Apr 4, 2012

Kesatria Samudera: Ledakan Patani (5)

Ingin hamba senandungkan ceritera
Demi mencari secebis riwayat cinta
Di buana ciptaan Yang Esa
Moga jiwa tenang terus selesa
Sebuah bahtera melayari samudera.

Tahun 1350-an.


Semasa pemerintahan Raja Paya Tu Naqpa di Kota Mahligai itu telah pun ada orang-orang Melayu yang datang dari wilayah-wilayah yang baharu dibuka di sebelah selatan Tanah Melayu dan juga dari pulau Sumatera. Kawasan utama didirikan penempatan ialah di kawasan berhampiran pantai lautan.

Manakala negeri Kota Mahligai itu terletak terlalu jauh ke daratan hingga berpuluh-puluh batu jaraknya dari muka laut kerana kebiasaannya orang-orang asal di situ tidak berapa suka tinggal di tepi-tepi laut. Justeru itu, Kota Mahligai sangat sukar hendak didatangi oleh orang-orang berdagang kerana duduknya terlalu jauh dari kawasan pesisir pantai. Akibatnya kemakmuran dan kemewahan dalam Kota Mahligai itu pun semakin hari kian berkurang.

Akhirnya penduduk Kota Mahligai terpaksa keluar mencari penghidupan di luar kota negeri. Disebabkan penghijrahan warga Kota Mahligai, maka penduduknya semakin berkurangan.

Dalam masa yang sama kampung-kampung yang baharu dibuka oleh orang-orang Melayu di tepi pantai-pantai laut itu semakin bertambah maju dan ramai. Apabila persekitaran kawasan itu telah dibuka menjadi kampung, maka perahu-perahu dagangan pun selalulah singgah menjual dagangan. Demikian juga ahli-ahli perdagangan itu ada pula yang suka menetap, berkerja dan berniaga di situ.

@@@@@@@@@@

Setelah Raja Paya Tu Naqpa mendengar cerita orang tua bernama Pak Tani itu, maka baginda pun kembali ke khemahnya.

Pada malam itu baginda pun berbicara bersama segala menteri dan hulubalangnya akan hasrat dan perancangan membuka pendudukan negeri pada tempat pelanduk putih itu.

Raja Paya Tu Naqpa memulakan titah, “Beta merasakan tempat menghilangnya pelanduk putih itu adalah satu wilayah yang baik untuk membuka negeri baharu. Tambahan pula penduduk Kota Mahligai semakin berkurangan. Sumber makanan dan lain-lain keperluan juga semakin payah untuk didapati. Bagaimana pandangan Memanda Menteri?"

“Amat molek pandangan Tuanku itu. Patik tiada halangan,” akur Memanda Menteri.

Raja Paya Tu Naqpa tersenyum dan mengangguk. Lalu baginda berpaling kepada orang-orang besar kerajaan lain, kemudian bertanya, “Orang-orang besar dan hulubalang sekalian, ada bantahan atau luahan pendapat?”

“Patik juga turut bersetuju,” kata beberapa orang kenamaan lain secara hampir serentak. Lain-lain hanya mengangguk.

Setelah keesokan harinya maka segala menteri dan hulubalang menyuruh pengawal dan rakyat jelata penduduk Kota Mahligai mudik ke kawasan berhampiran pantai bagi mendirikan penempatan dan istana raja. Sebaik sahaja urusan pembinaan diatur, menjelang tengah hari baginda pun berangkat kembali ke Kota Mahligai.

Setelah dua bulan lamanya, maka penempatan baharu di pesisir pantai itu terbina. Setelah perkhabaran diterima, dengan senang hati baginda pun berpindah ke hilir menduduki negeri yang telah dipersiapkan itu. Nama yang diberikan ialah Patani Darussalam.

Sebelumnya: Sri Negara-Patani (1)
Sri Negara-Patani (2)
Sri Negara-Patani (3)

Sri Negara-Patani (4)

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

2 comments:

Unknown said...

Wah, entry Tuan Web Sutera agak kemas dan isinya amat menarik. Terima kasih atas perkongsian ilmu ini.

Web Sutera said...

Sahabat Hatiku Di Harajuku, novel ini tersangkut lama juga. Insya-Allah, doakan agar saya dapat sambung.

Terima kasih atas sokongan.