Jan 16, 2011

Alexander Agung: Permulaan (3)

“Kau tahu siapa menjadi dalang di sebalik pembunuhan Raja Philip?” tanya Brutus kepada seorang rakan bualannya ketika sedang bersarapan pagi di sebuah kedai makan.

“Entahlah. Sukar untuk memutuskannya. Aku dengar ada pihak yang menuduh itu angkara Permaisuri Olympias,” jawab kawan Brutus acuh tidak acuh sambil menguyah laju makanannya.

“Siapa cakap?” Brutus membeliakkan matanya tanda terkejut dengan tuduhan liar tersebut.

“Aku ada dengar menantunya, raja negeri Epirus, bertegas mengatakan Permaisuri Olympias masih sakit hati kerana perkahwinan Raja Philip dengan Eurydice. Akibat dendam yang mendalam sejak lebih setahun lepas, maka Permaisuri Olympias mengupah pembunuh bagi menamatkan riwayat suaminya. Lagi pun isteri Raja Philip yang terakhir, Eurydice, sudah bersalin anak lelaki. Dikatakan anak lelaki itu bakal menaiki takhta raja Macedonia, bukannya anak Permaisuri Olympias Alexandar,” jelas rakan Brutus tanpa berlengah.

Rakan Brutus meneruskan lagi, “Tetapi dalam mesyuarat tergempar Dewan Parlimen Greek tiga hari lalu, Permaisuri Olympias menafikan sekeras-kerasnya. Malah beliau menuduh pula menantunya yang merancang pembunuhan itu.”

Sedang mereka rancak berbual, lalu seorang pengawal pintu Dewan Parlimen Greek, Cloythenes dalam perjalanan ke lokasi kerja. “Tuan Cloy, singgah sekejap. Saya mahu tanya tuan ,” gamit Brutus dengan muka serius.

“Boleh juga. Lagi pun shif saya bermula dalam masa satu jam lagi. Saya pasti saudara berdua mahu bertanya apa yang terjadi dalam Dewan Parlimen, bukan?”

“Iya,” Brutus dan rakannya menjawab serentak. “Terutamanya penafian dari Permaisuri Olympias,” sambung Brutus.

“Permaisuri Olympias menjelaskan bahawa memang beliau sakit hati dan berkecil hati dengan sikap mendiang Tuanku Raja Philip, tetapi tidak pula sampai sanggup membunuhnya. Lagi pun apa guna membunuh Tuanku Raja Philip di khalayak ramai di suatu temasya perkahwinan. Semua orang akan syak seseorang yang berada di situ kala itu yang menjadi perancangnya. Permaisuri berkata beliau bukannya seorang wanita yang tidak berhati perut, malah selama ini pun beliau yang banyak mengalah. Banyak aduan berkenaan perilaku kurang sihat baginda Raja Philip didiamkan sahaja,” jelas Cloythenes lancar kerana masih dapat membayangkan drama yang terjadi di sebalik dinding kukuh Dewan Parlimen Greek.

“Saya dengar pengawal muda Raja Philip yang menikam baginda pun mati diserbu beberapa kelompok yang setia kepada baginda. Pengawal itu cuba memanjat tebing tembok, tetapi segera ditarik lalu tersembam ke tanah berbatu. Dia cuba melawan dan mahu membunuh lagi, namun tidak ke mana kerana ada seseorang menikamnya dengan tombak. Benarkah?” rakan Brutus berkata seraya mengajukan soalan kepada Cloythenes tanpa berkelip matanya.

“Kelihatannya, saya kira, kes ini bakal menemui jalan buntu,” simpul Brutus. Cloythenes dan rakan Brutus mengangguk bersetuju.

Sebelumnya:
Alexander Agung: Permulaan (1)
Alexander Agung: Permulaan (2)


*** Kisah ini adalah fiksyen sejarah berasaskan imaginasi penulis. Tiada kaitan dengan mana-mana sosok dalam sejarah. Sekiranya ada bersamaan dengan fakta sejarah atau nama-nama berkaitan, itu hanya kebetulan sahaja.

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

2 comments:

Masdalifadzlie said...

Pasal Inskandar Zulkarnain? Wah, hebat! InsyaAllah usaha memukminkan tamadun Greek akan diberkati. Teruskan!

Web Sutera said...

Tuan Masdalifadzlie, cubaan saya untuk mengangkat Alexander sebagai seorang Mukmin, insyaAllah :-). Saya akan jejaki usaha Tuan Muhammad Alexander.