May 24, 2011

Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (4)

PROLOG

Oleh kerana perbincangan tergempar Dewan Parlimen Greek tidak dapat memutuskan siapa dalang di sebalik pembunuhan Raja Philip, demi kerajaan Macedonia yang kelihatan mula retak dari dalam, maka ahli mesyuarat negara mesti memutuskan siapakah pengganti bagi memegang tampuk pemerintahan.

Sekali lagi dewan menjadi panas dengan pelbagai hujah dari beberapa kumpulan sekutu masing-masing. Oleh kerana undang-undang tubuh Macedonia tidak menetapkan bahawa anak sulung lelaki Raja Philip, iaitu Alexander yang mesti mengganti raja yang meninggal dunia, maka ada pihak yang mencadangkan bayi lelaki Raja Philip yang baru berumur kurang setahun dinobatkan sebagai raja Macedonia yang turut menjadi pemerintah seluruh jajahan takluknya.


Majoriti ahli dewan tidak bersetuju cadangan tersebut. Antara alasan penolakan cadangan bayi lelaki itu ialah sejurus selepas Raja Philip meninggal dunia, banyak wilayah cuba menuntut kemerdekaan dari Macedonia.


Dalam suasana perdebatan yang makin hangat itu, bangun seorang yang kelihatan perkasa dengan susuk tubuh yang tinggi lampai sambil berkata dengan suara lantang, “Minta perhatian, tuan-tuan semua. Benarkan saya menyatakan sesuatu.” Dia ialah Raja Epirus salah seorang pahlawan Macedonia yang banyak menyertai misi ketenteraan. Suasana dalam dewan kembali senyap, kecuali beberapa orang yang sedang berbisik-bisik sesama mereka.


“Tidakkah tuan-tuan ingat bahawa Tuanku Elexander dipertanggungjwabkan menerajui takhta Macedonia tatkala Tuanku Raja Philip memerangi bangsa Yunani pada usia 16 tahun?
Manakala pada usia 17 tahun baginda telah menubuhkan pasukan tentera dan berjaya menundukkan suku-suku Thracia yang menduduki utara Macedonia. Walaupun tanpa pengetahuan ayah baginda, Tuanku Raja Philip berbangga dengan kejaguhan anaknya Tuanku Elexander,”
Raja Epirus sahabat karib Elexander, mengingatkan para penggubal undang-undang di Perlimen Greek.

“Tuan-tuan harus jangan lupa akan peranan kedua-dua raja kita itu dalam serangan terhadap bangsa Yunani dua tahun selepas Tuanku Elexander dilantik sebagai pemangku Raja Macedonia dalam serangan pertama. Dalam serangan kedua tersebut, Tuanku Raja Philip dan Tuanku Elexander berjaya mengalahkan pasukan Athens dan Thebes. Saya dan ribuan lagi bala tentera Macedonia turut serta dalam peperangan yang membuka jalan seluruh Semenanjung Yunani berada di bawah takluk Macedonia berdaulat ini.”

Alasan yang dikemukan oleh sahabat karib Alexander itu, yang juga salah seorang pemimpin tentera kerajaan Macedonia, sangat kukuh dan menerima tepukan gemuruh dari ahli-ahli dewan yang menyokong. Mana-mana individu dan kelompok yang menentangnya juga turut terdiam. Justeru itu, dewan memutuskan Alexander menjadi raja Macedonia dan bagi semua jajahan takluknya pada usia 20 tahun.

---------------------------------------------------

Dalam Kitab Cahaya Bersinar berkulit kambing gunung……

Perlu diketahui bahawa Tuhan yang Esa Allah mengatakan dalam bukuNya bahawa dia adalah seorang reformis pengislahan dari perbuatan jahat. Allah tidak memberikan kejayaan bagi mereka yang menindas. Alexander telah menjadi orang soleh, yang takut akan Allah, yang diberikan satu kejayaan dari sekian ramai orang, yang nama dan warisannya akan disebut berkurun-kurun merentasi generasi manusia.

Orang-orang Yahudi ada menarasikan dalam sumber mereka kitab Talmud dan lain-lain buku bahawa Alexander memasuki kota Jerusalem. Pendita Yahudi dan orang-orangnya memberi penghargaan dan penghormatan kepada dia.

Ada satu narasi yang berbicara dari dirinya sebelum tiba ke Baitulmuqaddis. Dia mengatakan kepada imam di Bait Allah bahawa ia akan datang ke bandar atas nama Allah mereka, dan bahawa Nabi Yeremia bertemu dengan dia dan memberkati dia. Ketika Alexander melihat Yeremia, ia terkejut melihat dia. Seperti dia pernah tampak dalam mimpi Alexander. Dan bahawa imam-imam Bait Suci berdoa untuk jalan kemenangannya sebelum Alexander berangkat. Di kota Jerusalem Alexander menegaskan bagi kaum Bani Israel bahawa Tuhan mereka adalah Allah yang benar, yang Esa."

Wahai anak-cucu manusia sekalian, perlu diketahui bahawa narasi yang menggambarkan Alexander sebagai seorang penyembah berhala bukannya sebuah laporan yang bersaksikan mata, melainkan datang dari apa yang beberapa sejarawan Yunani terkini seperti Arrianus, yang hidup berabad-abad setelah Alexander. Penceritaannya berdasarkan sumber yang sangat kabur atau pun kekaburan mata hatinya yang ditutup kejap! Juga tidak ada bukti atau saksi mata akan Alexander menjadi gay atau pemabuk.

* Fasa 1, Bahagian ke-30, halaman 101.

-- Akan bersambung, insya-Allah.

Sebelumnya:
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (1)

Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (2)

Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (3)


** Hakcipta Terpelihara 2011
Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: