Kami mengesyorkan
supaya antara laluan yang mampu dirintis oleh setiap orang yang melangkah dari
dunia belajar ke alam kerjaya dan akhirnya bersara mengikut peranan atau
jawatan adalah seperti yang tertera dalam Gambar Rajah 1.1.
(1) Pelajar – menimba ilmu mengikut sistem pendidikan negara, seperti
sekolah kebangsaan, menengah dan melangkah ke IPTA / IPTS atau universiti di
luar negara. Atau mengikut sekolah agama rakyat dan universiti di dalam atau
luar negara seperti di Al-Azhar, Mesir, Jordan, Madinah dan lain-lain negara.
(2) Pelatih – semasa di
universiti, pelajar mendapatkan tempat sebagai pelatih di syarikat, badan
berkanun, agensi kerajaan atau institusi yang memberikan tempat untuk para
pelajar mendapatkan latihan dalam industri. Semasa menjadi pelatih, pelajar
mendapat pendedahan dunia kerjaya dan suasana sebuah syarikat korporat atau
agensi kerajaan yang terbabit.
(3) Pekerja – para siswa atau siswi lepasan universiti atau sekolah
mendapatkan pekerjaan di sektor awam atau swasta, iaitu di jabatan kerajaan,
badan berkanun, agensi kerajaan atau syarikat swasta.
(4) Pegawai – sesudah melalui beberapa bulan atau tahun, pekerja
mendapat kenaikan pangkat dan meningkat dalam kerjaya.
(5) Pengurus – apabila memegang jawatan pekerja dan pegawai, seseorang
penjawat awam atau swasta dinaikkan pangkat ke jawatan pengurus. Peningkatan
lagi dalam kerjaya setelah pengalaman bertambah dan prestasi memuaskan pihak
jabatan atau syarikat. Pemegang jawatan mungkin memegang jawatan itu sehingga hari
dia bersara atau mungkin dia mendapat kenaikan pangkat lagi ke jawatan yang
lebih tinggi.
(6) Usahawan – Pekerja yang sudah meningkat dalam kerjaya meletakkan
jawatan demi mengejar impian untuk membuka perniagaan sendiri, yakni menjadi
usahawan. Dia menceburi bidang perniagaan sebagai kontraktor, pembekal, penjual
produk, malah tidak kurang juga yang bergiat dalam bidang latihan. Malah ada
juga apabila bergiat dalam bidang latihan, dia membekalkan produk latihan
kepada bekas majikannya atau pihak yang dikenalinya semasa bekerja di sektor
awam atau swasta itu.
(7) Juru Perunding – pada peringkat ini seseorang usahawan itu sudah
menceburi bidang kemahirannya selama lebih daripada lima belas hingga dua puluh
tahun. Oleh yang demikian kemahirannya itu sudah memungkinkan dia menjadi pakar
rujuk serta pakar yang diminta nasihatnya dalam bidang yang diceburinya itu.
Pada tahap ini juga, pihak yang memerlukan khidmat kepakaran beliau sanggup
membayar harga yang tinggi semata-mata demi mendapatkan khidmat nasihat. Pada
ketika ini dia layak digelar sebagai juru perunding atau konsultan.
Sebagaimana yang
telah kita sebutkan tadi, semua laluan ini bermula ketika seseorang itu berumur
7 tahun iaitu Peringkat 1, dan Peringkat 7 dicapai ketika dia berumur 58 tahun
atau mungkin lebih awal, bergantung pada perancangan dan pelaksanaan
perancangan seseorang itu.
Adakah kamu
menganggap seseorang yang berumur 58 tahun sebagai seorang yang sudah lanjut
usia dan sebaik-baiknya dia bersara atau lebih layak menghabiskan masanya di
masjid atau surau?
Sebelum kita menjawab
‘ya’ kepada soalan di atas, mari kita berhenti sejenak dan meneliti kisah
perjalanan hidup Nabi Muhammad. Ya, Nabi Muhammad.
Baginda mula bertugas
sebagai penggembala kambing biri-biri pada umur awal remaja lagi. Semasa remaja
Baginda mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib menyertai rombongan dagang ke
Yaman dan negeri Syam (Syria). Ketika berumur 25 tahun Nabi Muhammad berkhidmat
memperdagangkan barangan pemodal Khadijah Binti Khuwailid.
Semasa berumur 40
tahun Baginda dilantik oleh Allah Taala menjadi Rasul. Tiga belas tahun Nabi
Muhammad menyebarkan agama Islam di Makkah, manakala sepuluh tahun berikutnya
di Madinah.
Perang Badar, yakni
peperangan pertama yang dihadapi oleh orang Islam pimpinan Nabi Muhammad berlaku
pada tahun kedua Hijrah. Pada masa ini Nabi Muhammad berusia sekitar 55 tahun!
Zaman sekarang, pada usia ini seseorang pekerja swasta sudah mencapai waktu dia
bersara dari bertugas. Sedangkan Nabi Muhammad baru sahaja menghadapi
peperangan yang pertama!
Cuba bandingkan
dengan cadangan pakar sesuatu bidang yang kita bincangkan di atas, yang
mencapai tahap perunding semasa berumur 58 tahun. Zaman ini pekerja sektor awam
sudah mencapai umur bersara dari khidmat sektor awam!
Pada usia 58 tahun, kita
sudah menceburi bidang kemahiran kita selama lebih kurang 34 tahun. Cuba
bayangkan betapa lamanya masa yang kita habiskan bertugas di bidang kita.
Pelbagai pengalaman yang kita telah lalui dan betapa bernilainya ilmu
pengetahuan yang kita telah pelajari. Tentu kita mempunyai jaringan sahabat dan
rakan serta kenalan yang ramai sejak dari mulai bertugas pada usia 24 atau 25
tahun. Tentunya ramai rakan sebaya kita yang telah menempa kejayaan dalam
bidang masing-masing.
Jadi tidak hairan kita
menjadi seorang perunding atau konsultan yang menjadi tempat rujukan pelbagai
pihak dalam industri atau bidang kita. Bukan sahaja mereka mahu mendengar
nasihat kita dan menjadikannya panduan,
malah mereka sanggup membayar kita dengan upah atau yuran perunding atau fi
konsultan yang lumayan.
Malah bukan mereka
yang tetapkan harga, tetapi terpulang kepada kita untuk menetapkannya. Sebut
sahaja berapa harganya, mereka yang mendapatkan khidmat kita itu sanggup
membayarnya tanpa banyak soal. Tiada pun yang mahu meminta diskaun. Malah
semakin tinggi fi konsultan yang dikenakan semakin tinggi pula prestij yang
dirasakan oleh pelanggan kita.
Adakah semua ini
sesuatu yang mustahil serta tidak masuk akal? Bagaimana caranya untuk kita
mencapai tahap itu?
0 comments:
Post a Comment