.
@@@@@@@
Pada
zaman Rasulullah (SAW)
Sekumpulan kaum Yahudi sedang
bercerita dengan beberapa orang Arab Islam mengenai raja mereka yang akan
muncul di akhir zaman. Raja itu dikatakan akan memerangi umat Islam di waktu
itu.
“Akan muncul Raja Yahudi yang
dinamakan al-Masih. Dia akan memerintah dunia dengan menduduki takhta Nabi Daud
di Baitulmaqdis sebagai ketua dan pemimpin negara rakyat anak-anak Israel.”
Selain daripada itu, mereka juga
bercerita mengenai pertempuran antara raja Mesir, Firaun Neco dan raja Yahudi, Josiah. Beginilah ceritanya …
Tahun 610 – 609 Sebelum Masihi
Firaun Neco menduduki takhta kuasa
di Mesir sekitar tahun 610 Sebelum Masihi. Setahun berikutnya dia menawan Gaza dan Kanaan di sempadan kerajaan Judah yang diperintah oleh Raja Josiah.
Hasrat Firaun Neco ialah untuk menawan keseluruhan Israel.
Walau bagaimanapun, masalah utama di utara Israel adalah
kerajaan Babylon yang dalam tahun 612 menakluk ibu kota empayar
Assyria di Nineveh. Pemerintah Babylon
juga turut berhasrat menawan sebanyak mungkin wilayah kerajaan Judah itu.
Justeru pada musim bunga tahun 609,
Neco berarak ke utara melalui tanah Israel untuk
sampai ke bandar Carchemish,
sebuah benteng dan kubu kuat Mesir.
Raja Assyria, Assuruballit II, sebelumnya berundur
ke arah barat akibat tekanan raja Babylon dan
berlindung di Haran. Firaun Neco membantu Raja Assuruballit II dengan niat agar
kemaraan tentera Babylon dapat disekat.
Raja Josiah mengambil keputusan untuk berhadapan dengan
lawannya di Megiddo. Sebelum itu angkatan perang Josiah dengan bantuan tentera
Babylon bergerak ke Lembah Jezreel di Megiddo. Mereka menunggu ketibaan
angkatan perang Neco di situ.
“Pertarungan di Megiddo itu sangat sengit. Darah mengalir
bagaikan air hujan yang berkumpul. Raja Josiah bertarung dengan gagah berani.
Baginya, biar syahid asalkan tidak berputih mata.
“Malangnya pertarungan itu dimenangi oleh pasukan Firaun
Neco dan Raja Josiah terbunuh. Mayat raja kami itu
diusung kembali ke Jurusalem. Semua penduduk Judah dan
Jurusalem berkabung di atas mangkatnya Raja Josiah.” Seorang Yahudi dalam
kumpulan itu mengakhiri cerekanya.
** Hakcipta Terpelihara 2013 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
0 comments:
Post a Comment