Nov 3, 2015

KONSPIRASI MAHARAJA - BAB 4

Januari 2025, Bukit Zion, Jerusalem

“Apabila Perjanjian Manusia dimeterai, dan Gapura Zion berdiri teguh ... Mohor Pertama bakal meluruh dan semboyan darah akan memercik. Maka kesengsaraan akan terlepas.”

Kawasan luar Temple Mount dikerumuni ramai orang yang berulang-alik melakukan aktiviti masing-masing. Barisan kenderaan pacuan empat roda, trak dan helikopter milik PBB berada di perimeter berdekatan. Juga kelihatan polis Israel mudah-mandir dengan angkuhnya. Sebilangan anggota Mossad tidak beruniform juga ditempatkan di serata lokasi.

Sebelum itu, semua kawasan sekeliling sejauh hampir dua kilometer dikosongkan dan dipasang pagar berduri tinggi, dan dikawal ketat oleh pasukan khas PBB dengan memakai helmet bertulis UN berwarna biru. Semua mereka memegang senjata automatik, bersama beberapa ekor anjing besar Jerman shepherd di posisi tertentu.

Di dalam kawasan yang dipagar itu, kelihatan ramai pegawai Israel, Palestin dan PBB bercakap-cakap di antara mereka. Memang sibuk dan sekali-sekala ada teriakan. Manakala di tempat penggalian, satu lagi lingkaran keselamatan ketat, yang lebih kecil, dikenakan. Setiap anggota tentera khas itu begitu mengawasi persekitaran dengan setiap pasang mata mereka tidak melihat di satu tempat sahaja. Tahap berjaga-jaga berdarjah tinggi digunakan.

Relik suci diletakkan di bawah sebuah kanopi bagi memayungi satu podium khas yang dibina. Sekarang ia sudah dibersihkan, dan semua petugas nampak dengan jelas rupa bentuknya – permukaan yang penuh hiasan, panjangnya lebih kurang empat kaki, tiga kaki tinggi, dan diperbuat dari sejenis kayu yang bersalut emas.

Terdapat satu lingkaran emas khusus berdekorasi mistik di atasnya, dan di keempat-empat bucu ada gelang untuk dimasukkan tiang kukuh bagi mengangkatnya. Penutupnya pula dihiasi dengan lakaran halus arca berupa perwakilan malaikat, dengan sayap berkembang. Dua arca atau patung kecil malaikat yang diperbuat dari emas tulen saling berhadapan.

Enam orang ahli arkeologi dengan teliti memerhati dan mencatat sambil melihat diagram yang dibawa. Mereka membuat perbandingan dengan lakaran sahih yang disediakan.

Francesco Pianzola, seorang paderi berstatus saintis dari Vatikan menyorot dengan teliti pada cop mohor keemasan yang mengunci peti itu. “Lambang mohor Daniel,” katanya perlahan.

Dia menggeleng kepala tanda takjub. Namun juga tampak wajah kehairanan terlukis. “Erm ... .”, tanpa habiskan kata-katanya.

Seorang ahli arkeologi di sebelah kanan Francesco Pianzola bertanya, “Apa dia, Father?”

“Tanda cop mohor Daniel,” Francesco Pianzola menjawab. Sambil mengalih pandangan kepada rakannya itu, dia menambah, “Kau tengok betul-betul ... lihat dekat sikit.”

Ahli arkeologi itu mengikut kata paderi Francesco Pianzola, dan dia dapat melihat apa yang dimaksudkan. Sambil memandang wajah Francesco Pianzola, dia berkata, “Empat orang berkuda – Four Horseman -, lagenda wahyu. Mustahil.”

“Itu kan cop dunia ... perwakilan Mohor Wahyu dari syurga,” balas Francesco Pianzola.

“Ya .. wahyu untuk Saint John.” Sebaik habis kata-katanya, dia mencatat sesuatu di gajet yang dibawa.

“Ah! Andai begitu, kau tentu tahu tentang catatan Daniel mengenai Kuil Solomon yang mencatat: ‘Mesti dibina pada hari Akhir’.”

Kemudian mereka berdua bersama-sama menyudahkan ayat berikut: “Dan pembinasa keji akan berada di sayap candi sehingga kehancuran yang ditetapkan dicurahkan pada pembuat keji itu.”

“Lagenda purba memberitahu bahawa apabila Mohor Pertama Wahyu pecah, maka itu petanda akhir untuk Ark of the Covenant akan muncul. Ia juga sebagai pembawa Hari Akhir,” tambah Francesco Pianzola.

“Sekadar mitos, Father.” Ahli arkeologi itu tersenyum di hujung bicara.

Tidak semena-mena.

Traaa..tat tat! Gedebom...bom.. bommm!! Sloshsshh! 

Bunyi letusan senjata api, bingit dari arah horizon yang berkilauan.

Francesco Pianzola melindungi matanya dari gemerlap sinaran tatkala tujuh buah pesawat tempur warna hitam Sikorsky PH-53E berlegar merentasi kawasan Bukit Zion. Disusuli dengan deruan angin kuat yang membawa bertan-tan pasir menghijab pandangan. Ia membadai kawasan perkitaran.

Kelam-kabut dan jeritan kini kedengaran di sana sini. Tembakan peluru berterabur berselang dengan tembakan misil menjadi bunyi petaka dalam keributan itu. Darah merah. Cebisan anggota badan berterabur, ada yang hancur.

Tentera UN kelam kabut, keliru dan berbagai rasa lagi. Tiada arahan kedengaran dari ketua platun. Alih-alih beberapa orang daripada mereka tidak boleh berdiam diri cuba menyorok sahaja. Tembakan dilepaskan ke arah helikopter tempur itu, walaupun tidak mengetahui butir tindakan serangan mengejut itu. Anggota lain turut serta tanpa lengah kerana menyedari antara sasaran ialah posisi mereka.

Sebagai tindakbalas, atau memang itu tujuan kedatangan mereka, lima roket ditembak ke arah semua anggota PBB, setiap satunya terus menuju sasaran. Kemudian diikuti dengan tembakan mesingan automatik secara pantas. Akibatnya ia musnahkan segalanya. Tiada tersisa nyawa anggota PBB itu.

Hairannya, posisi peti purba yang dikawal ketat dan sekumpulan ahli arkeologi kekal di luar sasaran Sikorsky PH-53E. Mereka dilindungi? Kumpulan enam orang itu melihat kaku saki-baki Bukit Zion yang remuk.

Paderi Francesco Pianzola mengerti, dia tahu sesuatu. “Mereka dah tiba di sini,” katanya berbisik sambil pandangan matanya masih melihat helikopter tempur masih berlegar-legar.

“Siapa yang dah tiba, Father?” Soal rakan arkeologi di sebelah kanan tadi.

Kini dua buah Sikorsky PH-53E berada di posisi betul-betul di bawah peti. Menunggu. Namun tidak bagi tentera UN yang bertugas di situ, mereka lepaskan tembakan, sambil cuba mengelak dari berada hampir dengan kanopi. Tetapi ia tidak berkesan. Entah dari mana datangnya, semua terbaring akibat terkena tembakan tepat.

Kelihatan sekumpulan komando khas menuruni kawasan yang sedang kelam kabut itu. Pesawat pembawa tidak kelihatan oleh mata kasar. Mudah bagi mereka justeru lawan sudah dihapuskan. Yang tinggal ialah asap yang kekal menerawang. Juga bau benda dan orang terbakar. Hanya beberapa minit serangan mengejut itu.

“Kita duduk rapat-rapat,” anjur Francesco Pianzola. Semua ahli pasukan arkeologi menurut saranan, termasuk lelaki di sebelah kanan paderi.

Seorang lelaki berbadan sasa muncul dari kepulan asap. Dia mengangguk kepada ketua komando, yang dengan pantas berpaling ke posisi ahli-ahli arkeologi dan tanpa amaran menembak dengan sub-mesingan seorang demi seorang.

Ahli arkeologi di sebelah kanan paderi melihat dengan mata terbeliak. Dia kaget dan amat terkejut. Ketua komando itu berpaling kepada paderi Francesco Pianzola yang sedang cuba melindungi rakannya yang masih hidup.

“Manusia yang bangga dengan pakaiannya,” ketua komando melirik pandangan sinis, sambil mengarah sub-mesingan tepat ke pelipis paderi Vatikan itu.

Paderi Francesco Pianzola dengan pantas menolak teman di sebelah kanan, dan sejenak itu juga tembakan dilepaskan oleh ketua komando. Tetapi sasaran tersasar.

Ketua komando itu terkejut dan keliru, lantas memandang lelaki berbadan sasa. “Kita ada pelawat yang tak diundang,” kata lelaki berbadan sasa kepada ketua komando.

Lelaki berbadan sasa berjalan selangkah ke hadapan paderi, menyorot pandangan benci yang tidak dapat diselindungkan lagi.

Francesco Pianzola menyambut sorotan itu dengan berani. “Lepaskan dia,” katanya sambil menunjuk kepada ahli arkeologi di sebelah kanannya. “Biarkan dia hidup.”

“Malangnya ... itu hanya kemungkinan untuk aku biarkan dia hidup.” Lelaki bertubuh sasa menjawab. Berlalu beberapa saat sebelum dia menyambung kata, “Father, bukan ke kau tau yang aku setia dengan janji dan tak akan khianati arahan Tuan aku?”

Lelaki bertubuh sasa membidik senjata kecil di kepala ahli arkeologi yang masih terketar-ketar, dan tembakan dilepaskan. Tubuhnya terjatuh. Diam tidak bergerak lagi.
Walaupun agak terkejut, tetapi paderi Francesco Pianzola masih berkata, “Kekuasaan kau tak akan kekal lama, Adramelech.”

Senyuman sebentar terpamer di bibir lelaki bertubuh sasa bernama Adramelech itu.

“Tetapi akan lebih lama berbanding kau, Elohist yang bodoh,” Adramelech membalas. Kini senyuman itu sirna dari bibirnya.

Mereka saling berpandangan. Aura benci masing-masing dirasai.

“Jerusalem akan menjadi milik kita. Kita fallen angels ... yang menjadi raja di bumi ini.” Raut muka Adramelech diseliputi amarah yang tidak dapat ditunda-tunda lagi. “Atau lebih tepat, milik aku. Tak tau kau pula, Elohist.”

Adramelech berubah bentuk. Dalam tempoh beberapa saat, kini dia berdiri lebih tinggi, dengan sayap di belakangnya. Dia mengangkat bilah tajam ahli sihir – pedang Necromancer - di atas kepala Elohist.

“Kau dengan bodohnya telah menyingkap diri sebenar sebelum Mohor Pertama dipecahkan. Kau begitu nanar, Elohist! Sekarang kau dibebaskan dari kumpulan Jelma Angelik di kalangan bangsa manusia.”

Sinaran mata Adramelech berubah menjadi kuning menyata. Kuasa hitam berbau Iblis menguasai, tambah gelap dari sebelumnya.

Zas! Kepala Elohist terputus dari bahunya hanya dengan satu cantasan sahaja. Badannya atau badan pinjaman itu jatuh terjelepuk ke tanah, kemudian terbakar dengan pantas sebelum hilang.

Adramelech perasan ada sahabat yang sedang memerhati. Dia sempat melihat tiga buah pesawat berbentuk melengkung di horizon Jerusalem. Sepantas kelibatnya, sepantas itu juga ia menghilang.

Mesin terbang yang sering disebut oleh manusia sebagai UFO, tapi versi ini mempunyai cop mohor berbentuk burung phoenix – Novus Ordo Seclorum. Dia langsung tak tersenyum.

BACA PENUH.

PENDAHULUAN (Bhgn. 1).
Prolog 1.
Prolog 1 (lengkap).
BAB 1 (Segmen 1).
** Hakcipta Terpelihara 2015 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments: