Feb 2, 2012

Sri Negara-Patani (1)

Ini sebuah kisah yang memperikan susur galur raja yang memerintah sebuah kerajaan Islam bernama Patani Darussalam.

Pada suatu ketika di sebuah kota bernama Kota Mahligai, terdapat seorang raja bersemayam bernama Paya Tu Kerub Mahajana. Tidak berapa lama selepas pernikahannya, baginda dianugerahkan Allah seorang putera yang diberikan nama Paya Tu Antara. Sebagaimana lumrah kehidupan fana ini, tidak berapa lama kemudian Tuanku Paya Tu Kerub Mahajana mangkat.


Selepas kemangkatan ayahandanya, Raja Paya Tu Antara ditabalkan menduduki takhta pemerintahan Kota Mahligai. Baginda menukar nama kepada Paya Tu Naqpa.

Tuanku Paya Tu Naqpa sangat gemar berburu binatang liar di dalam hutan negaranya.

Pada suatu hari yang cerah lagi ceria, Tuanku Paya Tu Naqpa bertemu dengan semua menteri, pegawai istana, hulubalang serta rakyat jelata yang dapat menghadirikan diri.

Sambil menduduki singahsana takhta kerajaan, baginda bertitah, “Beta mendapat khabar bahawa di tepi laut banyak binatang yang boleh diburu. Apakah benar, wahai menteri-menteri kerajaan?”

Memanda Menteri bersegera berkata, “Ampun Tuanku! Memang benar seperti yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia. Patik pun turut mendapat khabar yang sedemikian juga. Apakah tujuan Tuanku?”

Raja Paya Tu Naqpa tersenyum senang dan bertitah, “Andai benar demikian, perintahkan semua rakyat agar dapat menyertai perburuan kita ini. Esok pagi beta ingin berburu di tepi laut berkenaan.”

Semua menteri dan hulubalang berkata serentak, “Daulat Tuanku! Patik menjunjung perintah ke bawah Duli Tuanku.”

@@@@@@@

Pada keesokan hari setelah fajar menyinsing, baginda berangkat dengan iringan semua para menteri dan hulubalang kerajaan. Segala kelengkapan dan peralatan kebesaran kerajaan Kota Mahligai dibawa bersama. Pada masa yang sama seluruh rakyat jelata juga mengikuti misi perburuan raja mereka di tepi laut itu.

Sebaik sahaja tiba di lokasi perburuan, mereka berhenti. Para pekerja dan rakyat mendirikan khemah penginapan. Baginda Raja Paya Tu Naqpa menunggang seekor gajah yang besar, berhiaskan segala panji-panji kerajaan Kota Mahligai.

Setelah khemah didirikan, baginda raja turun dari belakang gajah dan memasuki khemah diraja. Baginda bersemayam di singgahsana kerajaan, berhadapan semua pegawai istana dan rakyat jelata.

Baginda tersenyum senang dengan segala persiapan yang telah diusahakan oleh pegawai kerajaan dan rakyat. Dari atas singgahsana, baginda bertitah, “Beta dengar di tepi laut banyak terdapat rusa-rusa berkeliaran. Bentara! Sila menyiasat bekas-bekas jejak rusa-rusa tersebut. Boleh kita diketahui di manakah gerangan kawasan permainan rusa-rusa itu. Bawa bersama beberapa orang mengikut Bentara.”

“Titah dijunjung, Tuanku,” akur Bentara diraja kerajaan Kota Mahligai.

Setelah mengumpul beberapa orang, maka Bentara pun bersegera bergerak ke suatu lokasi bagi mengesan jejak-jejak kawanan rusa liar yang menghuni di kawasan berhampiran tepi pantai.

** Akan bersambung.

Andai lidah terbelit bicara
Maafkan hamba, wahai buana
Tersasul kata tiada bermakna
Sekadar ilham dari Yang Esa.

** Hakcipta Terpelihara 2012 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

2 comments:

Salleh de Ran said...

Mohon patik berdatang sembah Tuanku Web Sutera, adakah nukilan cerita tuanku ini sejarah sebenar ataupun rekaan semata-mata yang khusus untuk lembaran catatan manuskrip terbaharu?

Mohon patik mengundur diri...

Web Sutera said...

Duhai adindaku (kakandaku?), Tuan Salleh de Ran, ada pun nukilan awal ini berasal dari kayangan bernama sebuah hikayat. Di dalam ceritera hikayat yang memperikan susur galur kesultanan Patani Darussalam, demikianlah nukilan sang penglipur lara budiman itu. Beta melakukan proses adaptasi, membahasakan dengan bahasa Melayu moden, demi anak bangsa adanya. Beta masih ditahap awalan sebuah hajat, dengan izin Allah jua, moga dimakbulkan.