BAB 5
Perjalanan ketiga............
“Pengembaraan yang dipandu Ilahi itu seterusnya menuju ke timur lagi sehingga tiba di suatu kawasan atau daerah di antara dua bukit. Aku bacakan terjemahan kata-kata Allah tersebut.”
“Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: “Wahai Zulqarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”
“Dia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zulqarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”. (Surah al-Kahfi ayat 83 – 98)
---------------------------------------------------
Di bilik Dr. Mohamed, di Fakulti Pengajian Sejarah........
“Kamu berdua sudah memasuki bahagian yang paling sukar dalam pencarian tafsir kata-kata Allah tersebut. Para ulama Islam dahulu kala berselisih pendapat berkenaan Zulqarnain dan kisah Yakjuj dan Makjuj ini. Oleh kerana itu, kamu berdua mesti melakukan banyak pembacaan dan penyelidikan yang boleh memberikan pencerahan akan siapakah Zulqarnain dan Yakjuj-Makjuj ini.
“Saya merupakan jutaan umat Islam dan Melayu yang amat menyintai ilmu dan juga sejarah, lebih-lebih lagi sejarah berkaitan manusia besar dan dunia Islam. Saya juga amat menitik beratkan setiap kupasan dan tafsiran apa sahaja dari Quran, termasuk Zulqarnain, kerana saya percaya ilmuan yang ikhlas menafsirkan kata-kata Allah diberi panduan untuk berbuat demikian.
“Ilmuan Islam zaman dahulu mungkin menafsirkan ayat-ayat Quran berdasarkan fakta-fakta yang berasaskan persekitaran masa tersebut. Kaedah atau sumber kupasan juga berkait rapat dengan teknologi di zaman itu. Justeru pencapaian teknologi dan penerokaan pengetahuan manusia semakin maju, maka tafsiran juga mengalami perubahan, kecil atau besar. Cuma tafsiran yang dilakukan walau di zaman mana pun tetap tidak lari dari asas utama, iaitu ilmu Allah yang Maha Luas. Dalam pada itu pun, para cerdik pandai abad ke-20 lalu dan mutakhir masih lagi wujud dua kem,” jelas Dr. Mohamed panjang lebar sebaik sahaja Zainal dan Zamri selesai mengemukakan masalah tafsiran yang mereka hadapi.
Mereka berdua sedang duduk berhadapan Dr. Mohamed di kerusi empuk di bilik pensyarah itu. Sebelum itu, mereka berdua sudah membuat temu-janji bagi mengemukakan hasrat mencari sedikit jalur cahaya dalam kesuraman isu sosok Raja Zulqarnain, kisah Yakjud dan Makjuj, dan siapakah sebenarnya Zulqarnain tersebut.
"Al-Quran menceritakan kisah Zulqarnain dalam Surah al-Kahfi sebagai jawapan dan amaran. Al-Quran tidak secara khusus menyebut nama, sosok atau keperibadian dalam sejarah yang boleh secara terus disabitkan kepada Zulqarnain Qurani. Namun penceritaan berkaitan pengembaraan Zulqarnain, lokasi-lokasi tertentu, kaum-kaum yang disebutkan dan Yakjuj-Makjuj dapat membantu dalam mencapai keputusan mengenai siapa sebenarnya Zulqarnain.
“Soalan pertama dalam hal ini ialah siapakah keperibadian dalam sejarah yang sesuai dengan keyakinan dan ciri-ciri Zulqarnain, dan ekspedisi berbeza yang diharunginya sebagaimana yang disebutkan dalam Quran? Kedua, apa pentingnya Zulqarnain bagi kaum Quraisy yang menanyakan tentang dia? Dan apa pula kaitan Yahudi dan Kristian dengan Zulqarnain?” Dr. Mohamed manajamkan sorotan matanya berselang-seli di antara Zainal dan Zamri di hadapannya. Walaupun serius, Dr. Mohamed tersenyum mesra.
“Hasil dari pembacaan dan penelitian saya, Dr. Mohamed, tampaknya ada dua keperibadian penakluk besar dan berkuasa dalam sejarah sebelum Islam yang dibawa Nabi Muhammad bin Abdullah yang empayarnya luas seperti yang disebutkan oleh Quran. Sosok itu adalah Alexander Agung penakluk Macedonia-Yunani dan Cyrus atau Korsh Agung penakluk dari Empayar Parsi. Antara ciri utama penakluk ini ialah Quran menunjukkan dia sebagai orang yang percaya pada satu Allah atau Tuhan yang Esa dan akhirat. Dia juga digambarkan sebagai penguasa baik hati dan adil,” pintas Zamri sebaik sahaja Dr. Mohamed menoktahkan penjelasannya.
“Zainal, apa pandangan kamu dalam hal ini?” soal Dr. Mohamed kepada Zainal yang hanya termanggu sambil mengaru kepala.
“Saya juga ada membaca beberapa risalah informasi dalam Internet. Dari beberapa pembacaan ringkas itu saya mendapat gambaran siapakah Raja Zulqarnain yang disebutkan dalam Quran dan siapa pula Elaxander Agung, pemerintah Macedonia. Apa yang dapat saya simpulkan berdasarkan informasi itu ialah Zulqarnain lelaki misteri dalam Quran bukanlah Alexander Macedonia,” kata Zainal.
“Saya baru selesai menelaah beberapa bab dalam buku Alexander adalah Zulqarnain. Metod dan kajian penerbitan buku ini dalam usaha mencari siapa sosok Raja Zulqarnain saya sanjungi. Ianya amat wajar diakui sebagai usaha murni membersihkan anasir-anasir Barat dan Yahudi moden, mungkin terhadap sosok insan mulia yang diperikan dalam Quran. Saya bersetuju dengan penulis Tuan Muhammad Alexander dalam perihal kajian penulisan dalam teks Yunani-Rom kuno dan Barat moden yang mencemarkan keimaman Alexander Agung. Bahawasanya mereka, penulis Yunani-Rom kuno dan Barat moden, memberikan kesimpulan berasaskan persekitaran Yunani-Rom kuno pagan dan tidak beriman. Tidak terlalu awal, mungkin, untuk saya katakan bahawa inilah buku yang pertama di dunia yang memberikan satu persembahan yang berautoriti dan autentik,” jelas Zamri yakin tanpa diminta oleh kedua-dua pengkaji di dalam bilik dingin tersebut.
“Bukankah saya sudah katakan bahawa wujud dua kem dalam kesimpulan siapakah Raja Zulqarnain. Kem pertama mengatakan Cyrus Agung, manakala kem yang kedua mengatakan Alexander Agung. Kamu berdua sahaja sudah mencerminkan kelompok dalam kedua-dua kem itu,” Dr. Mohamed membuat taakulan sambil perhatian beliau silih berganti di antara dua sahabat itu. Tersenyum mereka bertiga.
“Dr. Mohamed, boleh saya tambah terhadap pernyataan saya tadi?” mohon Zamri.
“Silakan, Zamri. Saya cukup teruja dengan usaha kamu berdua,” kata Dr. Mohamed.
“Pihak yang menyokong hipotesis atau pandangan Alexander bukan Raja Zulqarnain mengatakan bahawa dia adalah seorang politeis atau penyembah berhala, dan tidak ada pelakuan kebaikan yang bertamadun dan keadilan secara jelas tercatat dalam sejarah. Dalam masa yang sama dari kem kedua juga, mereka menghujahkan bahawa Cyrus menganut ajaran Zarathustra yang dibawa oleh Nabi Zarathustra. Nabi itu berkhutbah dan membawa ajaran kepercayaan satu Tuhan, akhirat dan semua perbuatan baik yang lain,” terang Zamri lancar.
“Padahal seperti mana yang dijelaskan oleh Tuan Muhammad Alexander, pelakuan dan keimaman Alexander anak Raja Philip terhadap keEsaan Allah disalah mengertikan oleh sejarawan. Ini terjadi kerana kebiasaan budaya tertentu sejarawan Yunani untuk menjelaskan perihal perkara asing, sudut kepercayaan mereka, cara dan kebiasaan dari perspektif etnosentris. Mereka melihatnya dari sebuah lensa Greek Yunani pagan. Ada kemungkinan bahawa ketika Alexander menyembah satu Tuhan, atau ketika dia menggambarkan nama dan sifat yang berbeza, atau ditawarkan penyembelihan binatang kepadaNya, para sejarawan Yunani menggambarkan bahawa seolah-olah dia menyembah Zeus atau Heraklius atau Ammon,” jelas Zamri berkeyakinan jitu dengan roman muka serius.
“Tahniah, Zamri! Kamu nampaknya begitu serius dalam memperkatakan bahawa Raja Zulqarnain itu adalah Alexander Mecedonia. Sekiranya kamu yakin, kamu harus membuktikan dengan analisa yang terperinci. Jika kamu bersungguh-sungguh, maka tidak keterlaluan untuk saya simpulkan bahawa kertas projek kamu nanti boleh dipanjangkan menjadi tesis pengajian lanjutan nanti. Teruskan usaha kamu,” puji Dr. Mohamed terhadap hujah Zamri.
“Hipotesis kamu pula, Zainal, tidak salah juga. Kamu seperti Zamri perlu buktikan dengan hujah-hujah kamu tersendiri. Itu pun sekiranya kamu tidak mahu berubah kesimpulan. Ingat, dua kem,” jelas Dr. Mohamed tersenyum senang dengan kesungguhan kedua-dua pelajarnya.
---------------------------------------------------------------
Dalam Kitab Cahaya Bersinar berkulit kambing gunung……
Ini adalah kebiasaan budaya tertentu sejarawan Yunani untuk menjelaskan perihal perkara asing, sudut kepercayaan mereka, cara dan kebiasaan dari perspektif etnosentris. Mereka melihatnya dari sebuah lensa Greek Yunani pagan.
Seumpama tuhan Krisha penganut Hindu yang digambarkan oleh sejarawan Yunani sebagai Heraklius tuhan Greek yang disembah penganut Hindu atau bahawa orang pagan Mesir menyembah dewa Zeus, Apollo dan Ammon.
Anak-cucu manusia sekalian, ketahuilah bahawa sehingga ada kemungkinan bahawa ketika Alexander menyembah satu Tuhan, atau ketika dia menggambarkan nama dan sifat yang berbeza, atau ditawarkan penyembelihan binatang kepadaNya, para sejarawan Yunani menggambarkan bahawa seolah-olah dia menyembah Zeus atau Heraklius atau Ammon.
Ayah Alexander, Raja Philip, mengajikan tutor untuk mengajar anaknya. Di antara guru-gurunya adalah Aristotle ahli falsafah Yunani yang mengajarkan Alexander banyak tentang falsafah, kebudayaan Yunani dan ilmu pengetahuan.
Selama pemerintahannya sebagai Raja Macedonia, Alexander menakluk sebahagian dari apa yang kemudiannya diperikan sebagai dunia bertamadun. Pertama mengalahkan pemberontak negara kota Yunani. Alexander kemudian melanjutkan pengembaraan menyerang Empayar Parsi di Asia Kecil dan Mesir. Keinginannya adalah untuk mendalami budaya tempatan di daerah takluknya, hidup berdampingan dengan idea-idea Tuhan yang Esa dan budaya yang dia bawa bersamanya.
Fasa 1, Bahagian ke-33, halaman 95.
-- Akan bersambung.
Sebelumnya: Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (1)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (2)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (3)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (4)
** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
P/s: Saya hargai setiap komen, ujana dan kutukan. Silakan, saya buka gelanggang!
0 comments:
Post a Comment