Sep 16, 2011

Kerjaya 101 (1): Tanyakan diri saudara

Dalam merancang sebelum menghadiri sesi interviu di agensi kerajaan atau syarikat korporat, suka untuk kami nyatakan bahawa terdapat beberapa soalan lazim yang sering sahaja akan ditanyakan. Dalam masa yang sama terdapat juga siri soalan yang akan ditanya berdasarkan jawatan yang dipilih. Saudara mesti bersedia juga untuk mengemukakan jawapan yang memuaskan pegawai yang bertanya. Soalan yang kami sebutkan merupakan soalan perangkap! Jadi berhati-hati!

Kami mengakui sukar untuk menebak atau menduga apakah soalan yang bakal ditanya semasa sesi interviu. Walaupun demikian, saudara mesti mempersiapkan diri dengan jawapan kepada soalan paling biasa ditanya (FAQ) oleh penemuduga. Tahukah saudara dengan persiapan menyediakan jawapan dalam minda bagi FAQ ini akan mententeramkan diri? Ya, kami sudah mengalaminya.

Kami senaraikan di bawah soalan-soalan yang hampir pasti akan ditanya di sela-sela masa sepanjang sesi interviu, tanpa mengira apakah jawatan yang dipohon. Kami juga sediakan sedikit tip-tip berguna bagi diamalkan.

(1) Sila ceritakan tentang diri saudara atau bolehkah saudara ceritakan kepada kami berkenaan diri saudara?

Kebiasaannya ini merupakan soalan perkenalan. Penemuduga yang bertanya pastinya dari jabatan sumber manusia sesuatu agensi atau syarikat. Soalan ini memberikan peluang kepada panel penemuduga mengenali sedikit sebanyak latar belakang kehidupan dan kebolehan semula jadi saudara.

Jawablah secara ringkas dan padat. Saudara hanya perlu memberi tumpuan kepada sisi personaliti, skil, pengalaman dan jejak karier sebelumnya. Persoalan perihal latar belakang keluarga juga boleh dinyatakan, tetapi harus berhati-hati kepada sudut relevan sahaja yang memberikan gambaran awal kepada panel penemuduga bahawa saudara adalah calun yang layak untuk jawatan yang dipohon. Jangan meleret.

Sekiranya ini merupakan jawatan pertama yang dipohon setelah tamat pengajian di universiti, elok saudara ceritakan apakah aktiviti-aktiviti yang pernah dilakukan sepanjang tempoh pengajian. Fokuskan kepada sudut kegiatan bukan berkaitan sesuatu subjek atau kertas kursus pengijazahan.

(2) Mengapa saudara mahu bekerja di syarikat ini?

Ini soalan perangkap! Jangan memberikan jawapan seumpama, “Saya memang memerlukan sangat kerja ini. Justeru pihak tuan/puan mengiklankan jawatan ini, maka saya pun mencuba nasib.” Sekiranya ayat-ayat seperti kami sebutkan terkeluar dari tutur kata saudara, alamat sesi interviu menjadi singkat. Bila sesi singkat, secara automatik saudara gagal.

Justeru apakah yang patut saudara jawab atau maklumat apa yang saudara perlu katakan? Kami senaraikan di bawah:

(a) Sebelum pergi ke sesuatu syarikat, buat penyelidikan berkenaan syarikat tersebut.
(b) Beritahu penemuduga mengapa saudara berminat bekerja di situ.
(c) Apakah budaya kerja syarikat yang menarik minat saudara.
(d) Jenis-jenis servis dan produk yang menjadi brand ataupun yang menjadi idaman saudara untuk berkecimpung secara langsung bersamanya.
(e) Selain daripada itu, nyatakan dengan yakin bahawa kebolehan, pengalaman dan kecenderungan saudara memang secocok dengan syarikat.

Nantikan siri buku ini di pasaran, insya-Allah.

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: