Muhammad Nabil berhenti dan menarik nafas
“Lagi?” Tanya mamanya ingin menduga anaknya.
“Gegaran itu juga menyebabkan Tasik Sawwah yang berada berhampiran Iwan Kisra tertimbus. Memang pelik dan hebat akibat daripada lahirnya manusia agung itu.” Senyuman puas hati terukir di wajah polosnya. Seorang anak yang rajin membaca sejak mengenali huruf semasa di tadika lagi.
Nabil meneruskan ceritanya, “Apabila si Kisra Parsi itu melihat siri kejadian aneh tersebut, dia berasa sangat takut. Dia memerintahkan supaya semua ahli nujum dan pendeta datang menghadap di istana. Ada ahli nujum dan pendeta itu dapat berhubung dengan jin.”
Muhammad Nabil berhenti sejenak dan berkata, “Eh, jin! Mama, bagaimanakah mereka dapat berkomunikasi dengan jin? Dia orang guna apa ketika itu? Ada telefon khaskah?”
Mamanya ketawa geli hati dengan pertanyaan anak berusia 15 tahun itu. Kemudian dia berkata, “Para jin sebelum kelahiran Muhammad bin Abdullah boleh terbang naik ke langit dan mencuri dengar sebarang berita di langit tentang apa yang bakal terjadi di dunia .....”
Muhammad Nabil memotong cakap mamanya, “Oh! Jadinya merekalah yang memberitahu kepada pendeta berkenaan sebarang rahsia Allah. Justeru itu para ahli nujum dan pendeta dapat meramalkan apa yang bakal terjadi.”
“Dalam surah al-Jin ayat 9 Allah berkata, ‘Kami para jin sebelum ini mempunyai tempat untuk mendengar berita di langit. Barang siapa yang mencuri dengar lagi sekarang akan dipanah.”
“Terima kasih, mama. Kisra bertanya tamsil 14 anjung istana yang runtuh itu. Mereka berkata, ‘Kerajaan Parsi akan diperintah oleh 14 orang Kisra lagi dan selepas itu kerajaan Parsi akan runtuh.’ Kisra berkata, ‘Empat belas Kisra lagi. Masih panjang, masih lama lagi. Beta tidak perlu risau.’”
Mama Muhammad Nabil merenung mata anaknya, lantas mengangguk. “Lagi?”
“Selepas kematian Kisra itu, anak-anaknya berebut kuasa. Dalam tempoh empat tahun sahaja, 10 orang Kisra memerintah Parsi. Semua itu sebagai petanda akan kejatuhan Parsi ke tangan tentera Muslimin.”
@@@@@@@@@@@@@@
Mei – Julai 1908 Masihi, Kota Konstantinopel / Istanbul, Turki.
Grisham Gale menghampiri seorang gadis manis bertudung warna hijau muda.
“Hello, Cikpuan Sarah. Apa khabar?” Tegur Grisham Gales sambil menghulurkan tangan kanan kepada gadis Turki tersebut.
Sarah Mirza berkalih dari renungan ke langit malam lantas mengukir senyuman nipis. Tanpa menyambut huluran tangan Grisham Gale dia berkata, “Salam sejahtera ke atas tuan.” Kemudian dia menunduk sedikit tanda hormat.
Memahami pegangan gadis Turki itu, Grisham Gale menurunkan kembali tangannya dan memasukkan ke dalam poket seluar panjangnya. Malam agak dingin dengan tiupan angin laut.
Sambil menoleh ke arah pantai, Grisham Gale berkata, “Malam yang indah, Cikpuan Sarah. Namun situasi di persekitaran pemerintahan kerajaan Uthmaniah panas.”
“Apa maksud tuan?”
“Tidakkah cikpuan menyedari keadaan kecamuk sekarang? Bukankah cikpuan seorang ahli sejarah yang terpelajar?” Tempelak Grisham Gale sinis.
Sarah Mirza tersenyum lalu berkata, “Bukankah kota Konstantinopel ini romantik?” Dia cuba menukar persoalan. Orang ramai masih lagi meligari di persekitaran majlis yang diadakan oleh seorang pembesar Eropah di situ. Majlis meraikan perkahwinan anak perempuannya dengan seorang lelaki Yunani.
“Maksud Cikpuan Sarah?”
“Bukankah di sini dua dunia saling bergesel bahu? Timur dan Barat bertemu.”
Grisham Gale melihat mata gadis itu sekilas, menyedari bahawa dia tidak menyenangi kata-katanya.
“Ya, memang benar kebudayaan Barat bertemu Timur di sini. Saya tidak mahu berbual dan mengupas berkaitan perkataan. Saya kurang arif.” Lelaki Inggeris itu mengalah dengan luahan dari gadis Turki bernama Sarah Mirza tersebut.
Seketika suasana senyap di antara mereka. Alunan muzik Turki berkumandang dari arah sebuah tapak berkhemah putih. Seorang pramusaji beruniform putih dari leher sehingga ke kaki melalui lokasi perbualan mereka. Grisham Gale menyambar air jus epal lalu meneguknya perlahan-lahan.
Namun Sarah Mirza masih mempertahankan telahannya sebentar tadi. “Itu yang saya dapat rasai semenjak ketibaan saya di tepian pantai ini. Ia sebuah kota romantik.”
“Adakah Islam ada sikap yang romantik terhadap alam dan manusia?”
“Sudah pasti. Justeru sikap romantik dan saling bertolak ansur, kerajaan Islam Uthmaniah boleh berkompromi dengan orang-orang Kristian dan bangsa Eropah, walaupun ramai orang tuan yang memusuhi kami. Islam juga bersikap romantik dengan dunia keilmuan.”
“Maksud cikpuan?”
“Ah, Tuan Gale. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula,” tukas Sarah Mirza, kemudian meneguk air yang masih tersisa di dalam gelasnya.
Gadis itu menyambung, “Tahukah tuan bahawa sains dan teknologi Islam telah membangkitkan era Pembaharuan Eropah? Sebelum itu kalangan agamawan Kristian melalui pegangan pihak gereja menganggap bahawa sains adalah suatu aliran sihir yang berunsur syaitan. Ini sejarah yang tiada siapa pun yang harus berasa tersinggung. Sejarah merakamkan bahawa ada ahli sains pada waktu itu dibunuh kerana mempunyai pendapat berbeza dengan pegangan gereja, walaupun itu adalah penemuan sains oleh cerdik pandai mereka.”
Grisham Gale hanya mengangguk.
Sebelumnya: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
3 comments:
Maafkan kesalahan ejaan, jika ada. Semoga bermanfaat :-).
Paling penting ia bermanfaat untuk ummah.
Benar, Cikgu Wan Zayuhisham Wan Yusoff, walaupun sedar diri ini siapa jika mahu dibandingkan dengan penulis mapan lainnya. Kerdil ...
Post a Comment