Feb 23, 2012

Sri Negara-Patani (3)

Pertengahan abad ke-13 Masihi, tahun 1250-an.
Sumatera di Selat Melaka.

Raja Merah Silu suka berburu. Pada suatu hari baginda pergi berburu bersama anjingnya si Pasai. Apabila tiba di suatu tempat tinggi, si Pasai menyalak nyaring.

“Pasai! Apakah yang kamu nampak di bawah sana?” Raja Merah Silu bertanya.

Si Pasai makin galak menyalak. Sebaik sahaja Raja Merah Silu tiba di tanah tinggi itu, dilihatnya Pasai menyalak akan kelibat seekor semut besar, sebesar seekor anak kucing.

“Oh! Besarnya semut itu. Beta fikir ini alamat yang baik.”

Pada suatu hari yang baik, Raja Merah Silu mengumpul semua penduduk Rimba Jurun. Baginda bertiah, “Wahai penduduk kampung Rimba Jurun. Beberapa hari lalu beta terjumpa seekor semut pelik sebesar seekor anak kucing. Pada hemat beta, kawasan itu elok dan subur. Justeru beta menamakan negeri ini sebagai Samudera. Kita dirikan rumah-rumah di sana dan membuat penempatan baharu.

Semua orang kampung Rimba Jurun berpindah dari kawasan hutan ke lembah yang subur itu. Segala tenaga dan rakyat dikerah mendirikan istana dan rumah-rumah kediaman yang lain.

Tidak berapa lama kemudian, siaplah sebuah penempatan bagi sebuah kerajaan Samudera.

Daripada peristiwa itu, Raja Merah Silu menamakan tempat tersebut sebagai Samudera yang bererti semut besar.

@@@@@@@@@@

Dikatakan oleh orang bahawa Nabi Muhammad bin Abdullah berkata, “Sepeninggalan aku kelak akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan jadi wali Allah. Terlebih dahulu, semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Muktabari, bawalah fakir itu bersama-sama.”

Seorang Syarif di Mekah menubuhkan sebuah pasukan penggembaraan ke Nusantara. Sebuah kapal disediakan dengan muatan perkakasan dan orang-orang bagi mengajar agama Islam.

Syarif Mekah itu berkata kepada nakhoda Sheikh Ismail, “Tuan singgahlah ke negeri Muktabari bagi menjemput seorang fakir seperti dalam wasiat Rasulullah itu.”

Pada suatu hari yang cerah di awal pagi, kapal dari Mekah itu belayar menuju ke arah benua Tanah Melayu. Bermula dari Laut Arab, merentasi benua India, kemudian belayar melalui Selat Melaka.

Beberapa bulan kemudian, kapal yang dikemudi oleh nakhoda Sheikh Ismail tiba di negeri Muktabari. Raja yang memerintah di negeri ini bernama Sultan Muhammad.

Sebaik menerima khabar dari pegawai-pegawai laut, Sultan Muhammad menerima kunjungan ahli rombongan kapal itu. Baginda bertitah, “Dari mana gerangan tuan hamba sekalian?”

Nakhoda Sheikh Ismail menjawab, “Ampun Tuanku, mohon perkenan. Kami memohon berkat perkenan Tuanku singgah di negeri berdaulat ini. Kami datang dari Mekah dengan misi untuk ke negeri Samudera.”

Baginda Sultan Muhammad begitu gembira dengan kedatangan kapal penggembara dari Mekah tersebut. Oleh yang demikian, dijamunya dengan makanan bagi meraikan semua anak kapal.

Selepas makan, Nakhoda Sheikh Ismail menitipkan kata-kata Nabi Muhammad bin Abdullah seperti yang disebutkan orang-orang alim di Mekah.

Kemudian beliau menyambung kata, “Adapun Tuanku Sultan Muhammad adalah dari leluhur Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Justeru kedatangan kami ini ingin menyampaikan amanah dari Nabi Allah yang mulia itu.”

Setelah didengari oleh Sultan Muhammad akan kata-kata Rasulullah tersebut, tersangat sukacitanya baginda. Apabila tiba hari yang baik, maka baginda merajakan anakandanya yang paling tua memegang tampuk takhta kerajaan Muktabari.

Sementara itu Sultan Muhammad dan anak lelaki kedua baginda mengenakan pakaian orang kebanyakan dan turut menyertai misi suci kapal dari Mekah tersebut.

Sultan Muhammad bertitah kepada Nakhoda Sheikh Ismail, “Bawalah beta ke negeri Samudera. Beta akan menunjukkan jalan ke sana. Semoga Allah memberikan kita sebuah pelayaran yang penuh berkat.”

Semasa pelayaran kedengaran beberapa orang anak kapal berbicara mengenai kata-kata Rasulullah dan kaitannya dengan orang fakir.

“Kelihatannya Sultan Muhammad begitu teruja dengan misi ini. Baginda tidak sedikit pun gusar dengan mencemar duli bersama anakanda baginda bersama kita,” salah seorang kelasi yang sedang berehat berkata.

Tukang masak utama kapal mencelah, “Ya, aku yakin bahawa bagindalah yang dimaksudkan oleh Rasulullah tersebut. Sultan Muhammad bukan sahaja menyaluti tubuhnya dengan pakaian rakyat kebanyakan, malah kain yang digunakannya seolah-olah seorang fakir yang tidak punya apa. Begitu juga dengan anakanda baginda. Sungguh mulia.”

Beberapa rakan-rakan lain mengangguk tanda bersetuju.

Sebelumnya: Sri Negara-Patani (1)
Sri Negara-Patani (2)

--- Akan bersambung (Sebuah fiksyen sejarah).

Ingin hamba senandungkan ceritera
Demi mencari secebis riwayat cinta
Di buana ciptaan Yang Esa
Moga jiwa tenang terus selesa
Sebuah bahtera melayari samudera.

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam. Andai ada penerbit yang ingin melamar, sila titahkan pada hamba yang daif ini.

FAKTA: Late in the 14th century the name Sumatra became popular in reference to the kingdom of Samudra Pasai, which was a rising power until it was replaced by Sultanate of Aceh. Sultan Alauddin Shah of Aceh, on letters written in 1602 addressed to Queen Elizabeth I of England, referred to himself as "king of Aceh and Samudra".[3] The word itself is from Sanskrit "Samudra", (समुद्र), meaning "gathering together of waters, sea or ocean".[4]

0 comments: