Nov 6, 2013

HIJAB BERMUDA - Prolog

Agak menjauh wujud ledakan aliran elektrik statik, kemudian satu suara muncul kembali memberi amaran.

“Ia semakin naik. Lapan ribu kaki di bawah dan naik dengan pantas. Bentuknya besar. Kita cuba menghubunginya dengan sonar.”

Sunyi beberapa ketika, kemudian suaranya memecah ruang, tetap tenang, “Tiada respon.”

Ibrahim hanya dapat bayangkan apa yang berselirat di dalam minda Kapten kapal laut itu. Tatkala itu juga satu benda besar dan tidak dikenali mendatangi lokasi mereka dari arah paling dalam Lautan Atlantik.

Ibrahim bertanya, “Itu mesin atau benda hidup?”

Kapten menjawab, “Sukar diagak ... Ia bergerak naik secara menegak. Kita dapat mengesan melalui radar, ada getaran sonar ... boleh jadi sebuah kapal besar ... mesin besar. Tetapi setakat yang kita tahu, tiada benda sebesar itu dan hidup di planet ini. Risau aku! Tiada kapal yang pernah dibina sebesar itu. Aku ...”

Sunyi lagi. Aliran gelombang statik muncul lagi, kali ini lebih kuat. Ibrahim sebagai Pegawai 1 tertekan. Begitu juga Kapten.

Kemudian jalur-jalur gelombang yang terjana daripada aliran yang dihasilkan oleh alur lintang air yang agak sejuk pada aras tinggi itu pecah.

“Lima ribu kaki dan semakin naik. Pantas ke arah kita! Apapun bendanya ... ia bukan kawan kita.” Khali lagi. Statik yang membingit menerjang.

Kemudian suara Kapten memecah sunyi, kali ini terserlah gelisah. “Cepat bergerak lari! Semua krew ke pod pelepasan! Semua bergerak ... “ Gelombang aliran elektrik statik pecah, suara Kapten sirna.

Kemudian ... sunyi sepi.

@@@@@@@

Kira-kira 10,000 Sebelum Masihi

Persis lembayung sepanjang seribu batu yang melingkar merentasi tengah-tengah dasar samudera. Ia adalah satu barisan magma menggelegak naik dari dalam perut Bumi, bertembung dengan air sejuk. Kemudian, justeru pertembungan arus panas dan sejuk itu, rabung terbentuk semakin tinggi.

Dalam kaedah berlawanan, akibat daripada plat tektonik yang bersilang di bawahnya,  rabung Lautan Atlantik membesar dan berpecah. Seterusnya persis aliran darah dari luka di planet, bebatuan yang mencair menambah luas ruang di antara plat Amerika Utara / Selatan dan Eurasia / Afrika.

Proses terbelahnya muka bumi, seperti yang terjadi ini, sudah berlaku semenjak jutaan tahun yang lalu, kemudian membentuk benua-benua berbeza. Kini lain pula. Buana bertindak lagi sesuai dengan ilham dari Allah.

Di pusat Atlantik, kira-kira di latitud dua puluh darjah utara, belahan itu semakin besar lantaran bertemunya empat plat Bumi, lalu terwujud tarikan menjauh di antara satu sama lain. Keempat-empat plat itu membentuk belahan timur-barat dan utara-selatan. Kejadian alami ini – dengan izin Tuhan Yang Esa – hanya berjarak beberapa inci setahun. Namun dalam tempoh jutaan tahun, ia turut menolak lapisan magma merentasi lava keras, kemudian naik ke atas permukaan air. Hasilnya ia memunculkan gugusan pulau berbentuk silang, kemudian merentas masa yang lama naik cukup tinggi bagi saling bersatu. Akhirnya kesatuan banyak pulau itu membentuk daratan berupa benua tersendiri, terasing.

Namun, benua tersendiri itu terbentuk hasil daripada rekahan kerak Bumi tanpa ikatan kukuh kepada planet. Apa yang mengikat pecahan-pecahan bersilang itu ialah jujukan magma yang masih bergelegak dari masa ke semasa. Justeru, ia berbeza dengan enam benua yang diikat di atas beratus-ratus kilometer batuan sejuk yang membentuk plat tektonik.

Masa itu milik Allah jua. Perlahan-lahan, kemudian melaju, mungkin. Sang makhluk menjadi pemerhati.

Di antara daratan gunung berapi yang aktif dan lautan yang kaya misteri di sekelilingnya, wujud spesis makhluk yang lahap memamah bekalan makanan dari kedua-dua sumber. Namun mereka bijak, membangun dengan pantas.

Kemudian ... di daratan tengah Atlantik itu juga, tamadun manusia pertama muncul. Daripada sekumpulan pemburu, pencari dan nelayan, mereka membentuk kaloni dan kemudian menjelma bandar-bandar besar. Selanjutnya generasi manusia perlahan-lahan semakin dominan menguasai tanah di situ.

Tetapi selepas wujudnya tamadun manusia dengan kemajuan pesat, suatu elemen ganjil kegelapan muncul di lautan bahagian barat, mengganyang setiap buah kapal laut yang melaluinya.

Lain-lain gapura terbuka di seluruh planet dengan membawa belang kegelapan tersendiri. Tetapi teras utama hijab gelap itu berpusat di gapura Atlantik bahagian barat. Tidak berapa lama kemudian, ia semakin nyata akan wujudnya kuasa kegelapan – Kazab – yang berhasrat untuk berkembang dan menakluk.

Tercetus perang besar di antara tentera Kazab dan kumpulan manusia yang masih kurang memahami apakah atau siapakah yang mereka tentang. Gerembolan besar musuh mendatangi mereka dari dunia kegelapan - melalui langit, dari dalam air dan dari bawah planet Bumi.

Sekumpulan kecil makhluk datang membantu manusia berperang dengan Kazab. Makhluk yang menganut agama tauhid itu bekalkan senjata-senjata yang mereka miliki. Komuniti manusia di bandar besar itu terus menerus melawan asakan tentera Kazab, sehingga kewujudan mereka seakan-akan hampir pupus. Akhirnya setelah bertungkus-lumus, kumpulan pejuang manusia dan makhluk itu berjaya menyekat onar Kazab, tetapi harganya sangat mahal.

Benua di tengah-tengah Lautan Atlantik itu musnah berantakan akibat daripada letusan lava panas dan gempa bumi. Gelombang tsunami melanggar setiap pantai di planet dengan teruk sekali. Kumpulan manusia yang terselamat bercempera melarikan diri dengan beberapa buah kapal laut. Mereka bergerak menuju ke arah empat aliran angin, dan kemudian bersedia membentuk asas tamadun baharu.

Kazab yang muncul dari beberapa gapura berjaya dikalahkan, dan berhenti memerangi manusia, untuk sementara waktu.

Beribu tahun kemudian ... muncul peradaban baharu manusia.

** Hakcipta Terpelihara 2013 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

2 comments:

Nazri Kadir said...

Apa pendapat Tuan Atlantis dan Lemuria atau Benua Mu itu sebenarnya terletak di Pentas Sunda?

Apakah pendapat Tuan juga tentang bangsa Atlantis itu,adakah ia bangsa Nabi Nuh?

Web Sutera said...

Heh! Soalan maut dari Tuan Nazri Kadir. Bab di Sunda itu memang ada teorinya, tapi saya belum telaah lagi. Apa yang saya 'temui' ialah Laut Syaitan di Jepun dan Korea.

Tuan Nazri Kadir, ingat ada kajian tentang keturunan Nabi Nuh yang membentuk kaum Yakjuj dan Makjuj? Tamadun Atlantis juga boleh kita teorikan demikian. Yang syoknya ialah, perkara hipotesis ini yang boleh dibuat fiksyen.