Feb 22, 2012

Entri.Com Mat Katerer: Seronoknya Wisata Katering (3)

Memasak adalah seni, dan seseorang mesti mempunyai semangat untuk belajar bagi menjadi seorang tukang masak yang baik, seterusnya menjadi cef berkemahiran. Selaras dengan ini, untuk memenuhi keperluan klien, cef saya tidak pernah berhenti untuk mencuba masakan baru dan saya orang pertama yang merasainya. Kini, beliau cef yang sangat baik dan cekap.

Laksa antara hidangan mee kegemaran masyarakat Malaysia. Menu ini merupakan masakan Melayu yang menggunakan ikan sebagai bahan utama. Terdapat beberapa jenis laksa iaitu laksa Johor, laksa Penang, laksa Perlis, laksa Kelantan dan laksa Sarawak. Setiap jenis laksa menggunakan bahan-bahan berlainan dalam menyediakannya, tidak termasuk ikan.

Secara jujur, saya tidak pernah mempunyai pengalaman makan laksa Sarawak, apatah lagi menyediakannya. Walau bagaimanapun, saya dan cef berjaya menyediakan laksa Sarawak dengan baik apabila menerima pesanan dari klien. Bagaimana cef saya berjaya melakukannya? Saya cari resepi dalam internet dan selepas itu kami pergi ke KLCC untuk merasainya.

Buat permulaan cef saya juga belajar menyediakan masakan barat. Pesanan terkini ialah bagi keraian hari Kristmas. Klien meminta makanan barat iaitu spaghetti, roti bawang putih, sup cendawan, kentang mash dan salad sebagai antara hidangan utama. Mereka juga memesan hidangan tempatan; nasi goreng kampung, mee goreng, kari ikan, rendang ayam dan sayur campur.

Saya berjaya menyediakannya berkat usaha dan kemahuan untuk belajar.

@@@@@@@@@@

Tanggal 23 Disember 2007, saya dan lapan orang krew yang lain berjaya mengendalikan satu sesi katering perkahwinan bertempat di sebuah kelab berlokasi di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor. Setinggi-tinggi syukur dipanjatkan ke hadrat Tuhan seru sekalian alam.

Majlis perkahwinan yang agak berprestij itu dihadiri oleh lebih kurang 900 tetamu, termasuk tetamu VIP. Walaupun majlis sebenar bermula daripada jam 12.00 tengah hari berakhir pada 4,30 petang, namun saya dan cef terutamanya, sudah bersiap sedia dengan segala ‘senjata’ sejak hari Khamis, 20 Disember lagi. Saya dapat menarik nafas lega hanyalah pada hari Isnin, 24 Disember, setelah semua peralatan dibasuh dan disimpan kembali.

Ini adalah majlis perkahwinan yang agak besar bagi katering saya, kerana ia melibatkan hampir kesemua keperluan utama, kecuali pemasangan kanopi dan peralatan PA. Pihak saya terlibat daripada hiasan pintu gerbang, ke penyediaan hidangan raja sehari, ke persiapan meja-meja VIP, ke urusan melayan tetamu VIP dan meja pengantin sehingga pemantauan dua hidangan bufet.

Pada hari majlis berlangsung, saya, cef dan krew masakan yang lain bangun pukul 4.00 pagi bagi menyiapkan masakan untuk majlis ini. Segala-galanya sedia untuk dihantar ke premis majlis sekitar pukul 9.00 pagi.

Sekali lagi syukur, alhamdulillah, segala yang dirancang menjadi kenyataan bagi majlis perkahwinan yang menggunakan warna hijau muda sebagai warna tema.

Jika kamu berhajat untuk mengetahui pakej makanan majlis perkahwinan, sila hubungi pihak saya. Pihak saya sedia membantu.

Tip: Masakan bukan setakat main campak sahaja ke dalam kuali atau periuk. Ia mesti ada rasa tanggungjawab. Saya dan cef berjaya menyediakannya berkat usaha dan kemahuan untuk belajar. Kamu juga boleh.

Sebelumnya: Entri.Com Mat Katerer: Seronoknya Wisata Katering (1)
Entri.Com Mat Katerer: Seronoknya Wisata Katering (2)


** Ini kisah benar dinukilkan secara santai dan bersahaja. Tidak berat, namun ada nasihat dan tamsil ibarat, di mana perlu. Mungkin terdapat maklumat yang dikongsikan. Perkisahan seharian dairi Mat Katerer. Kalian jangan bimbang, ini bukan buku panduan bisnes katering, tetapi ceritera sebuah jurnal kehidupan. Bak kata seorang tukang rumah, "Terus terang ya Pak!"


** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: