Bab 1: Terjumpa Seekor Anak Kucing
Ketika anak gadis saya bersekolah dalam darjah empat, dia terjumpa seekor anak kucing yang kehilangan ibunya semasa perjalanan ke sekolah. Anak kucing itu berbunyi miau, miau. Kerana berasa kasihan dengan anak kucing itu, dia mengambil dan menyimpannya ke dalam beg sekolah. Sewaktu dalam kelas, anak gadis saya menyuruh anak kucing itu supaya berhenti berbunyi supaya tidak dimarahi cikgu.
“Kucing, kamu jangan bising. Nanti cikgu marah kepada aku. Kamu jangan risau, aku akan membawamu pulang ke rumah nanti. Aku akan berikan kamu minum susu, okey?” pujuk anak gadis saya secara berbisik.
Sebaik tiba di rumah, saya melihat anak gadis saya membawa pulang seekor anak kucing. Dia memegang dan mengosok-gosok badan anak kucing tersebut.
“Cantik anak kucing itu. Mana kamu jumpa?” soal saya sambil tersenyum kepadanya.
“Saya menjumpai dia semasa ke sekolah pagi tadi. Saya ambil dan memasukannya ke dalam beg saya. Mujur juga anak kucing ini tidak mengiau semasa berada dalam kelas. Baik pula dia apabila saya suruh dia jangan buat bising,” cerita anak saya gembira dan tersenyum riang
“Boleh kita pelihara anak kucing ini, emak?” selajur anak saya bertanya.
“Boleh. Jom kita beri dia minum susu. Kasihan emak tengok. Tentu dia lapar dan dahaga,” saya berkata sambil mengambil anak kucing itu dari dakapan anak saya.
“Mujur juga kucing ini tidak berak atau kencing dalam beg saya, emak. Kalau tidak tentu kotor buku-buku saya,” kata anak saya sambil berjalan mengekori dari belakang.
Bulu kucing itu bertompok merah dan hitam. Bahagian bulunya yang lain berwarna putih. Memang cantik gabungan tiga warna tersebut. Saya dan anak menuangkan susu yang dicampur air ke dalam sebuah mangkuk kecil. Apa lagi, anak kucing bertompok itu terus menjilatnya dengan laju.
“Memang sah lapar sangat dia. Tidak tahu berapa lama dia tidak makan,” saya berkata semasa mencangkung kepada anak gadis saya yang leka melihat anak kucing itu menjilat susu yang disediakan.
“Kita namakan kucing ini Tompok, ya emak?” soal anak saya memberi cadangan.
“Ya, emak bersetuju. Sesuai dengan bulunya yang bertompok-tompok tiga warna,” akur saya tersenyum memandang silih berganti di antara anak sendiri dan kucing.
“Kamu minum dahulu, ya Tompok. Aku mahu pergi mandi,” kata anak gadis saya sambil mengosok-gosok kepala si Tompok. Anak kucing itu seakan-akan memahami namanya lantas berbunyi miau-miau.
Beberapa minggu kemudian, anak kucing itu semakin membesar dan manja. Sudah pandai melompat-lompat dan bergurau senda. Setiap kali dipanggilnya, “Tompok, Tompok”, dia akan datang berlari-lari ke arah saya atau anak gadis saya. Semakin hari semakin besar si Tompok dan bertambah cantik dan sihat.
Tiap-tiap hari sebaik sahaja nampak kelibat anak gadis saya pulang dari sekolah, berlarilah si Tompok mendapatkan tuannya. Tompok akan mengesel-gesel badannya ke kaki dan betis tuannya meminta dimanjakan. Anak gadis saya lantas mendukungnya.
Setiap selang tiga hari, Tompok akan dimandikan bersama sabun. Justeru itu, badannya bersih dan bulunya juga lembut dan bertambah cantik. Saya hanya tersenyum melihat betapa akrabnya seekor kucing dengan tuannya. Saya pun tidak kisah akan adanya seekor kucing di rumah. Saya senang hati kerana anak gadis saya pandai menjaga dan membelai kucingnya.
Akan bersambung.
** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
0 comments:
Post a Comment