Jun 6, 2013

Kombat Armagedon – Fragmen 4


Kitab suci al-Quran menceritakan dalam Surah al-Baqarah, Surah al-Hijr, Surah al-A’raf dan Surah al-Isra’ bahawa:

Allah berkata kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.”

Para malaikat bertanya, “Adakah Engkau, Ya Tuhan kami, hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”

Allah menegaskan, “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

Allah berkata seterusnya, “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.”

Setelah selesai kejadian Adam maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali. Azazil enggan mematuhi perintah Allah Azza wa Jalla.

Allah berfirman, “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahkanmu?”

Si laknat itu menjawab, “Aku lebih baik daripada Adam. Engkau, wahai Tuhan, jadikan aku dari api sedangkan dia Engkau jadikan dari tanah. Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

Allah murka. Justeru Dia mengkafirkannya dengan bertegas, “Turunlah engkau dari syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya. Oleh sebab itu keluarlah! Sesungguhnya engkau dari golongan yang hina!”

Maka jadilah dia sebagai Iblis yang berbuat jahat dan ingkar akan perintah Penciptanya yang Maha Perkasa lagi Maha Gagah.

@@@@@@@

“Aku sudah bebas! Belenggu selama ini sudah hancur! Aku bebas!”

Itulah jeritan sang Pendusta keseorangan. Riang sungguh hatinya. Sebelum mengembara ke negeri-negeri benua Amerika, dia ingin sekali melihat-lihat tanah Arab yang gersang itu. Dia ingin mengenali agama baharu yang dibawa oleh manusia besar bernama Muhammad, sang Ummiyyin itu. Rancangnya kemudian terus ke Yaman, Syam dan Mesir serta negeri di Iraq dan kawasan sekitarnya.

Kembara besarnya akan diteruskan ke benua Afrika, terutamanya Moroko, kemudian ke Palestin dan kawasan pesisir Laut Tengah.

“Benua Amerika. Dunia gelap di lautan itu ialah tempat aku!” Ujarnya angkuh.

Maka mengembaralah dia.

@@@@@@@

Tujuh abad sebelum pelayaran Columbus

Dia belayar merentasi pantai-pantai Amerika Latin. Di pulau-pulau tertentu, dia bersama kumpulannya berlabuh sebelum tiba di Bermuda.

Semasa ada kesempatan Dajjal berbicara dengan anak-anak kapalnya. “Tahukah kalian ke arah mana aku mahu tuju?”

Mereka menjawab, “Kami manusia lemah, yang mulia. Pohon berikan penjelasan.”

“Di situ kalian akan beroleh kebebasan mutlak. Aku akan menjadi raja besar dan kalian akan dihormati. Di situ segala kenikmatan tanpa ikatan dan larangan.”

“Mengapa demikian, yang mulia?”

“Hahahaha,” ketawa Dajjal besar. “Sebab hampir kesemua penduduknya menyembah syaitan, juga menyembah makhluk yang diajukan oleh sang taghut yang diketuai Iblis. Sebuah kegelapan yang menjadi cerah untuk kita. Komuniti penyembah syaitan adalah kawan dan taulan aku. Kalian akan tahu apabila tiba ke sana.”

Rombongan armada Dajjal tiba di Bermuda dengan mudah. Sebaik melihat kepulauan itu, dia berkata riang, “Aku sudah tiba di kediaman milik aku yang dijanjikan!”

Dengan angkuh dia menemui semua pemimpin dan penduduk di situ. Dia berbicara, “Aku adalah raja yang berkuasa di muka bumi ini. Aku sudah lama hidup dan mengembara ke pelusuk bumi. Akuilah kalian yang syaitan adalah tuhan besar kita. Sedangkan aku ialah tuhan penengah, sebagai tuhan perantara kepada manusia dan tuhan agung.”

Walaupun demikian, sebahagian para dukun dan tukang sihir tidak suka akan kedatangan sang Pendusta itu. Lantas mereka lancarkan perang terhadap Dajjal dan pengikutnya.

Dengan mudah Dajjal yang mengaku sebagai tuhan mengalahkan mereka dengan olahan tenaga fizik dan teknologi kimia. Para penentang itu termanggu-manggu dan hairan dengan senjata yang baru pertama kali mereka lihat. Kemusnahan jua yang ternampakkan.

Seterusnya dia mengembara ke daerah orang-orang Saxon, kepulauan Ireland, kepulauan Scotland dan kerajaan orang Frank. Dia berbaik-baik dan berkenalan dengan mereka. Sikap baik Dajjal itu persis mensihirkan mereka. Bayang-bayang hitam berupa hijab sebenar tidak terlihat oleh penduduk di setiap daerah atau pulau.

Dajjal menjadi peneliti hebat, mengenal bentuk alam dan muka bumi di setiap lokasi. Setelah berlalu beberapa era, dia pun kembali ke benua Amerika. Kali ini bahagian selatan menjadi tujuannya. Kapal besarnya berlabuh di Puertorico.

Penduduk di situ juga menyembah syaitan. Namun apa yang lebih menggembirakan Dajjal ialah mereka lebih bersungguh-sungguh berjanji setia dengan raja-raja Iblis berbanding di Bermuda.

“Inilah kaum yang aku akan tunggang!” Kata Dajjal sendirian.

Dia melihat doktrin ibadah yang paling menarik ialah keramaian hitam. Mereka menyembah lukisan syaitan dan gadis yang telanjang. Para penyembah itu menatap dan menyentuh dengan penuh syahdu anggota-anggota tubuh kedua-dua lakaran besar di hadapan mereka.

“Untuk ambil berkah,” jawab salah seorang dukun apabila ditanya oleh Dajjal. Dia tersenyum penuh makna dalam kelam kegelapan suasana dan jiwa manusia. Dusta merajai pulau hitam yang dijanjikan untuknya itu.

“Sebuah segitiga,” dia berkata sambil tersenyum kepada dukun di sebelahnya, yang kemabukan.

Dajjal memeterai perjanjian dengan tokoh-tokoh dukun terkemuka di kalangan kaum itu untuk menghadiri upacara tahunan munculnya syaitan yang disembah. Dalam pada berdusta pun, dia tetap laksanakan tipu muslihat. Kobolehan anugerah Allah digunakan sepenuhnya.

Pada suatu hari, tatkala Iblis yang disembah itu tidak muncul-muncul, dia ambil kesempatan emasnya. Dia menjelma sebagai Iblis di atas bukit dengan sinaran cahaya terang.

Sang Pendusta berteriak, “Aku berhasrat untuk menerima pengorbanan kalian. Kamu harus mencari seseorang manusia yang wujud di kalangan kamu. Dia adalah anak lelaki aku yang diutuskan untuk kamu dan seluruh alam. Akuilah dia sebagai raja dan tuhan kamu. Sememangnya dia raja dan tuhan kalian yang akan menjaga dan memelihara kamu.

“Dia terlihat aneh, namun dia utusan terkini buat kamu, tuhan kamu. Jika dia keluar perintah, wajib kalian taatinya. Jika dia meminta sesuatu, turutilah. Andai dia memberi, maka sujudlah kepadanya. Dia adalah dari aku dan aku adalah darinya. Kami adalah satu seumpama matahari dan cahayanya. Tanda ketuhanannya ialah yang ternampak pelik di matanya. Barangsiapa memandang matanya, maka dia akan mendapat syurga dan redhanya.”

Apabila Dajjal yang menjelma sebagai Iblis itu hilang, orang ramai mencari-cari lelaki yang dinyatakan itu. Tidak berapa lama kemudian, mereka menjumpai lelaki itu terbaring di bawah sepohon pokok rendang di dalam hutan. Mereka mengejutkannya, dan sebaik dia bangun, mereka bersujud di hadapannya.
 

** Hakcipta Terpelihara 2013 WEB SUTERA.

0 comments: