Agak menjauh wujud ledakan
aliran elektrik statik, kemudian satu suara muncul kembali memberi amaran.
“Ia semakin naik. Lapan
ribu kaki di bawah dan naik dengan pantas. Bentuknya besar. Kita cuba
menghubunginya dengan sonar.”
Sunyi beberapa ketika,
kemudian suaranya memecah ruang, tetap tenang, “Tiada respon.”
Ibrahim hanya dapat
bayangkan apa yang berselirat di dalam minda Kapten kapal laut itu. Tatkala itu
juga satu benda besar dan tidak dikenali mendatangi lokasi mereka dari arah
paling dalam Lautan Atlantik.
Ibrahim bertanya, “Itu
mesin atau benda hidup?”
Kapten menjawab, “Sukar
diagak ... Ia bergerak naik secara menegak. Kita dapat mengesan melalui radar,
ada getaran sonar ... boleh jadi sebuah kapal besar ... mesin besar. Tetapi
setakat yang kita tahu, tiada benda sebesar itu dan hidup di planet ini. Risau
aku! Tiada kapal yang pernah dibina sebesar itu. Aku ...”
Sunyi lagi. Aliran
gelombang statik muncul lagi, kali ini lebih kuat. Ibrahim sebagai Pegawai 1
tertekan. Begitu juga Kapten.
Kemudian jalur-jalur
gelombang yang terjana daripada aliran yang dihasilkan oleh alur lintang air yang
agak sejuk pada aras tinggi itu pecah.
“Lima ribu kaki dan
semakin naik. Pantas ke arah kita! Apapun bendanya ... ia bukan kawan kita.”
Khali lagi. Statik yang membingit menerjang.
Kemudian suara Kapten
memecah sunyi, kali ini terserlah gelisah. “Cepat bergerak lari! Semua krew ke
pod pelepasan! Semua bergerak ... “ Gelombang aliran elektrik statik pecah,
suara Kapten sirna.
Kemudian ... sunyi sepi.
@@@@@@@
Kira-kira 10,000 Sebelum Masihi
Persis lembayung sepanjang
seribu batu yang melingkar merentasi tengah-tengah dasar samudera. Ia adalah satu
barisan magma menggelegak naik dari dalam perut Bumi, bertembung dengan air
sejuk. Kemudian, justeru pertembungan arus panas dan sejuk itu, rabung terbentuk
semakin tinggi.
Dalam kaedah berlawanan,
akibat daripada plat tektonik yang bersilang di bawahnya, rabung Lautan Atlantik membesar dan berpecah. Seterusnya
persis aliran darah dari luka di planet, bebatuan yang mencair menambah luas
ruang di antara plat Amerika Utara / Selatan dan Eurasia / Afrika.
Proses terbelahnya muka
bumi, seperti yang terjadi ini, sudah berlaku semenjak jutaan tahun yang lalu, kemudian membentuk benua-benua berbeza. Kini lain pula. Buana bertindak lagi sesuai
dengan ilham dari Allah.
Di pusat Atlantik,
kira-kira di latitud dua puluh darjah utara, belahan itu semakin besar lantaran
bertemunya empat plat Bumi, lalu terwujud tarikan menjauh di antara satu sama
lain. Keempat-empat plat itu membentuk belahan timur-barat dan utara-selatan. Kejadian
alami ini – dengan izin Tuhan Yang Esa – hanya berjarak beberapa inci setahun.
Namun dalam tempoh jutaan tahun, ia turut menolak lapisan magma merentasi lava
keras, kemudian naik ke atas permukaan air. Hasilnya ia memunculkan gugusan
pulau berbentuk silang, kemudian merentas masa yang lama naik cukup tinggi bagi
saling bersatu. Akhirnya kesatuan banyak pulau itu membentuk daratan berupa
benua tersendiri, terasing.
Namun, benua tersendiri
itu terbentuk hasil daripada rekahan kerak Bumi tanpa ikatan kukuh kepada
planet. Apa yang mengikat pecahan-pecahan bersilang itu ialah jujukan magma
yang masih bergelegak dari masa ke semasa. Justeru, ia berbeza dengan enam
benua yang diikat di atas beratus-ratus kilometer batuan sejuk yang membentuk
plat tektonik.
Masa itu milik Allah jua.
Perlahan-lahan, kemudian melaju, mungkin. Sang makhluk menjadi pemerhati.
Di antara daratan gunung
berapi yang aktif dan lautan yang kaya misteri di sekelilingnya, wujud spesis
makhluk yang lahap memamah bekalan makanan dari kedua-dua sumber. Namun mereka bijak,
membangun dengan pantas.
Kemudian ... di daratan
tengah Atlantik itu juga, tamadun manusia pertama muncul. Daripada sekumpulan
pemburu, pencari dan nelayan, mereka membentuk kaloni dan kemudian menjelma
bandar-bandar besar. Selanjutnya generasi manusia perlahan-lahan semakin
dominan menguasai tanah di situ.
Tetapi selepas wujudnya
tamadun manusia dengan kemajuan pesat, suatu elemen ganjil kegelapan muncul di
lautan bahagian barat, mengganyang setiap buah kapal laut yang melaluinya.
Lain-lain gapura terbuka
di seluruh planet dengan membawa belang kegelapan tersendiri. Tetapi teras
utama hijab gelap itu berpusat di gapura Atlantik bahagian barat. Tidak berapa
lama kemudian, ia semakin nyata akan wujudnya kuasa kegelapan – Kazab – yang berhasrat
untuk berkembang dan menakluk.
Tercetus perang besar di
antara tentera Kazab dan kumpulan manusia yang masih kurang memahami apakah
atau siapakah yang mereka tentang. Gerembolan besar musuh mendatangi mereka
dari dunia kegelapan - melalui langit, dari dalam air dan dari bawah planet
Bumi.
Sekumpulan kecil makhluk
datang membantu manusia berperang dengan Kazab. Makhluk yang menganut agama
tauhid itu bekalkan senjata-senjata yang mereka miliki. Komuniti manusia di
bandar besar itu terus menerus melawan asakan tentera Kazab, sehingga kewujudan
mereka seakan-akan hampir pupus. Akhirnya setelah bertungkus-lumus, kumpulan
pejuang manusia dan makhluk itu berjaya menyekat onar Kazab, tetapi harganya sangat
mahal.
Benua di tengah-tengah
Lautan Atlantik itu musnah berantakan akibat daripada letusan lava panas dan
gempa bumi. Gelombang tsunami melanggar setiap pantai di planet dengan teruk
sekali. Kumpulan manusia yang terselamat bercempera melarikan diri dengan
beberapa buah kapal laut. Mereka bergerak menuju ke arah empat aliran angin,
dan kemudian bersedia membentuk asas tamadun baharu.
Kazab yang muncul dari
beberapa gapura berjaya dikalahkan, dan berhenti memerangi manusia, untuk
sementara waktu.
Beribu tahun kemudian ... muncul
peradaban baharu manusia.
** Hakcipta Terpelihara 2013 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
2 comments:
Apa pendapat Tuan Atlantis dan Lemuria atau Benua Mu itu sebenarnya terletak di Pentas Sunda?
Apakah pendapat Tuan juga tentang bangsa Atlantis itu,adakah ia bangsa Nabi Nuh?
Heh! Soalan maut dari Tuan Nazri Kadir. Bab di Sunda itu memang ada teorinya, tapi saya belum telaah lagi. Apa yang saya 'temui' ialah Laut Syaitan di Jepun dan Korea.
Tuan Nazri Kadir, ingat ada kajian tentang keturunan Nabi Nuh yang membentuk kaum Yakjuj dan Makjuj? Tamadun Atlantis juga boleh kita teorikan demikian. Yang syoknya ialah, perkara hipotesis ini yang boleh dibuat fiksyen.
Post a Comment