Dari Zaman Belajar Menuju Ke Alam Kerjaya
Setiap orang
mempunyai cerita tersendiri dalam perjalanan dari zaman kanak-kanak, menuju
dunia persekolahan dan seterusnya melangkah ke alam kerjaya. Malah dari alam
kerjaya menuju persaraan pun jalan yang kita lalui berbeza dari orang lain.
Ada rakan kami yang
cemerlang sejak awal persekolahan, seterusnya mendaki tangga universiti dan
akhirnya melangkah alam kerjaya dengan gemilang dan bersara dengan wang pencen
yang lumayan. Dia hidup selesa walau pun sudah bersara.
Manakala seorang lagi
rakan kami berjaya di alam persekolahan lalu menjejak langkah ke universiti.
Namun beliau tidak sempat menghabiskan pengajian di universiti dengan mendapat
ijazah yang diidamkan. Sebaliknya beliau menceburi bidang perniagaan secara
kecil-kecilan sehingga akhirnya kini beliau menjadi seorang usahawan yang
berjaya.
Malah ada juga
rakan-rakan kuliah semasa di universiti yang berjaya menamatkan pelajaran dan
beroleh ijazah, bekerja dalam syarikat sementara menunggu melanjutkan pelajaran
ke peringat lebih tinggi atau mendapatkan pekerjaan di sektor awam atau swasta.
Ada seorang lagi
rakan pula mencapai kelulusan biasa-biasa semasa bersekolah dan mendapat
pekerjaan dalam sektor awam memegang jawatan pegawai rendah. Namun demi
mengejar cita-cita untuk meningkat dalam kerjaya, beliau telah mengikuti kelas
malam dalam skim pensyarah muda sebuah IPTA.
Beliau menceritakan,
“Setiap hari selepas kerja saya bersiap-siap untuk pergi ke kelas malam,
sedangkan rakan-rakan sejawat saya turun ke padang yang terletak berhampiran quarters bujang tempat tinggal kami
untuk bermain bola. Sering sahaja apabila melihat saya lalu di tepi padang itu
mereka akan berkata, ‘Tuan Profesor...!’ dengan tujuan menyindir saya. Mungkin
berkat doa rakan-rakan saya itu, kini saya berjaya menjadi pensyarah berjawatan
Profesor Madya!”
Begitu kisah tiga
orang rakan kami yang melalui perjalanan yang berbeza. Kamu bagaimana pula? Apakah
cita-cita dan impian kamu?
Masa yang Terhad Tetapi Amat Berharga
Dalam sistem
pendidikan negara kita, pada masa kini setiap orang dimestikan mengikuti
persekolahan mulai umur tujuh tahun, bermula dari darjah satu sekolah rendah
hingga ke tingkatan enam sekolah menengah. Sesudah itu pelajar boleh memohon
untuk memasuki IPTA atau IPTS, dan mereka yang layak akan ditawarkan mengikuti
kursus di IPTA atau IPTS.
Pelajar akan
menamatkan pengajian di IPTA atau IPTS sesudah berjaya memperoleh diploma,
ijazah sarjana muda, ijazah sarjana (masters)
dan seterusnya ijazah kedoktoran (philosophy
degree atau Ph. D.). Namun tidak ramai yang akan melanjutkan pelajaran
sehingga peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran. Sebahagian besar
pelajar menamatkan pelajaran pada tahap diploma atau ijazah sarjana muda, lalu
memasuki alam kerjaya.
Pada ketika ini umur
pelajar berumur antara 23 hingga 25 tahun, dan dia telah menuntut ilmu sebagai
pelajar selama 16 tahun semenjak umurnya 7 tahun lagi. Dia akan mengharungi
alam kerjaya sehingga dia bersara pada umur 55 tahun sekiranya berkhidmat di
sektor swasta atau 58 tahun di sektor awam.
Ini bererti jangka
masa kerjaya seseorang adalah antara 30 hingga 35 tahun. Dalam masa 30 hingga
35 tahun inilah seseorang itu harus bergiat membina kerjaya sehingga hari
persaraan.
Dalam jangka masa ini
dia mendirikan rumahtangga dan membina keluarga, mendidik dan membesarkan
anak-anaknya. Pada ruang masa yang terbatas itu juga dia membina kekayaan,
melabur dalam pasaran saham, unit amanah, menyimpan dalam Tabung Haji, dana
pendidikan dan lain-lain.
Dalam ruang waktu itu
juga dia membeli kenderaan dan rumah, dan menyelesaikan bayaran pinjaman untuk
kedua-duanya.
Dalam sempadan masa
itu juga dia mengumpul harta, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi, membina kerjaya sehingga peringkat tertinggi yang dia impikan dan dalam
ruang waktu itu juga dia membelanjakan hartanya di jalan kebajikan dan
memberikan sedekah.
Apakah cita-cita
kita? Apa matlamat hidup kita? Membina kerjaya makan gaji sehingga hari
persaraan atau bersara awal bagi menceburi bidang bisnes? Ingin membina
kekayaan dan mengumpul harta yang banyak supaya dapat kita belanjakan pada
jalan kebajikan, yakni membantu orang yang memerlukan dan kurang bernasib baik?
Pilihan di tangan kita.
0 comments:
Post a Comment