Everard berlari, bukan kerana
sayangkan nyawanya, tetapi kerana mengejar musuh. Dia melihat kelibat lima
susuk musuh sedang cuba menggasak seorang anggota Templar wanita. Sut armor biru
gelap wanita itu berkobar dengan percikan api warna kebiruan langit apabila
diserang oleh kumpulan itu.
“Serigala?” Everard menyoal sendirian.
Dia sedikit panik kerana kelompok
musuh itu buat pertama kali dilihatnya. Kini musuh tentera Rusia ialah robot
berupa serigala berkuku dan bertaring tajam. Ternyata bahawa pihak Rusia
berjaya mempelbagaikan jenis tentera, daripada cyborg manusia sehinggalah robot
menyerupai haiwan liar.
Templar wanita itu tetap bertahan
dengan libasan pedangnya. Walaupun demikian, justeru bilangan yang banyak dan
kepantasan serangan demi serangan, wanita itu nampak keletihan dan terlihat
amat terdesak.
Everard bertindak dari belakang. Pedangnya
berjaya menabrak dua robot serigala, manakala tiga lagi mulai berubah arah. Kini
Everard di serang pula. Sebaik sebuah robot melompat tinggi untuk menerkam
kepala Everard, dia menembak senapang 6-laras secara pantas. Musuhnya berkecai.
Sementara dua lagi terpelanting ke kanan dan kiri setelah dilibas oleh pedang.
Dua robot itu menyeringai dan
mengeluar bunyi seperti menderam dalam jarak beberapa meter. Everard bersiaga
tatkala robot-robot itu berada sebaris. Kedua-dua robot itu melompat hampir
serentak. Sekuat tenaga Everard melibas dari kanan ke kiri. Hasilnya kedua-dua robot
itu meletup di udara, sebaik Everard melompat ke hadapan bagi menghindari
letupan itu terkena tubuhnya.
Everard menghampiri wanita itu.
“Siapa kau?” Soal wanita itu dengan
suara lemah dan tersekat-sekat.
“Aku Everard,” jawab Everard seraya
membuka penutup mukanya.
“Oh, kau dari kumpulan elit Templar.”
“Ya.”
“Aku Madaline. Aku kenal kau. Nama kau
... .” Tersekat suara wanita itu.
“Kau perlu bantuan perubatan segera,” Everard
memujuk cuba memberi harapan.
“Sudah terlambat. Everard ... kau
sedar atau tidak apa yang kita hadapi kini?” Soal Madaline.
Everard hanya mengangguk lalu berkata,
“Kita berdepan dengan tentera Rusia yang pelbagai bentuk. Aku juga hairan
bagaimana tentera kita tidak tahu kekuatan musuh, sehinggakan ... .”
“Sehingga pasukan tentera Amerika
Syarikat pun terpedaya atau kita pun terpedaya,” sahut Madaline lemah.
“Kau ... .”, Everard cuba memberi
harapan lagi. Tetapi segera dihalang oleh Madaline dengan mengangkat tangan
kirinya. Baru Everard perasan, tangan kanan Madaline sudah terputus. Darah
pekat mengalir laju.
“Teruskan perjuangan, Everard. Mati
secara baik ya.”
Everard sekali lagi sekadar
mengangguk. Madaline memegang pergelangan tangan Everard, dan kemudian nafasnya
terhenti. Paparan HUD Everard mengesahkan wanita itu sudah mati.
Tatkala ini Everard teringat Haji
Bashi. Bagaimana perang ini persis tiada penghujungya. Ia bagaikan mainan
pemerintah kedua-dua buah blok. Bukan perang suci seperti yang didendang oleh
Grand Master Templar.
“Ada sebuah kuasa hitam di sebalik
hijab yang menjadi pencatur. Ia konspirasi bagi musnahkan kemanusiaan dan kepercayaan
kepada Tuhan Yang Esa. Doktrin yang ribuan tahun dimainkan oleh musuh-musuh
agama langit,” gema kata-kata Haji Bashi terngiang-ngiang.
@@@@@@@
Raungan
amukan di belakang Everard hampir sahaja membekukan sum-sum tulangnya. Mengesani
lokasi ancaman baharu dari paparan HUD membuatkan dirinya berpaling. Namun
dampak ancaman itu memberi satu rasa sangat bimbang, justeru bukan sahaja susuk
berbentuk paparan haba, bahkan kerana agamnya susuk itu. Walaupun begitu, Everard
bersedia dengan pedang dan senapang 6-laras.
Dia
menyedari kini, ancaman ini bukan calang-calang. Kepala makhluk itu menjulang
dengan bentuk tombak berkelompok, walaupun sekadar dalam bentuk imej merah-kuning-biru
di paparan HUD-nya. Bentangan luas kedua-dua bahunya memberi pandangan bahagian
kepala agak kecil, kurang padan dengan tubuh agam.
Everard
menarik nafas dalam-dalam. Peluh jantan mulai mengalir di pelipisnya, ia dapat
dirasa di dalam sut tempurnya, walaupun sut itu telah disesuaikan untuk suhu
tubuh.
“Shoggoth.
Syaitan sembahan kumpulan Illuminati. Adakah ini benar, ya tuhan?” Dia mengeluh
justeru seakan tidak berdaya.
“Adakah
ini saat kematianku?”
Dikatakan
Shoggoth ialah jenis makhluk di bawah air, yang membina bandar-bandar di bawah
air bagi tuan-tuan mereka. Begitu kepercayaan sesetengah masyarakat di belahan dunia
tertentu.
Shoggoth
membuka mulutnya dan menghembur segumpal asap. Walaupun masih jauh, asap itu
melaju menuju ke lokasi Everard. Dia cuba merunduk ke samping yang dijangka
selamat, namun gagal mengelak semua gumpalan asap yang merebak pantas. Asap
kelabu itu melekat di bahagian atas lengan kirinya, dan menghilang melepasi
armor keluli khas.
Seketika
itu juga cahaya amaran muncul di dalam HUD. “Amaran. Keutuhan armor luar mulai
ditembusi.”
“Abaikan
amaran.” Dengan nekad Everard berlari menuju jarak lebih kurang 500 meter di
hadapannya. Beberapa saat kemudian Shoggoth mengangkat penumbuk besarnya untuk menghentam
Everard seperti penukul. Everard berguling dan berdiri kembali. Penumbuk
syaitan itu membantai permukaan bumi yang masih bertar. Gegaran dan percikan
jalan tar dan tanah bertaburan.
“Apakah benar atau sihir?” Everard bermonolog. Saat itu dia
teringat kisah sihir yang diceritakan oleh Haji Bashi.
Dengan
tangkas dia mengayun pedang ke sebelah kaki makhluk itu.
“Ada
darah!” Dia terkejut dengan darah hitam yang berasap.
“Amaran.
Pedang terkena bahan berasid.” Sistem armor memberi amaran lagi.
“Abaikan
amaran.” Walaupun Everard melihat pedangnya sudah rosak. Logam pedang mulainya
berubah warna.
Dia
akas berundur secara mengereng lalu memuntahkan peluru senapang 6-laras.
Beberapa ratus peluru tajam mengenai mata dan dahi Shoggoth. Makhluk itu
meraung. Putaran laras senapang berpusing laju, tetapi muntahan peluru
seterusnya dapat dielak oleh Shoggoth.
Seketika
kemudian, Shoggoth dapat memegang tubuh Everard dan mengangkat setinggi separuh
badannya. Everard dapat mendengar bahagian sut armornya berderak. Nafasnya
mulai mencungap, paparan HUD memberi laporan bahawa keadaan agak kritikal.
Alih-alih
Everard berucap, “Allah!”
Ternyata
ucapan itu bukan sahaja mengejutkan Shoggoth, bahkan diri Everard sendiri.
Secara tiba-tiba tubuh Everard terjatuh, cengkaman sebelah tangan Shoggoth
terlepas. Shoggoth terundur-undur lebih sepuluh meter. Tubuh makhluk itu mulai
terhuyung-hayang dan dalam masa yang hampir sama, kedengaran ayat-ayat suci
al-Quran.
Nun di
atas awan, sebuah pesawat asing mengalirkan bacaan ayat-ayat al-Quran. Pelindung
sihir syaitan dibaca oleh pilotnya. Walaupun sayup-sayup kedengaran di telinga Everard,
tetapi ia jelas di deria dengar Shoggoth.
Kurang
lapan saat kemudian, dua aliran cahaya berwarna hijau cerah ditembak dari
pesawat dron di sebalik lapisan awan paling bawah. Pesawat lonjong bersayap
kecil itu dikawal oleh sebuah pesawat yang halimunan di atas beberapa lapisan
awan.
Susuk tubuh
Shoggoth terbakar dan meletup. Ia lenyap ditelan buana.
“Andai Engkau wujud,
tolonglah aku ya Allah.” Itu ucapan terakhir Everard sebelum bayangan Haji
Bashi lenyap dari pandangannya. Gelap.
** Hakcipta Terpelihara 2014 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
0 comments:
Post a Comment