BAB 8
Sempena pengkebumian diraja untuk mendiang Raja Philip, Alexander mengarahkan supaya jenazah ayahandanya diuruskan sebaik mungkin. Sebaik sahaja dia ditakhtakan sebagai Raja Macedonia, Alexander berdiri di sebuah kawasan lapang yang ditinggikan oleh satu pelantar. Di hadapannya kerumunan tentera berperisai, unit askar berkuda dan rakyat jelata menunggu penuh sabar. Alexander ditemani oleh beberapa pembesar negara. Raja Macedonia itu memakai jubah diraja dan mahkota.
Tidak berapa lama kemudian trumpet ditiup dan sejurus itu puluhan ribu bala tentera dan rakyat melaungkan, “Daulat Tuanku, Raja Macedonia!”
Bersama kuda perang kesayangannya, Bucephalus, Alexander menuruni pelantar menuju ke celah-celah rakyatnya yang memberikan sokongan padu atas pelantikannya sebagai pengganti Raja Philip. Walaupun negara Macedonia baru sahaja kehilangan seorang raja dan masih diselubungi kesedihan, namun sebuah negara mesti meneruskan kewujudannya. Itulah yang ditunjukkan oleh kerumunan di padang lapang tersebut. Sokongan mereka kepada Alexander tidak berbelah bahagi. Paling tidak, itulah tanggapan Raja Mecodonia yang baru berusia 20 tahun itu.
Di saat bersendirian di awal malam selepas acara penabalan menaiki takhta Raja Macedonia di siang hari itu, Alexander mengimbau beberapa kenangan terindah bersama ayahandanya Raja Philip. Peristiwa akan kedatangan seekor kuda menjelma di tubir mata.
Pada waktu itu ada seorang rakyat membawa seekor kuda hitam bagi dijual kepada Raja Philip. Ketika itu hari panas terik.
“Alamak! Kuda hitam itu sungguh liar. Cuba kau lihat, beberapa orang askar cuba untuk menunggangnya tetapi ia tidak berjaya dikekang,” kata seorang pemerhati di kalangan pengawal diraja kepada rakan di sebelahnya.
Apabila melihat situasi itu, Alexander lantas berjalan ke arah kuda tersebut. Dia mendongak ke langit melihat matahari. Tahulah Alexander bahawa kuda hitam itu ketakutan dengan bayang-bayangnya sendiri. Dia memalingkan sang kuda ke arah matahari supaya ia tidak dapat melihat bayang-bayangnya sendiri.
Alexander mengusap-gusap belakang dan kepala kuda hitam itu. Sebaik sahaja melihat kuda itu mula tenang, dia melompat ke atas badan kuda dan terus menunggangnya dengan selesa. Kuda memecut laju.
Orang ramai bersorak keriangan dan penuh kagum. “Alexander memang bijak. Kuda liar itu boleh dijinakkannya,” kedengaran satu suara.
Sebaik sahaja Alexander kembali dan turun dari kuda itu, Raja Philip mendekatinya lantas memeluk erat dan berkata, “Wahai anakanda! Anakanda memang hebat. Ini nasihat ayahanda. Cari dan bukalah kerajaan anakanda sendiri kerana negara Macedonia tiada ruang bagi kehebatanmu itu.”
“Terima kasih, ayahanda. Anakanda memberikan nama kuda ini Bucephalus,” kata Alexander sambil menunduk hormat di hadapan Raja Philip.
“Adakah kamu menyukai nama itu?” Tanya Alexander kepada Bucephalus. Sang kuda hitam itu lantas merengkek sambil mengangguk-anggukan kepalanya. Raja Philip tersenyum bangga dan orang ramai bersorak riang, terus mengucapkan tahniah kepada Alexander.
“Ayahanda, anakanda merinduimu,” rintih Alexander sambil cuba untuk melelapkan mata. Air matanya menitis lagi. Pilu namun reda akan ketentuan Tuhan Yang Esa.
@@@@@@@
Malam mula melabuhkan tirainya pada hari ketiga sejak peristiwa pembunuhan Raja Philip. Empat sahabat Alexander dan panglima perang kerajaan Macedonia iaitu Hephaestion, Ptolemy, Seleucus dan Perdiccas tiba di istana lengkap dengan seragam berperisai. Kempat-empat sahabat Alexander itu segera bergegas pulang dari lokasi mereka. Perjalanan selama hampir dua hari itu sungguh memenatkan.
Mereka menyerahkan kuda-kuda tunganggan kepada pembantu istana, dan tanpa berlengah-lengah terus menaiki tangga menuju ke balai penghadapan di mana Alexander sedang menunggu mereka. Peluh masih membasahi wajah dan sekujur tubuh mereka.
Pengawal pintu membenarkan mereka masuk sebaik sahaja melihat kelibat keempat-empatnya berjalan pantas. Lampu sudah dinyalakan, dan kelihatan Alexander bersama-sama beberapa kerabat terdekat dan komander perang sedang menunggu kedatangan mereka. Kesemua mereka termasuk Alexander mengenakan pakaian perang dan topi besi di kepala. Pedang-pedang juga diletakkan di atas meja di hadapan, sebagai tanda bahawa situasi masih kritikal.
Alexander terharu dengan ketibaan para sahabat karibnya.
“Sahabat beta. Akhirnya kita bertemu juga setelah sekian lama berpisah,” kata Alexander sambil berjalan merapati mereka berempat.
“Kami cukup sedih sebaik sahaja menerima berita kematian Tuanku Raja Philip. Kami mengucapkan takziah, Tuanku. Kami akan terus mengenang Tuanku Raja Philip sebagai seorang ketua tentera yang gagah dan seorang pemerintah yang bijak. Tuanku Raja Philip sudah seperti ayah kami semua, tegas tetapi penuh perasaan kasih sayang. Kematian ayahanda Tuanku suatu peristiwa yang sangat kami kesalkan dan ratapi. Tetapi sekarang Tuanku mesti mewarisi takhta Mecedonia dan kami menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Tuanku sebagai Raja Macedonia,” Hephaestion berkata bagi mewakili semua sahabatnya.
Sebaik sahaja ucapan ringkas itu, Hephaestion berjalan merapati Alexander dan mencium kedua-dua belah pipi Raja Macedonia tersebut. Ketiga-tiga sahabat yang lain turut melakukan perkara yang sama. Kemudian mereka memberikan tabik hormat kepada kerabat rapat diraja dan semua pegawai tentera yang ada di situ.
“Berita kematian Raja Philip pastinya akan cepat tersebar kerana ia terjadi di hadapan beribu-ribu orang ramai. Reaksi kematian baginda bakal mencipta riak-riak kecil yang sukar dijangka. Walaupun demikian, kita mesti bersiap siaga bagi menghalang sebarang kemungkinan yang tidak diingini supaya tidak melemahkan kemaraan dan pencapaian ayahanda beta selama ini. Ini adalah rancangan beta."
Alexander bertitah sambil silih berganti memandang orang kepercayaannya dalam balai penghadapan itu. Turut bersama Alexander ialah adik iparnya Raja Epirus.
Raja Macedonia itu bertitah lagi, “Kita mesti kumpulkan maklumat pengintipan bagi negeri di sempadan utara, dan reaksi sekutu Athens di Yunani dan Thebes di Asia Kecil di selatan Macedonia. Negeri-negeri tersebut terkenal dalam sejarah Macedonia sebagai wilayah yang suka memberontak tanpa usul periksa.”
Tidak ada seorang pun membantah.
Alexander melanjutkan bicara, “Beta percaya bahawa kematian Raja Philip akan membuka semula onar mereka bagi membebaskan diri. Sesetengah sekutu akan merasakan inilah peluang bagi berundur ke belakang dan mengembalikan pemerintahan kejam mereka. Kerajaan Macedonia mesti memujuk mereka dengan memberikan nasihat bahawa niat mereka salah. Dengan kejayaan kita menyekat keadaan bahaya ini, baharulah kita akan memulakan kembali semua perancangan ayahanda beta.”
-- Akan bersambung, insya-Allah.
Sebelumnya: Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (1)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (2)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (3)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (4)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (5)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (6)
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (7)
** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
0 comments:
Post a Comment