Apabila anak-anak Tompok besar sedikit, beberapa orang jiran dan sanak-saudara meminta untuk memeliharanya. Seekor demi seekor diambil.
“Cantik betul anak kucing itu. Boleh berikan saya seekor untuk dipelihara?” Soal seorang jiran sambil menunjukkan sekumpulan anak-anak Tompok yang sedang bermain-main.
“Pilihlah mana yang berkenan. Saya sangat berharap semoga anak kucing yang diambil dipelihara seumpama anak sendiri,” saya memberikan kebenaran dan sedikit nasihat.
Semakin ramai teman-teman yang berkunjung ke rumah mengambil anak-anak kucing tersebut, sehingga hanya tinggal dua ekor sahaja.
“Pelakuan baik seseorang kepada seekor binatang boleh menjadi satu cara bagi mendapatkan ampunan dari Allah. Justeru keampunan dari Allah itu memudahkan seseorang memperoleh ganjaran syurga,” saya memberi nasihat kepada salah seorang saudara yang berhasrat memelihara salah seekor anak Tompok.
“Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah berkata, ”Suatu ketika seorang lelaki sedang berjalan di suatu jalan, dia merasa sangat haus lalu dia mendapatkan sebuah sumur maka dia pun menuruninya dan minum darinya. Tatkala keluar darinya dia mendapatkan seekor anjing yang menjulur-julurkan lidahnya yang sedang mengunyah tanah basah kerana kehausan.
“Orang itu berkata, “Sungguh apa yang dialami anjing ini berupa kehausan seperti apa yang baru sahaja aku alami. Maka orang itu pun menuruni sumur dan memenuhi terompahnya dengan air kemudian membawanya ke atas dengan mulutnya dan diminumkannya kepada anjing itu. Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya.
“Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah apakah di dalam setiap binatang ternak itu ada pahala bagi kita?” Beliau (Nabi Muhammad) menjawab, “Di setiap yang memiliki hati yang lunak (kiasan untuk kehidupan) ada pahala.” (Hadis direkodkan oleh Bukhari).
Saya melanjutkan lagi perbualan berkaitan dengan binatang lain pula. “Dari kisah-kisah ini, dapat dibuat kesimpulan bahawa mengasihi binatang, walaupun seekor anjing, boleh mendekatkan diri seseorang kepada syurga Allah. Manakala menyakiti binatang bakal mengundang murka Allah. Memelihara kucing dan menjadikannya sebagai teman di rumah, insya-Allah sangat disukai oleh Nabi Muhammad dan lebih-lebih lagi Allah.
“Hati yang lunak dan memberi makan binatang merupakan perbuatan terpuji. Apatah lagi sekiranya manusia itu memiliki anak sendiri,” saya berceloteh panjang. Saudara saya tersebut tersenyum dan mengangguk perlahan-lahan.
Masa kian berlalu, maka besarlah anak-anak kucing yang dua ekor itu.
“Hai bising betul kamu bergurau-senda. Nakal sungguh kamu berdua ya,” kata saya kepada dua ekor anak Tompok yang sedang bermain-main. Namun begitu saya suka melihat gurauan mereka berdua. Sungguh rapat kedua-dua beradik itu.
Pada suatu hari, kedua-dua anak si Tompok leka bergurau senda. Berlari ke sana, berlari ke sini. Saya leka melihatnya sambil tersenyum. Semasa sedang berlarian, salah seekor anak Tompok terlanggar kaki kerusi. Pap bunyinya. Saya agak tentu terkena hidungnya, lalu anak kucing itu mendongak kepalanya ke atas.
“Aduh sakitnya!” Agaknya itulah yang dirasai oleh anak Tompok tersebut. Dia diam seketika.
“Hah! Mengapa tidak lari lagi? Galak sangat bergurau senda. Bila terlanggar kaki kerusi, sakit kamu rasa sehingga mendongak ke langit,” saya berkata sambil tertawa kecil.
Begitulah perangai dan ulah kedua-dua ekor anak si Tompok saban hari. Anak-anak saya semuanya bersekolah. Jadi tinggallah saya bersendirian melihat gelagat anak-anak kucing itu. Di samping itu juga saya bercakap-cakap dengan mereka.
Apabila bosan bermain-main dengan adik beradik, mereka bergurau pula dengan si ibu, Tompok. Ibu pula pandai mengambil hati dan mencipta suasana. Tompok akan mengerak-gerakkan ekornya ke kiri dan ke kanan. Si anak menerkam dan mengigit manja ekor si ibu. Selain itu, kedua-dua anak Tompok akan memanjat belakang si ibunya pula. Tompok tidak marah malah membiarkan anak-anaknya bersuka ria.
“Hai Tompok, Tompok. Pandai kamu,” kata saya kepada Tompok sambil leka memerhati. Dalam hati saya terharu dengan sikap si Tompok.
Sebelumnya: Kamu Faham Cakapku, Tompok? (1)
Kamu Faham Cakapku, Tompok? (2) dan (3)
** Hakcipta Terpelihara Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments:
Post a Comment