Oct 25, 2011

Kamu Faham Cakapku, Tompok? (2) dan (3)

Bab 2: Tompok Bijak dan Baik

Kucing saya si Tompok ini adalah seekor kucing yang baik. Tidur juga bersama tuannya. Di waktu malam sekiranya dia mahu berak atau kencing, Tompok pandai mencari saya di bilik. Dia akan mengiau-giau di telinga bagi mengejutkan saya. Saya memahami bahawa itu tandanya dia mahu keluar berak atau kencing. Saya pasti menuruti kehendaknya, lalu terus membuka pintu. Sebaik sahaja pintu terbuka, Tompok meluru turun ke tanah.


“Hai, sungguh bertuah ada seekor kucing yang bijak dan baik.
Pandai pula berak di luar rumah,” ulas saya sendirian.

Si Tompok jarang tidur di waktu malam. Dia menjadi pemburu tikus-tikus yang berkeliaran di dalam rumah. Tiap-tiap malam Tompok berjaya menangkap dan membunuh dua atau tiga ekor tikus. Justeru itu, sang tikus sudah takut mahu berkeliaran di waktu malam dalam rumah. Kalau nampak kelibat musuh utama si Tompok itu, nescaya nyawa tikus-tikus itu dalam keadaan bahaya.


“Mahu lari ke mana sang tikus! Aku tahu segenap ceruk rumah tuanku ini.” Agaknya itulah kata-kata Tompok. “Kamu jangan cuba merosakkan dan mengotorkan rumahku dan tuanku ini.
Aku akan buru kalian dengan cengkaman kuku dan gigiku yang tajam ini. Keluarlah sekiranya berani!”

Bab 3: Kasih Sayang Tompok Kepada Anak-Anak

Enam bulan berselang sejak saya memelihara si Tompok.
Si kucing cerdik ini sudah mengandung. Saya dan anak gadis saya menyediakan suatu kotak khas bagi Tompok bersalin. Tiba masanya, Tompok melahirkan lima ekor anak.

Sepanjang kehidupan Tompok, dia beranak sebanyak lapan kali. Pada kali kedua Tompok beranak sebanyak empat ekor. Ada satu ketika dia melahirkan anak dua kali dalam tempoh yang singkat. Jadi jumlah anaknya ialah sebanyak sembilan ekor. Kisahnya ialah sewaktu anaknya yang terdahulu berumur tiga bulan, Tompok beranak lagi. Justeru itu, jumlah anak-anaknya yang masih kecil sembilan ekor. Memang banyak!


Saya menyediakan makanan bagi dua generasi anak-anak Tompok sebanyak dua pinggan. Di waktu inilah, kasih sayang dan kecerdikan si Tompok semakin menyerlah. Dia memandang sahaja anak-anaknya makan, iaitu membiarkan anak-anaknya kenyang terlebih dahulu. Apabila sembilan anak-anaknya sudah makan, maka si Tompok pula menyusuli makan saki baki makanan tadi.


“Sungguh cerdik si kucingku ini,” kata saya kepada Tompok sambil mengosok-gosok belakangya. Dia menoleh kepada saya sambil mengiau dan menyambung santapannya penuh santun.


Begitulah kasih sayang sang ibu.
Kucing pun tahu menilai kasih sayang dan memberikan perhatian kepada anak-anak. Manusia pula ada yang membelasah anak-anak tanpa belas. Ada kes kematian pula. Itu belum termasuk ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali yang tega membuang anak di tempat-tempat tertentu.

Manusia kalau sudah mengikut hasutan syaitan durjana, begitulah jadinya. Binatang pun sayangkan anak.
Kalau begitu, apa kategori yang harus diberikan kepada manusia yang menyeksa dan membuang anak? Lebih teruk dari binatang!

Tidakkah manusia mengetahui bahawa anak merupakan anugerah Allah yang mesti dijagai sehingga besar? Anugerah yang diberikan adalah sebuah tanggungjawab. Takut rezeki kurang lantaran ada anak? Mana belajar mengenai tuduhan tersebut? Itu adalah budaya Arab Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Ajaran dibawa oleh Nabi Muhammad bin Abdullah
(Sallallahhu’alaiwasallam) mengandungi kasih sayang dan cinta sesama manusia dan binatang. Setiap anak yang lahir sudah ditentukan rezekinya.

Sekiranya alasan membuang anak ialah kerana hasil dari perhubungan luar nikah, mengapa anak pula yang dipersalahkan? Malu? Tahu pula perasaan malu, tetapi melakukan perhubungan yang diharamkan oleh budaya dan agama tidak pula malu. Itulah manusia yang tidak sedar diri. Sudahlah berdosa dengan sebuah perhubungan haram, anak pula dibuang. Dosa yang ditanggung pasti amat besar. Aduhai manusia, sedarlah kalian dengan amaran dan ugutan Tuhan!

Perhatian kata-kata Allah dalam ayat berikut:


Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Surah Al-An’am ayat 38)


Binatang juga adalah makluk Allah yang mesti diambil perhatian berat. Tidak boleh disakiti apa lagi dibunuh sewenang-wenangnya. Mereka juga berhak untuk hidup dan dipelihara sebaiknya. Ambil contoh pelakuan Nabi Muhammad (Sallallahhu’alaiwasallam) terhadap kucing dan binatang lainnya. Ambil iktibar akan kisah seorang wanita yang dimasukkan ke dalam neraka lantaran mengurung seekor kucing sehingga mati.


Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan dari air, maka sebahagian dari haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya dan sebahagian berjalan dengan dua kaki, sedang sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Surah an-Nuur ayat 45)


Sebelumnya: Kamu Faham Cakapku, Tompok? (1)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: