Nov 16, 2013

Hijab Bermuda: Fragmen 1 - To-Wer (1)


Buana Hampir Tiba di Melliana Pertama, 998 Masihi

Bandar metro yang dibangunkan oleh tenaga keseluruhan warganya kira-kira sepuluh dekad yang lalu musnah dalam masa satu malam sahaja, di dua abad mutakhir. Berlokasi di tanah tinggi utara Kemboja, Angkor Wat Kol Ker menjadi mercu tanda pusat kerajaan atau sebuah benua yang memanjang ke selatan berbatasan dengan Empayar Sriwijaya di Sumatera dan Empayar Shailandra di Jawa. Kerajaan-kerajaan itu juga saling berkerjasama membentuk sebuah tatakelola dunia – sebuah pentas dunia di Nusantara.

Di sisi timur laut, Dinasti Tang dari suku kaum bermata sepet memerintah, manakala di barat di Timur Tengah, panji-panji Islam berkibar dan berkembang pesat meniup sebuah tamadun baharu kemanusiaan. Muhammad, manusia ummi utusan Allah sudah wafat. Kini para penganutnya tegar meneroka dunia baharu yang masih misteri di mana-mana. Gersang padang pasir bukan penghalang usaha menyeru manusia agar kembali ke sembahan asal di alam roh.

Pusat kota sebuah kerajaan - Angkor Wat Kol Ker – adalah mercu tamadun manusia dalam Empayar Khmer. Rekabentuknya maju tatkala Eropah masih berada dalam kegelapan. Di tengah-tengah bandar, sebuah candi dibina dari ikatan bebatuan dengan menara tengahnya melebihi lima ratus kaki. Di sekitarnya, banyak premis perdagangan, rumah kediaman dan pasar-pasar makmur dengan aktiviti kehidupan.

Semua binaan itu dibentengi oleh tembok setinggi empat belas kaki, menjangkau lebih sembilan batu luasnya. Di luar tembok agam itu, terdapat parit sepanjang empat ratus ela yang menjadi pelindung tambahan. Namun ... usaha jerih manusia di sini tidak cukup untuk menghalang gerembolan musuh yang datang.

Kazab menyerbu melalui gapura pelik yang wujud atau dirangka di muka planet ini. Kabut tebal menyaluti bandar dan tanah lapang di sekelilingnya. Tiada manusia yang berani memasuki ke dalam kabut itu selama hampir dua ratus tahun. Warga penduduk yang masih ada untuk pertahankan bandar tidak pernah melihat wira-wira mereka keluar dari situ.

Orang yang masih tinggal, yang terselamat dari serangan gerembolan Kazab, gigih berusaha membina kembali kerajaan di bahagian selatan. Lalu terbinanya Angkor Thom, ibukota terakhir kerajaan Khmer. Ia dibentengi binaan khas sebagai pelindung kediaman sami, pegawai istana dan tentera, serta bangunan pentadbiran kerajaan. Mereka cuba memulih kembali mercu tamadun terdahulu. Tetapi tinggalan kerajaan itu tidak kukuh seperti sebelumnya, sedia melalui era kemusanahan total.

Leluhur orang-orang Khmer pada suatu masa berwisata hampir separuh dunia untuk mengelak daripada hambatan Kazab. Untuk banyak generasi kemudiannya, mereka dapat menyekat gerakan pasukan yang musnahkan pertiwi asal, sehingga gapura baharu terbuka di atas bandar mereka. Tanah pertiwi mereka sebelum Kemboja menjadi legasi manusia purba yang mengetahui rahsia Kazab dan satu kumpulan makhluk berakal. Rahsia keturunan mereka telah dilupakan atau hanya diingati sebagai mitos bangsa. Lagenda yang tenggelam, mungkin.

Di pinggir kabut tebal yang dibentuk oleh Kazab, seorang lelaki bernama To-Wer berdiri di lokasi pos jaga diperbuat daripada blok-blok besar bebatuan yang diikat kukuh. Pondok jaga itu dibina cukup tinggi di atas rabung menghadap kabut. Tetapi kini, kabut yang asalnya berputar dengan warna abu-abu campuran kekuningan, telah berubah kepada sangat gelap. Ia semakin mampat tidak seperti mana dilihat semenjak bertempiaran lari dari Angkor Wat Kol Ker.

Ko-Wer menyorot pandangan merentasi hutan ke kabut pelik itu.

“Itu bandar leluhur aku,” katanya perlahan untuk diri sendiri. "Para wira bangsa persis disedut, hilang tanpa kesan."

Dia menderam marah. Hanya deraman dalam ... sedalam rasa amarah yang sekian lama terpendam. Dia seorang sami dari Angkor Wat, dilengkapi dengan banyak pengetahuan yang tersimpan dalam puing-puing reruntuhan tamadun Khmer, juga diketahui oleh Kazab dan Al-Hin – kumpulan makhluk berakal ciptaan Allah.

Namun sayangnya ... dia masih tercari-cari, pengetahuan misteri itu tidak lengkap. Dia mengembara ke sini dengan berjalan kaki untuk melihat Kazab. Di sini, di depannya, terbentang hijab gelap sebagai hentian pertama yang kekal kelam.

** Insya-Allah, akan bersambung.

** Sebelumnya: HIJAB BERMUDA - Prolog

** Hakcipta Terpelihara 2013 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

9 comments:

Azura July said...

Interesting. Kisah yg simbolik..

Web Sutera said...

Cikpuan Azura July, insya-Allah, sebuah cubaan dan eksperimen. Menggarap taakulan sebuah hijab. Cubaan ke-4 setelah tiga novel sebelumnya.

Yg Lain said...

Bermuda itu sendiri sudah satu tarikan, apatah lagi jika dinovelkan.

Nazri Kadir said...

Kazab dan Al Hin: Adakah mereka penghuni bumi sebelum Adam?

Web Sutera said...

Tuan Nazri Kadir, sabar menunggu. Cubaan dan adaptasi ... sebuah fiksyen. Ceritera dan adaptasi, sebuah misi berhijab. Mungkin berubah di kemudian hari olah kisahnya.

Unknown said...

Saya dah baca dua buah novel sblm ni...alexander agung hijap raja iskandar dan juga kibaran panji panji al fateh....mmg best dan pendapat saya novel yang berat tapi banyak maklumat...tahniah bt penulis....

Unknown said...

Sorry salah tajuk tadi..Alexander agung hijap raja zulkarnain

eyman hykal said...

Hebat! Kaya maklumat. Kaya istilah. Kenyang minda saya petang ini. Tahniah!

Web Sutera said...

Sdr. Ryia Sakura, terima kasih atas komen untuk dua judul novel:

1) Macedonia: Alexander Agung (Hijab Raja Zulqarnain)
2) Konstantinopel: Kibaran Panji-panji AL-FATEH.

Teruskan membaca fragmen novel HIJAB BERMUDA akan datang.

Tuan Eyman Hykal, ini obor. Insya-Allah, hanya Allah.